Wafeya

Life is a serious matter.

Sunday, September 07, 2008

Bertemu cinta di Dubai

Dubai. Bagaimana harus saya mulakan? Kami pernah ke sini sewaktu transit untuk pulang ke Malaysia. Tidak lama. Lima jam cuma. Dubai tidak seperti yang saya sangka. Seluruh tempatnya dipenuhi warga asing yang datang bekerja mencari rezeki. Dari tukang cuci, pemandu teksi dan bas termasuk para pekedai semuanya didominasi oleh mereka. Sekalian warga tempatan entah ke mana. Mungkin menjadi tuan duduk di pejabat atau di rumah berhawa dingin.

Tetapi kali ini, transit seketika sebelum bertolak ke Kiev itu bertukar menjadi suatu percutian singkat yang tidak dirancang. Kami berempat, saya, Aisyah, Sakiah dan Atiqah memang pun selalu begitu. Selepas melalui pemeriksaan pasport dan mengambil bagasi, kami ditahan oleh pekerja-pekerja kastam di balai ketibaan. Kenapa pula agaknya? Dalam hati berdoa supaya tiada apa yang buruk berlaku. Kami dipanggil oleh beberapa orang wanita Arab dalam abaya hitam yang labuh. Sambil tersenyum mereka menghulurkan beberapa kotak bungkusan. Di dalamnya ada sekotak kecil kurma dan air mineral. ‘Untuk berbuka nanti’, kata mereka ramah. Alangkah, inikan hari pertama berpuasa! ‘Terima kasih’, balas kami tersenyum malu-malu.

Kemudian kami segera bergerak ke lobi untuk mencari tempat penginapan bagi melepaskan lelah pada malamnya. Entah mengapa mudah benar kami mendapat hotel yang berpatutan untuk dua malam termasuk pengangkutan pergi dan balik. Lega. Kemudian, entah dari mana azan berkumandang. Sudah maghribkah? Sudah boleh berbuka? Kerana tidak ketahuan waktu berbuka yang sebenar, kami bertanya kepada beberapa orang warga tempatan yang menjadi pengurup wang di situ. ‘Sudah boleh berbuka’ , kata mereka. Bismillah… Allahumma laka sumtu … (Ramadhan pertama, kami berbuka di Dubai!)

Dan esoknya, kembara kami bermula. Sebuah peta, buku panduan pelancong, sedikit wang dan keberanian, kami melangkah keluar menahan panasnya Dubai yang ketika itu mencecah 38º Celcius. Apa sahaja yang kami fikirkan ketika itu? Sudahlah berpuasa, berpanas pula. Tetapi Dubai tetap terus menggamit memanggil. Dubai, kami datang!

Hotel Golden Sands

Tidak jauh. Hanya 15 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai menyeberangi ‘The Creek’ melalui Jambatan Al-Maktoum. (Highly recommended!)












Bur Juman

Kami ke situ untuk menukar wang. Disangka sebuah bandar, rupanya sebuah kompleks membeli belah yang indah nian seni binanya. Ketika kami sampai, kedai-kedai belum lagi dibuka. Ayat Al-Quran beralun berkumandang memenuhi ruang legar seluruh pusat beli-belah terkemuka itu. Suatu kelainan. Tetapi sebuah kelainan yang tenang dan mendamaikan. Sementara menanti, kami bergambar sambil menikmati reka bentuk seni bina bangunan ini yang menggabungkan konsep teknologi canggih, kontemporari moden dan 'Arabian style'.










Bandar mini Dubai: membangun dan indah bukan?





Jumeirah Mosque

Dubai Grand Mosque’. Kerana itu kami mahu ke sana. Pada mulanya pemandu teksi tersebut tidak mahu membawa kami ke sana kerana tiada apa yang menarik untuk dilihat katanya. Ia hanyalah sebuah masjid di tengah-tengah bandar berdekatan dengan Pantai Jumeirah yang hanya memperuntukkan hari Isnin kepada kaum wanita untuk berjalan-jalan di pantai tersebut. Setelah memberitahu bahawa kami ingin sekali menunaikan solat zuhur di situ, pemandu teksi tersebut akhirnya beralah dan bersetuju membawa kami berempat dengan tambang sebanyak Dh20. Kami sebenarnya tidak berupaya menunggu bas yang tidak ketahuan waktu tibanya di tengah panas terik cuaca Dubai ketika itu. Setelah sampai, kami menghulurkan wang kertas Dh 20 kepada pemandu tersebut tetapi kemudian beliau menahan kami dari pergi dan memulangkan baki wang sebanyak Dh 10. ‘Kamu Muslim. Saya juga seorang Muslim dari Pakistan. Kamu berpuasa, saya juga berpuasa. Ini bulan Ramadhan’, katanya sambil tersenyum. Kami membalas senyuman beliau dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Naik teksi dengan harga tambang bas. Alangkah, siapa sangka!











Kemudian, sewaktu duduk bersenggang-senggang melepaskan lelah sebentar, seorang lelaki berjanggut yang memakai dishdasha datang bertemu kami. Dia tersenyum. Ramah. Tahu pula berbahasa Melayu. ‘Apa khabar? Kamu dari Malaysia? Saya Imam Masjid ini. Selamat datang, katanya sambil berlalu pergi menuju tempat solat lelaki.

Muzium Dubai

Seusai solat Zuhur, kembara kami teruskan. Menunggu bas ke Bur Dubai di dalam tempat tunggu bas yang berhawa dingin 18º celcius antara pengalaman menarik yang tidak dapat kami lupakan. Hebat, Dubai ini, kan? Sampai di Bur Dubai, terus kaki melangkah mencari hala menuju Muzium Dubai. Dalam tidak ketahuan itu, kami rajinkan diri bertanya seorang warga tempatan yang lalu lalang di situ. Mungkin kerana sukar untuk berkomunikasi dengan baik, beliau lantas menyuruh kami mengikutnya. Bukan dekat! Tetapi lelaki ini tidak berhenti pun sehinggalah kami sampai di hadapan pintu muzium. Beliau kemudian duduk di bahagian hadapan muzium, melepaskan lelah. Kasihan. Rasa bersalah juga ada. Setelah membayar sebanyak Dh 3 seorang, kami mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana sudi menunjukkan jalan. Beliau sekadar mengangguk tersenyum. Kemudian Muzium Dubai itu kami terokai puas-puas.


Inilah Abrar yang digunakan pada zaman dahulu


Ini juga adalah 'abrar'


Kehidupan masyarakat Arab di Dubai pada zaman dahulu




Kerja kayu dan tangan mereka
The Creek

Entah mahu namakan apa dalam bahasa Melayu. Rekahan. Begitulah. Tetapi hampir membentuk sungai. ‘The Creek’ memisahkan Bur Dubai dan Dubai Deira. Mahu seberang perlu naik ‘abrar’. Dh 1 setiap seorang. Kami tidak melepaskan peluang untuk mencuba. Perjalanan menyeberangi rekahan besar itu hanya mengambil masa 10 minit. Juga satu pengalaman yang menarik. Manakan tidak, ‘abrar’ itu hanya ada tempat duduk tanpa pengadang, kalau kamu berdiri, boleh sahaja terjatuh ke laut dalam.

Bur Dubai Souq


Kami membeli sedikit barang di sini. Cenderahati untuk dibawa pulang. Di sini kamu boleh tawar menawar sehinggah serendah-rendahnya harga. Tetapi jangan membuang masa kalau kamu tidak mahu membeli apa-apa. Pekedai di situ semuanya warga Bangladesh. Kamu tahu-tahu sahajalah bagaimana mereka memujuk kamu membeli dengan tawaran harga yang menarik tidak ubah seperti pusat beli-belah bebas cukai di Nilai 3, Negeri Sembilan itu. Lucu juga apabila seorang pekedai di situ menunjukkan gambar Mawi yang pernah datang melawat souq ini. Sambil geleng-geleng kepala dan tersenyum lucu, kami berlalu pergi. Mahu pulang, sudah tidak berdaya lagi.

Malam di Dubai

Hawanya tetap panas. Malahan kadang-kadang lebih-lebih lagi. Kami keluar untuk berbuka puasa. Cantik juga Dubai pada waktu malamnya. Kami tidak berlama-lama. Esok jam 4 pagi perlu segera ke lapangan terbang. Dunia khayalan perlu kami tinggalkan. Dunia nyata di hadapan menanti. Ukraine akan bertemu kami 12 jam lagi. Selamat tinggal Dubai! Walaupun tidak semua tempat di Dubai sempat kami jelajahi, namun sehari bersama Dubai meninggalkan kenangan terindah buat kami. Ada rezeki nanti mahu juga cuba-cuba bekerja di Dubai kerana khabarnya peluang pekerjaan terbuka luas di sini lebih-lebih lagi dalam bidang kedoktoran.


Bersabar : Gambar tak boleh upload pula. Sekadar membaca begitu seronokkah? Nanti lain kali akan cuba lagi.




Baru hendak mula membaca
Merangkak memahami kalam Allah
Sempatkah?
Rechnaya Street 2a,
Simferopol,
Ukraine.

2 buah bicara:

Salam Ramadhan penuh keberkatan
Salam Syawal yg bakal menjelang
Andai salah kemaafan dipohonkan
Moga rahmat Allah terus berkekalan.

Beraya di rantau orang... moga meriah tetap ada.
 
Tangan kuhulur tak kesampaian,
senyum ku ukir tak kelihatan,
pantun ku kirim tanda ingatan,
selamat hari raya aidilfitri kuucapkan...

salam aidilfitri kak su!!!

insyaAllah....
 

Post a Comment

Assalamualaikum teman-teman, terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak bicara kamu, sekurang-kurang kalian telah hadir menceriakan hari-hari saya di persimpangan ini. Jazakumullah!!