Wafeya

Mata ke bumi, hati ke langit

Saturday, June 07, 2008

Pengantin baru praktikal berkhatan!!

Jangan terkejut dengan tajuk entri saya kali ini, walau agak menggemparkan saya rasa rakan-rakan di Ukraine sudah dapat meneka isinya. Masakan tidak, masing-masing dipenuhi jadual cuti yang hampir sama musim panas ini.

Seingat saya, sebulan lepas saya sempat berseloroh dengan seorang teman senior apabila beliau mengeluh sedih tentang program Jelajah Benua 2008 yang telah tamat.

“Alamak, jelajah benua dah habislah, lepas ni dah takde aktiviti best lagi, kena study untuk exam pulak!”
“Huhu, takpe kak, lepas ni ada banyak lagi jelajah”
“Huh, yer ke! Apsal tak tau apa-apa pun ni?”
“Betul…”
“Jelajah apa, Bal?”
“Lepas ni kita ada jelajah diri, persediaan untuk exam… lepas tu jelajah walimatul u’rus pulak, jelajah masjlis pertunangan pun ada kak. Tu tak masuk lagi jelajah khatan tu, hehe…”
“Kau ni la Bal…”

Betul, cuti tiga bulan di Malaysia nanti memang bakal sibuk dan disibukkan. Tak menang tangan dengan praktikal selama 6 minggu dan Program ‘Sure Khatan’ di Setiu, Terengganu, datang pula undangan majlis perkahwinan rakan-rakan seperjuangan di bumi wakafan Simferopol, Ukraine ini. Ada empat semuanya. Berserakan di sekitar Shah Alam, Kelana Jaya, Terengganu dan Seremban. Saya tidak berjanji untuk hadir kesemuanya, walau saya tahu memenuhi jemputan itu adalah wajib namun upaya saya tidak sampai untuk berpijak di negeri-negeri luar kawasan Selangor. InsyaAllah saya doakan mereka agar kekal bahagia hingga ke akhir hayat, Ameen.

Saya pula yang diburu pertanyaan dari sahabat handai, “Kamu bila lagi, Balqis?” saya hanya tersenyum tidak menjawab, bukan malu-malu tetapi saya tidak tahu mahu beri jawapan apa kepada mereka. Wah, wah, mereka ini diri sendiri masih tidak ketahuan lagi, ada hati pula bertanya saya. Apa pun kata saya, mahu belajar dahulu, jodoh semua di tangan Tuhan, nanti ada rezeki tunggu sahaja kad jemputan dari saya, ya!

Jam 5.30 petang nanti saya akan terbang pulang ke Malaysia. Kali ini saya menaiki penerbangan ‘Aero Svit’ dan bakal transit di Dubai. Entah bagaimanalah rupa Dubai yang dikhabarkan mewah serta indah nian itu, nanti bakal saya teroka selama 16 jam saya di situ, InsyaAllah. Apa pun doakan saya selamat sampai di tanah air tercinta, Malaysia. Buat rakan-rakan yang masih meneruskan perjuangan berperang dengan peperiksaan semester akhir ini, semoga berjaya! Tiada apa dapat saya berikan melainkan doa berpanjangan buat kalian, usaha dan tawakkal itu tangga kejayaan kalau keduanya seiring dan sejalan! Wallahua’lam…


Jom jelajah!-Kad jemputan perkahwinan rakan-rakan seperjuangan

Selamat tinggal Ukraine,
Apa khabar Malaysia!

Saya yang masih sempat lagi menulis,
BaruKisu,
Rechnaya Street,
Simferopol,
Ukraine.

Exam, kawan dan hilang


Menanti giliran

Peperiksaan semester akhir bagi grup saya telah tamat. Lega? Itu sudah pasti. Gembira? Adalah sedikit. Bukan kerana tidak berpuas hati dengan markah yang diperoleh malahan saya sudah cukup menadah tangan bersyukur dengan keputusan peperiksaan saya kali ini. Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya berjaya mengekalkan markah antara 4 dan 5 tanpa ada secalit 3 di kotak markah. Alhamdulillah, saya tidak meminta lebih, malahan saya malu untuk meminta kepada Tuhan, sudah berjuta-juta munajat minta doa kejayaan dariNya tapi saya satu apa pun tidak berusaha menjadi hamba yang baik. Astaghfirullahala’zim… Ampunkan segala dosa-dosa kami, Ya Allah…

Entri kali ini, bukan saya mahu bercerita mengenai keputusan peperiksaan saya, tapi sengaja saya mahu berkongsi pengalaman peperiksaan yang agak berbeza kali ini dari tahun-tahun sebelumnya. Saya tidak memaksa kamu untuk membaca tetapi kalau kamu mahu tahu apa bezanya, kamu perlu paksa diri kamu untuk membaca kerana kata kawan saya, entri saya selalunya panjang lebar seperti esei sehingga boleh menghasilkan sebuah buku! Wah, hiperbola sungguh kenyataannya itu. Tanpa panjang bicara mari saya bawa kamu kepada kisah saya itu.

Selalunya dua tahun belakangan saya dan rakan-rakan akan membuat study group memandangkan jumlah subjek yang perlu ditelaah melebihi kemampuan otak kami untuk memprosesnya sendiri. Tetapi kali ini, tiada study group lagi, masing-masing membawa haluan ke hulu atau ke hilir mengikut selera belajar sendiri. Begitu juga saya, tapi kali ini saya tidak belajar di bilik sendiri memandangkan suasana bilik saya yang penuh dengan aura ‘baca-dan-baca terus-terusan tanpa henti’ membuatkan saya ‘melarikan diri’ ke bilik rakan saya yang lain. Hampir seminggu saya tinggal di situ, sekali sekala hanya pulang ke bilik untuk mandi dan sarapan. Mengapa saya cerita ini? Kerana mahu beritahu kamu, bezanya dulu, saya belajar dengan agak serius dan hampir depresi kerana stress tapi kali ini saya perlu menjaga kesihatan jantung saya, maka saya tinggal di bilik mereka yang gila-gila.

Seronok kamu tahu, waktu belajar, kami belajar dengan suasana yang senyap sunyi dan hening tapi bukan ada aura ‘baca-dan-baca terus-terusan tanpa-henti- dan-tidak bercakap’. Sekali-sekala, sunyi kami diselangi soalan dan pertanyaan tentang perkara yang tidak kami fahami dalam subjek yang kami sedang tekuni. Kadang nanti ada pula waktu kami berlawak jenaka tetapi untuk seketika bangat kerana sering diingatkan bahawa masih banyak helaian yang belum kami selak. Waktu petang pula, kami peruntukan untuk memasak, senduk bertukar-tukar, periuk berlaga dan pinggan disusun, kemudian kami makan ramai-ramai berjemaah. Malahan ada kalanya, selepas habis setiap peperiksaan saya akan turun bermain basketball bersama rakan-rakan yang lain pula. Duduk lama-lama di dalam bilik juga tidak elok untuk kesihatan, kamu tahukan, itu? Selepas maghrib, kami sambung kembali belajar sambil menunggu subuh yang selalunya masuk pada jam seawal 2.30 pagi musim panas ini.

Begitu rutin seharian kami sepanjang musim peperiksaan. Alhamdulillah, mode belajar saya kali ini agak santai berbanding sebelumnya kerana saya tidak menumpukan untuk mengejar 5 tetapi saya mahu faham apa yang saya belajar semester ini kerana akhirnya dan untuk kesekian kalinya saya menyedari bahawa saya mahu menjadi doktor menyelamatkan orang bukan mahu mengumpul 5 di dalam buku zachut saya seperti yang sering ditanam dan diberitahu oleh teman-teman senior seawal saya menjejakkan kaki di bumi Ukraine ini. Saya tenang kali ini menerima natijah keputusan peperiksaan saya, kalau 4 saya sudah cukup bersyukur, dan kalau saya mendapat 5, itu rezeki Allah buat saya.

Buat rakan-rakan yang sudi menerima saya tinggal di bilik kamu untuk seminggu itu, buat Kak Bad, terima kasih kerana membenarkan saya tidur di katil kamu, saya kagum dengan cara kamu belajar. Kepada Kak Diana teruskan usaha kamu, ya! Buat Sakiey dan Sol pula, kamu adalah rakan paling best pernah saya jumpa!! Last but not least, buat kak Nor dan Athirah yang datang sekali sekala, kamu penceria yang hebat! Bilik kamu adalah sanatorium yang terbaik! terima kasih tidak terhingga saya ucapkan, saya sayang kamu semua!!Terima kasih juga kerana mengajar saya makan menggunakan ‘chop stick’. Susah sungguh!


Dari kiri : Solehah, Kak Diana, Kak Nor, Sakiey dan Kak Bad

Murleen Nambiar hilang

Hurm, panjang saya bercerita, saya rasa bezanya kamu sudah nampak bukan? Tapi, kisah peperiksaan saya tidak berhenti di sini, bukankah kamu kata entri saya panjang lebar seperti boleh buat buku, oleh itu baca lagi ya!

Beberapa hari selepas saya menduduki peperiksaan ‘Hygiene’ yang mengajar saya tentang betapa pentingnya membina hospital luar dari kawasan laluan angin serta keracunan makanan itu boleh membawa kematian mendadak, kami dikejutkan oleh berita kehilangan seorang pelajar Malaysia yang khabarnya sudah hilang selama dua atau tiga hari. Rakan-rakan rapat beliau tidak tahu menahu apa yang terjadi atau ke mana beliau menghilang, kami sekadar bersimpati dan berharap beliau dapat ditemui secepat mungkin. Walaupun di dalam kami hati berbagai persoalan yang timbul tentang misteri kehilangan pelajar tersebut, kami tetap meneruskan rutin belajar seperti biasa. Sementara kami sibuk menelaah untuk peperiksaan ‘Therapy’ seterusnya, misi pencarian pelajar tersebut diteruskan dan kami berharap mereka membawa pulang berita yang tidak menyedihkan. Kami tidak perlu menunggu lama, pagi 1 Jun, hostel kami bergema dengan panggilan sukarelawan meminta agar sesiapa sahaja sudi turut serta dalam misi pencarian Murleen Nambiar pelajar tahun ketiga di sini. Memandangkan kami baru sahaja selesai menduduki peperiksaan ‘Therapy’ semalam, hati kami tergerak untuk turut serta dalam misi tersebut. Entah apa yang memberitahu kami agar turut serta kami tidak tahu, tapi yang pasti, pelajar tersebut adalah warganegara Malaysia, dan kami juga rakyat Malaysia yang bermastautin dan belajar di sini, untuk kali ini rasanya perbezaan bangsa dan agama bukan menjadi ukuran, siapa lagi yang boleh diharapkan kalau bukan kami pelajar Malaysia yang hanya beberapa kerat sahaja ini. Ya, kami harus pergi, rasa tanggungjawab sebagai sesama insan menyentap naluri kami bertalu-talu dan tepat 12.30 pm kami telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Kumpulan saya yang terdiri dari 6 orang bergerak ke sekitar Silpo, pusat membeli-belah di Bandar Simferopol ini, kemudiannya kami menyusuri sungai sehingga ke ‘Tene U’, mencari-cari di bawah kolong atau di mana-mana sahaja, tetapi kami tidak menjumpai apa-apa pun lagi-lagi pencari amatur seperti kami ini, sebarang kesan apa pun yang boleh dikaitkan dengan misteri kehilangan beliau tidak kami temui. Kami pulang hampa, mereka yang lain juga pulang dengan tangan kosong. Hari-hari berikutnya kami belajar seperti biasa, dan untuk peperiksaan akhir ini iaitu Neurology, saya perlu lebih sedikit usaha memandangkan subjek ini bukan sahaja memerlukan kefahaman tetapi juga perlu berfikir sedalam-dalamnya.

Habis Neurology, saya dan teman bersyukur sungguh-sungguh, pulang nanti mahu cepat-cepat kemas barang, mahu pulang, rasanya ‘Ukraine’ juga tidak sabar mahu melihat kami pulang. Tiada lagi berita tentang Murleen, kami harap beliau dapat ditemui dengan segera dalam apa jua keadaan. Seminggu itu tertlalu lama rasanya beliau menghilang. Pulang segera Murleen, kasihan kawan-kawan yang mencari kamu di sini. Dan kali ini juga, kami tidak menunggu lama, petang 5 Jun, kami dikhabarkan melalui ‘yahoo messanger’; mayat beliau ditemui mati di perairan Evpatoria oleh nelayan-nelayan di situ. Aduh, pedihnya berita itu tambah mengejutkan kami. Apa yang terjadi sebenarnya? Mengapa sampai begitu sekali? Pertanyaan kami terjawab apabila esoknya, 6 Jun jam 4 petang, satu perhimpunan tertutup diadakan antara pihak Universiti dan pelajar menerangkan dengan lebih lanjut tentang misteri kehilangan beliau. Mengapa dan bagaimana riwayat hidup beliau berakhir begitu kami tidak tahu, apa pun seluruh warga CSMU disentap kalut dan kaget dengan kematian beliau. Kami tidak sangka, sungguh tidak sangka. Saya akhirkan entri saya di sini, saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi tentang kehilangan beliau. Kepada keluarga Murleen, saya ucapkan takziah, kamu kehilangan seorang anak yang baik, walaupun saya tidak mengenali pelajar ini tetapi saya rasa, jauh di lubuk hati saya, Murleen pergi dengan membawa seribu satu misteri bersamanya.




Berkumpul di depan 1st Hostel-pembahagian kumpulan



Menyusuri sungai-Cantik juga bandar Simferopol ini, saya baru pertama kali berjalan di sini setelah empat tahun belajar di sini



Berhenti solat zohor di Masjid Simferopol


Biarkan saya menulis panjang,
Barukisu,
Rechnaya Stree 2a,
Simferopol,
Ukraine.