Wafeya

Life is a serious matter.

Wednesday, December 31, 2008

Seekor Semut Di Sempadan Gaza


Kau adalah antara keturunan ketua semut yang dibanggakan. Bukankah moyang kau pernah menceritakan sejak turun temurun kisah yang tercatat dalam Surah An-Naml tentang dia dan Nabi Allah Sulaiman? Maha Suci Allah yang mengurniakan kelebihan kepada baginda yang dapat memahami sekalian pertuturan haiwan hatta sekecil serangga seperti kau, seekor semut. Ya, dan setelah berpindah randah sehinggalah ke sempadan Gaza ini pun, kau masih ingat kisah itu. Sayangnya, hari ini bukan lagi tapak kaki kuda atau bala tentera Nabi Sulaiman a.s. yang kau takut akan menginjak anak-anak buahmu, tetapi dari sepelaung sudah kau dengar dentam dentum Air Force F-16 buatan Amerika itu mengenai tanah tempat kau berpijak. Ngeri. Memang ngeri. Waktu itu, berkebetulan, kau baru sahaja mengarahkan anak-anak buahmu mencari sisa-sisa roti atau mungkin sebutir gandum di lapangan dapur sebuah rumah buruk yang hanya tinggal retak menanti belah itu. Susah betul mencari makanan. (Jangankan sebutir gandum, hampasnya pun sukar untuk dijejak. Manusia tempat kau tinggal ini bukanlah bangsanya yang suka membazir. Sejak sekatan 19 bulan lalu ke atas tanah tempat koloni kau membiak, kau juga turut sama merasa tempias derita lapar dan dahaga). Ketika itulah gegaran maha hebat menggoncang segala yang maujud di atas tanah bersepai berderai diledak entah apa yang jatuh dari langit dalam sesaat cuma. Jeritan dan laungan kau memanggil anak-anak buahmu, berselang seli pula dengan esak tangis anak manusia, memekik memanggil si ibu yang baru tadi usai menyuapkan cebisan roti kering ke mulut sang anak. Kau tidak peduli itu. Kau terus memanggil dan memanggil walau kau tahu nyawamu kini sudah di hujung tangan Izrael. Lalu, bila kau mati dihempap batu konkrit yang pecah atau dipijak manusia yang hilang arah nanti, kemudian berselisih dengan Abdul Aziz Rantisi, (ataupun kalau kau ternampak kelibat Syeikh Ahmad Yassin), sampaikan salamku kepada mereka. Khabarkan bahawa HAMAS yang diasaskan mereka kini sedang hebat diranduk jet pejuang udara tentera Israel. Katakan juga, bumi Palestin masih belum aman kerana umat Islam masih belum berani menentang sang zionis yang lapar darah itu. Maaf kerana tidak dapat membantu kau, seekor semut mengumpulkan anak-anak buahmu, apatah lagi melakukan solat jenazah untuk kematianmu yang tidak sedikit pun dipedulikan dunia. Apa pun, jangan lupa ya, sang semut! Pesananku itu!


(Sehingga entri ini ditulis, lebih 374 yang syahid dan 1400 lagi cedera parah. Sudahlah merampas tanah rakyat Palestin yang telah disekat-sekat sehingga sekecil itu, sampai pula hati meratah zalim penghuni-penghuni di tanah yang sekerat itu. Jelas, seperti kata kawan saya, sejak trauma Holocaust dulu, Israel dan sekutu-sekutunya punya masalah mental yang kronik)

Monday, December 29, 2008

Selamat Tahun Baru 1430H

(Maaf untuk tajuk yang terlalu klise! Saya kelelahan prosa, huhu!)



Asar petang ini,
adalah putih salji dan sejuk beku;
Melingkar gigil,
semangkuk tadah sebuah zikir;
doa!

Moga Tuhan, sisipkan kita
perisai keberanian,
yang takut kita angkat,
kerana cinta pada loka;
pernah bersarang,
berbusut-busut,
tetap hingga kini.

Dan senja Maghrib renta,
adalah balam-balam merah,
sang mentari yang memecah,
akur membilang sujud;
tafakur!

Betapa pemurahnya Tuhan;
nafas masih bersisa,
kudrat telus ampuh,
jiwa cukup segala perasa,
hati lagi berbisik;
kita masih bernyawa
di sebuah tahun baru.

Rupanya, Muharram itu;
akhirnya selirih taubat,
awalnya sepipih harapan.
Antara keduanya;
kita tidak juga ke mana.

Barukisu,
Simferopol,
Ukraine.

*Loka - dunia
*Gambar - Rechnaya Street 2004 (Pergi balik antara bangunan Anatomy dan Hostel. Ah, betapakah 
                  nostalgia itu!)

 

Sejuk banget...
Berlingkar dalam gebar juga tiada ertinya!

Monday, December 22, 2008

Bola golf, batu kerikil, pasir dan air kopi

Mimpi ngeri

Apabila ada banyak perkara yang mahu dilakukan, tetapi masih bertangguh-tangguh kerana kemalasan, maka bala apakah yang bakal menimpa? Suatu mimpi ngeri di layar realiti. Kalau sedang tidur itu, mimpi datang, dan kalau sudah jaga juga mimpi tidak pergi-pergi, pasti ada urusan belum selesai dilunas sang pemimpi. Benarkan?

Tatkala membuat senarai semak perkara-perkara yang harus digaris potong lama dulu, saya mengeluh berat. Bukan kerana panjangnya senarai yang dibuat, tetapi kerana kesal tidak memberi perhatian sewajarnya dahulu. Saya melihat kembali senarai yang ditulis di helaian kertas. Mengapa boleh jadi sebegini banyak? Apa sahaja yang mengisi?

Keliru yang ‘terutama’

Saya masih mengingati dan pasak memahami, malah sedaya upaya telah cuba mengaplikasikan habit ketiga Dr. Stephen R. Covey, ‘Put first thing first’ dengan baik. Tetapi di mana silapnya? Senarai yang panjang ini menjadi bukti bahawa saya salah mentafsir dan tidak mencerna habit ketiga ini dengan betul. Pemahaman saya jelas, tetapi pengamalan saya rupanya tersasar. Benar, saya utamakan yang perlu diutamakan, tetapi kerana bagi saya sekecil-kecil benda juga perlu diutamakan, lantaran itu yang ‘terutama’ tidak diutamakan. Maka bersusunlah yang ‘terutama’ menghuni garis-garis lurus dalam buku nota kecil harian.

Nampak bukan? Saya benar terkeliru. Saya tidak menggunakan ‘Time Management Matrix’ dengan baik. Mudah kata, salah letak tempat. Menghabiskan sebuah buku ilmiah bukan perubatan, memang kelihatan mudah benar dari membaca dan cuba memahami salah posisi fetus ketika bersalin dan komplikasinya (Fetal malposition) atau melayari internet konon untuk menambah ilmu serta maklumat semasa itu lebih ‘afdhal’ dari cuba menggarap sebaiknya manual ‘Tsojanov’ untuk menyambut kelahiran bayi songsang.
‘Hai, takkan semuanya nak kena buat C-section kot, Dr. Balqis?’

‘Eheh, tak boleh ker?’

Meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Saya jelas zalim.

Ingat jar mayonis dan air kopi

Mak cik saya pernah menhantar lanjut sebuah e-mail lewat tiga tahun lalu, sewaktu saya sedang berperang teruk dengan mehnah dan cabaran sebuah alma kehidupan seorang bergelar pelajar perubatan. Mungkin kerana sudah lama saya tidak bertanyakan khabar arwah opah di kampung, maka e-mail dari mak cik ini menampar halus jiwa saya, tidak memberat tetapi meringan lara serta menghampar ingatan beserta sebuah kekuatan bahawa keberadaan saya di sini atas doa mereka juga di tanah air sana. Saya bangun. Tersentak membara. Saya baca…


Suatu hari, dalam sebuah kuliah pengajian filosof, seorang profesor sedang berdiri di hadapan pelajar-pelajarnya dengan beberapa barangan aneh di atas meja. Apabila kuliah bermula, tanpa sebarang kata, beliau mengambil jar mayonis yang besar dan kosong, lalu diisi dengan bola-bola golf sehingga penuh. Kemudian, beliau bertanya kepada pelajar-pelajarnya samada jar itu sudah dipenuhi atau tidak. Sekuliah mengangguk bersetuju mengatakan jar itu sudah penuh.

Beliau meneruskan dengan mengambil kotak yang dipenuhi batu-batu kerikil lalu dituang ke dalam jar yang sama sambil menggoncang sedikit jar tersebut. Butir-butir kerikil berwarna hitam bergerak mengisi ruang-ruang kosong antara bola-bola golf. Sekali lagi beliau bertanya samada jar itu sudah penuh atau tidak. Anggukan serata kuliah sekata bersetuju.

Lalu, sang professor mengambil pula sekotak pasir dan dituang selamba ke dalam jar yang sama. Tentulah, pasir-pasir halus lagi seni itu bergerak mengisi segenap ruang yang ditinggalkan bola golf serta guli. Dan seperti sebelumnya, beliau bertanya soalan serupa. Kali ini bergema laungan ‘Penuh!!’ berselang-seli. Hairan bercampur sedikit geram, mungkin kerana berasa seperti dimain-mainkan sang professor seakan kanak-kanak kecil.

Akhirnya beliau mengeluarkan dua cawan berisi air kopi dan dituang semuanya ke dalam jar, lantas kerana sudah sifatnya air mengalir mengikut bentuk, pantas sahaja memenuhi rongga-rongga halus yang terbentuk antara butiran-butiran pasir. Sekalian pelajar semacam ada yang ketawa dan tersengih melihatkan aksi aneh professor mereka.

“Sekarang”, sambung professor kembali apabila bingit tawa menghilang, “Saya mahu kamu anggap jar ini sebagai kehidupan kamu. Bola-bola golf pula adalah perkara paling penting dalam hidup kamu. Keluarga, pelajaran, agama, kesihatan, dan minat kamu. Perkara yang apabila segalanya telah hilang dari diri kamu dan yang tinggal hanyalah itu, hidup kamu masih lagi penuh. Batu-batu kerikil pula melambangkan sesuatu yang kamu perlu demi sebuah kehidupan. Pekerjaan kamu, rumah kamu, dan kereta besar kamu.

Pasir pula adalah perkara-perkara lain. Hal-hal kecil dan remeh. Seandainya kamu memasukkan pasir ke dalam jar terlebih dahulu,” sambungnya, “tidak akan ada tempat lagi untuk bola golf dan batu-batu kerikil. Sama juga seperti kehidupan ini. Andai kamu menghabiskan masa dan tenaga hanya untuk perkara-perkara kecil, maka tidak akan ada ruang untuk perkara-perkara yang lebih penting dalam kehidupan kamu.

Jadi, beri perhatian kepada hal-hal yang paling kritikal kepada kebahagiaan kamu. Luangkan masa bersama keluarga. Jaga kesihatan. Ah, kamu pasti akan ada masa untuk kerja-kerja lainnnya. Jaga bola-bola golf dahulu, perkara yang paling utama. Tentukan keutamaan kamu. Yang lain hanyalah pasir!

Seorang pelajar kemudian mengangkat tangan lalu bertanya apa ertinya pula kopi yang dituang kemudian itu.

Tersenyum professor. “Gembira saya, kamu bertanya. Ia hanya mahu memberitahu kamu, bahawa betapa ampuh penuh pun kehidupan kamu, masih ada lagi ruang untuk secangkir kopi bersama teman seperjuangan.”


Menumpu dahulu baru mengatur

Selama saya sibuk mengatur sebuah kehidupan, saya tersalah membuat percaturan. Dalam catur, raja hanya melangkah setapak, tetapi tumbangnya bererti kehilangan seluruh marga tentera di medan pertempuran. Saya tidak mahu membunuh keutamaan itu. Masih belum terlambat kiranya untuk saya menumpu dan mengatur semula. Dua minggu lebih sedikit tiga hari setengah sebelum saya meletak pen dan menjawab tiap soalan di hadapan sang guru. Keutamaan perlu saya tumpukan, hala tuju perlu saya perjelaskan, supaya tidak salah mengatur dan mengimbang sebuah kehidupan. Sebagai ingatan, saya entrikan di sini, moga tiap kali terbayang lintas mahu lari dari keutamaan, entri ini biar menghantui. Yang menulis itulah yang sepatutnya lebih tegar mengamal. Begitu.

Maka apabila engkau telah selesai [dari suatu urusan], maka kerjakanlah [urusan lain] dengan bersungguh-sungguh dan kepada Tuhanmulah kamu berharap.

Al Insyirah:7-8

Nota kaki:

C-section = (Ceasarean section), pembedahan yang dilakukan ke atas ibu mengandung yang punya 
                   komplikasi sekiranya melahirkan anak secara normal.

Friday, December 19, 2008

It's a... tag! What else should I say? ( ^_^)

How do you actually react when you're asked to reveal a little of your hidden personal life to the public? That's what 'tag' makes you. It tries to lift up the veil between you and your reader. And I'm one of that timid blogger (haha) who's been tip toed by sweet Kak Fakhzan of Durham to disclose the lil' bit of my identity.

So, tada!!

1) Do you think you’re hot?
    No, I'm chilling cold right now. Hehe...

2) Upload your favourite pictures of yourself
    Can it be of others? Lights, camera, get ready, standby...







3) Why do you like these pictures?
  1.  The moment I could never forget my whole life - my first snow-encounter.What'd they call that, 'batak', 'jakun'? Haha.
  2.  2006 Aidiladha celebration with the seniors. Happy faces and all. Voila!!
  3. O 'n' G (Obstetric and Gyneacology) Department. One of my friend wanted to test her brand new camera. So, say 'cheese' everybody!!
  4. Back from Hospital Therapy class, and its AUTUMN!!! (I always get fascinated easily with the maple leaves which fall on the ground).
  5. My sweet little cousins - can't you see the genetic differences?  The eldest took the mother's side and the youngest one properly followed the father's. Subhanallah!!!
  6. This picture arrived while I was preparing for ENT test and  I just couldn't stop laughing all the way to class. Gosh!!
4) When was the last time you ate pizza?
     Last Saturday, 13th Dec.  Trying out this new pizza cafe. Fall in love with the interior design.

5) The last song you listened to?
     When I put on the headphone, this song was played - Hikari no Hashi (Over the rain) by Flumpool

6) What are you doing right now besides this?
     Nothing in particular. Crunching on biscuits?

7) What name would you prefer besides yours?
     I love mine. Thank you.

8) Who are the next people you will tag?
  1. Sarah Shazwani
  2. Faiz Kamal
  3. Syahidah
  4. Kak Maya
9) Who is number 1?
     A friend of mine studying medicine here with me. Please be aware that she's engaged. (pssst, I just      want her to update her blog, so I tag her)

10) Say something about number 2
      One of our school's Mathematics geniuses, I could say. Now pursuing his study in medicine at UKM.         All the best!!

11) Introduce number 3
      She's a nice girl. That's I know for sure! Right, Syahidah?

12) How about number 4?
      I bet you, you're going to love this sister (in Islam) of mine the moment you meet her. She's brilliant,
      sweet, a good listener and such a tranquilizer, just like her nick - Damai! Aren't you, Kak Maya.

13) Introduce number 5
      Since Kak Fakhzan didn't aware of the upcoming number five, I make sure that I'm not aware of it           too, ahaks *wink^wink* .

p/s:  If I'm old enough to get to live until 60 years old, imagine looking back at all those photos, will the 
       same feeling of youthfullness and joyous imerge like now? I guess, all that will come out of my 
       mouth at that time is, 'Oh, those good old days', with trembling wrinkled hands and blurry vision. O'
       Allah, please make me a better person from what I am now, so that I would leave this world with  
       no regrets, InsyaAllah.


Pergi studylah, isk!

Tuesday, December 16, 2008

Ia hanyalah selesema


Kamu tidak akan tahu bila kamu dijangkiti virus yang menyebabkan selesema, tiba-tiba sahaja kamu akan bersin beberapa kali, dan hidung kamu akan mula berair. (Oh, kadang-kadang sungguh menyeksakan menanti bersin yang terhendap-hendap mahu keluar).

Virus-virus ini akan mula membahagi dengan banyak, menyerang sel-sel di permukaan dalam hidung kamu yang kemudiannya akan mula menghasilkan mukus dengan sangat banyak untuk memerangkap virus-virus tersebut dan menghalangnya daripada menjangkiti bahagian bawah salur pernafasan (farinks, larinks, trakea, bronkus dan seterusnya paru-paru). Mukus inilah yang kamu panggil hingus. Hingus yang sangat banyak akan menyekat salur pernafasan menyebabkan kamu tidak dapat bernafas dengan baik. Kamu akan mula rasa berat kepala, mengantuk dan mudah penat, semuanya kerana kamu tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi apabila hidung kamu tersumbat. Kasihan.

Lebih teruk lagi jika virus sudah menjangkiti nasofarinks (bahagian antara hidung dan tekak) dan kemudian larinks (bahagian penghasilan suara). Tekak akan berasa gatal-gatal seperti mahu ditoreh serta digaru dan batuk pula datang bertalu-talu tanpa dipinta. Sungguh menyakitkan.


Kadang-kadang bersama batuk dan gatal tekak, mata kamu akan berair (watery eyes) tetapi sebenarnya kamu tidak menangis. Ini kerana terdapat satu salur kecil yang menghubungkan antara mata dan hidung dipanggil salur nasolakrimal. Dalam keadaan normal, kelenjar lakrimal yang sentiasa menghasilkan air mata (untuk membersihkan mata) akan dialirkan dari mata ke hidung melalui salur ini. Apabila hidung kamu tersumbat, salur ini juga turut tersumbat lalu mengakibatkan air mata kamu tumpah dengan banyaknya seolah-olah kamu sedang menangis kerana kesedihan. Oh, bersabar ya!

Haa chum!!

Tahukah kamu? (Kalau sudah tahu, baguslah)

  1.  Andai diserang selesema, cepat-cepat pakai topeng hidung dan mulut, agar tidak menjangkiti  orang  di sekeliling. Sila prihatin, ok!
  2. Menghembus hingus sekuat hati (hingga berbunyi) bukanlah cara terbaik untuk melegakan selesema. Ini  akan menambah terukkan keadaan malah memanjangkan jangka masa diserang selesema. Lebih baik dikumpul dan dibuang melalui mulut sebagai kahak.
  3. Apabila baring, tinggikan sedikit kepala dengan dua buah bantal. Ini kerana tarikan graviti akan  
    mempengaruhi keseimbangan pengeluaran mukus dari kelenjar. Lebih banyak mukus dihasilkan, maka  lebih teruk hidung akan tersumbat.
  4. Opps, jangan segera mengambil antibiotik andai ada tanda-tanda diserang selesema. 90% dari selesema adalah disebabkan oleh virus, bukan bakteria. Tiada ubat yang benar-benar dapat   memulihkan selesema. Virus yang mengakibatkan selesema ada banyak dan akan sentiasa bermutasi  untuk ketahanan dirinya. Untuk mendapatkan rawatan segera silalah berjumpa dengan doktor di klinik berdekatan dengan anda. (Hehe) 
  5. Jika selesema kamu tidak berkurangan atau berhenti, dan demam pula menjelma, jangan ambil     ringan, ya! Kamu mungkin diserang virus influenza!
  6. Andai teman sebilik/rakan sekelas kamu diserang selesema, maka bersedialah! Kamu berkemungkinan adalah mangsa seterusnya. Hihihi.



Semak, serabut, serabai
Apa lagi?

Friday, December 12, 2008

Sajak: Tiada lagi Jumaat

Menulis yang terlintas, sebelum bersiap untuk ke kelas, agar tidak lesap menjadi hampas!



Semalam telah kuhantar pergi Khamis,
dengan senyum lega,
kusambut pula Jumaat yang berkunjung,
dengan hidangan seribu syukur,
berkisah panjang bertukar cerita;
ke mana aku selama Jumaat tiada.

Kepada Jumaat aku bicara:
Sabtu kelmarin tertidur aku,
Hingga Ahad, masih kusambung rehat,
Tiba-tiba, dalam kelam Isnin menerkam,
Sambil memanggil Selasa,
bersama kerja bertimpa,
Dan Rabu pula tidak menunggu,
dalam lena pun aku mahu diganggu,
garau suara guru mengajar padaku,
'Kalau sakit ini, guna ubat itu.'
Mujur bertemu Khamis,
menghilang serabut mengkhabar lembut,
'Setiap hari,
adalah sela waktu
yang akan diuji ke atas kamu'.

Pilu Jumaat mendengar,
Aku membuang hari seperti tiada erti,
lantas di telingaku Jumaat berbisik,
'Jangan sia-siakan hari ini,
kerana mungkin tiada lagi aku buat kamu.'




Habis beku segala air yang bertakung di lopakan,
malam tadi, salji turunkah?

Thursday, December 11, 2008

Buku!!!

Satu dua minggu ini asyik memikirkan tentang buku dan membaca buku. Bukan buku-buku teks pelajaran. Tetapi novel. Ah, bukan novel biasa! Begitu. Terlambat sedikit untuk membaca, barangkali. Orang sudah sampai ke mana, saya baru ingin menguliti Isabella, teringin untuk menyentuh Maria dan sekadar bermimpi tentang Weil China. Saya tidak membaca semua jenis novel. Prinsip saya pada sebuah novel mudah. Fakta, kefahaman dan pengajaran. Semua itu kalau digarap dalam sebuah cerita dengan baik, saya sudi membacanya berulang-ulang kali. Sekali sekadar membaca, dua kali untuk mengulang kaji. Tiga kali, tidak saya mahu lupa isinya!

ISABELLA



Penulis: Maulana Mohammad Saeed
Terjemahan oleh: Abdullah Hussain

Membaca Isabella mengingatkan saya kepada novel Tuhan Manusia karya Faisal Tehrani yang pernah saya baca. Bezanya, Ali Taqi datang dari zaman moden ini dan Isabella pula wujud nun pada zaman keagungan Cordova ketika Mesir diperintah oleh Dinasti Fatimiyyah.
Mulanya buku ini dicadangkan oleh seorang teman kepada saya, katanya, “Kau mahu ke Cordova bukan, cuti musim sejuk nanti? Cuba baca Isabella, kisahnya berlatar belakangkan Cordova. ”

Kerana minat yang mendalam tentang Islam di Andalusia, pantas saya mencari Isabella di halaman maya ini walaupun masih belum pasti yang Cordova itu akan saya jelajahi. Saya jumpa, cetak dan kemudian bukukan ala kadar, sekadar untuk bacaan dan simpanan sendiri. Novel versi Melayu tidak dijual lagi, manakala versi Inggeris pula, melambatkan proses penghadaman saya. Maka maafkan saya, saya tidak punya pilihan... Dan novel ini, tidak mengecewakan saya.

“Baiklah,” kata Michael, “apakah kamu percaya dengan Ketuhanan Suci dan Jesus Kristus sebagai Tuhan dengan segala keperluan kewujudannya?”

“Saya percaya kepada Tuhan sebagai Tuhan dan bukan manusia sebagai Tuhan,” jawab Isabella.

“Jadi jelaslah bahwa kamu tidak percaya kepada Ketuhanan Tuhan Jesus Kristus. Jadi, apa lagi bukti yang ada kalau kau bukan seorang Muslim?” tanya Michael.

“Maksud saya, tidak ada bukti di mana-mana pun jua di dalam Injil bahawa Jesus itu Tuhan,” jawab Isabella.

Kalau kamu mahu tahu tentang (hampir) segala kelemahan agama Kristian, buku ini sangat membantu. Selepas habis membacanya, saya jadi sangat tahu. (Ooopss, bukan bermakna kamu boleh menuding jari ke arah saya dan bertanya itu ini tentang teologi dan falsafah) Buku ini menambah tahu saya bahawa agama yang sedang saya anuti ini tiada cacat celanya, malah sempurna amat dan kitab suci Al-Quran yang sering menjadi bacaan dan rujukan adalah mukjizat Nabi Muhammad SAW yang paling utuh hingga akhir zaman! Ya, semua Umat Islam pun tahu itu (benarkah?), tetapi ada yang tidak pernah memikirkannya – malah tidak mahu ambil tahu apa dan kenapa istimewanya Islam ini sehingga kadang-kadang lebih yakin dan percaya dengan agama-agama lain yang amat-amat mengelirukan. Isabella bantu menerangkan itu semua di bawah bimbingan Umar Lahmi, sang cendekiawan dan sarjana Islam yang berani. Isabella pula adalah anak perempuan kepada seorang ketua paderi di sebuah gereja besar di Cordova, Andalusia, Sepanyol. Bernas, bijak, cekal dan tabah. Hujah-hujahnya tepat menumbangkan dakyah-dakyah Kristian yang berbelit-belit. Kristian, pada saya adalah sebuah agama yang lompong, dindingnya kelihatan kukuh, tetapi apabila diketuk, kosong bunyinya (dasar-dasarnya tiada, ajarannya direka-reka dan ditokok tambah sehingga tidak masuk akal).

Isabella adalah sebuah kisah benar. Membacanya mengajak kita berfikir bukan ringan-ringan. Berat amat. Tetapi manfaat dan ilmu yang diperoleh, InsyaAllah mahal harganya! Oh, ya! Terima kasih kepada Isabella, dia buat saya tambah rindu pada Rasulullah SAW di akhir novel ini.

Kredit kepada:

Sumber maklumat: Saifulislam.com, Isabella (Versi Melayu), Isabella (Versi Inggeris)


MARIA dan WEIL CHINA


Penulis: Emina Senlikoglu (Turki)
Terjemahan oleh: Ustaz Rofizi Dollah

Maria membawakan tema yang hampir sama dengan Isabella, juga merupakan sebuah kisah benar. Weil China pula digarap dari sebuah tragedi yang benar-benar terjadi, dan lebih-lebih lagi mendebarkan. Saya belum dapat membaca kedua-dua buku ini. Keinginan lebih meluap-luap apabila membaca sinopsis kedua-dua novel tersebut. Penulisnya seorang wanita Turki bernama Emine Senlikoglu. Melihat biodata penulis ini juga sudah membakar semangat saya untuk membaca buku-buku tulisan beliau yang telah diterjemahkan ini. InsyaAllah akan saya cuba dapatkan!

Sinopsis Novel Maria

Maria merupakan kisah benar yang diceritakan kembali kepada penulis yang berasal dari Turki. Maria mengungkap kisah seorang gadis Jerman bernama Mary (Maria) yang menghadapi konflik tiga penjuru antara Kristian (yang dianuti oleh diri dan ibunya), Athies (ideologi yang dipegang oleh ayah, adik dan kekasihnya) dan Islam (yang diperkenalkan oleh Abdul Wahab dan kekasih barunya Muhammad).
Baca seterusnya…

Sinopsis Novel Weil China

Gadis yang aku cintai hanya menggerak-gerakkan jari jemarinya. Dia tidak mengangkat tanganya agar orang lain tidak memahami, namun aku memahaminya. Suara lemah emakku yang meraung meminta tolong. "Tolong emak Qan!" masih lagi terngiang-ngiang di telinga. Berikan kami sedikit kebebasan! Duniaku bagaikan gelap gelita sewaktu gadis yang aku cintai meludahi mukaku di hadapan khalayak ramai. Baca seterusnya...

Sebenarnya novel-novel bertemakan perbandingan agama dan falsafah ini mungkin ada banyak lagi yang tidak diketahui dan disebarluaskan. Sayang kalau tidak dibaca dan diselongkar segala rencam isinya. Tambah-tambah lagi kalau ia merupakan bingkisan kisah yang benar. Jadi, andai mahu mencari sedikit suluhan kebenaran, cubalah cari buku-buku ini! Wallahua’lam.
 


Tamat peperiksaan nanti,
akan kugeledah novel-novel begini lagi,
ya, novel!
Untuk dibaca mengisi senggang masa, pastinya~

Sunday, December 07, 2008

Salam Aidiladha 1429H

(Kullu 'am wa antum bikhair)


"Apa sebenarnya kisah di sebalik Hari Raya Qurban ini?" soal sang penceramah, Kak Faezah kepada sekerat jemaah yang hadir pada pagi Subuh hening itu kepada hati-hati yang lapar minta diisi sesuap makanan rohani.

Kedengaran suara bertingkah-tingkah menjawab antara dengar dan tidak, ada juga yang diam menanti bicara seterusnya.

"Semua pasti telah mendengar kisah Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya Ismail, bukan?"

Ada yang mengangguk, ada pula yang sekadar memerhati, lebih berminat untuk mendengar dari turut sama bersuara. Masih dikuasai kantuk lagi barangkali atau terlalu kekenyangan santak bersahur mee goreng masakan Kak Aini sebelum subuh tadi.

"Mengapa sampai boleh berkorban sebegitu rupa? Tidakkah Nabi Ibrahim a.s. sayang dan kasihkan anaknya, Ismail?"

"Ketahuilah rakan-rakan sekalian, bahawasanya, cinta dan kasih Nabi Ibrahim Khalilullah kepada Allah SWT melebihi cinta dan kasihnya kepada anaknya sendiri".

Saya terpisat-pisat seketika menghadam jawapan tersebut. Berkali-kali mendengar kisah Nabi Ibrahim dan Ismail pun, isi dan intinya seringkali saya terlupakan. Bukan tidak mahu mengerti, bukan tidak mahu memahami tetapi lebih kepada sekadar mencelup separuh tangan ke dalam air, tidak benar-benar bersih.

Benar. Bukan mudah menjadi seorang Nabi. Ujian yang Allah beri bukanlah sekadar suatu permainan, tetapi merupakan perhitungan antara hidup dan mati. Siapa yang mahu menyembelih anak sendiri? Sudahlah bertahun-tahun tidak mendapat zuriat, sudah dapat diperintah Allah pula ditinggalkan di tengah-tengah panas padang pasir yang tiada seorang pun manusia yang mendiaminya. Kemudian, baru hendak melepaskan rindu dendam kepada anak tercinta disuruh pula disembelih anak itu. Sesuatu yang sukar diterima akal bagi orang biasa seperti kita.

Tetapi tidak bagi Nabi Ibrahim dan juga Nabi Ismail. Allah itu lebih utama melebihi segala-galanya. Pengorbanan apakah itu kalau tidak kerana cinta dan kasih kepada Yang Maha Esa?

"Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar".
(As-Shaafaat : 107)

Dia lebih mengetahui segala-galanya, yang baik mahupun buruk, kerana Dialah pencipta kita, Dia jugalah yang telah mengatur perjalanan hidup kita sehingga ke akhirnya. Maha Suci Allah yang Maha Mengetahui.

(Kisah penyembelihan Nabi Ismail a.s ini dinuqilkan dengan terperinci dalam kitab suci Al-Quran surah As-Shaafaat bermula dari ayat 100 hingga 111). Wallahua'lam.

Sudah berapa Zulhijjah saya hidup, kisah Ibrahim dan Ismail tetap akan selalu diulang-ulang. Sampai licin daging korban saya makan tiap-tiap tahun pun, kisah itu tetap akan disebut-sebut. Tetapi apakah makna Zulhijjah saya andai kisah yang diulang-ulang itu tidak pernah saya ambil pengajaran? Tuhan, ampuni daku!

Salam Aidiladha buat semua yang pernah hadir membaca blog saya. Ampun maaf dipinta andai pernah ada salah dan silap di mana-mana. Sambil-sambil tumbangkan seekor dua lembu itu, ingat-ingatlah mereka yang di perantauan ini. (Ha, ha - tidak ada kena mengena).

Oh, ya!

Kelebihan puasa Hari Arafah (9 Zulhijjah), diampunkan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.
Hadith Riwayat Imam Muslim.

Wallahua'lam.

Kemaskini (8 Disember 2008) : Kad raya ini diterima dari blog Ibnurashidi. Terima kasih ya, Farid!




Labbaikallahumma labbaik...
labbaikkallaa syarikalakalaabaiik...
innal hamda wan ni’mata lakawal mulk...
laa syariikalak.
Hai, menyeruak rasa keharuan dalam jiwa,
bila agaknya dapat bertamu ke sana?

Friday, December 05, 2008

English : The whole new world

(Saya masih mencintai Bahasa Melayu. Sekadar melepaskan rindu dendam menulis dalam Bahasa Inggeris tiada salahnyakan?)





I remember, back in primary school where I started to learn and love English Language, my English teacher who really wanted to see her student like me getting good marks in this subject created this one game called (Oh, it really doesn't have any name actually) in which everyone must write down what's in our heart head on a draft paper in English in a given time. So, she set the seconds and there we go, writing to the full content of our heart. Sounds of pencils scribbling could clearly be heard in the silence ticking of the class big round clock hanging solemnly on the front dusty wall above the blackboard (It's an old school and that we were all too short to reach the ceiling). Then, finally the 30 seconds were up and she halted us to stop.

"Okay, who's going to read hers first?'', asked my teacher excitedly.

As expected, no hands up in the air. So, she started calling names.

"Melissa Chew".

A girl with a straight black hair tied back in one tidy ponytail stood up from her chair and started to read her paper. She got a loud applause from the class and the teacher called out another name. A girl at the back stood up and read her almost-full-paper-with-words at the top of her lung. No doubt though, she's the class debater. Then the class started suggesting some names too, mostly those who are famous or that had title (prefects, librarians, vice club presidents etc.) in the school. Someone, I remember her being a prefect at that time, stood up and read hers when her name was called out several time by the class.

"Pencils, rubber, pen, pencil box, textbooks, color pencils, rough papers, chocolates, ruler and watch", then everybody started laughing. Apparently she just wrote things she saw on her table. Clever girl. So several other names were called out and everybody proudly read theirs while I was praying silently under my breath. Don't call out my name, don't call out my name, don't call out...

"What about you, Balqis? Can you share your thought with us", she was already looking at me by the time I looked at her back.

OMG, why me? Being a respected introvert in the English class, I merely shook my head. And a surprise almost bulging round eyes stared at me back plus some weird 'uhs and ahs' sounds made from all the 42 girls in the class. Oh yeah, it’s an all girls school.

"No? What do you mean no? You don't want to share?”

I stood up slowly, unwillingly. I hold the paper steadily, removing all the fears that enveloped me, and then I read, word by word,

"I - don't - know...” stammering, I could not continue. My extremities were cold. My hands were trembling. I looked at my teacher.

"Is that all?” she asked me, half surprise and half believing. Then she walked to my table, which was not very far from her as I was sitting in the front row. She grabbed the paper and...

"That is all".

"Yeah", was all that came out from my mouth. And when I thought she was about to let out some angry words, all she said was,

"You should've tried harder. I know there are lots of thing in your head. You just cannot make it into words, right? It's okay if the grammars are wrong. It's your thinking, your thought. Who says that the grammar must be right?” and it soothed me down a bit but somehow, I can felt inside of me, the horrible guiltiness swelling up to no boundary.

The truth is - I hadn't written anything on the paper. When the 30 seconds finished, my paper was still blank. There were was nothing in my head. I was a complete blank when it comes to writing in English. What I want to say was all in Malay. How could I make the simple Malay phrases turn into English and scribble it down in just 30 seconds? Impossible. Totally impossible. The little bit I read was mere spontaneous ideas that I could think of in the niche of time to help covered my undone task.

Yes, cheating I was, it didn’t help me out from total embarrassment. Everybody was looking at me disbelievingly thinking - how could I make an easy task looked hard? It was just so unacceptable to them. It was a very bitter memory yet and one of many that I could never forget my whole life because in some way, it did changed my life. The impact wasn’t that big, but the real meaning of it, I braved myself stepping out from the safety zone I made and learn what I was once afraid to learn – the English language. Looking back from where I stood now, I could not believe that the girl was me. A denial is what I would make. I wish that I could do the game just once more and read it out loud so that everybody could hear my thought. Teacher, I don’t know what to write here, so I thought I would tell this story. If by any chance you pass by here, I couldn’t read it to you but this is what I thought and so I write it here - thank you.


Thank you for spending your precious time reading this stupid entry until the end. Sorry for the unexpected ‘lengthiness’ and 'emptiness' of this entry. No comment is fine for me because just the thought of you reading this had already made me happy. But  I'd be much happier if you would leave one! Arigatou na, minna-san!!

p/s : If you're an expert in English, please mind my grammar! (Ha-ha)



Berakit-rakit ke hulu,
Bersenang-senang kemudian,
Bersenang-senang dahulu,
Bersakit-sakit kemudian.
Bilalah nak mula ulangkaji, ni!
Isk~

Tuesday, December 02, 2008

Ittadakimasu!!!

(Hai, obsesi, obsesi... Bilakah agaknya mahu berakhir?)




ITTADAKIMASU!!!!!!!

Wargh......

Lain dulang lain kakinya
Makanan Jepun apa rasanya

Ratib-ratib buluh nipah
Baru rasa hendak muntah

Gendang gendut tali kecapi
Pedas betul wasabi ini

Duduk inding enggang tap
Sambal belacan juga yang sedap!

Siakap senohong, gelama ikan duri
Sedap lagi sushi sendiri

Sudah gaharu cendana pula
Belum tahu kenalah cuba!!

Puas saya bertanam ubi
Nanas juga dipandang orang
Puas saya makan sushi
Nasi dan lauk juga yang dipandang


Sensitiviti : Saya memohon beribu kemaafan kepada semua anak Melayu yang mencintai bahasa  

                  Melayu, lebih-lebih lagi sastera Melayu kerana telah mencemar mengubahsuai sedikit   
                  khazanah bangsa ini. Sekadar meminjam tiada salahnyakan? Moga tiada yang berkecil hati.



Menimbang-nimbang,
apa yang perlu ditimbang,
timbang jangan sampai jatuh,
timbang biar sama saksama,
biar sama serasa.
(bukan lambang politik,ya! Ahaks!)