Wafeya

Life is a serious matter.

Saturday, February 07, 2009

Sejujur permintaanmu; setulus doa dariku

 

Dari jauh sudah kelihatan dia tersenyum, tenang berjalan pulang dari sesi radioterapi yang harus dijalaninya sebagai rawatan prapembedahan. Saya dan Sakiah menegur mesra, bertanya-tanya khabar berbasa-basi kemudian meminta izin bertanya dua tiga soalan. Hari-hari sebelumnya beberapa data telah diambil, tetapi masa tidak mengizinkan, lantaran itu maklumat yang dikumpul tidak kecukupan untuk membuat laporan kes pesakit. Sesi soal jawab berjalan lancar, walau terdapat keciciran kronologi cerita yang disampaikan akibat sukar untuk memahami bahasa Russianya, namun cukup untuk dimuatkan dalam laporan. Orangnya penyabar. Bekas guru. Manakan tidak dilayannya kerenah kami yang suka mengulang-ulang soalan demi memahamkan isi ceritanya. Katanya, dia hanya sebatang kara. Dua anak lelakinya menetap di Russia bersama keluarga masing-masing dan dia telah lama kematian suaminya. Lantas saya bertanya, “Nenek tinggal seorang?” Dia mengangguk dan ah, tersenyum lagi. Pemurah sungguh dengan senyuman!

Terkadang bual bicara berganti gelak ketawa. Walau tidak berapa mengejar jalan ceritanya, tetapi kerana melihatkan dia tertawa lucu, kami akan turut sama berasa gembira. Bukan berpura-pura tetapi dia seorang nenek berumur 76 tahun. Hatinya perlu dijaga. Lantaran itu, kalau dia bersedih, kami seakan cuba merasa kepedihannya, kalau dia serius, kami akan berkerut kening cuba memberi perhatian dan kala dia tersenyum menampakkan baris-baris giginya yang masih tersusun elok, kami akan tersenyum sama. Namun, seperti biasa, waktu seringkali mencemburui, kami harus pulang ke kelas segera. Dan apabila saya khabarkan kepadanya, dia sekadar tersenyum, mengangguk tanda memahami. Tetapi hari itu, entah apa yang menggerakkan hatinya, tiba-tiba sahaja dia memegang dan mengenggam erat kedua-dua tangan saya sebelum sempat saya berdiri bangun.

“Tolong doakan saya”, katanya dalam bahasa Russia. Saya masih juga belum faham.

“Tolong doakan saya”, ulangnya lagi sambil memandang tepat ke mata saya. Saya memandang Sakiah, meminta kepastian. Sakiah mengangguk, “Ya, dia minta kita untuk mendoakannya”.

Saya memandang semula wajah nenek tersebut lantas mengangguk sungguh-sungguh.

“Ya? Nama saya Maria (bukan nama sebenar). Sebut nama saya dalam doa kamu, ya? Doakan saya, ya? Hari Rabu ini, keputusan untuk pembedahan akan keluar. Tolong doakan saya, ya?" Genggamannya bertambah erat.

Saya lekas-lekas mengangguk, tidak mahu lama-lama berdiri di situ. Tidak mahu memberi harapan. Pilu. Kalau mengikut rasa kemanusiaan ini, saya akan berdoa pada Tuhan, minta diringankan azab sakit yang ditanggungnya. Ah, manakan boleh! Saya lekas-lekas ucapkan terima kasih dan nanti kalau diberi peluang lagi, saya akan datang berjumpa nenek, kata saya. Saya tidak tahu apa yang bermain di hati saya saat saya meninggalkan wad bernombor 18 itu. Yang dideritai nenek ini adalah yang bernama barah! Masakan bisa sembuh benar! Nanti nenek, ya. Saya pasti akan doakan nenek. Semoga nanti nenek diberi hidayah oleh Allah sebelum hembusan nafas nenek yang terakhir. Itu, saya pasti akan doakan untuk nenek. InsyaAllah.


Terkadang,
tidak kita sedar,
perjalanan hidup kita,
singkat amat,
singkat, amat!

10 buah bicara:

akhirnya kembali menulis..tapi mengapa lakaran tulisan ini memilukan..ahhh~ saya tergamam. tambahan pula ada titisan tinta di bawah 'barukisu' itu..

saya akan turut mendoakan dia..dan saya memang mudah kalah dengan orang tua..ya Tuhan~
 
Ah, Iliana. Ini bukanlah sebetulnya entri yang saya mahu postkan. entri ini adalah sebahagian kepada entri lain, memandangkan ia hampir panjang, saya jadikannya satu entri.

Tinta di bawah barukisu itu? Maksudnya mampu mencapai beribu-ribu...

Ya, sama-sama kita doakannya.
 
salam balqis,

ah, sangat rindu pada tulisan kamu, dan kamu !

syukran for the thought...pada hari kematian Marcus Ng, akak sangat berduka lara, kerana ya akak tahu, mana mungkin akak mendoakan dia! tapinya akak tidak tahu rasional (a.k.a ayat quran dan hadith ) nya, syukran for the entri diatas. Sangat bermakna pada diri akak.

Mohon2 semasa marcus itu mahu 'pergi', dia sempat mengucap dan mengaku keesaan Allah...manalah tahu bukan..

nenek russia...ada banyak kenangan akak dengan nenek2 russia ini. marilah kita doa sama2 dia mendaoa rahmat Allah..hidayah Allah..kesembuhan dari Allah kerana Allah itu sifatnya Ar-rahman dan Ar-Rahim...:D

cantik ah gamba kat atas...!
 
Salam..lama x update ek..hehe..

oh saya tak tahu kenapa..saya mudah terusik perasaan ini jika ke hospital melawat orang sakit..aduh..kalau pelajar perubatan pasti perlu tahan-tahan diri kan..
 
Anonymous
Salam Balqis. Alhamdulillah, kembali menulis ye? This piece of entry touched my heart tremedously. Dahlah saya ni memang seorang yang senang tersentuh especially when it involves the elderly T.T

*hugs* Thanks for sharing!
 
Salam Barukisu yang sudi meluangkan masa berkomentar di blog saya. Semoga Allah memudahkan urusan kamu. Nampaknya sudah kembali menulis. Bagus..teruskan..saya sudi membacanya.

P/S : Baru perasaan kamu bakal seorang Doktor ya?
 
Kak Fakhzan

Huhu, rindu bangat juga sama akak!!
Ya, mudah-mudahan begitu akhirnya Marcus Ng.
Ada banyk kenangan dengan nenek2 Russia? tak mahu berkongsi? tentu kenangan2 yg menarik kan?

hehe, tu ah... saya pun memang ske gambar tu, huhu...
 
Syahidah

Hehe, alamak... iye, iye... lama tak update... sorry, hihi...

Kan? Kerana dia seorang nenek, saya lagi rasa terkesan bila dia berkata begitu...
Antara dugaan menjadi doktor annti, sudah dapat saya nampak dan lihat, huhu...
 
Akira

Salam Akira, ya kembali menulis setelah sekian lama, hehe...

Alhamdulillah....

*hugging back* No prob dear, anytime...
 
Ibnurashidi

Salam ustaz, iya sudah kembali menulis Alhamdulillah... terima kasih kerana masih sudi berkunjung dan membaca di sini...

p/s: ya, InsyaAllah. Doakan saya jadi doktor yang beriman, berilmu, beramal dan bertaqwa, ya!
 

Post a Comment

Assalamualaikum teman-teman, terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak bicara kamu, sekurang-kurang kalian telah hadir menceriakan hari-hari saya di persimpangan ini. Jazakumullah!!