Wafeya

Life is a serious matter.

Tuesday, March 10, 2009

Fragmen Musim

Fragmen I

Atmosfera yang terkandung 78% nitrogen dan 21% oksigen itu memecah-mecah sinar ultra violet yang bertembus-tembusan merebuti ruang antara celah-celah awanan di langit biru; siapa sampai dahulu menerangi tanah, dialah juara. Seperti itu kedengarannya, suara yang bertebaran membisikkan pada kau juga kepada manusia-manusia yang cerlang ingin bangun pagi lalu merutini pekerjaan hari-harian yang biasa; meneruskan hidup!


Lalu, bila kau pandang ke atas, kau lihat langit biru. Kau tahu kenapa langit berwarna biru? Cahaya. Cahaya dari matahari itu ada tujuh macam. Seperti juga pelangi yang membiaskan tujuh jalur cerianya selepas hujan pada titis-titis wap air, begitu juga cahaya yang juga punya tujuh warna. Lalu dalam tujuh warna itu, warna biru yang punya gelombang paling pendek diserap paling banyak berbanding warna-warna lain (yang lebih panjang gelombangnya) dan dibiaskan merata oleh partikel-partikel halus dalam atmosfera; habuk dan segala macam sampah sarap udara, lalu tertebarlah ia ke serata zarah dan ya, bila kau pandang ke atas, kau akan lihat langit itu berwarna biru cemerlang hasil biasan-biasan itulah dan wap-wap air yang berkumpulan halus-halus itu nanti, membentuk kepulan-kepulan awan putih yang bergerak sekata, seiring seperti ditarik oleh tali-tali halus yang tidak kelihatan. Subhanallah...

Kemudian, kau tentu akan kagum pula bila tiba-tiba sekawanan Superb Fairy-wren atau lebih kelihatan pintar kalau kita menyebutnya sebagai Malurus Cyaneus yang terbang melintasi darjah penglihatanmu lalu membentuk formasi-formasi aneh tapi anggun, egoistik dan halus seninya, semacam menyatakan bahawa merekalah yang merajai ketuanan di daerah antara langit dan bumi itu dan kau, seorang homosapien hanya mampu melihat, menyepet mata, terpana lantas bertasbih, bertahmid, kerana untuk kesekian kalinya, kau masih lagi bernafas - diberi peluang untuk melihat kebesaran dan keagungan ciptaanNya!

Seketika, kau bergerak meneruskan langkahanmu, senang sekali memijak-mijak hamparan rumput downy brome yang melata manja atas tanah gengsi berwarna hitam itu. Cairan salji putih sedikit melecakkan sekitar, tetapi kau lebih bijak melompati antara kawasan-kawasan yang kering sehingga akhirnya kau berjaya menempati tanah yang telah hilang terus dari tompokan salji-salji putih itu. Hairan. Cahaya mentari memancar agung, menaikkan suhu sekeliling, tetapi salji tidak juga mahu hilang, degil dan masih mahu menampakkan diri seolah-olah merasakan kehadirannya perlu lebih lama lagi berada di situ. Entah atas tujuan apa, kau sengaja menyentuh tompokan salji dengan hujung kasutmu, seakan bertanya, mengapa tidak ikut mencair seperti adanya tompokan salji yang lain. Di hujung-hujung lainnya, salji yang telah mencair membasahi sekeliling sehingga membentuk lopak-lopak air berwarna coklat, basah dan lembap. Ah, selamat tinggal musim sejuk yang dingin, tidak lama lagi, kuntum-kuntum ros liar, carnation, azalea dan tulip akan terpacak mengakar di tanah-tanah ini. Selamat tiba musim bunga yang berwarna-warni!

Fragmen II

Seperti juga musim-musim yang lirih silih berganti, Barukisu begitu juga nasibnya. Agaknya telah tertakdir, Barukisu itu memang bermusim (cuma, musim-musim di Barukisu lebih lama, panjang dan membosankan). Lama tidak menulis, sampai akhirnya segala macam alasan yang tersedia menjadi basi dan tidak lagi berguna untuk mengiringi segala argumentasi-argumentasi yang bersifat sementara. (Ataukah sebenarnya tiada alasan langsung?) Jujurnya, komputer riba ini, entah kenapa, sistem apa yang telah berubah secara tiba-tiba, langsung tidak membenarkan untuk mengakses internet. Browsernya boleh dibuka, tetapi separuh jalan sahaja, ia sudah tidak mahu. Lalu, mahu diformat semula, juga ia tidak mahu (kerana hard disk komputer ini tidak dapat dikesan, kata sistem yang beroperasi) Idiopathic. Tahu apa solusinya? Pulang Malaysia nanti, hantar kedai sahajalah, jawabnya. Serahkan pada yang pakar, begitu.

Mujur. Ya, mujur komputer riba kesayangan ini masih boleh digunakan untuk menaip entri yang sedang dibaca ini. Moga-moga tidak terjadi seperti kes di bulan Mac, 2007 yang lalu; terus langsung, komputer tidak dapat dibuka. Ibu papannya rosak tidak boleh diganti. Terus langsung juga, aku berhenti dari menulis di sini dan hilang hubungan dengan sahabat-sahabat maya yang sekian lama telah kukenal melalui blog ini. Itu sebabnya kukatakan yang Barukisu ini bermusim, kerana kerenah komputerku yang mengada-ngada.

Boleh diterimakah alasan ini? Tidak apa, hikmah Tuhan itu selalunya beribu.

Fragmen III

Pepohonan maple, beech, cedar, arborvitae green-giant dan aspen yang tinggal ranting-rantingan itu nanti akan semula ditumbuhi daun-daun segar, berbuah dan berbunga lebat, hijau dan nyaman. Anak-anak tupai akan berlompatan, keluar bermain, memanjat dahan-dahan pokok, lalu tertawa riang sambil mengunyah entah apa di tangannya yang halus mulus itu. Membelahi dada Gargarin Park, bersebelahan hostelku ini, Sungai Rechnaya juga terus mengalir, tidak kira musim apa pun (aku tidak ingat samada pernah melihat sungai ini membeku atau tidak). Dan seperti sang sungai yang terus mengalir, aku juga akan terus menulis, walau tidak selalu. Ya, tidak akan kubiarkan Barukisu mati seperti perginya musim sejuk yang dingin. Barukisu juga akan tetap terus segar seperti pohon-pohonan yang akan berdaun meneduhi tebing sungai Rechnaya itu sehingga nanti sampai waktu yang diizinkanNya.

p/s: Entri-entri selepas ini adalah entri-entri berjadual. Terima kasih kerana masih sudi bertandang membaca. Maaf kalau-kalau tidak sempat singgah di blog-blog kamu semua seperti selalu adanya. Lo siento!

Without Wax,

(Seperti biasa, tulisan-tulisanku kalau lama tidak menulis, panjangnya minta ampun)

6 buah bicara:

salam balqis...

akak tak baca lagi entri ni tapi nak letak komen jugak hihi

bila pulihnya internet ni...alhamdulillah^^

terima kasih banyak2 untuk 'love' tu...terharu2...^^

sayang kamu^^
 
salam..

wahh..membawa semua mengembara ya di sini..
seolah-olah berimaginasi sekali bersama pembacaan entri..

komputer riba kamu bermasalah ke? bagi pelajar, itu satu masalah yang agak merunsingkan..

akhirnya terisi kembali Baru Kisu
 
Salam Balqis yang dimuliakan

Ah, rindu kamu! Rindu pada tulisan2 mu yang akan menyegarkan ruh ku! Teruskan tulisan2 mu, moga2 ia menjadi saksi di padang Mahsyar kelak, ya Tuhan ku, bersaksilah Mu bahawa aku jua sudah menyampaikan barang sepatah peringatan-Mu, walaupun terlampau kerdil usaha ku!

I like this words - hikmah Tuhan itu selalu nya beribu.. sangat benar sekali. Bukan kah Dia itu, Maha Mengetahui?

:D

take care ya, tidak sabar jua mau bertemu musim bunga, mau ketemu lagi dengan anak2 tupai dan burung2 serta itik2!dan ya, bunga biru, bunga ungi serta bunga pink! :D
 
Kak Maya

Waalaikumussalam...

Hah, baca dulu, baca dulu...
komen akak tak kena dengan entri saya ni, hehe, lain citernya tu...

You're welcome. Hasil kerja bila tiada kerja...
 
Iliana

melankoli sangatkan? hehe...

Hurm, cuma tidak dapat browse inetrnet, lain2 function masih okay... Alhamdulillah... betul, memang ganggu kehidupan juga sikit2, used to have all info di hujung jari, tapi kini tidak lagi, hehe..

semoga terus menerus terisi, huhu..moga2...
 
Kak Nur

Salam Kak Fakhzan. Saya tertanya-tanya siapakah Nur yang amat mengujakan ini. Sungguh bersemangat!! Rupanya kamu Kak Fakhzan... saya rindu juga sama kamu.... (hai, inilah sebabnya saya tak mahu kehilangan kawan, saya harus terus menulis di sini...Saya tak mahu hilang kamu semua)

Ya, antara hikmah Tuhan yang tersedia beribu itu, satu antaranya terselit di sebalik ujian yang diberi tuk hambaNya... tabahkanlah...

Yep, waiting for the roses to bloom and the tulips to grow colourful!!!
 

Post a Comment

Assalamualaikum teman-teman, terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak bicara kamu, sekurang-kurang kalian telah hadir menceriakan hari-hari saya di persimpangan ini. Jazakumullah!!