Wafeya

Mata ke bumi, hati ke langit

Tuesday, March 17, 2009

Of Cotton Buds and Wudhu'


Kita mungkin pernah mendengar fakta yang berbunyi; putik kapas tidak elok digunakan untuk membersih saluran telinga. Kali pertama saya mengetahuinya adalah daripada ibu. Bila saya bertanya sebabnya, kata ibu, tidak elok kerana berbahaya untuk telinga. Ah, bagaimana putik kapas yang berwarna putih, halus lembut dan kelihatan suci bersih itu boleh menjadi begitu berbahaya? Saya kurang yakin dan sampai hari ini, saya malah masih menggunakan putik kapas untuk membersihkan telinga.

Sehinggalah pada suatu hari, dalam subjek ENT, sang guru juga memberitahukan perkara yang sama. Kali ini pastilah bersandarkan alasan-alasan serta bukti-bukti yang kukuh lagi sahih. Kata cikgu, penggunaan putik kapas untuk membersihkan telinga memang tidak digalakkan sama sekali. Ini kerana:

1) Putik kapas akan menolak cerumen yang dihasilkan jauh ke dalam, terperangkap di hujung (sehingga ke gegendang telinga) lalu menyumbatkan lubang telinga.


2) Hujung putik kapas yang tidak melekat dengan kuat pada batangnya mungkin akan tertinggal di dalam lubang telinga dan jika tidak disedari dan dibiarkan lama akan menyebabkan terjadinya jangkitan kuman dalam lubang telinga.


3) Penggunaan putik kapas yang terlalu ganas seperti menolaknya terlalu jauh ke dalam dengan kuat berkemungkinan akan mencederakan gegendang telinga yang memisahkan antara bahagian luar telinga dan bahagian dalam telinga. Jika ini berlaku, kuman malah mudah masuk terus ke bahagian dalam telinga dan menyebabkan jangkitan dalam telinga yang sukar dirawat. Malah jika baik pun, peratus untuk berulangnya jangkitan amat tinggi. (Tympanic membrane perforation)

Putik kapas tersekat di gegendang telinga 

Kami lantas bertanya guru, samada batang besi halus bersama penyangkuk kecil boleh diguna ganti untuk mengeluarkan cerumen.
Sambil ketawa, cikgu berkata, “Tidak perlu membuang cerumen yang dihasilkan. Padahal cerumen itu mengandungi bahan yang boleh membunuh bakteria dan melindungi telinga kamu dari kotoran-kotoran luar. Ia memerangkap habuk serta memastikan telinga kamu berfungsi dengan baik. Menggunakan besi juga amat berbahaya jika kamu tidak berhati-hati, malah lebih parah jika tercedera tanpa disedari”.

Hah? Habis itu mahu dibiarkan sahaja telinga dipenuhi cerumen? Eeii… Geli juga jika dibayang-bayangkan cecair kuning malah kadangkala coklat pekat itu memenuhi lubang telinga. Pastinya tidak selesa dan minta dibersihkan segera.

“Alahai, selama aku hidup, guna putik kapas, ok jer… Asasnya, kalau pandai guna dan jaga, InsyaAllah tak jadi apa-apa”, rakan di sebelah menjawab selamba usai guru menamatkan kelas.

Ya, betul juga. Malahan beberapa pengeluar produk putik kapas menyediakan arahan di bahagian luar bekas seperti , “Never insert a cotton bud into the inner ear or nose. Keep out of children’s reach. Improper use can cause injury”. Dalam Journal of the Royal Society of Medicine, satu kajian ‘Use and Abuse of Cotton Buds’yang dijalankan di sebuah klinik ENT mendapati banyak kes yang melibatkan jangkitan telinga dilaporkan dan kebanyakan dari mereka menggunakan putik kapas untuk membersihkan telinga. 

Tetapi naluri saya sering tertanya-tanya. Seandainya Allah menjadikan cerumen untuk melindungi telinga, tentulah Dia juga mencipta cara untuk dapat membersihkannya dengan baik tanpa memudaratkan si pengguna, kan?

Kamu tahu apa dia? Itulah sejenis cecair yang jernih, menyegarkan dan dapat digunakan untuk membersihkan apa sahaja jenis kotoran kurang degil; air. Mudahkan? (Tetapi bukanlah dengan memasukkan air ke dalam telinga sehingga tersumbat dan mengurangkan deria pendengaran pula) Caranya mudah sahaja, iaitu dengan rajin MANDI. Apabila kita mandi, air yang mengalir tanpa kita sedari melembutkan/mencairkan cerumen yang berada dalam telinga lalu mengalir keluar bersama-sama air tersebut. Kalau tidak percaya cuba periksa telinga kita selepas mandi. Sedikit bersihkan? Hanya orang-orang yang tidak/jarang/malas mandi sahaja yang mempunyai masalah telinga kotor dan tersumbat dengan cerumen. Nenek moyang kita dahulu tidak menggunakan putik kapas pun, tetapi pendengaran sesetengah dari mereka malah amat baik dari kita, kan?

Apatah lagi orang Islam seperti kita yang mengangkat hadas kecil sebelum solat, pasti akan membasuh telinganya sebanyak lima belas kali sehari dalam proses tersebut dan ini sudah cukup untuk membersihkan telinga dari sebarang kotoran. Ah, berapa bersih lagi yang kita mahu?

-Tamat-

Aik, ada soalan lagi?

Habis itu kalau tidak digunakan untuk membersihkan telinga, buat apa dicipta putik kapas?
Kasihan sungguh Leo Gerstenzang pencipta putik kapas pada tahun 1923 yang mendapat ilham setelah melihat isterinya menggulungkan kapas kecil pada hujung pencungkil gigi untuk membersihkan telinga bayi kecil mereka yang comel. Hah, bacalah di sini.

Andainya kamu masih belum berpuas hati (almaklumlah sudah bertahun-tahun menggunakan putik kapas untuk membersihkan telinga) bolehlah google web sahaja tentang masalah ini. Banyak kes-kes menarik akan ditemui nanti.(^-^)

I must be out of my mind - writing about cotton buds and - earwax? Eheh.

Nota kaki:

Cerumen - Tahi telinga lah!!
ENT - Ear Nose and Throat
Otitis - Jangkitan telinga


Without wax,

Tuesday, March 10, 2009

Fragmen Musim

Fragmen I

Atmosfera yang terkandung 78% nitrogen dan 21% oksigen itu memecah-mecah sinar ultra violet yang bertembus-tembusan merebuti ruang antara celah-celah awanan di langit biru; siapa sampai dahulu menerangi tanah, dialah juara. Seperti itu kedengarannya, suara yang bertebaran membisikkan pada kau juga kepada manusia-manusia yang cerlang ingin bangun pagi lalu merutini pekerjaan hari-harian yang biasa; meneruskan hidup!


Lalu, bila kau pandang ke atas, kau lihat langit biru. Kau tahu kenapa langit berwarna biru? Cahaya. Cahaya dari matahari itu ada tujuh macam. Seperti juga pelangi yang membiaskan tujuh jalur cerianya selepas hujan pada titis-titis wap air, begitu juga cahaya yang juga punya tujuh warna. Lalu dalam tujuh warna itu, warna biru yang punya gelombang paling pendek diserap paling banyak berbanding warna-warna lain (yang lebih panjang gelombangnya) dan dibiaskan merata oleh partikel-partikel halus dalam atmosfera; habuk dan segala macam sampah sarap udara, lalu tertebarlah ia ke serata zarah dan ya, bila kau pandang ke atas, kau akan lihat langit itu berwarna biru cemerlang hasil biasan-biasan itulah dan wap-wap air yang berkumpulan halus-halus itu nanti, membentuk kepulan-kepulan awan putih yang bergerak sekata, seiring seperti ditarik oleh tali-tali halus yang tidak kelihatan. Subhanallah...

Kemudian, kau tentu akan kagum pula bila tiba-tiba sekawanan Superb Fairy-wren atau lebih kelihatan pintar kalau kita menyebutnya sebagai Malurus Cyaneus yang terbang melintasi darjah penglihatanmu lalu membentuk formasi-formasi aneh tapi anggun, egoistik dan halus seninya, semacam menyatakan bahawa merekalah yang merajai ketuanan di daerah antara langit dan bumi itu dan kau, seorang homosapien hanya mampu melihat, menyepet mata, terpana lantas bertasbih, bertahmid, kerana untuk kesekian kalinya, kau masih lagi bernafas - diberi peluang untuk melihat kebesaran dan keagungan ciptaanNya!

Seketika, kau bergerak meneruskan langkahanmu, senang sekali memijak-mijak hamparan rumput downy brome yang melata manja atas tanah gengsi berwarna hitam itu. Cairan salji putih sedikit melecakkan sekitar, tetapi kau lebih bijak melompati antara kawasan-kawasan yang kering sehingga akhirnya kau berjaya menempati tanah yang telah hilang terus dari tompokan salji-salji putih itu. Hairan. Cahaya mentari memancar agung, menaikkan suhu sekeliling, tetapi salji tidak juga mahu hilang, degil dan masih mahu menampakkan diri seolah-olah merasakan kehadirannya perlu lebih lama lagi berada di situ. Entah atas tujuan apa, kau sengaja menyentuh tompokan salji dengan hujung kasutmu, seakan bertanya, mengapa tidak ikut mencair seperti adanya tompokan salji yang lain. Di hujung-hujung lainnya, salji yang telah mencair membasahi sekeliling sehingga membentuk lopak-lopak air berwarna coklat, basah dan lembap. Ah, selamat tinggal musim sejuk yang dingin, tidak lama lagi, kuntum-kuntum ros liar, carnation, azalea dan tulip akan terpacak mengakar di tanah-tanah ini. Selamat tiba musim bunga yang berwarna-warni!

Fragmen II

Seperti juga musim-musim yang lirih silih berganti, Barukisu begitu juga nasibnya. Agaknya telah tertakdir, Barukisu itu memang bermusim (cuma, musim-musim di Barukisu lebih lama, panjang dan membosankan). Lama tidak menulis, sampai akhirnya segala macam alasan yang tersedia menjadi basi dan tidak lagi berguna untuk mengiringi segala argumentasi-argumentasi yang bersifat sementara. (Ataukah sebenarnya tiada alasan langsung?) Jujurnya, komputer riba ini, entah kenapa, sistem apa yang telah berubah secara tiba-tiba, langsung tidak membenarkan untuk mengakses internet. Browsernya boleh dibuka, tetapi separuh jalan sahaja, ia sudah tidak mahu. Lalu, mahu diformat semula, juga ia tidak mahu (kerana hard disk komputer ini tidak dapat dikesan, kata sistem yang beroperasi) Idiopathic. Tahu apa solusinya? Pulang Malaysia nanti, hantar kedai sahajalah, jawabnya. Serahkan pada yang pakar, begitu.

Mujur. Ya, mujur komputer riba kesayangan ini masih boleh digunakan untuk menaip entri yang sedang dibaca ini. Moga-moga tidak terjadi seperti kes di bulan Mac, 2007 yang lalu; terus langsung, komputer tidak dapat dibuka. Ibu papannya rosak tidak boleh diganti. Terus langsung juga, aku berhenti dari menulis di sini dan hilang hubungan dengan sahabat-sahabat maya yang sekian lama telah kukenal melalui blog ini. Itu sebabnya kukatakan yang Barukisu ini bermusim, kerana kerenah komputerku yang mengada-ngada.

Boleh diterimakah alasan ini? Tidak apa, hikmah Tuhan itu selalunya beribu.

Fragmen III

Pepohonan maple, beech, cedar, arborvitae green-giant dan aspen yang tinggal ranting-rantingan itu nanti akan semula ditumbuhi daun-daun segar, berbuah dan berbunga lebat, hijau dan nyaman. Anak-anak tupai akan berlompatan, keluar bermain, memanjat dahan-dahan pokok, lalu tertawa riang sambil mengunyah entah apa di tangannya yang halus mulus itu. Membelahi dada Gargarin Park, bersebelahan hostelku ini, Sungai Rechnaya juga terus mengalir, tidak kira musim apa pun (aku tidak ingat samada pernah melihat sungai ini membeku atau tidak). Dan seperti sang sungai yang terus mengalir, aku juga akan terus menulis, walau tidak selalu. Ya, tidak akan kubiarkan Barukisu mati seperti perginya musim sejuk yang dingin. Barukisu juga akan tetap terus segar seperti pohon-pohonan yang akan berdaun meneduhi tebing sungai Rechnaya itu sehingga nanti sampai waktu yang diizinkanNya.

p/s: Entri-entri selepas ini adalah entri-entri berjadual. Terima kasih kerana masih sudi bertandang membaca. Maaf kalau-kalau tidak sempat singgah di blog-blog kamu semua seperti selalu adanya. Lo siento!

Without Wax,

(Seperti biasa, tulisan-tulisanku kalau lama tidak menulis, panjangnya minta ampun)

Tag: Gambar ke-6 dari fail ke-6

Menyelesaikan tag dari: Sofie Nur dan Faiz Kamal

The rules:
Go to your photos folder in your computer.
Go to the 6th folder of photos.
Go to the 6th picture of that folder.
Put the picture on your blog and description of it.
Invite 6 friends to join the challenge.
Link them in your blog to let them know they have been challenged.

Memandangkan semua gambar-gambarku disusun mengikut tahun pengajian, maka fail-fail gambar baru ada lima. Seterusnya begitulah, seperti yang di dalam peraturan. Hanya satu peraturan itu sahaja yang kulanggar. Tihihi...

Penulis tiada di dalam gambar =)

Melihat-lihat makam Raja Tsar, Russia ketika lawatan sehari ke Pertanjungan Kerch, November 2008 yang lepas. Keunikannya terletak pada binaan bumbung yang menirus ke atas, bertingsat-tingsat, panjang ke dalam. Setelah pintu masuk itu, yang ada hanyalah sebuah bilik bulat dengan bumbungnya juga semakin tirus ke atas. Kalau mahu gambaran mudah, rupanya tak ubah seperti sebentuk kon. Hanya ada satu lagi sahaja makam yang berbentuk unik sebegini, iaitu di Greece. Kerch dulunya merupakan tanah jajahan empayar Uthmaniyyah, Turki. Banyak lagi tempat bersejarah di Kerch, tinggalan para tentera zaman Uthmaniyyah dahulu. Ah, Ukraine kadangkala penuh dengan kejutan-kejutan yang tak tersangkakan.

Sampai di sini sahaja. Kali ini, buat pertama kalinya tidak mahu meneruskan kelangsungan tag ini kepada penulis-penulis blog yang lain. Hei, masa itu amat berharga kamu tahu.

Without wax,