Wafeya

Life is a serious matter.

Tuesday, March 23, 2010

Laut terluas itu, di mana?

Hari ini rasa nak menulis sangat walaupun tiada isi pokok dan persoalan yang boleh sengaja dibuat untuk dijadikan sebuah entri mantap lagi terkesan. Tahu buku belum buka dan baca lagi tetapi kadang-kadang kena ikut fatwa hati – kalau hati kata tak mahu baca buku sekarang, kenalah ikut. Kan? Er, boleh pakaikah pendapat itu. Terpulang. Tetapi hari ini mahu tulis guna bahasa biasa-biasa, tak mahu guna perbendaharaan kata yang pelik-pelik. Apa pun tetap akan menggunakan bahasa Melayu yang indah ini dengan baik. Sayang. Dengan bahasa sendiri.

Hari ini memang rasa penat sangat-sangat. Entah. Bukan kena pergi keluar cari kayu api atau melombong bijih timah. Pergi sekolah pun naik bas, bukan jalan kaki. Iyalah, siapa yang berjalan kaki ke Hospital Lugovae, sejauh dua kilometer itukan? Tapi penat itu bagus, maknanya kita buat kerja dan tak duduk sahaja. Maknanya kita bergerak dan tidak membuang masa. Tetapi kalau berdiri selama lima jam dalam bilik pembedahan dan sekadar tengok operasi pembuangan rahim antara nampak tidak nampak kerana ruang terhad dan terpaksa bergilir-gilir tukar tempat, agak-agak membuang masa tidak? Entah. Bergantung niat. Bila perut dah bermain-main gendang tali kecapi, oksigen yang dikongsi seramai sebelas orang dalam bilik pembedahan pun tiba-tiba rasa kurang, waktu itu memang menguji betul-betul kesabaran. Berdiri. Bukan duduk. Kepala sudah pusing-pusing. Tak ada apa yang boleh dibuat melainkan ketabahan jua yang sering berbisik, “nak jadi doktor yang bagus tidak?” Baik. Maka terus berdiri. Dengan rasa kagum tidak pasal-pasal kepada pakar yang berusaha sedaya upaya mengeluarkan rahim yang sudah membesar disebabkan ketumbuhan. Lagilah duduk tidak boleh bergerak-gerak, satu posisi sahaja lebih dari enam tujuh jam. Boleh jadi macam dia orang? Heh.

Disebabkan penderaan fizikal tersebut seperti menyerang mental, juga ditambah belum sebutir benda yang dipanggil makanan pun masuk ke perut ala-ala tersiksa seperti tahanan Guantanamo jualah miripnya, maka tidak boleh tidak terpaksa meninggalkan bilik pembedahan tanpa pengetahuan pakar. Namun perjuangan membuang rahim tersebut tetap perlu diteruskan – oleh mereka-mereka yang tinggal. Selamat berjaya daku ucapkan. Pulang ke kelas, solat dan entah bila kepala telah elok didakap erat kedua tangan, terletak kemas di atas meja lambang tidak kecukupan mendapat lena malam semalam. Tidak lama pun anugerah istirehat itu, hanya dalam kiraan sepicing sahaja kerana pejuang-pejuang ketabahan tadi telah juga pulang dari bilik pembedahan dan mengajak lari pulang. Oh, terbaiklah. Bukan lari, memang sudah habis waktu kelas pun. Jadi, apa terjadi dengan pembedahan tadi? Esok akan pergi bertanya. InsyaAllah.

Kebetulan pulang melalui gelanggang bola kerajang. Cuaca pun suam-suam kuku. Memang terbaik untuk melancarkan perjalanan darah dengan beberapa lontaran bola ke dalam keranjang. Oh, bukanlah pemain terhebat pun. Amatur jauh sekali. Tetapi cukup puas kalau dapat merebut bola dan mengkeranjangkan satu gol. Kemudian hirup udara Tuhan puas-puas biar kembang semua alveoli dalam paru-paru yang kalau dibuka boleh mencapai keluasan sebesar gelanggang badminton. Subhanallah. Tidak percaya? Ya, terpulang.

Memang dasar angan-angan selalunya tidak akan sampai menjadi kenyataan. Ya, kalau tidak berusaha merealisasikannya. Pun begitu, semua awan-awan tentang bola keranjang tadi terhapus begitu sahaja setelah sampai ke bilik. Oh, penat lebih menguasai. Terfikir bagaimana penakluk-penakluk agung dunia dan pejuang-pejuang pembebasan boleh menguasai sesebuah negara dan melawan penjajah kalau asyik fikirkan penat dan letih. Heh. Tentu buku sejarah hari ini nipis-nipis sahaja kerana siapa yang mahu tulis tentang orang-orang yang pemalas? Kan, kan, kan?

Hari ini kena memasak. Masak satu lauk sahaja. Memang selalu masak selauk dua sahaja kerana bukan banyak mulut pun mahu beri makan. Mulut saya dan mulut teman sebilik. Oh, tidak boleh terus begini setelah bekeluarga ya, Balqis. Sepanjang-panjang berkecimpung dalam dunia masakan, memang tidak pernah rasa masakan sendiri sedap pun kerana kalau sedap sudah lama dibuat jualan. Heh. Agak-agak cukup rasa serba serbi dan bisa mengenyangkan – bersyukur, Alhamdulillah. Lagi berpuas hati bila melihat teman sebilik berselera makan sampai tambah-tambah. Hah, itulah nikmat memberi orang makan. Bahagia. Teringat pesanan isteri duta sewaktu menziarahi kediaman beliau di Kiev, “ Kalau rasa-rasa masakan tu kurang sedap, mesti masak tak ikhlas dan terpaksa. First rule dalam memasak sebelum potong-potong bahan, kena ikhlas dan yakin." Huh, betul, betul, betul!

Benarlah kata orang, kalau kita benar-benar mahu buat sesuatu, InsyaAllah hasilnya tidak akan menghampakan. Contoh paling mudah, entri ini. Panjang tidak? Panjangkan? Sebab saya sangat-sangat ingin menulis walaupun dalam bacaan tarikh lahir saya (eh, bukan ramalan tukang tilik ya!) tidak punya kebolehan menulis seperti J.K. Rowling yang menjadi jutawan hanya dengan pen dan kertas. Pun begitu, kata orang yang membaca tarikh lahir saya, saya suka berkongsi – hah, tulisan ini; bebelankah atau perkongsian? Sekali lagi, terpulang.

Eh, dah panjangkan? Harus berhentikan? Wajib berhenti. Sebelum itu, rasa-rasa (rasa lagi) ingin bercakap sedikit tentang pengorbanan walaupun raya korban telah lama berlalu. Pengorbanan itu tak ada waktu khasnya, manusia paling mulia adalah yang sanggup mengorbankan diri sendiri demi sahabat-sahabat tercinta walau hajat dan impian sendiri tidak tercapaikan. Ah, kata-kata klise ini. Mana ada pengorbanan yang dibuat dapat merealisasikan impian sendiri – sering, pengorbanan dibuat adalah untuk melihat orang lain gembira. Seperti pengorbanan ibu kepada anaknya. Itu, namanya pengorbanan sejati tiada tolok bandingnya. Tetapi kalau mengorbankan diri sendiri tidak menyelesaikan masalah, malah menambah harukan keadaan, dan tidak sedikit pun membuat orang lain gembira, adakah pengorbanan itu berjaya? Tidak sama sekali. Justeru tidak perlu berkorban. Percaya, Tuhan selalu punya rahsia.

Baiklah. Ceritera ini kalau disambung, sungguh tidak berpenghujung. Saat ini, sepatutnya ada yang perlu lebih diutamakan – belajar. Menulis ini sekadar lari sebentar dari kerunsingan. Semoga ada jalan keluar bagi tiap-tiap yang mencari. Dan teman, mencari keutamaan itu adalah mahkota untuk hidup bahagia.

Sesungguhnya, mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan baik. (Al-Anbiya:90)

Menutup entri ini dengan kata-kata penuh inspirasi yang sempat kukutip dari blog demoiselle (Liyana, apa itu demoiselle?) - benarlah satu kata-kata, laut yang paling luas adalah hati yang tenang. Hati yang tenang adalah apabila menjadikan Allah tempat bergantung harap. Terbaikkan? Terbaiklah!



Belajar, yuk!

18 buah bicara:

baru terjaga dari tidur dan menatap blog ini.Terbaikkan?Terbaiklah!ha

'Percaya.Tuhan selalu punya rahsia'
'Kerja Tuhan siapa tahu'
amat suka dengan quote simple ini.
...sedang menanti 'ingin jadi nasrallah' terbang ke bumi Jordan.

Doktor...pengorbanan...

err..memang tak dapat larilah..ikhlas, dan tentu ada balasnya kan.
minggu ini entah kenapa amat terkesan dengan 'quote pendek', Al a'la 17.
Balasan..kalaupun bukan di dunia...
 
bes entry nih kak bal...walopon akk kate men type2 jek ikut "kata hati"...hehe...kata hati itu mmg yg terbaek....tulis la lagi ek pengalaman bulan2 hari-hari akhir final year nih....
wah2 tgk hystrectomy ek..tgh o&G ek..huuuuuu saya dah abes da..tgh OSCE skang..WOW.sampai berbelas2 org 1 OR..boleh ke??hak3..mmgla nk hypoglycemic attack da..cangkung la kejap kat tepi bilik OR tuh kalo da xlarat nk diri..hehe salu wat cmtuh time scrub in dalam OR...tp salu gak terpk..ish..camne la surgeon dok berdiri berjam2 operate..lg la..xpenat lgsg ke???aku yg baru tengok nih jek rase nk pitam da xlarat..huuuu...

lagi satu."perasaan tgk org makan berselere tambah-tambah masakan kita memamgn perasaan paling bhgiaaaa"hehe...
 
Haniff, terbaik! Ha...

Betul. Alahai, cemburunya. Tidak mengapa, sedikit lama lagi akan balas dendam puas-puas dengan buku-buku itu semua. Tunggulah! Ha...

Superb peringatan itu untuk perjuangan ini. InsyaAllah - ikhlas yang terbaiklah - untuk pengorbanan terbaik. ^^
 
Asma', itulah, lepas ini bila lagi boleh tulis panjang-panjang begini ikut sesedap rasa hati. Memang perlu dinukil momen-momen terindah di sini, sayang pula - moga ada kesempatan!

Ha'a. Sekarang tengah OnG. Itulah bilik pembedahan tu cinonet je, student dalam tujuh orang tambah pakar dua orang, scrub nurse sorang, lepas tu aneasth dalam dua orang, yang jaga lampu, elektrik lagi.... adeh! Memang stamina kena kuat nak jadi surgeon ni. Fitness kena jaga. Samalah kot jadi surgeon macam jadi pelumba lari 400m, ahaks. kan?

Ngehehehehe.... bahagia. ^^
 
salam tuan rumah. Baru nak komen pasal laut. Tapinya, n3 ini ada kena mengena dengan laut ke .. tanya dengan sedikit blurr
 
salam abuya... ^^

entri takde kena mengena dengan laut fizikal, laut sekadar perumpamaan sahaja dalam entri ini...

Tulisan ini sekadar membuang rasa-rasa penat setelah pulang dari sekolah. ^^

benarlah satu kata-kata, laut yang paling luas adalah hati yang tenang. Hati yang tenang adalah apabila menjadikan Allah tempat bergantung harap.

Hanya sebesar ini penerangan tentang laut itu...^^
abuya, terima kasih kerna masih singgah. ^^
 
Salam sejahtera.

Bila terbaca entri ini terasa juga sebahagian cabaran yang perlu dihadapi oleh seorang doktor. Itu baru bab melakukan pembedahan. Tidak masuk lagi untuk melayani karenah pesakit yang pastinya sangat pelbagai di Malaysia kelak. Aduh! Memang berat kerja seorang doktor ni!!

Hurm, sejauh dua kilometer pastinya mampu memberikan senaman yang terbaik tanpa perlu pembahagian masa yang khusus untuk bersenanam, bukan? =) Selauk itu bukan satu kekurangan ya. Yang pasti jadikan selauk mewakili pelbagai aneka rasa dan jenis.. Lebih2 untuk teman hidup di amsa hadapan kelak! Jangan lupa itu ya!! ^_^


Analogi mudah. Orang sakit luaran pastinya akan hadir kepada seorang doktor untuk mengadu sakitnya dan diubati. Namun untuk sakit rohani, mereka yang dikatakan doktor rohani hakikatnya perlu datang kepada pesakit bertanyakan penyakitnya. Bukan menunggu!

Diharap, terus menulis ya! Jangan hampakan orang yang sangat suka dengan penulisan kamu!

Kredit untuk semua para doktor. Salutilah kejerihan tanggungjawab doktor ini dengan kefahaman Islam. Bukankah kita semua sudah ketahui, Islam tidak memerlukan kita. Tapi kita yang memerlukan Islam! Semoga Allah memberkati kamu.
 
assalamualaikum kak balqis!

heh. masuk sini tapi tak terkomen. sejak kebelakngan ini saya pun menghadapi hari-hari sukar. iyalah, nak masuk klinikal beberapa bulan lagi menekan-nekan pula persediaannya. apa pun penulisan itulah yang buat saya lepaskan semua. ceyh!

entri yang ada isi. tak mengapa ;) harap-harap akak pun hadapi hari-hari akak dengan baik-baik saja. walaupun bayu yang menyapa seperi taufan yang melempang-lempang.

Allah saja yang tiupkan rasa gundah itu, mintalah dilapangkan seluas lautan ya. :) :) :)

saya sangat-sangat suka baca tulisan akak!
 
Sekejap.. Saya tak mahu tanya apa-apa. Cuma ini:

Kemudian hirup udara Tuhan puas-puas biar kembang semua alveoli dalam paru-paru yang kalau dibuka boleh mencapai keluasan sebesar gelanggang badminton. Subhanallah. Tidak percaya? Ya, terpulang.

Fakta ini seperti mahu dirungkaikan kebenarannya. Apakah ia benar?
 
al-hakim, salam sejahtera kembali...

Berat jika memandangnya berat. InsyaAllah semoga dipermudahkan perjuangannya nanti...^^

Eheh, ya. Tetapi, alamatnya sampai lambatlah ke kelas andai bergerak dengan berjalan kaki. ^^ A'hah, jadikan selauk dengan pelbagai aneka rasa dan jenis. Hurm... lauk apakah itu? Ikan masak sweetsour mungkin? =)

Yupsie. Memang, seorang doktor fizikal mengenal luar dalam anatomi hati serta penyakit-penyakit yang bisa menyerang dan bisa menyebabkan kematian hati. Tetapi belum bisa dia mengenal hati maknawi serta penyakit-penyakit rohani yang menyerang beserta ubatnya. Pun begitu InsyaAllah, kan digunakan kesempatan bertemu pesakit tersebut, sambil-sambil mengubati fizikalnya kan cuba belajar melihat simptom-simptom cacat rohaninya. Nahnu du'at qobla kulla syai. InsyaAllah. Doakan ya!

Ah, apalah ada pada blog kecil-kecil ini melainkan catatan eceran kehidupan seorang yang masih belum cukup mengenal isi kehidupan, yang masih kurang ampuh menatang pengalaman. Pun begitu, InsyaAllah. Selagi diberi Tuhan bergerak dan bernafas, blog ini takkan dibiar sunyi... er, semoga!

Kredit juga untuk para penuntut ilmu agama yang berusaha membersih hati kemudian mengubatinya. Kerna di situ terletaknya masalah ummah paling utama hari ini. Kalian lebih memaknai ilmu yang diajar Ar-Rasul, InsyaAllah. Justeru, semoga berjaya men'tazkiyatun nafs' ummah. Kurang penyakit rohani, kurang penyakit fizikal. ^^

Amin Ya Robb atas semua doa-doanya. ^^

Allahu'alam.
 
Waalaikumussalam, Liyana!

Haila, menulislah jika tekanan terlalu berat. Kadang-kadang disimpan menambah beban, justeru berkongsi rasa InsyaAllah bisa melepas sedikit tekanan yang menekan. ^^

Isi kena ada... ;p A'hah, bayu yang hadir kini telah terasa menjadi angin sepoi-sepoi bahasa, Alhamdulillah. Pun begitu tak terjangka bila ia akan menjadi ribut taufan yang melempang-lempang. Bersedia ajalah dengan dayung dan sampan!

InsyaAllah - akan ingat itu! Syukran atas perkongsiannnya...^^

Seganlah akak, Liyana! ceyh! kihkih. ^_^
 
Ustaz, dalam paru-paru ada alveoli iaitu ruang udara kecil-kecil seperti bebelon. Ini gambarnya. Jumlah kesemua alveoli ini lebih kurang 300-500 million dengan jumlah luas permukaan 70m2 dalam paru-paru manusia dewasa yang normal (er, bukan paru-paru perokok tegar, ya) yang mana saiz ini lebih kurang sebesar gelanggang tenis/badminton. Mereka nampak kecil kerana duduk rapat-rapat dan diselaputi dua lapis karung khas dengan saiz yang telah ditetapkan cantik untuk muat-muat dalam ruang di dada. Subhanllah. Bagaimana Allah mengaturnya? Allahua'lam.

"dan nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?"
 
Kak su tak tahu nak komen apa sebenarnya...
Bila membaca entry Balqis ni, kak su cuba membayangkan laluan hidup seorang bakal Dr dan Dr yg ada sekarang. Tak mudah rasanya.

Dan membayangkan kalaulah kak su diberikan pilihan oleh Allah untuk menjadi Dr satu ketika dulu... Nak ke tak nak? Ish... menakutkan. Penat kan?

Kak su orang yg berkarekter hijau. Seorang yang sukakan hidup yg simple, tenang dan mengambil masa untuk menilai sesuatu. Dr seharusnya cergas dan bijak membuat keputusan. Kalau kak su jadi Dr, mesti ramai pesakit yang semakin sakit sebab menunggu kak su menilai setiap keputusan... hahaha
 
Kak Su, tidak mengapa, asal bertandang menyapa, saya sudah gembira. lama Kak Su tidak meng'update' blog.

Allahua'lam Kak Su. saya sampai ke jalan ini pun masih terpinga-pinga. Apa benar aku bakal seorang doktor? Kadang-kadang sendiri masih belum dapat terima hakikat, pun begitu telah Tuhan letakkan saya di jalan ini - pasti ada perancangan dan penentuan terbaik dari Dia. InsyaALlah.

Ha3. Tetapi doktor pun kena buat keputusan dengan tenang... Kalau kelam kelibut pun nanti salah bagi diagnose dan ubat. Hehe...

Kak Su doakan saya, ya! ^^
 
salam..
hahaha..sabar eh..no pain, no gain
anda menulis gaya2 faisal tehrani, berseni gitu..hehehe

p/s:tahniah, anda dapat award..visit web saya..hehee
 
Salam, Faizal...

InsyaAllah, masih bersabar...
Iya? jauhnya saya dengan FT, alahai...

p/s: Terima kasih...
 
saya terlupa. demoiselle maksudnya young and unmaried woman. maksud lain, some kind of fish. pilihlah mana satu akak nak..cihihi~
 
Liyana,

Owh, kerna awak tak menjawab, akak tanya atuk google. Tapi tak tahu pula adalah nama lain bagi some kind of fish. Er, ini Frenchkan? Tentulah maksud paling best yang pertama itu - yaoung and unmarried woman, eheh ;p
 

Post a Comment

Assalamualaikum teman-teman, terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak bicara kamu, sekurang-kurang kalian telah hadir menceriakan hari-hari saya di persimpangan ini. Jazakumullah!!