Wafeya

Life is a serious matter.

Saturday, April 10, 2010

Selembut rebung, sekeras buluh




Benar, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lembut dan mudah dibentuk. Setelah menjadi buluh, bikinan apa pun, payah mahu dibentur, melainkan ditetak, diambil jualah dibuat meriam. Pun begitu teman, beritahu padaku, benar payahkah melentur setelah rebung keras menjadi buluh?

Ada sebuah kisah berharga dipetik dari hadith yang diriwayatkan oleh Muslim, At-Tirmidzi dan An-Nasai’ yang bisa dikongsi dan diambil pelajaran bersama. Kisahnya begini...

Al-Ghamidiyyah adalah sosok wanita sahabat yang hidup di Madinah dan bersuami dengan lelaki sahabat. Bayangkan, ia belajar Al-Qur’an dengan kedua telinganya dari lisan Rasulullah SAW, berIslam di tangan Nabi SAW dan hidup di Madinah. Setelah semua itu, ia berzina. Bayangkanlah!

Ia berzina, tetapi ia punya keinginan bertaubat, maka ia pergi kepada Rasul SAW seraya berkata, “Wahai Rasulullah, aku telah berzina, dan kini aku sedang hamil. Sucikanlah aku, ya Rasulullah.”

(Perhatikanlah kalimat “Sucikanlah aku, ya Rasulullah!” Lihatlah yang dosa mereka menguasai hati dan fikiran mereka selama puluhan tahun. Al-Ghamidiyyah sekali berbuat salah, tetapi ia ingin bertaubat.)

Rasulullah SAW bersabda, “Pergilah sampai anakmu lahir, lalu datanglah kepadaku!”

(Apakah kita tahu, apa yang akan diperoleh penzina yang bersuami? Hukum rejam sampai mati! Ia menjadi tercemar, suaminya menjadi tahu dan keluarganya pun tahu. Tetapi menyucikan diri lebih utama)

Kemudian Al-Ghamidiyyah kembali setelah sembilan bulan. Keinginan taubat di hatinya masih membara. Ia hanya mendengar beberapa kalimat dari Rasulullah SAW.)

Setelah sembilan bulan ia datang sambil membawa anak kecil seraya berkata, “Sucikanlah aku, ya Rasulullah.” Rasulullah bersabda, “Pergilah hingga kau menyapihnya.”

(Apakah masuk akal? Ia akan menunggu dua tahun setelah menunggu sembilan bulan? Ia akan menunggu dan ia hanya berfikir, “Aku ingin menyucikan diri.” Hal ini tidak sesuai dengan kondisi kita, kerana hukum hudud tidak ditegakkan, sehingga taubat hanya dilaksanakan dengan tiga hal – menyesal, menghentikan dan bertekad kuat untuk tidak akan mengulanginya.)

Setelah dua tahun, ia melihat anaknya sudah mahu memegang roti, maka segera ia mengerti bahawa anaknya sudah mampu disapih, iapun datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata, “Bunuh dan sucikanlah aku.” Rasulullah bersabda, “Berikan anak itu.”

(Siapa yang lebih mahal, anak atau ibu? Anak itupun diambil, tetapi lihatlah pada masyarakat ketika itu yang mempunyai ukhuwwah yang mantap. Apa yang mereka katakan kepada anak tersebut? Adakah anak penzina? Tidak! Orang Islam tidak akan mengatakan pada anak mereka dengan perkataan itu.)

Rasulullah SAW mengangkat anak itu, lalu berkata, “Siapa yang mahu menjamin anak ini, ia akan menjadi pendampingku di Syurga!” Anak itupun diambil dan Al-Ghamidiyyah pun direjam.

(Ia adalah seorang wanita, yang kalau sahaja ia lari daripada batu tentu mereka akan meninggalkannya.)

Al-Ghamidiyyah pun dibelenggu hingga mati. Lalu Nabi SAW berdiri untuk melakukan solat (jenazah), maka ‘Umar pun berkata, “Wahai Rasulullah, apakah Anda akan mensolatkan dia sedangkan dia itu penzina?” Nabi SAW bersabda sambil marah, “Celaka kau ‘Umar, ia telah bertaubat dengan taubat yang kalau dibahagi-bahagi kepada 70 orang penduduk Madinah tentu akan mencukupi mereka. Apakah kau pernah melihat taubat yang lebih baik dari mendermakan jiwanya kepada Allah?”

(Kisah ini beserta komentar tambahannya adalah sebagaimana yang telah dipaparkan oleh Sheikh Amru Khalid di dalam bukunya “Islahul Qulub”.)

Lihatlah betapa hebat dan mantapnya taubat Al-Ghamidiyyah tersebut, tidak berpaling sedikitpun, malah terus-terusan berusaha untuk membersihkan dirinya. Allahuakbar...

Teman, fitrah manusia itu sangat-sangat mahu kepada kebaikan. Berlarilah sejauh mana pun bersama kejahatan, kau pasti tetap akan tiba di garis permulaan tempat kau mula menapaki pelarian. Erti kehidupan itu teman, terletak pada satu tujuan. Dan tujuan itu tidak pernah berbeda dari saat kau dilahirkan hingga menginjak dewasa. Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya karena mencari keridhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya. (2:207)

Seperti kerasnya buluh, ia masih bisa dibuat bina jambatan atau rakit, menopang kukuh struktur bangunan dan paling terpopular, buat diguna di hari lebaran mengisi beras pulut dan santan dalam balutan daun pisang – iya, namanya lemang. Asal tahu tujuan, InshaAllah bisa teradaptasi menuju destinasi – mencari redha Illahi. Dan teman, biarpun hidayah itu milik Tuhan, jangan pernah lelah berusaha memiliknya jua. Sungguh, belum pernah terlambat untuk bertaubat, biar ditinggal berapa jauh pun kerana bukan masa yang menjadi hitungan, amal yang diredhai jualah menjadi pergantungan. Biar - sedikit mana pun, teman.

Justeru teman, beritahu padaku, benar payahkah melentur setelah rebung keras menjadi buluh?

Entah.

Lenturlah berkali-kali, InshaAllah kan bisa lebih lembut dari rebung nanti.



Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. (Ali 'Imran:134)

"Jangan pernah berubah kerana orang, takut nanti bila kau sudah bosan dengan perubahan itu, kau akan kembali kepada dirimu yang dahulu. Biarlah perubahan itu datang dari hati. Hati yang telah dibersihkan."

Wallahua'lam.



Dalam sela-sela tawa, aku mengharap hadirnya basah mata,

12 buah bicara:

Allahhu Rabbi!

Assalamualaikum Ya Balqis,

Rebung dan buluh, dua-dua mempunyai kepentingan. Rebung jika direbus atau digulaikan, bisa jadi makanan lazat!

Buluh juga banyak kelebihannya.

Islam itu agamanya bukan menghukum membabi buta, Islam menghukum kerana mahu mendidik jiwa, mahu menyucikan apa yang kotor, mahu meluruskan apa yang bengkok. Amat malang jika yang berkata Islam adalah agama yang zalim!

Hatta mahu mempertahankan diri juga ilmu fiqh membincangkan, rujuk bab sial.

Tentang anak luar nikah, telah saya tuliskan dalam entri bertajuk - Haramkah anak haram.
 
kalau di malaysia kini, bagaimana mereka-mereka yang berzina itu lepas dari hukuman dengan wang ringgit, bagaimana itu?

..dan yang ingin bertaubat pula, bagaimana harus dia minta untuk disucikan?
 
terpesona~ subhanallah. :)
 
terimakasih balqis, atas tulisan yang terusan menyentuh hati ini
 
salam ya balqis,

Terima kasih kerana menulis yang ini. Tak pernah saya
tahu namanya walaupun tahu ceritanya. Sungguh, taubat
itu permulaan dan pengakhiran.

Ya Balqis, sekeras-keras batu pun lembut jadinya
dititiskan air.

Hudud, itulah sebenarnya cara
hudud dijalankan!
 
Waalaikumussalam ya ustaz,

Sungguh. Pun begitu belum pernah merasa gulainya rebung.
Benar penyataan tersebut ustaz. Islam. Agama terbaik. Sungguh. Kalau benar-benar beramal dan menghayati.

Syukran atas pautan. ^^
 
Hazen, mereka terlepas hukuman di dunia (dengan wang ringgit), tetapi tetap tidak terlepas hukuman Allah samada di dunia mahupun di akhirat. Hukuman Allah di dunia berupa ketidaktenangan hati (sering gelisah dan rasa bersalah atas dosa dan kesalahan, tidak tenteram, kiranya tidak pernah rasa aman sekalipun kerana dosanya tertanggung. Itukan siksa juga namanya. Siksa batin) dan di akhirat, azab yang amat besar menanti.

(Dalam hal ini, kedua-duanya mendapat dosa - si penzina dan sang penguasa kerana tidak melaksanakan hukum Allah)

Pun begitu, andai si penzina telah sebenar-benar taubat sepertinya taubat Al-Ghamidiyyah ini, tetapi tidak dilaksanakan hukum hudud ke atasnya, itu, soal diterima atau tidak taubatnya antara dia dengan Allah urusannya.

Dalam kisah ini, Nabi Muhammad SAw tetap melaksanakan hukum hudud walaupun Al-Ghamidiyyah telah benar-benar bertaubat kerana ingin menegaskan bahawa hukum Allah itu, tidak boleh dibuat main-main. Tetap dan perlu dilaksanakan.

Pada zaman kini, dalam keadaan hukum hudud tidak dapat dilaksanakan, penzina tersebut haruslah bertaubat sungguh-sungguh. Taubat nasuha. Kemudian, selebihnya terserah antara dia dengan Allah.

Harap menjawab persoalan saudara. Wallahua'lam.
 
Paan, sama-sama merenung... ~

cikgu, sama-sama. Semoga yang menulis ini lebih tersentuh hatinya.

Abuya, salam kembali. Sama-sama. Suka dapat berkongsi. Saya pun baru tahu namanya. Benar, abuya... inikan pula sekeping hati. Aduhai.
 
Balqis

Rindunya dengan awak! Salams hormat dri akak, best sungguh post ni...izinkan akak publish di blog akak ya? Kadang2 akak terasa akak sudah ngga mampu menulis sebaik mu dan rakan2 yang lain. Doakan akak jua mampu menjadi lebih lembut dari rebung!

Love always
 
Kak Nur!!

Rindu akak juga! Salam hormat kembali kakakku... ^^ Alhamdulillah. Silakan akak, sama-sama berkongsi. Akak, tak mengapa tulis bagaimana pun, asal kita coba untuk menyampaikan, gitu kan deh? InshaAllah, sama-sama mendoakan, saya pun mahu jadi lebih lembut dari rebung... ^^

Love always. (^_^)V
 
"Jangan pernah berubah kerana orang, takut nanti bila kau sudah bosan dengan perubahan itu, kau akan kembali kepada dirimu yang dahulu. Biarlah perubahan itu datang dari hati. Hati yang telah dibersihkan."

saya suka dengan kata-kata ini kak balqis. buluh boleh dilentur. tapi perlu tenaga dan usaha yang lebih kan?
T__T
 
Liyana, buluh boleh dilentur yup... (er, tak tahulah kena rebus dulu ke atau kena kukus ke...eheh) tetapi jangan berlebihan tenaga pula... nanti terus... patah!

Nak melentur pelan-pelan dan biar kena gaya... InshaAllah. =)
 

Post a Comment

Assalamualaikum teman-teman, terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak bicara kamu, sekurang-kurang kalian telah hadir menceriakan hari-hari saya di persimpangan ini. Jazakumullah!!