Wafeya

Life is a serious matter.

Wednesday, July 07, 2010

Konstantinopel kedua



Dalam salah satu kempen semasa zaman kerajaan Umaiyah, seorang sahabat besar Nabi Muhammad iaitu Abu Ayub Al-Ansari syahid dan dimaqamkan di bawah dinding kubu kota Konstantinopel di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya mengapa beliau ingin dimaqamkan di situ, beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinopel.

Ada pengharapan besar dalam wasiat Abu Ayub Al-Ansari ini, sahabat yang rumahnya dipilih oleh unta Rasulullah dalam peristiwa hijrah ketika baginda tiba di Madinah. Pengharapan besar yang bercambah saat mendengarkan ucapan Rasulullah SAW, “Kota Konstantinople akan dapat dibuka, dan orang yang membukanya, pemimpinnya sebaik-baik pemimpin dan tenteranya sebaik-baik tentera”. Abu Ayub ingin menjadi orang yang disebutkan di dalam hadith ini. Beliau bersama angkatan tentera Islam menuju ke kota Konstantinople sedangkan umur beliau pada ketika itu sudah sangat lanjut.

Menyoroti kisah sahabat nabi ini, ada untaian sesal yang berkabung dalam hati dan jiwa yang masih muda jagung ini. Jiwa yang terkalahkan oleh semangat jihad Abu Ayub Al-Ansari yang telah sangat lanjut usianya tetapi masih mahu ikut berperang. Subhanallah. Jika ada ‘Konstantinopel kedua’ yang harus ditakluk, mungkinkah kita bisa menjadi seperti sebahagian dari para pejuang terdahulu yang mendambakan hanya dua; syahid mahupun menang?

Konstantinopel yang disebut-sebutkan dalam hadith baginda telah pun ditakluk 800 tahun kemudian dan sebaik-baik raja yang menakluk itu adalah Sultan Muhammad Al-Fateh yang tenteranya merupakan sebaik-baik tentera. Begitu benar janji Allah yang disampaikan melalui lisan Rasul-Nya. Allahuakbar.

Konstantinopel - yang kini dikenal sebagai Istanbul. Kerana kisah ini, saya jadi sangat teringin menjejak bumi Turki. Semoga ada rezekinya nanti. InshaAllah.

--

Konstantinopel kedua - saat ini, ada satu negara yang harus dan wajib ditakluk terlebih dahulu. Negara paling sukar dan paling payah ditakluk. Rajanya adalah hati dan tenteranya adalah segala anggota dan pancaindera. Itulah negara diri. ‘Konstantinopel kedua’ bagi saya. Ada sepatah syair Arab yang berbunyi begini, “Al-qolbu wazeerun naaseh” yang bermaksud, hati adalah menteri yang menasihati.

Semua orang pernah mendengar pesanan Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Ketahuilah dalam setiap tubuh (jasad) terdapat seketul daging , jika elok daging itu maka eloklah keseluruhan tubuh badan dan jika rosak daging itu maka rosaklah juga seluruh tubuh badan , maka ketahuilah bahawa itu adalah hati".

Konstantinopel dahulu berjaya ditakluk kerana pemimpin dan rakyatnya telah berjaya menakluk hati masing-masing. Sewaktu diperiksa khemah-khemah tentera di hening malam, semuanya bangun dan menghidupkan malam dengan berzikir dan beribadat kepada-Nya. Tenteranya tiada seorang pun yang pernah meninggalkan solat fardu walau sekali, dan sebahagiannya belum pernah sekali meninggalkan solat sunat rawatib. Lagi-lagilah raja mereka yang merupakan sebaik-baik raja, Al-Fateh sendiri tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh. Subhanallah, begitu hati mereka ditakluk dengan kecintaan kepada sang Khaliq lantas dimanifestasi dalam kehidupan seharian sehingga bisa menakluk Konstantinopel yang menurut Napoleon Bonaparte, “Kalaulah dunia ini sebuah negara, maka Konstantinopel inilah yang paling layak menjadi ibu negara-Nya”.

Lalu, saat kita siap-siap melaungkan mahu membela Islam, menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini, hati kita bagaimanakah? Haih.

Kata Imam Al-Ghazali, “Saya hairan dengan manusia yang sangat mengutamakan kebersihan dan keindahan tubuh, sedangkan hatinya tidak mereka bersihkan daripada kotoran batin dan maksiat, padahal ALLAH hanya memandang hati mereka seperti firman-Nya dalam surah asy-Syams, ayat 1 hingga 10."

Wallahua’lam.

--

Ini, sebuah sajak kiriman adik Haniff Zikri yang berpeluang menjejak bumi Turki. Saya minta dia kirimkan lewat hari graduasi saya tempoh hari, dan juga terjadi kiriman sajak ini kerana seekor Camar. Tak sangka tak nyana, isinya terkias kupasan entri kali ini. Maka, terbaiklah saya kongsikan. Apa pun terima kasih buat adik Haniff kerana sudi berkongsi hasil karya beliau. Antara penulis muda yang amat berbakat dan saya kagumi.

I
Bilah hujan telah reda.
Langit tenang.
Kau melayah turun
.
Tunduk
.
Perlahan.

II
Dan kaumelihat,
dari kubah kecil Aya Sofia ini,
manusia berpusu menyerbu,

ada jiwa yang kering gersang,
ada jiwa resah mencari jawapan,
ada jiwa yakin mengukir senyuman,
ada jiwa,
gagah dalam tabah,
meneroka noktah,
sebuah penantian panjang.

III
Berkali di khabar sang bayu Bosphorus,
kisah iman nan gemilang,
justeru semalam,
buat kau luluh,
memandang masjid biru tersergam,
kan tersingkap halus pancainderamu,
rintih sunyi,
sayu bersahutan.

IV
titis akhir,
dalam sayap kuyup itu,
lantas mengingatkan,
lengah bukan milikmu,
kau harus bebas,
dari penjara nafsu,
mara hingga hujung kembara,
bangkit bersama dari lena ummah,
dan menyuci ludah sejarah,
laksana moyangmu,
akan kauceritakan pada alam,
gah luas layar islam.

V
Kau dan dia
terpisah jasad,
saujana samudera,
tercantum tetap
pada perca rasa.

Haniff Zikri
2010

--

Nota editor I: Entri ini, manifestasi melepas keinginan yang tidak kesampaian untuk memijak Istanbul, Haih. Simpan, simpan dalam planner.

Nota editor II: Konstantinopel kedua itu perlambangan yang tiada rujukan. Saya suka-suka hati letak. Untuk saya, hati saya adalah Konstantinopel kedua. Semoga saya boleh jadikan ia sebaik-baik raja dan diri saya sebaik-baik tentera. Cuba, cuba.

Nota Editor III: Sajak tersebut saya tidak minta kebenaran pun untuk terbitkan. Lagi, suka-suka hati. Dan juga dik Haniff, kerana kau tidak berani menurunkannya dalam blogmu, maka...

Nota Editor IV: Sejak bila ada nota-nota editor ini?


Saat kau merasa yang di tanganmu telah cukup terbaik, Allah lebih mengetahui apakah yang lebih terbaik buat-Mu.

4 buah bicara:

wah2.

semakin ke akhir semakin berdebar saya baca.

hek.
 
Salam balqis,

kak amami here..^_^ sejak dari 2 thn dulu akak telah jatuh cinta tak bangun2 dgn blog awk nih..:)

alhamdulillah berjumpa lagi..:)
 
Enggeh.

"Saat kau merasa yang di tanganmu telah cukup terbaik, Allah lebih mengetahui apakah yang lebih terbaik buat-Mu"

Senyum perlahan.
Lambat pula kendurnya.
Ha.
 
hazen, tarik nafas. hah.

salam kak amami, Allahuakbar. Apa-apa yang baik semua pun datang dari Dia. Terima kak kerana masih sudi singgah... =)

Haniff, terima kasih ya. =)
 

Post a Comment

Assalamualaikum teman-teman, terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak bicara kamu, sekurang-kurang kalian telah hadir menceriakan hari-hari saya di persimpangan ini. Jazakumullah!!