Wafeya

Mata ke bumi, hati ke langit

Tuesday, August 24, 2010

As-Sofffff!!!!!

(Panaslah juga - sekejap)

Mak cik, minta maaf ye kalau saya nak cakap sikit. Sikit je. Mak cik, kalau kita solat berjemaah, kita kena rapatkan saff. Jangan biar rongak. Saya boleh faham kalau mak cik kurang selesa dan jarak-jarak sedikit agak-agak nak bagi angin tempias lalu supaya kurang panas dan telekung yang berkibar-kibar lantas bersentuhan dengan telekung orang sebelah itu mak cik anggap sudah cukup syaratnya merapatkan saff. Padahal merapatkan saff itu adalah bersentuhan antara bahu-bahu, mak cik. Ada baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Luruskanlah saf-saf, rapatkanlah bahu-bahu, tutuplah celah-celah (di kanan dan kiri di antara kamu), dan berlemah-lembutlah terhadap saudara kamu, serta jangan biarkan ada celah-celah untuk Syaitan. Sesiapa yang menyambungkan saf, Allah akan menyambungkan hubungan dengannya dan sesiapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutuskan hubungan dengannya. (Hadis Riwayat Abu Daud, Sunan Abi Daud, Kitab as-Solah, 2/309, no. 570. Dinilai Sahih oleh al-Albani, Shahih Sunan Abi Daud, 2/166, no. 666)

Dan lagi mak cik, janganlah sampai berjarak jauhnya sepelaung, mak cik. Kalau nampak enam tujuh orang dah mengosongkan saff, angkatlah sejadah yang mak cik sayang tu bergerak mengisi ruangan kosong tersebut. Walaupun dalam bulan puasa yang mulia ini semua syaitan dan jin-jin jahat kena rantai dan mungkin ya, pada anggapan mak cik tiada mereka untuk mencelah antara saff tetapi sebaiknya rapatkanlah. Adakah gigi yang rongak itu cantik apabila tersenyum mak cik? Sedang gigi yang rongak pun kita berusaha menampal atau mengganti dengan gigi palsu, begitu jugalah halnya dengan saff. Andai rongak tiadalah ia kelihatan indah di mata apatah lagi di hadapan Allah yang kita sembah.


Mak cik tahu tidak, merapatkan saf itu bagus untuk aliran cas-cas antara badan. Apabila kita menyentuh bahu orang di sebelah kita, semua cas-cas negatif akan dinyahcas oleh cas-cas positif antara ahli jemaah. InshaAllah, badan kita akan sihat cergas dan tidak lemah longlai usai menunaikan solat. Sebab itulah sabda baginda SAW bahawa solat itu adalah kerehatan bagi orang mu’min.

Kalaupun mak cik tidak berasa enak berkongsi sejadah atau takut kehilangannya dan geli geleman mahu mendekatkan bahu, mak cik kena juga ingat dengan siapa mak cik akan menghadap, layakkah mak cik, kita sombong dengan Allah yang suka melihat hamba-Nya menghadapnya dalam keadaan penuh tertib, tersusun dan kemas. Mak cik juga yang pernah ingatkan, Allah itu cantik, Allah suka kepada yang cantik. Kan mak cik?

Mak cik, dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari an-Nu’man bin Basyir: beliau berkata, “Dahulu Rasullullah meluruskan saf kami sehingga sampai seperti meluruskan anak panah hingga beliau memandang kami telah faham apa yang beliau perintahkan kepada kami (sehingga saf kami telah rapi), kemudian suatu hari beliau keluar (untuk solat) kemudian beliau berdiri, hingga ketika beliau akan bertakbir, beliau melihat seseorang yang dadanya terkehadapan, maka beliau bersabda:

“Wahai para hamba Allah, hendaklah kalian benar-benar meluruskan saf atau Allah akan memperselisihkan wajah-wajah kalian”. (Diriwayatkan oleh Muslim, no. 436)

Imam al-Qurthubi berkata, “Yang dimaksudkan dengan perselisihan hati pada hadis di atas adalah bahawa ketika seseorang tidak lurus di dalam safnya dengan berdiri ke depan atau ke belakang, menunjukkan kesombongan di dalam hatinya yang tidak mahu diatur. Yang demikian itu, akan merosakkan hati dan memungkinkan menimbulkan perpecahan.” (Rujuk: Fathul Bari 2/443) Pendapat ini juga didukung oleh Imam al-Nawawi, beliau berkata, “Berbeza hati maksudnya, terjadi di antara mereka kebencian dan permusuhan serta pertentangan hati. Perbezaan ketika ber-saf merupakan perbezaan zahir dan perbezaan zahir adalah wujud dari perbezaan batin iaitu hati.”

Mak cik, dahulu ada seorang lelaki mengambil wudhu’ dengan cara yang salah, kebetulan ada pula dua orang budak lelaki yang tidak lain tidak bukan adalah cucunda jujungan besar sendiri. Terasa segan pula di hati mahu menegur tetapi ilmu itu tidaklah ia mengira akan batasan umur melainkan harus dikongsi jualah andainya mengetahui. Maka, kedua mereka pun bersegera berlakon, seorang mengambil wudhu’ dengan cara yang salah dan seorang lagi membetulkan sebaiknya. Maka fahamlah sang pak cik yang mendengar dan melihat secara sembunyi akan perihalnya kedua orang cucunda Rasulullah SAW tadi ingin menegur cara mengambil wudhu’ beliau. Mak cik, tidaklah saya yang kurang asam garamnya ini dan kurang pula serba serbi ilmu sekolah kehidupan ini ingin menunjuk pandai, tetapi hanya ingin menyampaikan agar sama-sama kita menyempurnakan solat berjemaah dengan sebaiknya. Jika saya bergerak merapatkan, maka faham-fahamlah mak cik juga turut bergerak. Tolonglah mak cik jangan berdiam di tempat mak cik sahaja dan membiarkan rongak sehingga habis solat, ya mak cik.

(Mak cik kalau agak-agak macam confuse dengan penjelasan saya yang kurang sempurna ini, bolehlah bertanya dengan yang lebih tahu atau barangkali sambil-sambil cari resepi kuih raya dan rendang tok, bolehlah rajin-rajin cuba tanya Ustaz Google. InshaAllah, ramai yang akan bantu menerangkan dengan lebih jelas secara mendalam khas untuk mak cik. InshaAllah ya mak cik)

Baru bab merapatkan saf. Meluruskan saf pula? Pohon pak cik-pak cik imam tegas sedikit ya minta dirapatkan saff. Apalah dayaku seorang anak muda yang tidak dikenal orang ingin pula menegur tanpa ketahuan.

Semoga solat-solat kita semua diterima ya mak cik. Ampunkan salah silap saya di bulan yang mulia ini.

Assalamualaikum, mak cik.



Lega. Sedikit.

An alarm clock, aren't we?



Abu’d-Darda’ reported that the Messenger of Allah said,

“Shall I inform you of the best of your actions and the purest of your property and the highest of your degrees and what is better for you than spending gold and silver and better for you than encountering the enemy and striking their necks and their striking your necks?”

They said, “Yes, indeed!”

He said, “Remembrance of Allah Almighty.”

Muadh ibn Jabal said, “There is nothing which saves from the punishment of Allah more than remembrance of Allah.”

(Ahmad, Ibn Abi’d-Dunya, at-Tirmidhi and Ibn Majah)



Monday, August 09, 2010

Saat kecintaan itu datang

(dan kecintaan lalu disepak terajang)



Kusambut bulan suci
dengan derai tangis yang mesra
sebab kebahagiaan di ufuk timur
dan keikhlasan di ufuk barat
berhadap-hadapan
mengajarkan senyum cakrawala pada bumi
Tempat di mana orang berpuasa
Dan istighfar mengucur
dari bibirku yang bergetar
saat sejadah terbakar
cinta menguap ke langit
menerobos gelap malam
Bulan mungkin sedang menyandarkan rindunya
di dada yang lain
Adapun rambut yang engkau sebut dosa masa lalu
bergerai kembali ditiup angin
seperti sengaja dibiarkan
agar terhapus jejaknya dari segala nestapa
Ramadhan tiba
seperti kupu-kupu yang cantik
bertamu di perkarangan hatiku
Aku bernyanyi seperti fajar pagi:
Debu-debu yang menempel itu
perlahan dihapus air mata angkasa

WS Rendra, 1999

Kecintaan itu - sungguh memberi ajar,