Wafeya

Mata ke bumi, hati ke langit

Monday, January 14, 2013

Mencintai dalam diam


Kerana mencintai dalam diam itu adalah doa.

Muawiyah


Hari itu, hujan turun beginilah. Lebat mencurah-curah. Bersama hawa yang gah mengarah aliran hujan ke sanalah, ke sinilah. Pun begitu, masih cantik sangat panorama yang terbentang depan retina mata. Subhanallah. Sejuk. Nyaman. Sebak. Ada kenangan yang bertimpa-timpa datang ketika hujan turun begini.

Menahan rasa, segera mencari kelibat Awi yang kelihatannya baru keluar dari bilik air dengan bahagian depan baju yang hampir lencun. Awi berlari terkedek; kepala, muka, tangan dan kakinya basah. Apa sahajalah si Awi ni... Haih.

"Awi, jangan lari, nanti jatuh. Awi nak ke mana tu?"

Awi masuk ke bilik papanya. Menuruti Awi dari belakang, melihat dia cekatan mengambil sejadah dan kopiah papanya.

"Awi, kan tadi dah solat Zohor dengan papa".

Awi membentangkan sejadah, senget. Melihat ke kiri dan ke kanan, kemudian meletakkan kopiah di kepala. Juga sedikit senget dan hampir menutupi separuh mata. Awi duduk. Bersimpuh sebetulnya.

"Awi buat apa tu?"

Awi diam. Seperti merenung sesuatu.

Tiba-tiba. "Amin..."

"Awi?"

"Awi doakan opah tadi, dengan Tok Ayah. Papa cakap, kalau hujan turun, kalau kita doa, InshaAllah doa kita makbul."

Tiba-tiba rasa sebu datang memenuhi dada. Sesak. Empang rasa yang ditahan tadi pecah juga akhirnya melimpahkan jurai manik-manik halus. Ayah dan ibu baru seminggu pergi menghadap Illahi.

Anak ini. Muawiyah. Yang dipinjam namanya dari seorang sahabat Nabi yang mulia.

Ya Allah, semoga dia jadi permata soleh dan menjadi insan hebat, sehebat namanya.

Hujan masih turun. Lebat mencurah-mencurah. Guruh tidak berdentum. Petir tidak sabung menyabung.




Kawan; buku, masa, bahagia

Bila aku tak boleh menulis. Aku membaca. Bila aku bosan membaca, aku termenung dan merenung. Makanya banyak buku yang aku beli tak sempat baca.

Duit boleh dicari, kata kawan aku. Tapi masa, perasaan bahagia semua adalah anugerah. Orang yang mencari bahagia, belum tentu akan dapat kebahagiaan yang dicari walau macam mana pun dia usaha. Selagi Allah tak anugerahkan rasa bahagia tu dalam hati dia, dia tetap akan rasa resah gelisah sampai bila-bila. Orang yang mencari masa? Heh, ada orang yang cari masa? Masa tu memang dah ditetapkan. Kita yang hidup dalam ruang lingkup masa ini, hanya boleh mengatur sebaik mungkin supaya masa yang ada, yang dianugerahkan kepada kita dapat kita gunakan sebaik mungkin. Atau masa memang akan berlalu dan habis begitu sahaja. Sebab kita tak tahu bila riwayat hidup kita tamat, kita tak tahu bila masa kita habis. Kadang- kadang kita selalu tak sempatkan? Dia melirik dengan anak mata.

 Diam. Aku selalu diam bila dia bercakap begini. Selalu membiarkan dia terus bercakap. Bila nanti, dia akan turut terdiam juga. Barangkali menghadam butir-butir bicaranya sendiri atau sekadar menghormati aku yang berdiam.

 Betul tak? Akhir sekali dia akan menambah. Aku selalu pula akan angguk. Selalu akan mengiakan.

So, kalau terasa nak beli buku tu, beli jelah.

Maka sebab tu dia tak pernah menghalang aku untuk membeli banyak buku yang belum tentu akan aku baca.

Kawan begini. Yang sering menenangkan dan memenangkan. Dia adalah kawan yang tidak perlu dibeli dengan wang, di luar jangkauan masa dan di luar atur bahagia. Dia adalah masa, dia adalah bahagia. Dia adalah kawan yang sebaik-baik kawan.

 Dan aku tak mahu kehilangannya.

p/s: aku tak boleh membaca sekarang, sebab itu aku menulis.