Wafeya

Mata ke bumi, hati ke langit

Thursday, September 12, 2013

Perempuan, hujan dan kesetiaan III


Berita itu seperti kilat, seperti guruh yang sedang berdentum di luar. Seperti hujan yang sedang turun mencurah. 

Zuq melepaskan tangisan kecil. 

"Tekanan darahnya tiba-tiba menurun, dia kehilangan banyak darah, akibat masalah uri bawah. Kami cuba menghentikan pendarahan, tetapi dalam waktu yang sama dia mengalami penurunan tekanan darah yang amat mendadak. We tried our best to bring her back but her heart is too weak to take it all. Allah lebih sayangkan dia, Encik.

Dia telah diberitahu tentang ini semua tetapi Wafeya degil, tetap mahu meneruskan kandungan. 

Wafeya mahu bertahan. Mahu menghadap takdir Tuhan, katanya.

Waf. Dia pergi, seperti hujan. 

Waf…

 “Encik, ini bayinya. Perempuan. Boleh azankan.”

Aku menyambut, memeluk, mencium; suci. 

Hangat terasa, bagai Waf ada bersama. 

Waf, ini Nusaybah Qaseh Iftitah.

THE END.

Perempuan, hujan dan kesetiaan II


"Zuq, kenapa membiarkan?"

"Kerana kau terlalu indah untuk tidak diendahkan."

Wafeya tersenyum. Manis sekali.

Tangannya menggapai lemah. 
Mencengkam kuat jemariku. 

Sakitkah Waf, bertahanlah. 

Dua orang bidan meluru masuk, melihat celoreng graf yang dihasilkan mesin yang mengesan denyutan jantung janin.

"Maaf, tak dapat tunggu lagi."

Aku mengangguk lemah. Cengkaman terlerai.

Katil troli ditolak segera. Pintu ke dewan bedah terbuka seluasnya. Waf sempat menoleh.

"Jangan sedih begini Zuq, doalah pada Tuhan untukku."

Wafeya hilang di sebalik pintu bersama seleret senyuman. Sentiasa manis. 

Siapa yang tidak sedih, Waf! Antara dua, aku rela hilang nyawa andai kau yang tiada!

Perempuan, hujan dan kesetiaan


"Masih di luar, Waf?"

Bisu.

"Masih marah?"

"Tak."

"Pengorbanan tu macam hujan, kan?"

"Hujan itu rahmat. Pengorbanan itu kesakitan."

Dadanya bagai ditikam-tikam. Perempuan ini masih membara dendam.

"Kau menyesal? Atau sekadar melepaskan kesedihan yang kesekian kalinya tidak berpenghujung?"

Dia mendengus. Jemari halusnya cekatan membetulkan sisi tudung. Bayu menghembus lembut, seolah bagai bersahabat, sedang hujan hebat menyimbah; membadai-badai. 

"Pengorbanan tu macam hujan. Sewaktu ia turun; dingin, basah, suram dan menyusahkan. Tapi di hujung-hujungnya mendamaikan, mententeramkan jiwa, membawa ketenangan semesta alam."

Bayu tiba-tiba menerpa, membawa tempias hujan bersama. Tangan cekatan menarik kejap sweater yang membaluti badan sambil melaju rapat ke dalam. Ah, sejuk.

Waf masih berdiri menghadap depan beranda, membiarkan sisi tudung dikibas sang angin. Tidak sukar menerka lakunya. Dia cuba bertahan. 

"Apa sebenarnya?"

Dia tiba-tiba bersuara, membiarkan lakunya mati diperhatikan.

"Pengorbanan tu awalnya memang menyakitkan. Kau melepaskan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu. Atau seseorang..."

Dia menjeling, tajam.

"Kau melepaskan sesuatu yang cukup terbaik, demi untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik di masa akan datang."

"Apa, selepas aku mati?"

"Waf!"

"Maaf."

Masih berbudi walau bicara bagai menghempas naluri.

"Seperti hujan Waf, turun membasahi bumi, keindahan sebenarnya hanya setelah ia berhenti. Setelah hujan tiada, manusia baru menikmati nukilan alam, merasai sebenar nikmat Tuhan."

"Kau samakan aku atau pengorbanan, dengan hujan?"

Ketawa pecah.

"Kau pun tidak kurangnya seperti hujan sekarang."

Sekilat itu juga pahanya dicubit jemari runcing milik Waf, merambat rasa sejuk yang hadir menggetarkan. Sekali dipulas, benar memulas. 

"Sakitnya cik Waf kita ni cubit."

"Entahlah Zuq."

Aku diam, membiarkan rasa perit dicubit berlalu perlahan.

"Aku marahkan Tuhan."

"Waf, jangan!"

Dia berpaling, tangan mengusap-usap perlahan perut yang semakin membesar, terasa panas di mata, bertakung seketika, sebelum tertumpah deras seperti hujan. Ah, akhir-akhir ini mudah benar dia menangis. 

"Zuq!"

Waf!

Dia mendekat dan membenamkan seluruh kesakitannya di bahuku. Dia bukan hujan. Wafeya bukan hujan. Wafeya hanyalah seorang perempuan. Dengan sebuah kesetiaan.

Wafeya adalah sebuah kesetiaan.