Wafeya

Life is a serious matter.

Friday, February 08, 2019

Nombor yang aneh.

Aku menghampiri sebuah rumah usang. Perlahan-lahan pintunya ku kuak. Melangkah masuk, sekilas melihat sekeliling sebelum perlahan-lahan duduk dan bersandar di satu-satunya tiang seri yang tertegak di tengah rumah usang ini. Barulah kemudiannya aku berani memberi salam.

Assalamualaikum Wafeya.

Tepat jam 12 pagi tadi, masuklah aku ke usia baru. Tak ada apa yang istimewa, sama seperti hari-hari yang telah berlalu. Aku baru sahaja tidurkan anak. Sebelumnya marah-marahkan mereka sebab bergaduh sesama sendiri. Yang adik marahkan abang sebab mengajuk dia bercakap, lalu dipukulnya abang. Yang abang geram setelah berkali-kali dipalu adik, terus menampar muka si adik. Dan berlarilah kejar mengejar siapa yang dapat menampar siapa dahulu demi melepaskan kegeraman dan kemarahan di dalam hati. Aku penat. Dari tadi belum duduk dan berehat. Maka aku bangun dan mengunci mereka berdua di dalam bilik mereka sendiri, membiarkan mereka menangis dalam kegelapan (tidaklah terlalu gelap, lampu tidur dah dipasang) memohon untuk keluar. Demi Allah, aku belum pernah menampar muka mereka. Sepaling geram pun, bahagian punggung ke bawah yang menjadi sasaran. Tuhan, mereka berperangai begitu kerana sifat keanak-anakan kan? Begitu banyak benda yang harus aku belajar. Begitu banyak benda yang masih belum aku faham.

Saat ini, berseorangan di birai katil anak. Tiba-tiba teringat untuk menulis. Di hari usia mencecah 33 tahun. Nombor yang aneh. Seaneh perasaan bahawa sebenarnya tiada siapa pun yang peduli. Ia bukanlah suatu perasaan yang menyedihkan. Hanya hambar dan bungkam. Kerana realiti kehidupan yang sebenar tentang aku di usia ini adalah - aku tidak mempunyai kawan.  Maksud aku, kawan yang mengenali aku dan dikenali aku adalah ramai. Cuma tidak ada yang benar-benar ingin berkawan. Sekadar berbasa basi di ruangan media sosial; menghantar komen menyapa dengan kata-kata semangat dan meninggalkan ucapan maya di hari lahir masing-masing. Tidak ada yang benar-benar ingin bertemu atas rasa persahabatan yang pernah dibina. Mungkin aku bukanlah seorang kawan yang baik, atau bukan seorang yang menarik? (baca: happening?). Ketawa. Sebenarnya aku bukanlah antara kawan yang wujud di dalam memori-memori manis mereka. Ketawa lagi. Aku hanyalah beberapa patah perkataan dalam novel hidup mereka. Berhenti ketawa. Kaki melunjur lenguh. Ku arah pandangan pada tingkap yang terbuka. Satu-satunya tingkap yang ada di rumah usang ini. Menarik nafas. Dan menghembus ngeluh.

Dan kerana semua itu, aku mendapati diriku akhirnya sendiri. Suami, dan keluarga. Tidak sama dengan mempunyai seorang kawan yang menerima dirimu untuk semua kekurangan dan tidak meniadakan kamu dalam senarai kawan-kawan yang ingin didampinginya. Suami dan keluarga adalah tanggungjawab. Ia tidak sama. Ada kebebasan yang tersekat. Kadang-kadang ada cerita yang tidak terluahkan. Justeru, ada masa aku mereka-reka kewujudan seorang kawan. Aku tidak gila. Mohon faham ya.

Untuk semua keanehan ini, Tuhan menghantar aku seorang lelaki dan dua orang malaikat kecil. Yang menyibukkan perasaan. Dan meriuhkan dimensi-dimensi yang belum dihuni sebelumnya.

Yang menyelamatkan (walau ada ketika masih sepi bertandang dan mengajak berbicara).

Justeru, pada hari ini, setelah 33 tahun aku hidup, akhirnya aku mengerti bahawa aku-tiada-kawan.

Samada aku tidak disukai kerana kelebihan yang ada padaku atau aku dijauhi kerana kekurangan yang ada padaku. Terserahlah. Entah apa kelebihan mahupun kekurangan. Yang pasti, aku tiada kawan. Yang sebenar kawan. Ada rasa bahawa kewujudan aku tidak diingini. Banyaknya khilaf. Tak mungkin mampu aku luruskan sekarang. Maaf.

Aku bangun. Mengibas-ngibas punggung dari debu yang terlekat. Tingkap yang terbuka itu ku tutup. Pintu kutarik rapat. Tetapi tidak aku kunci. Nanti aku datang balik ya Wafeya. Maaf kawan, aku selalu lupa.

Selamat Hari Lahir Balqis. Tiga puluh tiga tahun. Ia memang nombor yang sangat aneh.

"The downside of being an introvert is, people think you'd rather like being alone. All the time."

#happybirthdaytome