Wafeya

Life is a serious matter.

Sunday, May 31, 2009

Semalam di kutub khanah


SATU

Tertarik melihat keronsang kecil yang dipakai pada tudung saya, mak cik perpustakaan minta saya belikan satu dua untuknya. Warna merah hati, pesannya lagi. Di Ukraine tiada yang kecil-kecil begini. Besar-besar dan mahal-mahal pula. Saya tersenyum dan mengangguk setuju. Saya pun sudah lama tidak singgah Mydin Wholesale Emporium.


DUA

Saya lihat jam. Masa bergerak sangat lambat. Adakah kerana saya selalu melihat jam atau muka surat yang sedang saya baca ini masih yang sama seperti 30 minit yang lalu?


TIGA

Melihatkan rakan saya Sarah sedang sedap menikmati waffle buah-buahan, saya lantas bergegas keluar pergi mendapatkan satu. Di depan kedai, saya menanti kakak waffle siapkan untuk saya. Lama juga - 15 minit dan cuaca sangat panas. Saya ingat mahu cadangkan kepada kakak waffle supaya pasang awning di hadapan kedai, biar teduh sedikit dan orang yang menanti tidak terseksa. Kalau kakak waffle pernah main Diner Dash tentu dia faham perasaan pelanggan. Tetapi tidak apalah, inikan kedai kakak, bukan kedai saya.

Sementara menanti, saya melihat sekeliling. Ada tukang kedai sedang pasang papan tanda kedai yang baru. Banyak orang berjual beli dan lalu-lalang seperti tidak akan ada lagi hari esok untuk mereka. Di hadapan saya, seorang nenek tua sedang duduk menjual rokok dan kuaci. Sedikit sahaja barang jualannya tertebar atas satu meja kecil. Duduk di bawah panas terik bahang mentari. Kasihan. Kemudian datang seorang lelaki meminta rokok sebatang dua sambil marah-marah memaksa minta cepat. Selepas dapat terus berlalu pergi. Entah bayar, entah tidak. Nenek ambil sehelai dua wang kertas dan kira-kira dengan wajah sugul dan sayu sambil mulutnya terkumat kamit antara dengar dan tidak. Barangkali mencatur nasib pada nilaian wang saku atau sedang mengadu pada Tuhan akan payahnya kehidupan.

Tiba-tiba nenek memandang saya dan tersenyum. Aduh! Luluh lantak hati saya. Wajahnya tidak ubah seperti arwah opah. Andai tiada yang melihat, mahu sahaja tumpah air mata ini. Kasihan. Sungguh kasihan. Hati saya tidak mampu menerima adanya orang tua susah melarat begini. Mujur nenek ini masih tabah mencari rezeki halal berbumbungkan langit Tuhan yang kian terik panasnya itu. Ada yang lebih susah, hanya menadah tangan atau cawan plastik minta dipenuhkan (saya tidak mahu fikir tentang konspirasi pengemis atau apa – yang penting mereka memang susah dan sudah tua pula!)

Umur-umur tua begitu, tempatnya di rumah. Dimanjakan anak dan cucu. Bukan mengendong guni, menyeret plastik sampah, menarik troli berat atau menyelongkar tong sampah mencari sisa-sisa makanan buat mengalas perut untuk satu hari. Manalah perginya anak-anak mereka yang suatu waktu dahulu pernah dijaga dan ditatang bagai minyak yang penuh? Dari tahun pertama saya melihat kesusahan dan kesengsaraan ini dan saya tidak mampu buat apa-apa. Hanya menangis dalam hati. Di mana silapnya? Sistem kapitalis yang diamalkankah atau sikap manusia yang tiada beragama di sini? Saya tidak tahu.

Kakak waffle menghulurkan waffle buah-buahan bersama baki wang sambil tersenyum lantaran betapa murahnya rezeki Tuhan kurniakan kepadanya hari itu. Rezeki saya juga. Rezeki nenek tua itu juga. Saya berlalu pergi dan berdoa dalam hati moga-moga Tuhan senangkan hati nenek hari ini. Biarlah dengan hanya sesuap roti pun.


EMPAT

Waffle buah-buahan itu memang sedap! Sedikit mahal tetapi berbaloi – ada pisang, strawberry, kiwi dan nanas. Sedaplah!



Nak exam dah weih!


Jangan panik, ya!

Kali ini kita buat sedikit rumus matematik, ya. Rindunya pada calculus!


Rumus ini Professor Volchenko yang ajar sewaktu saya di tahun kedua. Waktu itu semangat belajar sangat tinggi menggunung! Kuliah beliau sangat mudah difahami, justeru tidak hairanlah ramai yang hadir dan memberikan perhatian termasuk juga saya yang ketika itu sangat rajin membuat nota dan catitan ringkas lambang belajar dengan baik dan tekun sekali.

Topik kuliah Fisiologi pada hari itu ialah Emotion, Sleep dan Memory. Lagi-lagilah bersemangatnya kami mendengar. Menurut beliau, banyak teori tentang emosi dibuat oleh para saintis bagi memahami apa itu emosi, apa yang mengawalnya dan bagaimana pula ia mengawal hidup manusia sehari-harian. Beritahunya lagi, ada lima teori tentang emosi dan saya tertarik untuk berkongsi teori yang terakhir ini dengan kamu memandangkan musim peperiksaan hampir mendekati. Teori terakhir ini jelasnya menunjukkan kaitan antara masa dan stress.

Teori yang dipanggil Information Theory of Emotions ini direka oleh George (kata Professor, beliau menemui ajalnya dalam satu nahas kemalangan jalan raya di Moscow) dan A. Kositsky, seorang fisiologist Russia. Menurut teori ini, State of Tension boleh dirumuskan sebagai ST = f (InEnTn - IaEaTa) di mana;

I = Information
E = Energy
T = Time
n = necessary
a = available

Begini, katakan kita akan menghadapi peperiksaan dalam masa terdekat ini. Jika kita mempunyai banyak maklumat, tenaga dan masa lapang untuk belajar (Information, Energy and Time available) berbanding maklumat, tenaga dan masa yang yang diperlukan untuk belajar (Information, energy and Time necessary), maka itu adalah lebih baik untuk pengawalan stress (State of Tension). Selalunya memang maklumat, tenaga dan masa yang kita perlukan untuk belajar lebih banyak dari maklumat, tenaga dan masa yang kita ada untuk belajar. Jadi, semakin kecil perbezaan antara yang kita perlukan dengan yang kita ada (necessaries minus availables), semakin baik State of Tension kita!

Andainya perbezaan itu sangat besar iaitu yang kita perlukan sangat banyak dari apa yang kita ada (maklumat, tenaga dan masa yang sangat sedikit) kita mungkin boleh jadi gila kerana tidak cukup maklumat dan kurang tenaga mahu telaah semua subjek dalam waktu yang sangat singkat.

Mengapa boleh jadi gila? Mari kita lihat State of tension yang ada empat ini pula:

Peringkat Pertama - AMA (Attention, Mobilization, Active)
Contoh: 10 hari sebelum peperiksaan - Ada banyak masa dan tenaga, boleh mendapat/mengumpul banyak maklumat sebelum periksa.

Peringkat Kedua - Negative Stenic Emotion
Contoh: Dua hari sebelum peperiksaan - Kurang masa, tenaga dan maklumat menyebabkan lekas marah, bengkeng dan meradang.

Peringkat Ketiga - Negative Astenic Emotion
Sehari sebelum peperiksaan - Tiada masa langsung menyebabkan rasa takut, gementar, panik dan risau yang melampau.

Peringkat Keempat - Breakdown, Neurosis 
Pelajar gagal dan macam-macamlah yang boleh berlaku kalau tiada iman dan kesabaran dalam diri; bunuh diri, juga bunuh guru dan ibu bapa, terjun tinggi, lompat jauh, langgar lari dsb.

Justeru, faktor utama yang perlu kita rancang dan jaga dengan baik adalah Time atau dalam bahasa Sepanyolnya - Masa. Semakin banyak masa yang kita ada, InsyaAllah semakin baik pengurusan stress kita. Sebenarnya tidak payah ada rumus-rumus ini pun kita sudah boleh fikir sendiri. Sajalah saintis ini semua tiada kerja maka direkalah rumus-rumus begini agar mudah difahami human behaviour yang kompleks dan kadang-kadang tak masuk dek akal waras pemikiran normal manusiawi.

Rumus ini bukan untuk pelajar yang akan menghadapi peperiksaan sahaja, tetapi boleh juga diapply dalam kehidupan seharian seperti seorang editor majalah yang sedang mengejar dateline, bussinessman, atau sesiapa sahaja yang kerjanya terikat dengan masa.

Fahamkah? Maaflah, saya bukan penerang yang baik. Susah juga mahu terjemah Matematik dalam bahasa. Moga perkongsian ini ada baiknya buat kamu semua yang sedang dan akan menghadapi peperiksaan. Jangan tension-tension, ya!

Man jadda wa jada!

Wallahua'lam.

p/s: Wah, wah, wah. Sudah dekat periksa sempat lagi update blog. Apa barang sheikh? Buat tebiatkah?

p/s: Rindu pada template blog lama yang bersih dan cerah.



Gagal merancang - merancang kegagalan,

Saturday, May 30, 2009

Mampu ke?



Dalam lesu
Kau masih tersenyum
Walaupun terlihat duka tangisanmu
Merindukan warna kedamaian
Menanti bahagia beraja di situ

Bilakah….
Kan berakhir kisah derita
Apakah... tiada penghujungnya
Manakah jawapannya

Laungkan tulus kasihmu seluruh alam
Hingga bisa menggegar bumi
Moga mereka terima utusan salam
Tanda kau masih di sini

Khabarkan kepada mereka
Masih ada cinta mewangi di sini
Dan khabarkan kepada dunia
Damai yang kau cari
Akan kau miliki
Pasti…


************************************************************************


Terkesan dengan status yahoo messenger seorang kenalan;

Macam mana nak tawan Palestin kalau lecture pun tak pergi?

Pergi ke kelas, menghadiri kuliah; adalah mujahadah paling kecil rasanya berbanding mengangkat senapang, membaling batu dan berhadapan dengan kematian serta kehilangan setiap hari. Aduhailah hati-hati yang lemah...

Sungguh-sungguhkan hatimu!

Self motivation is the ability to motivate yourself, to find a reason and the necessary strength to do something, without the need of being influenced to do so by another person. Working in a careful and consistent manner without giving up.


Sejak akhir-akhir ini entri semua banyak yang mengarut! Maaf, ya!



Friday, May 29, 2009

Bawalah Hati

Sepanjang-panjang hidup kita, bukan sekali pernah kita menangis. Tatkala sedih, kecewa, gembira, marah - dan air mata akan mudah tumpah andai perasaan-perasaan itu mampu menyentuh atma paling dalam kita. Tetapi berapa kalikah agaknya kita menangis kerana mengingati Dia? Sejujurnya saya, paling sedikit barangkali.


Bacaan Mishary Rashed Al-Efasy menyentuh hati para jemaah. Beruntung memahami Bahasa Arab, beruntung lagi kalau mampu menghayatinya sepenuh jiwa. Ya Tuhan, aku bagaimana agaknya?

Ini terjemahannya dari Surah At-Tahrim ayat 8-12, sama-sama kita dengar dan hayati, InsyaAllah - andai tidak sedikit, banyak yang terkesan di lubuk hati kita. Bawalah hati bersama-sama.

8. Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu."

9. Hai Nabi, perangilah orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka adalah jahannam dan itu adalah seburuk-buruknya tempat kembali.

10. Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): "Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)."

11. Dan Allah membuat isteri Fir'aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: "Ya Rabbku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam firdaus, dan selamatkanlah aku dari Fir'aun dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.

12. dan (ingatlah) Maryam binti Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebagian dari ruh (ciptaan) Kami, dan dia membenarkan kalimat Rabbnya dan Kitab-KitabNya, dan dia adalah termasuk orang-orang yang taat.

Sodaqallahula'zeem...

Selamat Hari Jumaat.




Hati separuh-separuh,
penuhkan!
Hati lemah-lemah,
Sunguhkan!
Bawalah hati!
Bawalah!

Award dan Tag Untuk Semua

Mensettlekan (jangan guna perkataan ini dalam kehidupan seharian anda. Amat salah dari segi nahu Bahasa Melayu) award dan tag yang lama terbengkalai.

Pertama : Terima friendship award dari adik Atikah Naim (Wah, rasa saya sudah tua sangat!) - pelajar perubatan tahun tiga di Alexandria, Egypt. Bertemu semasa sama-sama sertai Sunathon di Setiu, Terengganu Ogos tahun lepas. Manis, ayu dan sopan orangnya. Terima kasih, Atikah!


Rules:
1. Put this badge in your awesome blog.
2. Award this badge to 10 bloggers whom you think are inspirational and friendly.
3. Make sure you put the 'recipients' names here, along with their links.
4. Let them know about this.

Saya mahu beri kepada semua (sorry, I'm a rulebreaker) kerana semua sahabat yang saya kenali dalam alam maya ini adalah pemberi inspirasi dan ilham terbaik sepanjang mengenali mereka. Ambillah, jangan segan-segan dan jangan malu-malu! ^_~

Kedua : Award bersama tag dari Kak Tirana (merasa sedikit muda kembali, eheh!)

a) Copy badge "Vespa 3logger Award Friendship" di atas untuk diletakkan di blog anda.

Photobucket

b) Link/ceritakan kembali siapa yang memberikan award ini kepada anda.

Kak Tirana dari blog The Precious Moment

Saya memang baru sahaja mengenali Kak Tirana. Asalnya sudah lama melihat terlalu banyak namanya di ruang komentar sahabat-sahabat yang lain, maka hati rasa tertarik mahu berkunjung ke blog Kak Tirana. Malangnya selalu bertangguh dan tidak berkesempatan. Suatu hari yang saya tidak dapat ingat dengan tepat tarikh dan harinya, saya membuat kunjungan pertama. Membaca entri-entri di blog beliau, memberikan saya kefahaman bahawa tidak semestinya blog itu harus datang dari buah fikiran sendiri. Asalkan isinya bermanfaat dan ada pengajaran, bisa sahaja dikongsi dengan sekalian pembaca. Dan hari-hari berikutnya saya kerap kali akan berkunjung lagi untuk membaca entri-entri seterusnya. Kak Tirana blogger yang rajin dan istiqamah. Selalu update blog dengan cepat dan pantas! Jadi, kalau ke sana saya tidaklah selalu kerugian. Terima kasih Kak Tirana kerana sudi berkawan dengan saya! Teruskan menulis dan berkongsi entri-entri yang bermanfaat, ya!

c. Setiap blogger mesti menyatakan 10 fakta/hobi diri.

  1. Dalam banyak masa adalah seorang yang pendiam. Ada waktu-waktu tertentu merupakan orang paling bising dan tidak boleh berhenti bercakap.
  2. Makan, berjalan dan bercakap dengan laju tetapi tidak termasuk dalam simptom-simptom mania. 
  3. Kata kawan, saya orangnya 'terlebih perasaan'; mudah terkejut walaupun hanya dengan stimuli sekecil sentuhan, mudah ketawa, cepat sedih, terlalu sangat rasa bersalah, mudah tersentuh, mudah teruja etc. Mudah kata threshold emosi saya berbeza dari threshold emosi orang-orang di sekitar saya.
  4. Sukakan sesuatu yang lain dari biasa. Ya, saya jarang suka mematuhi undang-undang dan peraturan walaupun saya dikatakan seorang yang skema.
  5. Belajar di waktu-waktu akhir bukanlah tabiat yang saya suka tetapi saya memang akan selalu belajar dalam waktu-waktu akhir sebelum peperiksaan. Apakah?
  6. 80% dari barang-barang saya berwarna hijau, 10% berwarna pink, 5% berwarna biru dan 5% lagi warna-warna lainnya. Saya tahu, ia bukanlah pembahagian yang adil tetapi dalam ujian warna untuk binocular vision, mata kiri saya lebih dominan berbanding mata kanan di mana saya nampak warna hijau lebih dari warna merah. Justeru? Bukan salah sayakan?
  7. Saya pernah memakai cermin mata semasa saya dalam darjah 4. Besar, berbingkai plastik dan tebal sekali.
  8. Suka artwork. Tidak memiliki kemahiran seni melukis atau kraftangan. Tetapi amat menghargai hasil kerja tersebut terutamanya dalam seni hias/reka dalaman, fotografi, arkitektur bangunan dan yang seumpamanya. Anjung Seri merupakan antara majalah kegemaran saya.
  9. Suka juga kerja-kerja graphic, graffiti dan design. Suka tengok, mahu buat tidak tahu.
  10. Saya memang malas kalau kerja dengan orang yang malas.
    d) Anda perlu memilih 6 penerima award seterusnya dan menyatakan nama mereka di blog anda.
    Sebelum apa-apa, saya memohon maaf kepada nama-nama di atas. Seperti sebelum-sebelumnya, tag ini tidak wajib dijawab. Sekadar wasilah persahabatan dari saya. ^_-

    Saya sudah mengantuk tetapi subuh lagi dua jam. Oh, tabahlah!

    Sunday, May 24, 2009

    Chantek Air Dzur-Dzur

    Saya jarang menulis tentang kembara. Catatan perjalanan hanya disimpan dalam kotak ingatan dan bila tiba masanya ia hilang begitu sahaja. Yang tinggal hanyalah gambar-gambar serta cenderahati yang pernah dibeli sebagai kenang-kenangan. Tetapi kali ini sedikit teruja mahu berkongsi catatan eceran Jelajah Benua 2009 ini sebelum ia luput dari fikiran. Sekurang-kurang menjadi artifak sejarah dalam muzium Barukisu apabila saya tua nanti dan datang berziarah ke sini. (Entah ada lagi atau tidak blog ini)

    Destinasi pilihan Jelajah Benua tahun ini - Alushta

    Kami bertolak seawal jam 8 pagi dari hostel. Saya menaiki bas berkat; bas orang-orang yang sudah kahwin. (Eh, sebenarnya mereka yang naik bas kami!) Perjalanan mengambil masa selama hampir dua jam. Kononnya mahu membaca buku yang dibawa atau menikmati pemandangan sepanjang perjalanan, malangnya mata alah dek kantuk yang memaksa-maksa. Saya terlena dan hanya terjaga apabila bas memasuki kawasan berlereng bukit dan berliku selekoh seperti di jalan menuju Cameron Highland.

    Lebih kurang jam 10, kami tiba ke destinasi yang dituju. Cuaca sedikit membahang panas tetapi semangat kami bersinar cerah seperti cahaya mentari yang memancar terang. Untuk sampai ke kawasan air terjun, kami harus mendaki lebih kurang 1 kilometer dan dalam cuaca yang panas itu, aduhai...

    Sampai di kaki bukit, kedai cenderamata dan bangsal kecil menyambut mesra kami. Pohon-pohon hutan yang tumbuh melata sedikit menghilangkan lelah mendaki, lantas mengembalikan semangat untuk meneruskan pendakian ke puncak. Wah, suasananya sama dengan hutan di Malaysia. Deruan air terjun sudah kedengaran dari kejauhan. Sedikit sahaja lagi! Ayuh, teruskan!

    Sebenarnya sejak kecil saya tidak percaya wujudnya air terjun di negara-negara selain Malaysia terutamanya negara empat musim seperti di Ukraine ini. Jadi, bila berpeluang menjelajah begini dan melihat kewujudan air terjun tersebut, saya jadi faham dan mengerti bahawa dunia ini kecil dan saya yang tinggal dalam dunia ini lagi kecil, kemudian otak saya lagi kecil dan sel-sel neuron yang saya guna untuk berfikir ini lagi-lagi kecil. Apa kena mengena dengan air terjun? Sebab air terjun di Malaysia banyak, dan di luar Malaysia juga ada air terjun yang sama macam Malaysia - saya yang kerdil ini mahu dibandingkan dengan pencipta air terjun yang banyak-banyak dan sama itu. Saya jadi malu sebab kadang-kadang selalu tidak sedar diri dan lupa. Fikir diri sendiri macam bagus padahal tiada apa pun yang menjadi hak milik saya. Saya sedang mengarut, sila abaikan.

    Dipendekkan cerita, kami sampai di kawasan air terjun tersebut, dan oh, cantik dan indahnya! Subhanallah. Pendakian kami teruskan lagi, mencari tempat sedikit tersorok dan tenang buat melabuhkan kaki-kaki yang kepenatan memanjat bukit yang curam yang mana andai tidak berhati-hati - terjadilah adengan yang tidak ingin kita lihat.

    Airnya cetek, jernih dan bersih - tempat kami berlabuh itu. Sayang airnya sejuk di bawah takat beku walaupun suhu sekitar mencapai angka 26 darjah. Seinci kaki mencecah, sakitnya sehingga ke sum-sum. Aduhai, bermain air sahajalah sambil menikmati indahnya kawasan sekitar. Kadang-kadang cuba meranduk ke seberang tetapi tidak kesampaian. Tabik hormat kepada rakan-rakan yang mampu menahan sejuknya air itu. Kamu memang survivor!

    Habis bermain air, kami turun dan makan - nasi putih, ayam goreng dan sambal. Sedapnya hingga menjilat jari kerana perut sudah lama berkeroncong lapar.  Kemudian ada sedikit pengisian. Ulang belajar semula asas-asas bersuci dalam bab taharah dan bincang sedikit tentang solat. Menentukan masuk waktu dan arah kiblat tanpa kompas sewaktu kembara bermusafir. Huh, jangan ingat belajar tinggi-tinggi semua pun sudah tahu, ya!

    Tiba ke destinasi - gambar wajib diambil!

    Sampai di check point - Tak ada diskaun, dik!

    Hijau tetap hijau!

    Dah sampai! - Dan kami panjat atas lagi

    Pesisir pantai Alushta yang banyak obor-obor

    Dalam perjalanan pulang sempat singgah menikmati bayu pantai di persisiran Alushta. Sekadar melihat, berjalan dan mentafsir sahaja di tepian pantai itu. Mahu mandi? Lupakan sahaja. Banyak obor-obor berenang-renang damai di kaki pantai. Ada juga orang bermandi manda, pasti terganggu ketenteraman si obor-obor yang sedang asyik berzikir memuji kebesaran Illahi. Ahaks!

    Sekian sahaja. Ada banyak lagi gambar-gambar yang cantik dan indah - pemandangan alam sekitar dan bukit bukau, tetapi kelajuan internet hari ini tidak mengizinkan, maka cukuplah sekadar itu sahaja buat tatapan mata. ^_-


    Dasvidania!

    Friday, May 22, 2009

    ...and how well do you know Rasulullah?

    Salam petang. Panas sungguh cuaca hari ini. Memang mudah sangat untuk berasa mengantuk dan tertidur. Lagi-lagi setelah berjaya mengisi perut dengan sepinggan princetauk srisam (bebola ayam, nasi kuning, sambal, kefir dan salad kobis) dan segelas jus epal buat penghilang dahaga. Pun begitu, cuaca yang sedikit berangin tetap terasa panas dan bahangnya. Kisah negaraku, kau tahu bukan?

    Oh, bukan mahu bercerita lara kisah negaraku sebenarnya tetapi mahu berkongsi sedikit rasa terkesan di hati. Rasa ralat yang membangkitkan kefahaman serta sedikit kesedaran dalam diri. Walau agak terlambat kesedaran itu tiba, ya ia tetaplah sebuah kesedaran jua.

    Tentang Facebook. Oh, jangan salah faham. Saya bukan mahu menambah kisah-kisah hangat tentang jaringan sosial yang sudah mendapat tempat di hati semua rakyat Malaysia itu. Facebook memang jaringan sosial yang menarik, ringkas dan kena dengan arus peredaran semasa yang serba cepat, pantas dan up to date. Tambah lagi ada beribu-ribu aplikasi dan pilihan kuiz yang menggila dengan soalan-soalan serta jawapan-jawapan yang aneh. Betul, kan? Tidak salah bermain kuiz dan melayan Facebook ini. Bila satu hari kepala pening dengan segala bebanan tugasan harian, Facebook nyata sedikit meringankan.

    Dalam banyak-banyak kuiz tersebut, antara yang paling mengujakan adalah kuiz How well do you know me? Oh, saya juga turut membuat satu dan melihat kepada jawapan rakan-rakan, maaf mahu kata, tetapi boleh mengagak bagaimana mereka melihat dan menilai saya (kalau kamu pandai mereka (baca: mencipta) soalan yang sedikit psikotik, kamu boleh mengukur pandangan rakan kamu terhadap kamu, hehe) Dan lagi, kita berasa amat gembira malah terasa hebatnya andai mendapat markah paling teratas dalam carta kuiz mengenali kawan kita itu. Sebaliknya amat kecewa juga andai tidak mencapai takat lulus menjawab kuiz hatta mengenai rakan sebilik walaupun ada banyak soalan tipu daya yang direka si rakan. (Aduhai, soalan yang tidak ditapis lembaga peperiksaan memang banyak ralat dan silpanya, justeru tidak perlu kecewa, usaha lebih lagi untuk mengenali rakan sebilik kamu, ya)

    Tetapi ada satu kisah kecil yang buat saya sedikit tersentuh dan oh, betapalah menunjukkan kita ini sebenarnya manusia yang sering lalai dan lupa. Alasan pesimistik mudah yang membenarkan setiap perlakuan salah kita. Ia bukanlah perkara besar, hanya sedikit kata-kata yang memercikkan suluhan kebenaran di tengah-tengah kebathilan. Seorang rakan saya, usai menjawab kuiz How well do you know me? ini, mendapat peratusan markah yang cukup-cukup makan, yang katanya tidak mencukupi pun syarat lulus dalam peperiksaan. Selang beberapa minit kemudian, muncul komentar ringkas di bawah kuiz tersebut berbunyi, ' ...and how well do you know Rasulullullah?' 

    Ibarat ditampar kerana bermulut celupar. Terasa sakit namun tidak berbekas dendam lantaran salah sendiri menempa bahana. Memang patut terkena! Saya yang turut bermain, mulanya tidak berasa apa-apa. Ya, kalau ditanya biografi Rasulullah; nama, tarikh lahir, tempat lahir, umur diangkat menjadi Rasul, bilangan anak, nama sahabat terdekat, dsb. InsyaAllah kita mampu menyediakan jawapan-jawapan yang dikehendaki. Lambang belajar Pendidikan Agama Islam dengan baik di sekolah dahulu. Terima kasih ustaz, ustazah! Betapalah mengaku sebagai umat Muhammad S.A.W. kita berasa bangga kerana menganggap sudah mengenali baginda sehabis baik. Nabi Allah itu - yang menganggap kita saudara (ikhwan) yang paling dirinduinya untuk bertemu, yang di kepalanya terlintas kita, umat akhir zaman yang paling dirisau dan diingat-ingat saat nazak di pembaringan - apa, kenal benarkah kita kepada baginda?

    Fahamkah manhaj perjuangan baginda? Hafal benarkah salasilah keturunan baginda? Tahukah selok-belok politik yang diajar baginda? Paling tidak pun, tahu tidak lembaran sirah perjuangan baginda, ilmu perang, ilmu kekeluargaan, ilmu bersahabat, ilmu perniagaan dan segala rencam ilmu yang patut dicontohi dan diteladani? Bila memikirkan ini, saya jadi tidak kenal kepada Rasulullah. Sedikit yang saya tahu tentang baginda, banyak rupanya yang tidak. Oh, tolonglah jangan kata kita tidak perlu tahu itu semua atau jangan suarakan bahawa biarlah budak-budak yang belajar agama sahaja yang ambil tahu. Kalau begitu, kita sebenarnya seperti tidak mengaku menjadi umat baginda. Nau'zubillah...

    Justeru, sebaiknya kita bermuhasabah dan mengkoreksi diri. Tidak salah bermain kuiz, malah amat digalakkan kita mengenali insan-insan bernama sahabat ini yang kehadiran mereka menceriakan hari-hari dalam hidup kita. Tanpa mereka, kita sebenarnya adalah  'the crooked monkey' (kera sumbanglah) yang tidak bersahabat. Mainlah kuiz itu sepuas-puasnya manifestasi betapa kita amat mengenali dan mengasihi rakan-rakan yang sama-sama berjuang susah payah dengan kita. Rasulullah SAW malah bersabda: “Apabila seseorang mencintai saudaranya maka hendaknya ia memberitahu kepadanya.” [HR Abu Daud & Tirmizi]'

    Namun dalam masa yang sama juga jangan lupa untuk mengenali nabi kita, Muhammad SAW yang menjadi imam dan idola sepanjang zaman. Bahawa dengan mengenali Rasulullah, manifestasi cinta dan sayang kita kepada baginda - moga-moga turut terzahir akhlak dan perlakuan selakunya kita sebagai umat Islam.

    Sollu a'lannabiy...

    Tambahan maklumat:

    Facebook Dark Side: Fakta yang perlu kita tahu mengenai Facebook
    Facebook - The CIA conspiracy

    Kawan-kawan, berhati-hati dengan segala maklumat diri yang kita isi dalam semua jaringan sosial, ya. Kalau pernah baca Digital Fortress - novel bestseller Dan Brown itu, kamu pasti tahu apa yang saya maksudkan. Amerika menyimpan beribu-ribu data dan maklumat seluruh dunia. Kalau mahu memusnahkan 'negaraku', hanya perlu tekan beberapa butang sahaja pada papan kekunci komputer. Booommm!!!

    Contoh paling asas, bagaimana orang boleh mencuri maklumat kamu adalah tragedi sadis kemunculan sebuah blog mencaci nabi mulia kita menggunakan nama Adibah Ahmad. Masih ingat lagi? Then, do the math yourself!

     ******************

    Petang yang damai, esok ada jaulah ke Dzur-Dzur. Semoga cuaca baik dan dapat menikmati panjat gunung (bukit mungkin) serta bunyi deru air terjun yang sudah lama tidak saya dengar, oh! Kali terakhir juga mahu meluang masa bersama kakak-kakak senior semua. (...dan suasana pun bertukar sedih dan sebak).


    Thursday, May 21, 2009

    Hidayah Cinta - Cinta Islami atau Cinta Islam?

    (Sebenarnya sudah lama bercita-cita besar mahu belajar mengkritik/mengulas novel-novel yang sudah dibaca dengan baik. Yalah, takkan baca sahaja, tentu perlu ada outputnya, bukan? Lagi pula, dulu di sekolah sudah diajar menganalisa, memahami serta menghargai karya melalui pembelajaran KOMSAS. Hah, inilah masanya mahu mengaplikasi ilmu seciput yang dipelajari dahulu. Lantas novel Hidayah Cinta karya Ilham Hamdani menjadi bahan ujikaji pilihan. Mengapa? Jom baca! Kalau berminatlah)

    Mengapa memilih Hidayah Cinta - Novel ini sahaja yang berada di tangan saya yang mana baru beberapa minggu lepas saya habiskan, jadi jalan ceritanya masih segar dalam ingatan. Kemudian perlu pulangkan kepada kawan setelah habis baca, jadi sementara masih ada dalam tangan, saya gunakanlah peluang ini, bila sudah pulangkan nanti, rasa sayang pula. Sebab lain adalah kerana novel ini adalah novel pertama penulis dan menilai dari tahap kematangan karyanya (bukan dari aspek sastera ringan-ringan) malah masih dalam proses membangun. Justeru tercapai (baca: mampu) dek saya yang tidak tahu apa-apa tentang karya dan sastera ini mencuba!

    (Amaran: Ini adalah sekadar ulasan dan kritikan sedikit-sedikit sahaja berdasarkan pandangan pembaca iaitu saya. Ia bukanlah sebuah nilaian oleh seorang pengkritik profesional yang punya ilmu kesusasteraan yang tinggi. Sungguh, ia adalah percubaan sahaja. Justeru, ulasan ini - mahu baca boleh, percaya jangan)


    Hidayah Cinta - Cinta Islami atau Cinta Islam?

    Sewaktu sahabat saya mengunjukkan buku ini, dari judul dan kulit bukunya, minda saya pantas mengklasifikasikan ia di bawah novel-novel cinta Islami. Percintaan dua insan atas prinsip-prinsip Islam - bukan tidak bagus ya, bagus - iaitu seorang lelaki/wanita soleh/solehah yang menjadi rebutan ramai kerana akhlaknya yang baik dan terpuji (baca: terlalu ideal). Saya sudah baca terlalu banyak novel sebegini, jadi ia sedikit pun tidak mengujakan saya. Namun selang beberapa bulan kemudian, sewaktu saya tercari-cari sesuatu untuk dibaca mengisi masa lapang (wah, macam tiada kerja lain sahaja), saya teringatkan buku ini lalu bertanya sahabat saya samada saya boleh meminjam baca. Tanpa banyak bicara, kecuali sedikit kata-kata penguat semangat sepintas lalu, 'Buku ini banyak cerita pasal Jepun, kau pasti suka' terus dia menghulurkannya kepada saya. Ada-ada sahaja.

    Tidak lama mahu menghabiskannya, tetapi kerana tidak membaca terus-terusan, saya mengambil masa sekitar seminggu juga (andai tidak, tentu sehari dua sudah boleh khatam).

    Wah! Usai membaca hingga ke akhir kulit, saya rasa buku ini ada sedikit kelainan. Kalau tidak, masakan saya berusaha menghabiskan bacaan waimma kesudahan ceritanya sudah dapat saya agak. Walaubagaimanapun, ia sebuah pengakhiran yang berbaloi dan saya tidak menyesal atas masa-masa lapang saya yang terbuang membaca buku ini.

    Memang ia novel cinta Islami. Umar Thilmisani yang baik dan beragama menjadi rebutan tiga bunga - si cantik ros merah, si ayu sakura putih dan si jelita teratai ungu. Tetapi apa yang istimewa dan lainnya? Selalunya si jejaka yang baik ini pada akhirnya akan memilih antara salah satu kuntum-kuntum tersebut tetapi Umar Thilmisani (ya, selain pening dengan tiga kuntum bunga itu) berusaha juga menyemarakkan cinta Islam kepada insan-insan di sekitarnya - Ayumi, otousan dan okasan, sahabat baiknya Koyama Hiroo, malah ayah Ayumi yang kejam dan keras kepala itu juga (ini, saya tidak jangka) tertarik dengan Islam. Walaupun, Koyama Hiroo itu tidak memeluk Islam, tetapi saya tahu atma luhurnya mengakui keindahan Islam dari perlakuan serta akhlak Thilmisani. Kyoudai dayou, kyoudai!

    Memang hidayah itu kerja Tuhan, tetapi manusia adalah pemudah cara, langsung merupakan khalifah serta da'ie yang mengajak manusia lain kepada jalan kebenaran. Thilmisani adalah pemudah cara itu dan betapa sukarnya (ya, mengajak orang kepada Islam bukan mudah lagi-lagi wanita yang dicintai) antara mengikut perasaan cinta dan keinginan mengajak kepada Islam. Thilmisani berusaha dalam cintanya juga cintaNya. Hanya sebuah tafsir Al-quran dan Dia - pemilik segala hati-hati menentukan empat jiwa murni bersalut taqwa setelah lembaran-lembaran suci itu dibaca. Alangkah indahnya dan mudahnya andai Tuhan mahu memberi hidayah. Hidayah cinta. Cinta Ayumi kepada Islam dan Thilmisani. Cinta otousan dan okasan kepada Thilmisani. Cinta papa Ayumi kepada angkasa lepas. Cinta yang akhirnya membawa mereka mencintai Tuhan yang mencipta cinta. Sekarang fahamlah saya mengapa judulnya Hidayah Cinta. Ha ha.

    Paling seronok adalah bagaimana otousan dan okasan memeluk Islam dan bagaimana papa Ayumi menjadi lembut hatinya kepada Islam. Genius! Semuanya berkait dengan pekerjaan otousan sebagai jurutera stesen janakuasa hidroelektrik dan minat papa Ayumi terhadap angkasa lepas. Ah, mahu ceritakan semuanya tidak menariklah, beli sendiri dan baca! Ini bukan spoiler! Apa pun, sudah saya katakan semuanya hanya kerana sebuah tafsir Quran.

    Selain itu juga, Hidayah Cinta membawakan banyak wasilah-wasilah dakwah yang agak kuat dalam naratifnya. Seperti usrah online yang dianjurkan Thilmisani dan rakan-rakan, fikrah perjuangan Islam yang dibentur datuk dan neneknya dan yang diajar naqibnya, hubungannya yang rapat bersama Brother Qusai dari Jordan serta keluarga dalam menjalankan serta mengimarahkan surau kecil Hitachi, kisah sedih rakan baiknya Ahmad Atif sahabat dari Palestin yang meninggal akibat leukimia (saya terkejut, kerana wataknya dimatikan dengan tiba-tiba) serta suasana pembangunan Islam di Jepun dibangkitkan dengan amat mendalam serta berkesan. Serasa dekat dengan kehidupan sebagai pelajar Melayu Islam yang menuntut di negara-negara bukan Islam.

    Kelemahan Hidayah Cinta

    Apa pun, Hidayah Cinta  juga terdapat kelemahan-kelemahan yang kadang-kadang membuatkan saya berasa sedikit bosan apabila membaca (Oh, ini perasaan saya sahaja, ya!). Antaranya penggunaan perkataan yang banyak berulang, terlalu banyak tanda kurungan serta pengulangan perasaan yang berlebih-lebihan. Kadang-kadang sampai satu muka mahu cerita tentang perasaan rindu, geram atau marah sahaja. Alahai, saya sudah tahu tetapi tidak mengapalah, saya anggap kira-kira sebagai penguat jalan ceritanya. Kemudian, terlalu banyak juga monolog sendirian melayan perasaan, untuk hampir semua watak terutamanya Thilmisani dan tiga kuntum bunga itu, lagi-lagi Thilmisani yang suka termenung di Tasik Senba. Satu bab sahaja sudah monolog sendirian mereka. Terlalu melewah. (Atau ia merupakan salah satu teknik penulisan novel?) Mujur dalam monolog Thilmisani itu ada juga pengisian-pengisian yang bermanfaat. (Tetapi Thilmisani seorang sahajalah - tiga kuntum bunga lainnya lebih banyak berangan) Aduhai!

    Seterusnya (wah, banyaknya mahu cerita, kasihan kepada yang membaca), apabila Thilmisani mahu mendermakan salah satu dari buah pinggangnya kepada Koyama, saya jadi hairan bukan kerana niat baiknya sebagai kawan tetapi dari segi logik perubatan, darah (atau lebih tepat lagi HLA - Human Leukocyte Antigen) Thilmisani dan Koyama perlu sekurang-kurangnya sesuai demi kelangsungan hidup Koyama selepas pembedahan supaya tidak berlaku graft rejection. Ibu bapa Koyama adalah pilihan terdekat sebagai penderma buah pinggang tetapi Thilmisani menawarkan buah pinggangnya dan tidak dijelaskan samada buah pinggangnya sesuai atau tidak dengan sistem badan Koyama. Tahu-tahu sahaja, sudah selamat menjalani pembedahan. Setidak-tidaknya saya mahu logik pemindahan organ itu selain dari demi sebuah persahabatan yang luhur. Tetapi kuasa dan rahsia Tuhan, siapa yang boleh jangka kan? (Atau mungkinkah ada sambungannya yang kedua?)

    Saya tahu, saya banyak sedikit cerewet. Tetapi ini dari sudut pandangan saya. Dalam karya saya sukakan logik atau sesuatu yang boleh diterima akal (sudah tentu selain dari sifat ketuhanan dan perkara-perkara ghaib). Walaupun sesebuah karya itu terselit fantasi namun biarlah fantasi yang mampu menggarap minda sedar selain mempengaruhi minda bawah sedar kita.

    Kesimpulannya Hidayah Cinta mampu menyentuh hati saya. Ahaks! Kisahnya sampai dan terkesan. Penulis banyak menggunakan perlambangan alam seperti pohon, bunga, musim, cuaca dan mengaitkannya dengan orang serta perasaan sesuai dengan negara Jepun dan Australia (oh, ya! Saya terlupa dengan negara kangaroo itu) yang bermusim-musim itu. Nampaknya pengalaman memainkan peranan penting dalam memasukkan elemen-elemen segar dalam sesebuah karya (penulis pernah belajar di Jepun dan sekarang menetap di Australia). Saya perlu menitikberatkan aspek pengalaman ini kalau mahu menjadi penulis yang baik suatu hari nanti. (Oh, saya berangan! Tak malunya!)

    -Ulasan tamat-

    Glosari:

    Otousan dan Okasan = Ayah dan ibu (keluarga angkat Thilmisani sewaktu di Jepun)
    Kyoudai dayou, kyoudai! = Kita saudara, saudara!

    (Maaflah memberi ulasan yang terlalu panjang. Sekadar percubaan dan latihan meyakinkan diri sendiri dalam dunia penulisan. Walaupun hanyalah tahap pacal yang hina dalam dunia itu dan tiadalah hebat tara mananya)

    Ai Balqis, kata mahu baca buku untuk periksa, sempat lagi update blog?
    Hehe, saja buang masa, eh buang karan (baru jer bayar duit api ni).
    Bukan apa, banyak sangat cas-cas negatif (baca: malas) dalam entri-entri saya sebelumnya. Ini, mahu meneutralkan sedikit Barukisu. Sekurang-kurang boleh mengasah bakat. Ahaks! =p

    Sudah tiga filem Angles And Demons saya muat turun tetapi satu pun tidak boleh tonton. Semua player sudah saya cuba, tetapi semua ada masalah codec. Hairan, sebelum ini berfungsi sahaja. Adakah ini indikasi supaya saya lupakannya dan belajar? Mungkinlah juga. Aduhai...

    Is it just me or memang kebetulan semua lelaki-lelaki idaman (baca: soleh dan baik) dalam kisah-kisah yang saya baca dan tonton, nama depannya bermula dengan Umar? (Ya, selain Fahri dalam AAC) Ada Umar Al-Mujahid dalam Hatiku Milikmu karya Fatimah Syarha, Umar Darius (gabungan Umar Al-Khattab dan Raja Darius) dalam drama bersiri Dunia Baru dahulu, Umar Lahmi dalam Isabella tulisan Maulana Mohammad Saeed dan ini dalam Hidayah Cinta ada Umar Thilmisani! Mujurlah Umar Thilmisani ini dari nama yang benar-benar wujud! Aduhai...

    .... dan kamu berkata, 'macam-macamlah Balqis ni, sudahlah buat ulasan panjang lebar, banyak pula tambahannya'.

    (^_^)



    Bersiku-siku,

    Monday, May 18, 2009

    Risau

    (kadang hatiku kosong)

    Gusar,
    bila semak akaun iman,
    bila selak bil amalan,
    banyak kredit dari debit,
    Aduh! Boleh bayar?

    Resah,
    periksa takung air mata;
    kering gersang bagai sahara,
    sedang separuh tawa mengisi bejana,
    suku sahaja untuknya taqwa!
    Apa cerita?

    Gelisah,
    sepertiga yang berlalu,
    mereluh penuh dengkur,
    kadang ngigau berpanjangan,
    apa tidak dibangunkan?

    Bimbang,
    saat ketuk-ketuk hati,
    padatkah atau lompongkah?
    beratkah atau ringan?
    Kosong.

    Hairan,
    lama dulu sudah Tuhan bicara;
    sisip-sisip dalam kitabNya,
    Mengapa tidak dibaca?
    Duhai, tepuklah dada!

    Barukisu,
    Pinggir Rechnaya,
    18 Mei 2009
    10.02 pm

    Maaflah, sejak akhir-akhir ini banyak entri melalut untuk diri sendiri sahaja. Belum mampu menulis yang bermanfaat untuk dikongsi bersama. Ada ketika, ilham itu menjadi debu berhabuk disimpan di dalam almari minda bersusun tidak disentuh kerana pintu berkerawang malas almari itu tertutup rapat dan kuncinya berbentuk rajin sudah hilang entah ke mana.

    Peperiksaan hampir menjelang tiba, hairannya saya tidak berasa pun gundah gulana. Indikasi belum bersedia menelaah atau sebenarnya belum sedar diri? Ketahuilah Balqis, belajar di waktu-waktu akhir itu tabiatnya orang yang gagal!

    Rasa-rasanya, saya kena format diri semula, kemudian setting minda, barulah programkan hati. Masukkan software-software (ewah, suka-suka sahaja bina perkataan berganda baharu) yang bermanfaat dan baik demi menjaga motherboard otak saya dari virus-virus malas dan mazmumah. Antivirus iman juga perlu ditingkatkan kualitinya. Banyak virus baru yang dicipta zaman ini mampu melepasi jaringan antivirus iman ini. Sukar, sukar! Setiap kali pun perlu direboot kemudian disetting semula. Mujurlah hard disk diri saya tidak akan berkurangan kapasitinya setiap kali direboot. Alamatnya yang tinggal apa sahaja nanti? Tiada ruang lagi untuk menginsafi diri. Aduhai!

    Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu? Dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu yang memberatkan punggungmu, dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu. Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap. (Al-Insyirah: 1-8)



    Itulah Balqis, lama dulu sudah kubilang!

    Rahsia dan Rosak

    Kita memang banyak rahsia. Banyak juga menjaga rahsia orang. Di samping banyak juga mengetahui rahsia orang. Jadi? Biarlah rahsia.

    Oi! Oi! Jangan pandang sebelah mata, ya! Saya bukan daun!!!

    Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan buruk sangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari buruk sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. (Al-Hujurat: 12)


    Rosak

    Lihat gelas separuh penuh, bukan separuh kosong

    Terkadang terlupa diri tidak sesempurna mana, lantas terzahir kritikan berbaur putus asa. 'Rosak sudah manusia masa kini. Apalah mahu jadi'. Sedang diri? Man qola fasadan nasu fahuwa afsaduhum - Barangsiapa yang menyebut bahawa manusia semuanya sudah rosak, maka dia itulah yang paling rosak di kalangan mereka" [Hadith Riwayat Muslim]

    Nau'zubillahiminzalik...



    Sudah gaharu cendana pula,
    Sudah tahu, garu kepala.
    Apa ertinya?

    Saturday, May 16, 2009

    Guru pembina negara bangsa!

    Sering dalam kehidupanku aku menemui ungkapan guru itu ibarat lilin, menerangi insan lain sedang dirinya mencair dek kepanasan haba si api. Memang guru itu pekerjaannya luar biasa, mengajar yang tidak tahu menjadi tahu, mendidik yang tidak mahu menjadi mahu, lantas dengan seribu kepayahan dan ketabahan, menolak kepentingan diri demi melahirkan para cendekia serta intelek agung. Itu kerja gurukan? Sejak ribuan tahun dahulu pun. (Ya, sesiapa sahaja yang memberi walau sedikit dari ilmunya yang bermanfaat - bagiku layak digelar guru walau hanya seorang pengemis malahan perompak sekalipun!)

    SAMBEST: Barisan guru-guru yang pernah mengenalkan aku kepada hakikat ilmu!
    Selamat Hari Guru dan Maafkan Kami Cikgu!

    Tetapi guru bukan lilin. Tidak. Lilin nanti apabila habis diguna tinggal mencair dan tidak punya apa-apa lagi malah akan lekas diganti baru. Itu bukan umpamanya guru, berhenti berkhidmat bila diri sudah ketung dan tinggal puntung. Tetapi seorang guru adalah yang berusaha sepenuh kudrat mencerah dirinya dengan ilmu kemudian mencurah pula sepenuh ilmu kepada yang dahagakannya. Atma seorang guru itu agung mengabdikan diri dalam kitaran ilmu yang terus-terusan mengalir, ibaratnya ilmu tidak pernah putus selagi yang bergedang adalah sang guru pencinta ilmu kerana ilmu itu cahaya dan cahaya sifatnya menerangi yang gelap.

    Demi guru-guru yang pernah mengajarku tulis baca, yang mendidik aku bahawa - hakikat ilmu itu bukan untuk dijunjung, bukan sekadar untuk mengenal dunia tetapi kenal hati, kenal diri, kenal Tuhan Yang Maha Pencipta! Selamanya guru-guru itu akan berada dalam lipatan doaku, semoga tabahlah mereka, redhalah mereka akan segala ilmu yang pernah ditumpahkan dahulu. Kerana guru yang telah mengajarku, aku selamanya juga akan terus menjadi pencinta ilmu! Terima kasih guru-guruku!

    Aku terkesan dengan sajak Guru karya Prof Winarno Surahmad ini;

    “Tanpa sebuah kepalsuan, guru artinya ibadah.
    Tanpa sebuah kemunafikan,
    Semua guru berikrar mengabdi kemanusiaan.
    Tetapi dunianya ternyata tuli. Setuli batu.
    Tidak berhati.

    Otonominya, kompetensinya, profesinya
    hanya sepuhan pembungkus rasa getir,”

    “Bolehkan kami bertanya,
    apakah artinya bertugas mulia
    ketika kami hanya terpinggirkan
    tanpa ditanya, tanpa disapa?
    Kapan sekolah kami lebih baik dari
    kandang ayam?
    Kapan pengetahuan kami bukan ilmu kadaluarsa?
    Mungkinkah berharap
    yang terbaik dalam kondisi yang terburuk?”

    “Ketika semua orang menangis,
    kenapa kami harus tetap tertawa?
    Kenapa ketika orang kekenyangan,
    kami harus tetap kelaparan?
    Bolehkah kami bermimpi di dengar
    ketika berbicara?
    Dihargai layaknya manusia?
    Tidak dihalau ketika bertanya?
    Tidak mungkin berharap
    dalam kondisi terburuk,”

    “Sejuta batu nisan
    guru tua yang terlupakan oleh sejarah.
    Terbaca torehan darah kering:
    Di sini berbaring seorang guru
    semampu membaca buku usang
    sambil belajar menahan lapar.
    Hidup sebulan dengan gaji sehari.
    Itulah nisan tua sejuta
    guru tua yang terlupakan oleh sejarah,”

    p/s: Masih adakah lagi sekolahnya di Malaysia yang seperti kandang ayam?


    Bertatih aku berjalan,

    Tuesday, May 12, 2009

    Usrah Terakhir

    Ia bukanlah usrah terakhir di abad ini. Bukan. Usrah tidak akan pernah berhenti. Ia adalah usrah terkahir kami berenam yang sedikit masa lagi akan tinggal bertiga. Betapa-tapalah pilunya mengenangkan kehilangan mereka. Ya, Kak Nurul Maya, Kak Solhaa dan Kak Yanti akan tamat pengajian mereka Julai nanti. Tamat dan pulang pergi meninggalkan kami adik-adik usrah yang pasti akan merindukan celoteh, buah fikiran, serta nasihat-nasihat mereka yang baik dan bernas. Oh, kami tidak akan lupakan semua itu.

    Demi sebuah keakraban yang terjalin lewat berusrah selama dua tahun, kami meraikan mereka bertiga makan di Divan, restoran Tartar di sini. Maka riuhlah kami bertukar cerita, mendengar celoteh mereka buat kali terkahirnya. Tuhan Maha Penyayang – menemukan kami semua dalam lingkungan ukhwah yang tidak bertepi nikmat bersahabat dan berkasih sayang – moga-moga Dia tetap memelihara ikatan ini sampai bila-bila, biar sampai mati pun!

    Yang diraikan: Kak Solhaa, kak Yanti dan Kak Maya

    Tavuk Kebab: Nasi putih, ayam panggang, bawang putih, sos dan lavash

    Et Kzarmasi: Juadah tengah hari saya; nasi putih, ayam dan salad

    Pemanis mulut: Baklava dan teh sedang dituang Kak Shibrah ke dalam mangkuk

    Kad tahniah: Congratulations!!

    Kad: Penuh kata-kata tahniah dari kami

    Makan: Kak Shibrah dan Kak Nabihah

    Kami yang tinggal – Kak Nabihah yang penyabar, Kak Shibrah yang comel, dan saya yang paling nakal dan degil – pasti akan merindukan mereka bertiga! Pasti!

    Demi Tuhan, doa-doa dari kami akan tetap sentiasa mengiringi kepulangan mereka dengan kejayaan yang tidak putus-putusnya. Moga menjadi doktor-doktor yang baik-baik, yang solehah, yang berjasa untuk agama, bangsa dan negara, ya akak-akak!

    Oh, paling penting – jangan lupakan kami di sini, ya!


    Tuai padi antara masak,
    Esok jangan layu-layuan,
    Intai kami antara nampak,
    Esok jangan rindu-rinduan.

    Saturday, May 09, 2009

    10 Minit

    Assalamualaikum,

    Dobar den. Kako ste?

    Ini ada sebuah filem pendek buah tangan Ahmed Imamovic, pengarah prolifik dari Bosnia langsung dinobatkan penerima anugerah Filem Pendek Terbaik Eropah 2002. Mengambil latar belakang dua buah negara sekitar tahun 1994; Sarajevo, Bosnia dan Rome, Italy - filem pendek ini merungkai kisah tragis yang berlaku ke atas sebuah keluarga ketika perang Bosnia-Serbia (1992-1995) di Sarajevo sementara pada masa yang sama di Rome, seorang pelancong Jepun sedang menanti gambar-gambarnya siap dicuci - semuanya dalam masa 10 minit sahaja. Kita mungkin sudah lupa, apatah lagi dengan tertangkapnya mastermind pembersihan etnik itu; Radovan Karadzic dan sekutunya Radko Mladic Julai tahun lepas seakan-akan dendam lama telah bersih dibilas. Percayalah, luka pedih yang kini berparut masih segar mendiami hati-hati mereka yang teraniaya di Bosnia Herzegovina.
    This short film, as its title indicates lasts only 10 minutes, but it tells a much longer story which unravels only in our imagination upon seeing the end of the film. While 10 minutes in someone's life mean nothing, they can be fatal in another: a boy and his loving family, tragedy in a war-torn city, death and destruction. All in just ten minutes. The film follows two simultaneous story lines: one set in Rome, and one in Sarajevo, in 1994, the worst time of the war in Bosnia.

    Mungkin kamu pernah menonton filem pendek ini, mungkin tidak. Apa pun selamat menghabiskan masa selama kurang 10 minit! Hvala vam!



    10 minit itu masanya saya menikmati coklat panas bersama biskut gula. Kadar waktu yang pasti berbeza bagi saudara kita di Palestin sana. Moga-moga doa kita tetap bersama mereka.

    P/S yang tidak perlu: Maaflah, hanya mampu berkongsi entri ringkas sebegini setakat ini. Idea ada, tetapi mahu menulis panjang itu yang tidak mampu. Saatnya gue merasa buntu dan keliru. (^_^)


    Glosari:

    Dobar Den - Selamat tengah hari/petang (Bosnian)
    Kako ste? - Apa khabar? (Serbian)
    Hvala vam! - Terima kasih (Bosnian)



    Akar nibung meresap-resap,
    Akar mati dalam perahu,
    Terbakar kampung nampak berasap,
    Terbakar hati siapa yang tahu.

    Saturday, May 02, 2009

    Consequence



    Ada satu ketika dalam hari-hari dewasa kita - sekarang
    pasti pernah terkenangkan
    peristiwa-peristiwa lucu - yang buat kita tersenyum sendirian
    kadangkala memalukan - yang kita tolak jauh-jauh ke belakang fikiran
    atau mengaibkan - yang cuba kita lupakan buat selamanya
    segala peristiwa
    yang pernah kita lakukan
    sewaktu kecil
    tika remaja
    yang waktu itu
    tidak pernah kita fikirkan
    sebab dan akibatnya
    naif, kata orang
    melulu, kata mereka
    'tak pernah nak fikir ke?' tanya ayah
    'apalah yang ada dalam kepala otak budak ni?' keluh ibu
    pun begitu
    tidak kita endahkan
    asalkan kita bahagia
    dan merasa puas
    ya, zaman kanak-kanak yang riang
    siapa yang pernah fikir dahulu sebelum buat?
    Alangkah!
    Bukan salah kita.
    Rupanya bahagian otak paling lambat bertumbuh
    adalah bahagian
    yang menimbang baik dan buruk;
    kesan dan akibat -
    itupun sempurna setelah
    21 tahun umur kita.

    Kita memang naif!



    Tersenyum, teringat kisah-kisah lalu...

    Friday, May 01, 2009

    Best Things In Life



    Stumbled upon this. Nothing, just stumble. Oh, yeah I stumble often these days. Inspiration, you know. I'll share with you what else I've stumbled upon. So long!

    Oh, and Happy Labor's Day!



    Do doctors get a day off on Labor's Day?