Teruslah bergerak seperti jantung. Tak butuh disebut-sebut, tak butuh dipuji-puji, dan tak butuh disaksikan. Terus bergerak, terus bergerak dan terus bergerak. Hingga Allah sendiri yang memutuskan kapan harus berhenti.
“Apa yang kau tangkap dari suara hujan Dari daun-daun bugenvil yang teratur mengetuk jendel. Apakah yang kau tangkap dari bau tanah Dari ricik air yang turun di selokan” ― Sapardi Djoko Damono
Dalam salah satu kempen semasa zaman kerajaan Umaiyah, seorang sahabat besar Nabi Muhammad iaitu Abu Ayub Al-Ansari syahid dan dimaqamkan di bawah dinding kubu kota Konstantinopel di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya mengapa beliau ingin dimaqamkan di situ, beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinopel.
Ada pengharapan besar dalam wasiat Abu Ayub Al-Ansari ini, sahabat yang rumahnya dipilih oleh unta Rasulullah dalam peristiwa hijrah ketika baginda tiba di Madinah. Pengharapan besar yang bercambah saat mendengarkan ucapan Rasulullah SAW, “Kota Konstantinople akan dapat dibuka, dan orang yang membukanya, pemimpinnya sebaik-baik pemimpin dan tenteranya sebaik-baik tentera”. Abu Ayub ingin menjadi orang yang disebutkan di dalam hadith ini. Beliau bersama angkatan tentera Islam menuju ke kota Konstantinople sedangkan umur beliau pada ketika itu sudah sangat lanjut.
Menyoroti kisah sahabat nabi ini, ada untaian sesal yang berkabung dalam hati dan jiwa yang masih muda jagung ini. Jiwa yang terkalahkan oleh semangat jihad Abu Ayub Al-Ansari yang telah sangat lanjut usianya tetapi masih mahu ikut berperang. Subhanallah. Jika ada ‘Konstantinopel kedua’ yang harus ditakluk, mungkinkah kita bisa menjadi seperti sebahagian dari para pejuang terdahulu yang mendambakan hanya dua; syahid mahupun menang?
Konstantinopel yang disebut-sebutkan dalam hadith baginda telah pun ditakluk 800 tahun kemudian dan sebaik-baik raja yang menakluk itu adalah Sultan Muhammad Al-Fateh yang tenteranya merupakan sebaik-baik tentera. Begitu benar janji Allah yang disampaikan melalui lisan Rasul-Nya. Allahuakbar.
Konstantinopel - yang kini dikenal sebagai Istanbul. Kerana kisah ini, saya jadi sangat teringin menjejak bumi Turki. Semoga ada rezekinya nanti. InshaAllah.
--
Konstantinopel kedua - saat ini, ada satu negara yang harus dan wajib ditakluk terlebih dahulu. Negara paling sukar dan paling payah ditakluk. Rajanya adalah hati dan tenteranya adalah segala anggota dan pancaindera. Itulah negara diri. ‘Konstantinopel kedua’ bagi saya. Ada sepatah syair Arab yang berbunyi begini, “Al-qolbu wazeerun naaseh” yang bermaksud, hati adalah menteri yang menasihati.
Semua orang pernah mendengar pesanan Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Ketahuilah dalam setiap tubuh (jasad) terdapat seketul daging , jika elok daging itu maka eloklah keseluruhan tubuh badan dan jika rosak daging itu maka rosaklah juga seluruh tubuh badan , maka ketahuilah bahawa itu adalah hati".
Konstantinopel dahulu berjaya ditakluk kerana pemimpin dan rakyatnya telah berjaya menakluk hati masing-masing. Sewaktu diperiksa khemah-khemah tentera di hening malam, semuanya bangun dan menghidupkan malam dengan berzikir dan beribadat kepada-Nya. Tenteranya tiada seorang pun yang pernah meninggalkan solat fardu walau sekali, dan sebahagiannya belum pernah sekali meninggalkan solat sunat rawatib. Lagi-lagilah raja mereka yang merupakan sebaik-baik raja, Al-Fateh sendiri tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh. Subhanallah, begitu hati mereka ditakluk dengan kecintaan kepada sang Khaliq lantas dimanifestasi dalam kehidupan seharian sehingga bisa menakluk Konstantinopel yang menurut Napoleon Bonaparte, “Kalaulah dunia ini sebuah negara, maka Konstantinopel inilah yang paling layak menjadi ibu negara-Nya”.
Lalu, saat kita siap-siap melaungkan mahu membela Islam, menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini, hati kita bagaimanakah? Haih.
Kata Imam Al-Ghazali, “Saya hairan dengan manusia yang sangat mengutamakan kebersihan dan keindahan tubuh, sedangkan hatinya tidak mereka bersihkan daripada kotoran batin dan maksiat, padahal ALLAH hanya memandang hati mereka seperti firman-Nya dalam surah asy-Syams, ayat 1 hingga 10."
Wallahua’lam.
--
Ini, sebuah sajak kiriman adik Haniff Zikri yang berpeluang menjejak bumi Turki. Saya minta dia kirimkan lewat hari graduasi saya tempoh hari, dan juga terjadi kiriman sajak ini kerana seekor Camar. Tak sangka tak nyana, isinya terkias kupasan entri kali ini. Maka, terbaiklah saya kongsikan. Apa pun terima kasih buat adik Haniff kerana sudi berkongsi hasil karya beliau. Antara penulis muda yang amat berbakat dan saya kagumi.
I Bilah hujan telah reda. Langit tenang. Kau melayah turun . Tunduk . Perlahan.
II Dan kaumelihat, dari kubah kecil Aya Sofia ini, manusia berpusu menyerbu,
ada jiwa yang kering gersang, ada jiwa resah mencari jawapan, ada jiwa yakin mengukir senyuman, ada jiwa, gagah dalam tabah, meneroka noktah, sebuah penantian panjang.
III Berkali di khabar sang bayu Bosphorus, kisah iman nan gemilang, justeru semalam, buat kau luluh, memandang masjid biru tersergam, kan tersingkap halus pancainderamu, rintih sunyi, sayu bersahutan.
IV titis akhir, dalam sayap kuyup itu, lantas mengingatkan, lengah bukan milikmu, kau harus bebas, dari penjara nafsu, mara hingga hujung kembara, bangkit bersama dari lena ummah, dan menyuci ludah sejarah, laksana moyangmu, akan kauceritakan pada alam, gah luas layar islam.
V Kau dan dia terpisah jasad, saujana samudera, tercantum tetap pada perca rasa.
Haniff Zikri 2010
--
Nota editor I: Entri ini, manifestasi melepas keinginan yang tidak kesampaian untuk memijak Istanbul, Haih. Simpan, simpan dalam planner.
Nota editor II: Konstantinopel kedua itu perlambangan yang tiada rujukan. Saya suka-suka hati letak. Untuk saya, hati saya adalah Konstantinopel kedua. Semoga saya boleh jadikan ia sebaik-baik raja dan diri saya sebaik-baik tentera. Cuba, cuba.
Nota Editor III: Sajak tersebut saya tidak minta kebenaran pun untuk terbitkan. Lagi, suka-suka hati. Dan juga dik Haniff, kerana kau tidak berani menurunkannya dalam blogmu, maka...
Nota Editor IV: Sejak bila ada nota-nota editor ini?
Saat kau merasa yang di tanganmu telah cukup terbaik, Allah lebih mengetahui apakah yang lebih terbaik buat-Mu.
Ini, puisi bernas dari seorang adik jauh yang amat kucintai sempena hari graduasiku. Puisi sarat pesan dan ingatan hingga serasa beratnya tanggungan kini menjadi ringan nian apakala menyelami siratan maksud yang telah sedia tersurat. Terima kasih, sasalim.
Pesan
kanda sang ratu yang tunduk bersama Sulaiman, adinda yang tak berapa matang datang bertamu, apa benar dunia maya bakal ditinggalkan setelah meneroka alam baru? moleknya teruskan wujud di sini, kerana adinda lihat ramai yang masanya bagai intan berlian masih lagi di sini memberi manfaat.
kanda sang ratu yang terpana dengan keindahan istana Sulaiman, adinda yang tak berapa lurus ini ingin berkongsi, pernah adinda baca satu peringatan, jadikan DR sebagai daieyah Rabbaniyah terlebih dahulu, sebelum diseru sebagai lambang kebanggaan umat.
kanda sang ratu yang sedar khilaf lantas bersujud kepada Tuhan, adinda yang tak berapa maju ingin menyatakan, usah kanda risau akan masa hadapan, kerana yang mencorakkannya adalah warna hari ini, maka teruskan melakar warna pelangi di langit tinggi, Dia sedia menghulur tangan dengan pasti.
kanda sang ratu yang pekerti jiwanya menawan, adinda yang tak reti berkata-kata ini ingin menyeru, seluruh alam sujud syukur dengan keteguhanmu, meskipun bergelar 'segulung ijazah' di dunia, ingatlah dunia itu ladang tuaiannya akhirat, maka janganlah singgahsana indah menghalang kanda sujud kepada-Nya.
kanda sang ratu yang dianugerahkan kemuliaan dari-Nya, adinda yang putus fiusnya ini tidaklah reti bermadah pujangga, mungkinkah kanda boleh meminta sang pujangga menyusun kata, adinda menyulam jari yang sepuluh andai ada gores kecil di hati, ikhlas dari hati, tautan ini lebih mempesona dari segalanya, maka terima kasih untuk itu tidak pernah mampu dikira.
sasalim 2010.
Duhai, perlukah kiranya kumembalas? Seperti tak mampu rasanya menandingi tulus bicaramu. Pesan yang datang dari hati. InshaAllah, kan sampai dan terus kekal di hati.
Ada garis-garis halus tercantum di kedua hujung matanya,
Camar, pinjamkan aku seketika - sepasang kepakmu, agar bisa kubawa terbang, jiwa yang hina ini, belajar mengerti alam, melalui mata hati.
Camar, turun nanti ceritakan padaku, tentang bisikan tahmid pohon dan gunung; juga lantunan tasbih angin dan samudera, yang terus-terus pada Rabbi. Agar bisa kuhitung zikirku sendiri, yang tak pernahnya mencukupi.
Camar, sungguh aku cemburu, padamu yang bisa terbang - tinggi dan jauh; sedang aku, berjalan di tanah pun, sering terjatuh.
Camar, Maha Suci Dia (yang menciptakan), kau dan aku.
Balqis, Ekspidisi Jelajah Sudak II, (mencari jalan keluar) 2 April 2010
Membuak-buak rasa ingin menulis - apa sahaja - di sini. Selak-selak keliling minda, tak ketemu yang bagusnya untuk dikongsi, yang eloknya untuk dibaca. Cuti musim sejuk baru bermula, harus lekas-lekas bina susun atur terancang supaya tidak cacat waktu-waktu lapang yang bakal berlalu menghiris setajam pedang andai tidak digunakan seenaknya secara berfaedah. Tidak mahu menjadi seperti cuti kuarantin angkara virus influenza H1N1 tiga minggu dahulu - Tuhan, sungguh suatu pembaziran yang tak terampunkan - yang mana tak berhasil langsung menjadikan aku walau suku dari Pramoedya Ananta Toer pun. (Ah, lagi-lagi berangan!)
Ada sedang kusiapkan sekajang teks untuk entri terbaru, tetapi entah apa yang menghalang, sering berakhir dengan menggetap bibir, menggigit jari; langsung ku tekan butang simpan dan kututup dokumen tersebut. Tuhan, apa sahaja yang menjadi penghalang mindaku untuk pantas menulis dan mencernakan fikiran jadi kata-kata yang baik untuk dibaca?
Tak ketemu jawapan. Kerana ini bukan sebuah persoalan. Ini batu beban yang sengaja kugalas tak berpenghujung - malas berfikir dan membuat kajian. Nah, tak usah fikir jauh-jauh mahu menjadi terhebat kalau begini gayanya. Simpan sahaja semua impian dan cita-cita - mari hanya menjadi orang biasa-biasa; duduk menggugu sahaja, menunggu datangnya mati dan sekian, tamatlah riwayat seorang hamba Allah yang tidak pernah mencapai apa-apa yang luar biasa dalam lembaran hidupnya.
Oh, Tuhan! Apa sahaja yang kubebelkan dari tadi, ya? Tidak ada apanyakan? Kata Eleanor Roosevelt; "Great minds discuss ideas. Average minds discuss events. Small minds discuss people." Lalu, apa bicaranya aku tadi?
********************
Tidak mahu menyia-nyiakan waktu kalian bertandang ke sini tanpa ada maknanya. Sedikit erti kukongsikan bersama kalian - sebuah puisi yang kucuplik dari blog Salim A. Fillah - penulis best sellerJalan Cinta Para Pejuang (psst, sesiapa yang punya .pdf nya buku ini, sudilah kiranya berkongsi denganku - dengan janji pulang nanti ke Malaysia akan kubeli sebuah buat koleksi)
Rome, Ponte Milvio: The “padlock” tradition (which comes from a book by Federico Moccia called Ho Voglia di Te) wants lovers to lock the padlock, with their initials written on it, on the lamppost of the bridge and throw the key into the Tiber.
Lebih kejap dari mangga!
Cinta dikunci mangga,
Adalah ketumbuhan aneh; membarah
pada pagar besi, tiang lampu,
pada tembok dan jambatan,
pada kaki tubir sungai.
Cinta dikunci mangga,
di mana terpatri ucap setia,
kata sayang sehati sejiwa,
dunia anganan uda dan dara,
pada sebuah mangga (?)
Cinta dikunci mangga,
apakah kekal hingga ke akhirnya,
sedang *cinta Tuhan,
tiada siapa dapat menerka,
lebih kejap ia dari mangga,
boleh dikunci tak boleh dibuka!
Balqis
10092009
Simferopol darul Rahmah
*Setelah teruja melihat mangga-mangga bersangkutan antara satu sama lain di pagar jambatan Sungai Rechnaya berhampiran hostel tempat tinggalku. Cinta Tuhan itu adalah cinta Tuhan kepada manusia. Cinta manusia kepada Tuhan sering berbolak balik tiada tetapnya kecuali cinta para rasul dan nabi kepada Allah rabbul 'izzati.
Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga).(3:14)
Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(3:31)
'Love padlocks' di pagar jambatan Sungai Rechnaya yang baru bermula
Salam pertengahan Ramadhan. Semoga Allah memberi keampunan kepada kita semua
- Taqabbal Allahu Minna wa Minkum...
*Andai kalian tidak kisah, izinkan saya membiarkan blog ini terus ditumbuhi lalang dan semak. Kerana sabit belum saya jumpa, pangkas juga belum saya temui. Maaf kerana berhutang masa dengan kalian tanpa memberi apa-apa di sini.
Sungguh sudah menjadi bagai resam, bagai adat; setiap kali peperiksaan menjelang, diri bukan main khusyuk rapat mengakrabi Yang Maha Esa. Saat itu segala dosa minta diampuni, hati yang zulmat minta diterangi, jiwa yang kelam minta disuluhi. Cahaya ilmu itukan sepatutnya menerangi sepanjang-panjang perjalanan hidup manusia, bukanlah hanya ketika tiba musim periksa. Namun apakan daya, yang bernama manusia itu sifatnya lemah - terkadang lupa terkadang ingat. Iman jua - terkadang bertambah terkadang berkurang. Moga ada hikmah berselit rahmat mengiringi tika diri sujud rebah tanda kalah pada kudrat dan iradatNya. Ampunkan segala dosa-dosa kami wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Tiba-tiba terkenang sajak dalam novel Julia karya Abu Hassan Morad yang saya salin dan simpan sehingga sekarang.
Yakinlah kepada Tuhan
Tidak semua yang kita rancang
menjadi kenyataan
kerana itulah fitrahnya
atau tiba-tiba sahaja halangan
mendatang
kita harus percaya
ini tidak bermakna berakhir
segala-galanya
dan akhirnya kita akan muncul di tangga
teratas
Jadi biar apa pun yang kita lakukan
jangan mengalah
kita mesti teruskan usaha
biar bagaimanapun hidup kita beredar
kerana apa yang menanti kita di hadapan sana
tiada siapa yang tahu
kita harus percaya
bahawa yang baik itu pasti akan menang
dan tidak lama lagi
ada sebab untuk kita bergembira
jadi, biar apa pun yang kita lakukan
jangan mengalah!
Novel Julia merupakan novel pertama yang mengenalkan saya kepada karya-karya berbentuk Islami. Kemudian Cinta Madinah karya beliau juga turut menarik hati saya. Kedua-duanya sudah diterbitkan menjadi drama; sebuah kejayaan besar buat penggiat seni Islam. Masih teringat saat saya menyiapkan Kerja Kursus Sejarah PMR - Abu Hassan Morad menjadi tokoh pilihan untuk bahagian Tokoh Tempatan ketika itu. Lucu apabila mengenangkan yang saya tidak pernah berjumpa untuk mewawancara beliau secara langsung, semuanya melalui ibu yang banyak membantu sebagai orang tengah. Sewaktu di Tingkatan Dua juga kerja kursus Sejarah saya berkaitan seorang penulis; Robayah Mahmood namanya, penulis novel Nostalgia. Ini juga saya tidak berkesempatan bertemu. Ayah pula yang menjadi orang tengahnya. Terima kasih ayah dan ibu. Entah di manalah kerja-kerja kursus itu sekarang berada. Haih...
Untuk akhirnya, buat yang akan menghadapi peperiksaan, selamat berjuang, ya! Shiken ganbatte kudasai, saigou made akiramenaide ganbarimashou!
Mungkin akan semakin jarang berziarah ke blog kalian, doakan saya dan kawan-kawan mudah dan najah dalam imtihan ya!