Wafeya

Life is a serious matter.

Friday, February 08, 2019

Nombor yang aneh.

Aku menghampiri sebuah rumah usang. Perlahan-lahan pintunya ku kuak. Melangkah masuk, sekilas melihat sekeliling sebelum perlahan-lahan duduk dan bersandar di satu-satunya tiang seri yang tertegak di tengah rumah usang ini. Barulah kemudiannya aku berani memberi salam.

Assalamualaikum Wafeya.

Tepat jam 12 pagi tadi, masuklah aku ke usia baru. Tak ada apa yang istimewa, sama seperti hari-hari yang telah berlalu. Aku baru sahaja tidurkan anak. Sebelumnya marah-marahkan mereka sebab bergaduh sesama sendiri. Yang adik marahkan abang sebab mengajuk dia bercakap, lalu dipukulnya abang. Yang abang geram setelah berkali-kali dipalu adik, terus menampar muka si adik. Dan berlarilah kejar mengejar siapa yang dapat menampar siapa dahulu demi melepaskan kegeraman dan kemarahan di dalam hati. Aku penat. Dari tadi belum duduk dan berehat. Maka aku bangun dan mengunci mereka berdua di dalam bilik mereka sendiri, membiarkan mereka menangis dalam kegelapan (tidaklah terlalu gelap, lampu tidur dah dipasang) memohon untuk keluar. Demi Allah, aku belum pernah menampar muka mereka. Sepaling geram pun, bahagian punggung ke bawah yang menjadi sasaran. Tuhan, mereka berperangai begitu kerana sifat keanak-anakan kan? Begitu banyak benda yang harus aku belajar. Begitu banyak benda yang masih belum aku faham.

Saat ini, berseorangan di birai katil anak. Tiba-tiba teringat untuk menulis. Di hari usia mencecah 33 tahun. Nombor yang aneh. Seaneh perasaan bahawa sebenarnya tiada siapa pun yang peduli. Ia bukanlah suatu perasaan yang menyedihkan. Hanya hambar dan bungkam. Kerana realiti kehidupan yang sebenar tentang aku di usia ini adalah - aku tidak mempunyai kawan.  Maksud aku, kawan yang mengenali aku dan dikenali aku adalah ramai. Cuma tidak ada yang benar-benar ingin berkawan. Sekadar berbasa basi di ruangan media sosial; menghantar komen menyapa dengan kata-kata semangat dan meninggalkan ucapan maya di hari lahir masing-masing. Tidak ada yang benar-benar ingin bertemu atas rasa persahabatan yang pernah dibina. Mungkin aku bukanlah seorang kawan yang baik, atau bukan seorang yang menarik? (baca: happening?). Ketawa. Sebenarnya aku bukanlah antara kawan yang wujud di dalam memori-memori manis mereka. Ketawa lagi. Aku hanyalah beberapa patah perkataan dalam novel hidup mereka. Berhenti ketawa. Kaki melunjur lenguh. Ku arah pandangan pada tingkap yang terbuka. Satu-satunya tingkap yang ada di rumah usang ini. Menarik nafas. Dan menghembus ngeluh.

Dan kerana semua itu, aku mendapati diriku akhirnya sendiri. Suami, dan keluarga. Tidak sama dengan mempunyai seorang kawan yang menerima dirimu untuk semua kekurangan dan tidak meniadakan kamu dalam senarai kawan-kawan yang ingin didampinginya. Suami dan keluarga adalah tanggungjawab. Ia tidak sama. Ada kebebasan yang tersekat. Kadang-kadang ada cerita yang tidak terluahkan. Justeru, ada masa aku mereka-reka kewujudan seorang kawan. Aku tidak gila. Mohon faham ya.

Untuk semua keanehan ini, Tuhan menghantar aku seorang lelaki dan dua orang malaikat kecil. Yang menyibukkan perasaan. Dan meriuhkan dimensi-dimensi yang belum dihuni sebelumnya.

Yang menyelamatkan (walau ada ketika masih sepi bertandang dan mengajak berbicara).

Justeru, pada hari ini, setelah 33 tahun aku hidup, akhirnya aku mengerti bahawa aku-tiada-kawan.

Samada aku tidak disukai kerana kelebihan yang ada padaku atau aku dijauhi kerana kekurangan yang ada padaku. Terserahlah. Entah apa kelebihan mahupun kekurangan. Yang pasti, aku tiada kawan. Yang sebenar kawan. Ada rasa bahawa kewujudan aku tidak diingini. Banyaknya khilaf. Tak mungkin mampu aku luruskan sekarang. Maaf.

Aku bangun. Mengibas-ngibas punggung dari debu yang terlekat. Tingkap yang terbuka itu ku tutup. Pintu kutarik rapat. Tetapi tidak aku kunci. Nanti aku datang balik ya Wafeya. Maaf kawan, aku selalu lupa.

Selamat Hari Lahir Balqis. Tiga puluh tiga tahun. Ia memang nombor yang sangat aneh.

"The downside of being an introvert is, people think you'd rather like being alone. All the time."

#happybirthdaytome

Thursday, April 12, 2018

JAWAPAN KEPADA SEMUA PERSOALAN DALAM KEPALA - JAGA SOLAT.

Banyak hal yang tidak boleh, atau tidak perlu kita suarakan tetapi hanya bermain di kepala sendiri - hal-hal ini adalah rahsia - yang kita tidak kongsikan dengan sesiapa pun, hatta dengan orang terdekat atau terpaling sayang. Bukan kerana ia amat berharga atau terlalu mahal untuk dikongsikan, tetapi kerana ia adalah terlalu peribadi.
Banyak orang berkongsi hal peribadi dengan orang lain, sebagai salah satu cara untuk berkongsi rasa atau meringankan atau melepaskan beban atau menyatakan rasa atau sekadar berkongsi pengalaman. Percayalah. Ini bukanlah hal peribadi. Kerana ia bisa dikongsi.
Hal peribadi adalah sesuatu yang hanya dikongsi dengan Tuhan.

Suara-suara yang keluar di saat kau resah memikirkan, hanya Tuhan yang mendengar.

Tuhan, aku ada banyak kisah. Ia begitu bising dalam kepala, bercempera. Tidak ada fail untuk kususun satu-satu. Untuk aku klasifikasikan mana yang perlu, mana yang tidak perlu langsung aku fikirkan.

Tapi Kau tahu.

**************

Aku tidak ingat kali terakhir aku betul-betul buat ibu dan ayah gembira. Mungkin masa aku pertama kali mendapat tawaran sambung belajar ke luar negara dalam bidang perubatan. Kemudian dan selepas daripada itu adalah sebuah 'struggle' sehinggalah hari ini.

Hari ini aku memberitahu satu berita kepada mereka. Dan kegembiraan itu jelas terbayang di wajah keduanya. Sebuah kegembiraan yang sempurna. Tiada pretence. Semoga aku ingat momen ini bilamana aku menghadapi waktu-waktu sukar nanti.

Tetapi jalan cerita dan skrip terlalu serupa. Mungkinkah berulang? Aku takut. Tetapi Tuhan tidak suka kita bersangka-sangka dengannya. Tuhan, mohon jauhkan. Mohon jauhkan. Dan mudahkanlah.

We are master of our own destiny. For the record, I manage to put myself into another trouble.

************

Orang selalu kata, bila susah baru kita ingat Tuhan, baru kita merintih pada-Nya.

Aku bertekad. Untuk menjadi lebih baik. Kerana Tuhan telah memberi terlalu banyak kepadaku. Sungguh tidak terhitung!

Tolong jadikan aku seorang yang mampu untuk menghadapi kehidupan yang baru ini.

My past is between the day I got offered to further study medicine until the day I got offered to further more. Days before that timeline are a blissful blur; while it has becoming a clearer image at times, considering I now understand the definition of looking back and reflect.

Alhamdulillah.

And here is my current, my present, my now moment. An after reflect (not a thoughtful one, but still, I have to move on and this is how I choose to move). And please for once my dear Balqis, DO NOT LOOK BACK. DO NOT LOOK BACK. Your past isn't worth your present. Get out of the coccoon. Walk through it, get over it and be in the now. Be in the now older and wiser.

Tuhan, jadikan aku orang baik. Orang yang memberi manfaat kepada orang lain. Ini doa. Mohon jadikan kenyataan.



Saturday, January 13, 2018

Rindu. Kau apa tahu?



Assalamualaikum.

 Krik, krik.
 Krik, krik.

 Allahu. Lima tahun pergi tak terasakan. Sepertimana aku melupakan sebuah Wafeya di sini. (Kerana aku bukan Wafeya, maka wafeya begitu mudah dilupakan). Sesekali keinginan datang menerjah, namun tak tersambutkan dek hala kehidupan yang telah berubah. Lima tahun. Bagaimana aku memulakan? 2013-2018. Kau yang belajar dulu mesti telah selamat bergraduasi dan bekerjaya. Kau yang bujang dahulu mungkin telah berkahwin dan punya cahaya mata. Yang kawan menjadi lawan. Yang kenal menjadi segan. Tuhan, kau yang telah mencipta masa! Bagaimana semuanya berlalu dengan begitu bersahaja di tangan-Mu. Bagai magis!

 Apa yang bisa kucoretkan? Setelah bertahun, kata-kata hilang tidak ketahuan. Ia hampir tetapi kemudian terbang jauh. Tiada pengisian; jiwa lompong dan kosong.

 Lembaran-lembaran muka di blog ini kubaca satu persatu. Mengundang tawa dan tangis. SERIUS! Kenapa aku tidak menulis lagi?

 Semangat hilang. Aku menjadi inferior. Berapa banyak orang hebat kutemui. Berapa banyak orang hebat berkata-kata. Berapa banyak orang hebat menulis. Di muka buku. Dan aku mahu menulis di blog lagi? Siapakah aku lagi hari ini?

 Prioritas. Prioritas. Menyediakan susu kan lebih prioritas. Senyum.

 Maaf. Sejarah ringkas lima tahun terkebelakang. Berkahwin. Dua anak. Masih doktor. Tiada klinik sendiri. Belum pakar. Giler loser. Oopps. InshaAllah belum sakit jiwa. Alhamdulillah. Doa yang baik-baik sahaja. Haha.

Waktu aku menulis memang sedang musim hujan. Khabarnya berterusan. Suhu menurun hingga 22 darjah celcius. Atau hujan memang membuatkan aku mahu menulis?

Sejujurnya.

 Aku rindu Wafeya. Hey, kau! Kau masih wujud?

 Pelan-pelan mengayuh, ya!

Sunday, October 27, 2013

Perempuan, hujan dan kesetiaan cont.


"Waf, bangun."

Sepi.

"Bangunlah Waf…".

Zuq mencuba sekali lagi setelah dilihatnya Wafeya sedikit pun tidak berganjak dari tidur yang lena. Memang Wafeya agak liat sedikit bangun paginya tetapi tidaklah begini lama.

"Waf, bangunlah…!" Sedikit keras, Zuq menggoyang-goyangkan bahu Wafeya.

Hanya terdengar rengekan halus, bertukar menjadi dengusan nafas yang lemah.

"Kenapa ni, mengada sangat ni?"

"Mmamm", Wafeya berbunyi.

"Apa?" Zuq mendekatkan telinganya, terasa hawa panas berbahang semakin dia mendekati Wafeya, tangannya pantad menyentuh dahi, leher dan badan isteri kesayangan.

"Demam…", perlahan Wafeya mengulang. 

"Ya Allah… sayang abang, macam mana boleh demam, semalam sihat je bergelak ketawa bagai".

"Semalam hari semalam…" Wafeya sempat menjawab.

Zuq tersengih perlahan, selimut Wafeya ditarik, dan dirangkul Wafeya kemas dalam pelukan, diusap kepala dan dibaca selawat serta sedikit doa syifa’. 

Kemudian perlahan diurut bahu Wafeya dan digenggam kemas. Wafeya dipimpin ke bilik air.

"Sayang ambil wudhu’ dulu, takpelah hari ni tak payah…"

"Tak payah solat?"

"Eh, apa pula! Suka hati dia je… tak payah ikut jemaah kalau tak larat, abang solat dulu, nanti sayang ikut kalau mampu, okay?"

Wafeya mengangguk lemah kemudian menutup pintu bilik air. Lemah badan sangat mencengkam, ditambah sekalian sendi yang seperti tidak mahu berfungsi dengan baik. Dia redha. Mujur hari ini cuti hujung minggu. 

Barangkali disimbah hujan semalam dan dia degil, tidak mahu berpayung; beralasan yang bukan-bukan - kerana malas mahu membawa payung yang basah selepas hujan.

Padan muka! Sendiri punya salah!

Selesai memberi salam, dan menciumi tangan Zuq, Wafeya segera membuka telekung dan ditinggal terus di dalam sejadah, perlahan dia terus ke katil dan menyambung baringan. Dia tidak mampu menahan kesakitan, segala otot-otot dan urat dirasakan pedih dan berbisa.

Zuq tidak menghalang. Faham benar dia. Langkahnya perlahan menuju almari kecil di sisi katil, kitab ‘Tarbiyatul Aulad fil Islam’ karya Almarhum Ust Nasih Ulwan kemas dipegang. 

"Hari ini kita baca kitab atas katil ye sayang".

Wafeya mengangguk lemah.

Selepas membaca ummul kitab dan doa pembuka, Zuq mencari-cari bab terakhir sekali yang dibincangkan mereka, sesekali mengerling senyap ke arah Wafeya yang telah pun memejamkan mata.

Haih… teruk benar demam dia ni nampaknya.

"Waf…"

Wafeya membuka mata perlahan, memandang Zuq dengan sedikit senyuman dari tenaga yang berbaki.
"Hari ini kita usrah atas katil je ye, abang baca dan Waf dengar."

"Giliran Waf kan hari ni…" Wafeya menyampuk lemah.

"Cik puan larat ke… Nak buka mata pun macam nak angkat guni beras…"

"Adui!" Satu cubitan hinggap di paha Zuq.

Sambil mengusap perlahan pehanya yang berbisa, Zuq menyambung.

"Okay, hari ni kita baca bab… ‘Membenci anak perempuan adalah perbuatan yang terkutuk’. Kalau Waf ingat lagi, kita sekarang di bawah tajuk besar - Perasaan psikologis terhadap anak."

"Baby girls are cute, why must people hate them?"

Soalan tersebut dibiarkan mati, terus Zuq membaca perenggan demi perenggan dengan penuh penghayatan. 

"Imam Muslim meriwayatkan bahwa Anas bin Malik r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang memelihara dua anak wanita hingga keduanya dewasa, maka ia akan datang pada hari kiamat dan jarak aku dan dirinya seperti ini - beliau mengenggamkan jari jemarinya-

"Kesimpulannya, anak adalah rezeki Allah, apa yang direzekikan Allah semuanya tentulah yang baik-baik, yang buruk dan tidak sempurna itu ada tetapi pastilah sebagai ujian, yang sempurna dan indah pun adalah ujian, dan amanah. Kita hanyalah pemegang amanah dan hamba yang diuji. Setiap amanah dan ujian yang dilalui dengan baik, inshaAllah tidak sia-sia."

Zuq menamatkan kata.

"Indahnya orang beriman, mendapat nikmat bersyukur, ditimpa musibah, dia bersabar…" 

Wafeya tiba-tiba menyampuk dalam lena dan lemah.

Zuq tersenyum sambil mengusap rambut Wafeya kemas. Tidak tahu samada penyataan tersebut berkaitan dengan usrahnya tadi ataupun sekadar kata-kata Wafeya yang diserang demam panas.

"Ingatkan sudah terbang singgah ke mana-mana. Terima kasih kerana masih mendengar. Makan ubat ye lepas ni.

Wafeya tarik senyuman senget sebelah, menggeleng dan perlahan menutup mata. Lemah benar rasanya.

Zuq mengeluh, menarik selimut menutupi tubuh isterinya yang menggigil kesejukan. Dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu betapa risaunya dia. Kalau sekadar Wafeya yang demam, tidaklah dia berhati galau sangat, tetapi ah, Wafeya membawa satu nyawa lagi dalam kandungannya - anak mereka dengan uri bawah yang mudah berdarah walau ada sedikit komplikasi.

Ya Allah, ringankanlah. Zuq berdoa sungguh-sungguh.

"Waf rehatlah ye, nanti abang buatkan sarapan."

Zuq mencium dahi isteri kesayangan. Sayu.

"I love you Waf, whatever it is. Sleep well, sayang."

Saturday, October 19, 2013

Untuk perkara yang telah ditakdirkan


Aku tahu kau sakit
.
Terpenjara menahan rasa
.
Kecewa, pedih, pasrah
;
Ah, apa sahaja yang menyiksa naluri.

Siapa yang memilih jalan ini,

Kalau bukan kita.

Tetapi siapa pula yang menentukan,

Kalau bukan Dia.

Dan untuk kesekian kalinya, ia tumpah lagi bagai empangan pecah yang tidak mahu berhenti.

Wednesday, October 09, 2013

Perempuan, hujan dan kesetiaan cont.


Waf berhenti menaip. Tangannya diregangkan ke hadapan, kemudian ke belakang. Lenguh. Kemudian menguap.

"Amboi, luasnya gua. Dah tak reti nak tutup?"

Waf menoleh sekilas. Zuq memerhati sambil tersengih. Sekeping biskut keju Julies di sebelah tangan dan mug berisi air entah apa di tangan satu lagi.

"Untuk Waf?" dia bertanya manja.

"Eh, perasannya mak buyung ni!"

Waf mencebik, merajuk.

"Tak mahu beri, kita pun tak inginlah!"
Zuq ketawa. 

"Waf rasa Waf comel bila merajuk?"

"Soalan apa tu?"

"Soalan matematik tambahan, Waf",
ketawa Zuq semakin menjadi-jadi.

"Abang rasa abang handsome bila buat lawak?"

Zuq termati ketawanya. Tersedak sebetulnya. Kopi dan biskut di tekak terasa peritnya berebut laluan masuk ke esofagus. 

"Amboi, dah pandai menjawab balik sekarang ye?"

Wafeya terasa telinganya ditarik kemudian kegelian di seluruh pinggang dan perut. Perang geletek telah diisytiharkan.

"Mana aci!" Sambil ketawa menahan . 

"Tulis apa?" Zuq tiba-tiba berhenti geletek dan menfokus pada skrin monitor.

"Cerita".

Mengangguk. 

"Tentang kita?"

Wafeya membalas juga dengan anggukan.

"Untuk siapa?"

Wafeya mengusap perut. 20 minggu 6 hari dengan anggaran berat 360 gram, panjang hanya kira-kira 26.7cm tetapi tendangan dan gerakan dirasakan padu dan… membahagiakan.

"Nanti bila Waf dah tiada, mahu dia kenal siapa ibunya dan siapa ayahnya".

"Waf…"

Zuq mati kata-kata. Wafeya dan fikirannya. Terlalu menikam dan merusuh jiwa. Sejak disahkan mengalami uri bawah tahap keempat, Waf menjadi semakin sensitif dan pesimis. 

Waf tidak sedar dia membunuh jiwa Zuq perlahan-lahan. 

Waf…tolonglah.

Sekali lagi hujan


“Masa sidai kain kita harap-harap sangat hujan tidak turun, atau kalau turun pun biarlah sekadar gerimis dan tidak lama (lebih-lebih lagi dalam musim hujan ini). Nanti baju tidak kering, berbau hapak pula. 

Tapi kadang-kadang hujan turun juga dan kita mengeluh. 

Ada waktu kita suka sangat hujan turun, kita suka bila cuaca mendung. Sejuk dan nyaman. Hujan itukan rahmat. Kata kita.

Manusia. Macam kita. Tidak ada apa yang benar-benar memuaskan kecuali yang mengikut keinginan. 

Sakit. Pedih. Bila satu-satu ujian datang menimpa saat kita mengharap sebaliknya.

Kenapa? Berapa lama? Kenapa aku? Sering kita persoalkan.

Padahal banyak lagi rahmat dan nikmat yang Allah beri untuk menyeimbangkan ujian-ujian yang sedang kita hadapi.

Tapi hati kita tetap sama sakitnya sebab masih belum dapat apa yang kita mahukan.

Sebab, sebab Allah mahu kita tahu, ubatnya bukanlah pada apa yang kita inginkan, tetapi ubatnya adalah pada, pada kemanisan, kebahagiaan kembali kepada Allah, yang sediakan ini semua.

Hujan

Sinaran mentari

Hidup

Rahmat

Rezeki

Bahagia

Itu semua dari Dia. Kalau Dia masih menahan, masih belum mahu memberi, by that time we know already.

Stop depressing ourself and return to Him. Leave the old path and step to a new one, stop looking at that one close door and look around you. There maybe ten, hundreds, thousands other doors open that we didn’t see before. 

Return to Him and everything just… InshaAllah.”

Thursday, September 12, 2013

Perempuan, hujan dan kesetiaan III


Berita itu seperti kilat, seperti guruh yang sedang berdentum di luar. Seperti hujan yang sedang turun mencurah. 

Zuq melepaskan tangisan kecil. 

"Tekanan darahnya tiba-tiba menurun, dia kehilangan banyak darah, akibat masalah uri bawah. Kami cuba menghentikan pendarahan, tetapi dalam waktu yang sama dia mengalami penurunan tekanan darah yang amat mendadak. We tried our best to bring her back but her heart is too weak to take it all. Allah lebih sayangkan dia, Encik.

Dia telah diberitahu tentang ini semua tetapi Wafeya degil, tetap mahu meneruskan kandungan. 

Wafeya mahu bertahan. Mahu menghadap takdir Tuhan, katanya.

Waf. Dia pergi, seperti hujan. 

Waf…

 “Encik, ini bayinya. Perempuan. Boleh azankan.”

Aku menyambut, memeluk, mencium; suci. 

Hangat terasa, bagai Waf ada bersama. 

Waf, ini Nusaybah Qaseh Iftitah.

THE END.

Perempuan, hujan dan kesetiaan II


"Zuq, kenapa membiarkan?"

"Kerana kau terlalu indah untuk tidak diendahkan."

Wafeya tersenyum. Manis sekali.

Tangannya menggapai lemah. 
Mencengkam kuat jemariku. 

Sakitkah Waf, bertahanlah. 

Dua orang bidan meluru masuk, melihat celoreng graf yang dihasilkan mesin yang mengesan denyutan jantung janin.

"Maaf, tak dapat tunggu lagi."

Aku mengangguk lemah. Cengkaman terlerai.

Katil troli ditolak segera. Pintu ke dewan bedah terbuka seluasnya. Waf sempat menoleh.

"Jangan sedih begini Zuq, doalah pada Tuhan untukku."

Wafeya hilang di sebalik pintu bersama seleret senyuman. Sentiasa manis. 

Siapa yang tidak sedih, Waf! Antara dua, aku rela hilang nyawa andai kau yang tiada!

Perempuan, hujan dan kesetiaan


"Masih di luar, Waf?"

Bisu.

"Masih marah?"

"Tak."

"Pengorbanan tu macam hujan, kan?"

"Hujan itu rahmat. Pengorbanan itu kesakitan."

Dadanya bagai ditikam-tikam. Perempuan ini masih membara dendam.

"Kau menyesal? Atau sekadar melepaskan kesedihan yang kesekian kalinya tidak berpenghujung?"

Dia mendengus. Jemari halusnya cekatan membetulkan sisi tudung. Bayu menghembus lembut, seolah bagai bersahabat, sedang hujan hebat menyimbah; membadai-badai. 

"Pengorbanan tu macam hujan. Sewaktu ia turun; dingin, basah, suram dan menyusahkan. Tapi di hujung-hujungnya mendamaikan, mententeramkan jiwa, membawa ketenangan semesta alam."

Bayu tiba-tiba menerpa, membawa tempias hujan bersama. Tangan cekatan menarik kejap sweater yang membaluti badan sambil melaju rapat ke dalam. Ah, sejuk.

Waf masih berdiri menghadap depan beranda, membiarkan sisi tudung dikibas sang angin. Tidak sukar menerka lakunya. Dia cuba bertahan. 

"Apa sebenarnya?"

Dia tiba-tiba bersuara, membiarkan lakunya mati diperhatikan.

"Pengorbanan tu awalnya memang menyakitkan. Kau melepaskan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu. Atau seseorang..."

Dia menjeling, tajam.

"Kau melepaskan sesuatu yang cukup terbaik, demi untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik di masa akan datang."

"Apa, selepas aku mati?"

"Waf!"

"Maaf."

Masih berbudi walau bicara bagai menghempas naluri.

"Seperti hujan Waf, turun membasahi bumi, keindahan sebenarnya hanya setelah ia berhenti. Setelah hujan tiada, manusia baru menikmati nukilan alam, merasai sebenar nikmat Tuhan."

"Kau samakan aku atau pengorbanan, dengan hujan?"

Ketawa pecah.

"Kau pun tidak kurangnya seperti hujan sekarang."

Sekilat itu juga pahanya dicubit jemari runcing milik Waf, merambat rasa sejuk yang hadir menggetarkan. Sekali dipulas, benar memulas. 

"Sakitnya cik Waf kita ni cubit."

"Entahlah Zuq."

Aku diam, membiarkan rasa perit dicubit berlalu perlahan.

"Aku marahkan Tuhan."

"Waf, jangan!"

Dia berpaling, tangan mengusap-usap perlahan perut yang semakin membesar, terasa panas di mata, bertakung seketika, sebelum tertumpah deras seperti hujan. Ah, akhir-akhir ini mudah benar dia menangis. 

"Zuq!"

Waf!

Dia mendekat dan membenamkan seluruh kesakitannya di bahuku. Dia bukan hujan. Wafeya bukan hujan. Wafeya hanyalah seorang perempuan. Dengan sebuah kesetiaan.

Wafeya adalah sebuah kesetiaan. 

Monday, January 14, 2013

Mencintai dalam diam


Kerana mencintai dalam diam itu adalah doa.

Muawiyah


Hari itu, hujan turun beginilah. Lebat mencurah-curah. Bersama hawa yang gah mengarah aliran hujan ke sanalah, ke sinilah. Pun begitu, masih cantik sangat panorama yang terbentang depan retina mata. Subhanallah. Sejuk. Nyaman. Sebak. Ada kenangan yang bertimpa-timpa datang ketika hujan turun begini.

Menahan rasa, segera mencari kelibat Awi yang kelihatannya baru keluar dari bilik air dengan bahagian depan baju yang hampir lencun. Awi berlari terkedek; kepala, muka, tangan dan kakinya basah. Apa sahajalah si Awi ni... Haih.

"Awi, jangan lari, nanti jatuh. Awi nak ke mana tu?"

Awi masuk ke bilik papanya. Menuruti Awi dari belakang, melihat dia cekatan mengambil sejadah dan kopiah papanya.

"Awi, kan tadi dah solat Zohor dengan papa".

Awi membentangkan sejadah, senget. Melihat ke kiri dan ke kanan, kemudian meletakkan kopiah di kepala. Juga sedikit senget dan hampir menutupi separuh mata. Awi duduk. Bersimpuh sebetulnya.

"Awi buat apa tu?"

Awi diam. Seperti merenung sesuatu.

Tiba-tiba. "Amin..."

"Awi?"

"Awi doakan opah tadi, dengan Tok Ayah. Papa cakap, kalau hujan turun, kalau kita doa, InshaAllah doa kita makbul."

Tiba-tiba rasa sebu datang memenuhi dada. Sesak. Empang rasa yang ditahan tadi pecah juga akhirnya melimpahkan jurai manik-manik halus. Ayah dan ibu baru seminggu pergi menghadap Illahi.

Anak ini. Muawiyah. Yang dipinjam namanya dari seorang sahabat Nabi yang mulia.

Ya Allah, semoga dia jadi permata soleh dan menjadi insan hebat, sehebat namanya.

Hujan masih turun. Lebat mencurah-mencurah. Guruh tidak berdentum. Petir tidak sabung menyabung.




Kawan; buku, masa, bahagia

Bila aku tak boleh menulis. Aku membaca. Bila aku bosan membaca, aku termenung dan merenung. Makanya banyak buku yang aku beli tak sempat baca.

Duit boleh dicari, kata kawan aku. Tapi masa, perasaan bahagia semua adalah anugerah. Orang yang mencari bahagia, belum tentu akan dapat kebahagiaan yang dicari walau macam mana pun dia usaha. Selagi Allah tak anugerahkan rasa bahagia tu dalam hati dia, dia tetap akan rasa resah gelisah sampai bila-bila. Orang yang mencari masa? Heh, ada orang yang cari masa? Masa tu memang dah ditetapkan. Kita yang hidup dalam ruang lingkup masa ini, hanya boleh mengatur sebaik mungkin supaya masa yang ada, yang dianugerahkan kepada kita dapat kita gunakan sebaik mungkin. Atau masa memang akan berlalu dan habis begitu sahaja. Sebab kita tak tahu bila riwayat hidup kita tamat, kita tak tahu bila masa kita habis. Kadang- kadang kita selalu tak sempatkan? Dia melirik dengan anak mata.

 Diam. Aku selalu diam bila dia bercakap begini. Selalu membiarkan dia terus bercakap. Bila nanti, dia akan turut terdiam juga. Barangkali menghadam butir-butir bicaranya sendiri atau sekadar menghormati aku yang berdiam.

 Betul tak? Akhir sekali dia akan menambah. Aku selalu pula akan angguk. Selalu akan mengiakan.

So, kalau terasa nak beli buku tu, beli jelah.

Maka sebab tu dia tak pernah menghalang aku untuk membeli banyak buku yang belum tentu akan aku baca.

Kawan begini. Yang sering menenangkan dan memenangkan. Dia adalah kawan yang tidak perlu dibeli dengan wang, di luar jangkauan masa dan di luar atur bahagia. Dia adalah masa, dia adalah bahagia. Dia adalah kawan yang sebaik-baik kawan.

 Dan aku tak mahu kehilangannya.

p/s: aku tak boleh membaca sekarang, sebab itu aku menulis.

Saturday, October 06, 2012

Of hurdles

Sekeping hati dibawa berlari
Jauh melalui jalanan sepi
Jalan kebenaran indah terbentang
Di depan matamu para pejuang

Tapi jalan kebenaran
Tak akan selamanya sunyi
Ada ujian yang datang melanda
Ada perangkap menunggu mangsa

Akan kuatkah kaki yang melangkah
Bila disapa duri yang menanti
Akan kaburkah mata yang meratap
Pada debu yang pastikan hinggap

Mengharap senang dalam berjuang
Bagai merindu rembulan di tengah siang
Jalannya tak seindah sentuhan mata
Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba

Old timer nasheed says it best.



Wednesday, March 07, 2012

Seketika keruh berpanjangan

(mana hujungnya, mana pangkalnya certia...)




“Itulah hakikat sejati kebahagiaan hidup, Dam. Hakikat itu berasal dari hati kau sendiri. Bagaimana kau membersihkan dan melapangkan hati, bertahun-tahun berlatih, bertahun-tahun belajar membuat hati lebih lapang, lebih dalam, dan lebih bersih. Kita tidak akan pernah merasakan kebahagiaan sejati dari kebahagiaan yang datang dari luar hati kita. Hadiah mendadak, kabar baik, keberuntungan, harta benda yang datang, pangkat, jabatan, semua itu tidak hakiki. Itu datang dari luar. Saat semua itu hilang, dengan cepat hilang pula kebahagiaan. Sebaliknya rasa sedih, kehilangan, kabar buruk, nasib buruk, itu semua juga datang dari luar. Saat semua itu datang dan hati kau dangkal, hati kau seketika keruh berkepanjangan.
...Itulah hakikat sejati kebahagiaan, Dam. Ketika kau bisa membuat hati bagai danau dalam dengan sumber mata air sebening air mata. Memperolehnya tidak mudah, kau harus bekerja keras, sungguh-sungguh, dan atas pilihan sendiri memaksa hati kau berlatih.


(p.291-292) Perkampungan Sufi

- Ayahku (bukan) Pembohong - Tere Liye



Sudahlah jauh, jatuhlah pula, sudahlah rebah, tersungkurlah pula...

Wednesday, January 11, 2012

Drained

I’m like that piece of fabric, initially tightly knit, strong, soft, stiff, almost unwearable. With time, the more it’s worn, the more it’s used, rubbed against, washed, spilled on, cleaned with, the weaker it gets. It’s strength wears out. The threads slowly start to unwind. There are holes. There are stains. There is everything right up on the surface showing the battles of the cloth. The faded colours, the rough edges. 

It’s not what it used to be. It’s not able to do what it could before.

Yet it’s use is still the same. You can’t build this kind of strength back, you can’t make it new without replacing it. It’s gone. Its just a matter of time till it diminishes altogether. 




Wednesday, November 09, 2011

Separuh dari kita

(Yang aneh-aneh tentang kita - dan pilihan hidup kita)




Sebab sedang malas. Yang mana malas itu adalah sifat paling keji dalam sejarah hidup manusia. Tidak membangunkan, tidak membina. Kau tahukan, sifat ini hukumnya pemusnah. Perosak. Penghancur. Anai-anai pemakan tamadun ummah. Sebab itu kau menulis. Kau harap dengan menulis, kau menjadi tidak terlalu pemalas. Justifikasi pelik ini kau harap dapat menyedap-selerakan hatimu. Terbaik. Maka ini kau sedang mereka-reka -

Lalu apa kata sahabatmu tentang sifatmu yang pemalas, tidak keruan dan haru-biru tanpa arah tujuan ini?

Saat kau mengeluh padanya tentang masa depan hidupmu yang sepertinya akan bakal hancur dan terbantut akan kerana kemalasanmu memajukan dirimu, apa katanya?

Saat kau katakan padanya yang kau tidak lagi menaruh harapan besar, tidak lagi mahu berimpian, tidak yang entah-entah dan apa-apalah hanya kerana sebenarnya kau malas, apa katanya?

Katanya mudah. Dan kerana kau malas, kau memang tidak memikirkannya langsung.

Katanya - hey, kau bertuah. Kau bertuah kerana telah berada di jalan yang baik, dikelilingi orang bagus-bagus. Berapa ribu juta lemon orang yang menginginkan berada di tempatmu, tetapi kau dengan segala kebesaranmu ini mengeluh? Ya, kenapa ya?

YOU have the chance to learn.

Di saat semua orang sedang berusaha, apa alasanmu untuk tidak berusaha?

Mata ke bumi kawan, biarlah. Tapi hati, hati halakan ke langit. Di situ, jalannya lebih terbentang luas.

Yang anehnya - si penasihat inilah yang lebih-lebih tertekan dalam hidupnya. Benarlah, lebih tertekan, lebih terbentuk.

**
Terinspirasi; lagu watak -Hafiz




Don't let dreams be just dreams, ayuh!

Negeri 5 menara


Bacalah buku ini. Dan rasakan betapa kerdilnya diri - sekarang.


Benarlah. Orang-orang yang hebat, menulis dan bercerita perkara-perkara yang hebat.

Rindu pada buku, ilmu, imtihan (dan rindu pada rasa tersiksa menela'ah untuk imtihan)

Rindu ada impian, ada azam, ada cita-cita.

Rindu belajar. Dan zaman belajar. Zaman dibimbing dan diasuh.

Rindu guru-guru.

Rindu melanggar disiplin. Ooopps.


************************************
* Tidak sabar menunggu filemnya keluar.
** Dah lama beli, baru boleh baca. Alhamdulillah masih punya kesempatan membaca. Sebab jiwa kacau, hati runsing, fikiran celaru - pergi lari baca buku. Terapi membaca. Keluar ke dunia lain. Kembali ke dunia asal dengan semangat baru.
*** Seterusnya - Ranah 3 warna.
**** Tahu. Patut tumpukan pada kerjaya sekarang dan pembinaan kerjaya yang 'baik'. Tapi penat. Penat sangat dengan dunia. Statik. Radikal seketika. Istirehat. SEKETIKA.


“Kun fayakun, maka awalnya awan impian, kini hidup yang nyata. Jadi jangan pernahkan remehkan impian, walau setinggi apa pun. Tuhan sungguh Maha Mendengar”. - A. Fuadi


Masih belum hebat, tapi masih belum terlambat. InshaAllah. Ikhlas ya.

Wednesday, October 26, 2011

Suka baca puisi malam-malam dan bila hujan




Teruslah bergerak seperti jantung.
Tak butuh disebut-sebut,
tak butuh dipuji-puji,
dan tak butuh disaksikan.
Terus bergerak, terus bergerak dan terus bergerak.
Hingga Allah sendiri yang memutuskan kapan harus berhenti.

Saturday, October 08, 2011

Saku kering rasa



“Apa yang kau tangkap dari suara hujan
Dari daun-daun bugenvil yang teratur mengetuk jendel.
Apakah yang kau tangkap dari bau tanah
Dari ricik air yang turun di selokan”
― Sapardi Djoko Damono