Seperti kata orang-orang lama, hidup itu ibarat roda; sekejap berada di atas, nanti sekejap di bawah pula. Semakin laju ia berputar, semakin tak terasakan silih bergantinya pusingan. Terus berputar dan berputar seperti tak akan ada hentinya.
Sewaktu saya masih anak-anak, nasihat ini sentiasa dititik beratkan; kalau berada di atas, jangan dilupa nanti bila-bila masa sahaja akan berada di bawah pula.
Di jalan mana pun, pasti akan ada persimpangan yang bakal disinggahi. Selaju mana pun roda berputar, ada waktu ia akan perlahan dan berhenti; simpang tiga atau simpang empat sekalipun pilihan harus tetap dibuat, kerana perjalanan perlu diteruskan. Jalan luruskah, jalan bengkok berbelok-belokkah, atau berlekuk mengandung lecak, kita yang memilihnya. Sedikit kita ingat bahawa Tuhan jua yang menentukan - untuk segala pilihan yang tersedia.
Semoga saya tidak lupa ingatan Tuhan dalam kitabNya, 'Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.'
(Al-Baqarah, 153)
Merasa berada di bawah kadang kala adalah nikmat susah yang tidak terperikan. Tanah ini begitu asing!
*Gambar - Lebuhraya Utara Selatan - Saya mahu pulang!
Yang lelah dan capek,





