Wafeya

Life is a serious matter.

Sunday, August 31, 2008

Salam Ramadhan Al-Mubarak



Salam Ramadhan Al-Mubarak buat semua~

"Awalnya rahmat,
pertengahannya maghfirah,
Penghujungnya pembebasan dari api neraka"

(Al-Hadis)


Ampun maaf dipinta untuk segalanya~


Ramadhan pertama
ke Dubai aku berkelana~
Kuala Lumpur

Wednesday, August 27, 2008

Ukraine! Alahai Ukraine...

i

Ukraine! Lima hari lagi akan berangkat pulang. Apa satu pun belum dikemasi lagi. Satu dua minggu belakangan ini bayang negara bekas Soviet itu kerap kali menerjah kotak fikir. Bukan kerana harus menempuh fasa-fasa baru pengajian, malah itulah yang ditunggu-tunggu kerana berbulan-bulan tanpa kuliah dan kelas, terasa berkarat segala ilmu perubatan yang seciput ini. Namun segala rasa yang bercampur baur inilah yang sering datang mengganggu; tanggungjawab, pelajaran, persahabatan, mehnah kehidupan seharian, aktiviti sosial, yang mana segalanya harus diimbangi dengan baik dan matang.

Terkadang terasa kehidupan di Ukraine seperti sebuah medan persaingan, seperti ada suatu perlumbaan demi merebut entah apa. Sesiapa yang lambat, akan tertinggal atau ditinggalkan. Secara positifnya, ia adalah suatu persaingan yang sihat; memupuk sifat mengambil berat antara kawan, membantu antara satu sama lain dan belajar berbaik sangka. Negatifnya, ada waktu akan rasa tersisih atau disisihkan, adakala pula akan rasa kalah, rasa gagal dan rasa yang yang entah apa-apa datang menjengah dan mengacau perasaan bilau sehingga boleh mengakibatkan depresi sementara mencari jalan keluar dari segala permasalahan.

Pasti dan pasti rasa-rasa yang tidak elok itu datang daripada bisikan syaitan laknatullah, musuh ummah sepanjang zaman. Itulah, diri seringkali terlupa bahawa kehidupan adalah suatu ibadah dan ibadah memerlukan mujahadah sedangkan mujahadah itu tidak pernah sunyi daripada ujian. Firman Allah, “(Allahlah) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Mulk:2). Dalam perlumbaan itu, pasti dan pasti akan pernah jatuh tersungkur, rebah terduduk dek ujian yang diberi. Kesabaran dan keyakinan kepadaNya jualah yang memberi kekuatan meneruskan larian menuju capaian matlamat. Seringkali pula diri mengeluh, mengadu, merintih menangisi segala keperitan kepadaNya kerana sudah tak termampu, tak terdaya lagi mengharungi tribulasi ujian yang menduga. Imam Bukhari rhm ketika bermunajat dengan Allah, pernah berbisik-bisik mengatakan: “Bukan aku tidak tahan dengan ujian-Mu ya Allah, cuma hendak mengadu pada-Mu, tempat aku kembali nanti, memohon ketenangan, keampunan dan mutmainnah.”


Barukisu:
Sekian, tazkirah untuk diri sebagai penguat semangat sebelum mula mengemas beg. Alahai…


ii

Ukraine! Antara wakil-wakil negara Islam yang dipanggil satu demi satu ke pentas utama, Ukraine adalah negara yang tidak tersangkakan oleh saya untuk menghantar wakil ke Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-50 yang diadakan di Pulau Wan Man, Terengganu baru-baru ini. Tiba-tiba rasa bangga menguasai diri yang hina ini sebentar. Ukraine? Ya, saya memang tidak percaya. Adakah saya tersalah dengar? Tidak mungkin. Bahkan sekeluarga saya yang menonton turut mengesahkan. Benarlah itu peserta dari Ukraine yang sedang berjalan ke pentas utama untuk menerima sijil penyertaan serta cenderahati daripada YTM Tuanku Mizan Zainal Abidin. Dari rias wajahnya yang tersenyum malu-malu, pemuda yang saya kira berusia dalam awal 20-an itu bukanlah personaliti yang penting atau terkenal pada malam itu. Malah beliau merupakan peserta terakhir yang dipanggil untuk menerima cenderahati. Sayang sekali saya terlepas dengar persembahan tilawahnya. Melihatkan peserta itu berjalan lekas-lekas ke pentas utama, pasti kamu menekanya sebagai penganut agama Kristian jika kamu bertemunya di luar tanpa kopiah dan jubah putih labuh yang dipakainya pada malam itu.

Bagi saya, penyertaan negara seperti Ukraine adalah sesuatu yang agak luar biasa. Manakan tidak, majoriti penduduknya merupakan penganut Kristian Katolik yang tegar. Penduduk beragama Islam yang kebanyakannya merupakan orang-orang Tatar dari Uzbekistan hanya mendominasi sebahagian kecil negara itu terutamanya di Pulau Crimea tempat saya belajar. Benar, Ukraine dahulu merupakan salah sebuah jajahan takluk Empayar turki Uthmaniah dan pernah terkenal kerana gahnya Islam, kerana hebatnya ulama’ di situ dan mungkin atas sumbangan yang dimainkan bangsa Tartar yang telah diberi mandat oleh kerajaan Turki Uthmaniah untuk memerintah. Namun selepas Russia mengalahkan kerajaan Turki Uthmaniah pada tahun 1777, sehingga hari ini Islam di bumi Ukraine adalah sesuatu yang asing, sesuatu yang terlalu amat minoriti dan penganutnya acapkali dipinggirkan dalam apa jua bidang dan lapangan. Mahu mencari Islam di Ukraine seperti mencari Islam di Italy, ada tetapi sedikit, ada tetapi sukar, ada tetapi seperti tiada.

Ukraine dalam peta dunia memang besar, tetapi kalau ditanya kepada sebahagian rakyat Malaysia, hampir semua menggeleng kepala tidak tahu di mana letaknya negara itu. Sedangkan Ukraine itu menjadi terlalu amat signifikan kepada saya hanya selepas saya dihantar belajar ke negara itu. Jika tidak, saya sendiri pun tidak tahu menahu tentang wujudnya sebuah negara bernama Ukraine. Seperti pernah ku dengar, tapi di mana ya? Di Russiakah? Siberia? Di mana ya? Adakah wujud sebuah negara bernama Ukraine? Tetapi pada malam itu, sebuah negara bernama Ukraine yang agama rasminya adalah Kristian Katolik telah menghantar wakilnya ke Malaysia untuk menyertai tilawah peringkat antarabangsa itu. Bagaimana ia terjadi, saya masih terrtanya-tanya. Adakah ini kali pertama atau saya yang tidak tahu bahawa Ukraine itu telah bertahun-tahun menghantar wakil? (betapa dungunya saya!) Suatu gabungan rasa yang entah apa tetapi hanya terlahir oleh sebuah senyuman. Ukraine tempat saya belajar itu? Ah!

Barukisu :

· Tahniah buat peserta wanita negara, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman yang menduduki tempat kedua. Tahun hadapan boleh cuba lagi, ya! Hebatnya wanita Asia Tenggara, membolot lima tempat teratas; Thailand, Malaysia, Brunei, Filipina dan Indonesia. Untungnya berdamping dengan Al-Quran!

· Tercengang-cengang mendengar persembahan bacaan Johan Qari Tilawah Al-Quran, Mu’min Mubarok dari Indonesia. Terasa-rasa betapa indah dan hebatnya kalam Allah. Terasa-rasa mahu belajar membaca quran secara tarannum, qiraat tujuh imam, dan hikayatnya sekali. Ah, jahilnya!

· Lucu mendengar persembahan nasyid bertajuk ‘Qulna Ahlan’ (Selamat Datang) dari peserta tilawah yang diketuai oleh peserta dari Lubnan itu. Sedap memang sedap, malahan kerana lenggok Arab yang kaya dengan kemahiran maqam seperti maqam bayati dan maqam rast, nasyid itu menjadi menarik dan bersemangat. Tetapi apabila mereka mula bernasyid dalam bahasa Melayu yang antara jelas dan tidak perkataannya, rasa lucu tidak tertahan-tahankan lagi. Apa pun, terima kasih kepada mereka yang sungguh-sungguh bersemangat membuat persembahan pada malam penutup itu. Teringat pula pada Zaman Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu menjadi bahasa perantara di pelabuhan Selat Melaka. Bilakah akan kembali kegemilangan itu?


iii

Ukraine! Semalam sewaktu pulang dari mengambil surat tamat praktikal, saya ternampak Vice Rector (Naib Cancelor) CSMU, universiti tempat saya menuntut, Asst. Professor Sakhaltuyev Andrey Dimitrevich bersama presiden MSC, saudara Durairaj di perkarangan Hospital Serdang. Mahu sahaja saya berhentikan kereta dan melihat lebih lama atau sekurang-kurangnya turun dan bertanya khabar, tetapi tempat letak kereta di tepi jalan agak penuh dan saya pula perlu segera pulang.

Terkejut pun ada, sedikit bangga juga ada. Saya hampir-hampir sedikit brek mengejut. Mujur kereta yang dipandu tidak terlalu laju. Entah apalah yang dilakukan beliau bersama kamera video tangan di hadapan hospital itu. Tiada pula sesiapa yang berhormat mengiringi beliau, maka sudah pastilah ia suatu lawatan tidak rasmi. Apa pun, semoga ada kebaikan dari lawatan beliau. Sekurang-kurangnya ada juga inisiatif datang ke Malaysia melihat-lihat hospital di sini. Pasti beliau dibawa melawat hospital-hospital utama di Malaysia sambil jalan-jalan bercuti makan angin. Beliau antara pentadbir CSMU yang saya hormati kerana sifat rendah dirinya. Saya tumpang gembira kerana beliau sudi datang melawat negara ini. Semoga di masa-masa akan datang, doktor-doktor di sana pula datang melihat-lihat teknologi perubatan di negara ini. Barulah ada ‘give and take!’



Hujan sudah berhenti
Tapi burung belum berkicau lagi
Ke manakah?

Sure Khatan 2008 : Melebar Ukhuwah, Mengenal Diri

Terengganu. Empat hari saya di sana sempena program Sure Khatan 2008 di Kg. Pak Ba, Setiu. Pengalaman mengkhatankan murid-murid sekolah dari dua buah kampung adalah antara kenangan yang manis dan teristimewa buat saya. Dua malam tidur di rumah keluarga angkat serta mendapat ramai kenalan baru juga meninggalkan memori-memeori indah yang pasti sukar luput dari ingatan.

Kemudian percutian di Pulau Perhentian lagi-lagi mengingatkan saya betapa Allah Maha Agung dan Indah. Pertama kali melakukan aktiviti snorkeling’ dan melihat dasarnya laut di Pulau Perhentian itu, diri rasa betapa kerdil dan kecil di muka bumi Allah ini. Subhanallah, pemandangan yang tidak terucapkan oleh kata-kata. Kalau kamu melihat ke dasarnya laut seperti kamu masuk ke sebuah dunia lain. Batu karang indah tersusun tak terusik. Ikan-ikan kecil berenang riang sambil main sembunyi-sembunyi di sebalik batuan. Cantik! Tak terungkapkan; pantai dan pasirnya, laut dan hidupannya, gunung-ganang nan tertancap gagah bersama pohonan hijau nan melambai. Alangkah! Ma Ajmala!

Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allahlah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh mahfuzh). (Surah Huud:6)

So, let the pictures tell d story...



Ceramah motivasi buat adik-adik UPSR


Bergerak menuju lokasi berkhatan


Rombongan pulut kuning...


Sek Keb Pak Ba-lokasi berkhatan


Masuk, masuk... jangan takut...


Mandi adat atau bersiram


Bersama keluarga angkat- Kak Ti sedang membungkus nasi lemak pelanggan

Indahnya Pulau Perhentian!












Penyu Terengganu - Sayang saya tidak berkesempatan melihatnya



Menulis saat hujan lebat membasah di luar
Angin pula kencang-kencang bertiupan
Mahu beritahu apakah?
Kuala Lumpur.

Monday, August 04, 2008

Selamat Pengantin Baru

Lama tidak menjengah blog. Sudah bersawang berjuntai-juntai tidak dibersihkan. Praktikal sudah selesai, cuti pun tinggal sebulan sahaja lagi. Aduhai, sayang pula rasanya mahu meninggalkan Malaysia tercinta! Walau hanya tinggal dua tahun lagi pengajian di bumi bekas Soviet itu, terasa seperti sangat lama lagi perlu menghirup udara sejuk beku di musim kedinginan, perlu bersabar melalui jalan-jalan kesesakan yang kadang kala becak kebasahan dek salji yang kecairan, rutin kehidupan yang rencam dan kalut serta episod-episod baru dalam kisah-kisah yang bakal tercipta semester depan. Bukan membenci negara itu, (waimma kadang kala selalu dibisik keresahan dan kegelisahan mendepani setiap getir ujian dan dugaan di bumi Ukraine ini) tetapi almaklumlah dalam diari kehidupan seorang penuntut, ujian dan dugaan itu adalah segala yang bernama pengalaman buat mematangkan diri menghadapi hari-hari kedewasaan nanti. Panjang pula bicara, tiada sudahnya sekadar mengeluh berbasa-basi di sini kalau tidak disertai cita-cita dan keazaman yang tinggi.

Without ambition one starts nothing.
Without work one finishes nothing.
The prize will not be sent to you.
You have to win it.
So, lets strive and kid for the best!

Di kesempatan ini juga saya mahu mengucapkan tahniah buat sahabat-sahabat yang telah selamat membina masjid pada minggu lepas. Apa-apa pun semoga kehidupan kalian dirahmati Allah sehingga ke akhir hayat.


2 Ogos 2008 - Sakeenah dan Mashkur di hari bahagia mereka.



Raja sehari - Warna ungu menjadi tema di hari perkahwinan



Seronok bertemu kawan-kawan dari sekolah lama



3 ogos 2008 - Kak Mahsoonah Qudsy dan Thawfeekul Ameen

Sebelum akhirnya, sebuah nasyid dari kumpulan Hijjaz - Selamat Pengantin Baru khas buat sahabat-sahabat yang baru mendirikan rumah tangga. Selamat tabah dan sabar hadapi liku-liku kehidupan baru!

Selamat Pengantin Baru - Hijjaz

Bila dua hati dah terjalin
Selamatlah pengantin kami doakan
Moga redha allah bersinar selalu
Tanda bermula bahtera hidup

Dalam melayari bahtera rumahtangga
Ada masa tenang dan masa gelisah
Jangan nafsu diikut melulu
Sabar dan kemaafan itu perlu

Beginilah resam manusia
Tak lari dari ketentuan ilahi
Suami ketua isteri pembantu
Menongkah hidup saling berpadu
Susah dan senang hadapi bersama
Moga kekal keanak cucu
Moga kekal hingga ke syurga

selamat pengantin baru - hijjaz

p/s : Dengar khabar dalam diam-diam sudah dua pasangan mengikat tali pertunangan pada bulan lepas, Kak Mas dan Akasyah, serta khabarnya Kak Nana dan Iqbal. Dan InsyaAllah satu lagi pasangan bakal bertunang pada 17 Ogos ini, juga salah seorang sahabat saya, Sarah Shazwani dan Ismail Hamzah. Tahniah buat kalian semua. Wah, semakin berseri-seri bumi CSMU nanti dengan kehadiran pasangan-pasangan barakatillah ini.




Menulis untuk pengantin baru!
Tatkala burung riang berkicau,
mentari pula dibayangi awan.
Kuala Lumpur.

Monday, July 14, 2008

Bertemu 1515

Saya menarik nafas dalam-dalam. Lama saya berdiri di situ. Mata memfokus tajam. Saya amati setiap judul buku yang dipamerkan. Pelik. Buku yang saya cari tidak kelihatan. Saya amati lagi kalau-kalau tersalah pandang. Saya berpindah ke rak berhampiran. Susunan buku di sini agak terbiar sedikit tetapi masih kelihatan kemas.

************

Penat rasanya mengikut ‘ward round’ setiap pagi. Lenguh kaki terasa menjalar ke seluruh badan. Bagaimanalah doktor-doktor pakar tersebut dapat bertahan berjam-jam memeriksa hampir 40 pesakit setiap hari, saya yang masih muda ini pun sudah cepat terasa letihnya. Ah, alah bisa tegal biasa, saya menyedapkan hati. Saya mahu lekas-lekas selesai ‘ward round’ ini, mahu cepat-cepat cari kerusi untuk duduk. Mahu lunjurkan kaki, hilangkan lenguh. Sambil berharap begitu, saya masih sempat mengkagumi kesabaran doktor-doktor pakar tersebut meneruskan pemeriksaan satu demi satu pesakit-pesakit yang berada di situ. Kalau penyakitnya kronik, tambah pula diagnosis masih carik-carik bulu ayam, lagi lamalah mereka berdiri mengelilingi katil pesakit tersebut. Dan saya antara faham dan tidak hanya memandang simpati wajah pesakit yang terbaring lesu dengan mata separuh terbuka itu.

*************

Saya melangkah perlahan. Dalam hati berjanji sekurang-kurangnya mahu bawa pulang satu buku. Dalam kepala pula ligat kira-mengira baki wang saku yang masih ada. Cukup. Saya melangkah lagi. Berhenti menghadap rak buku yang dipamerkan paling hadapan sekali. The Chronicles of Narnia: Prince Caspian, saya membaca judul yang tertera. Menarik. Tapi saya sudah dewasa. Zaman membaca buku-buku seperti itu sepatutnya sudah berlalu walau keinginan masih ada. Kalau ada rezeki lebih mahu juga rasanya saya membeli buku The Chronicles of Narnia yang memuatkan kesemua cerita di dalam siri itu sekaligus buat memuaskan hati saya. Kalau tidak saya yang membaca pun pasti adik-adik saya yang mengulitinya. Saya jalan lagi, mampir ke ruang tengah yang memuatkan buku-buku novel bahasa Inggeris remaja, thriller dan seram. Nama-nama penulis seperti Dan Brown dan Stephen King melayari kotak fikiran saya. Saya menimbang-nimbang mahu membawa pulang salah satu antaranya. Ah, sukar sekali membuat pilihan!

*************

End stage heart failure. Saya mencuri pandang kertas yang berada di atas meja mudah alih. Kemudian mata saya memandang pesakit yang menyandar pada bantal-bantal yang disusun di belakangnya. Cardiac asthma, saya meneka dalam diam. Pegawai perubatan siswazah sibuk menerangkan kes pesakit tersebut kepada pakar perubatan yang saya lihat sudah mula memeriksa pesakit tersebut dengan stethoscope yang tergantung di lehernya. Mantap! Getus saya dalam hati. Saya kemudian melihat-lihat keadaan pesakit tersebut dari mata kasar. Perutnya agak besar sedikit, kelihatan penat dan tidak bermaya. Saya lihat pakar perubatan memeriksa kakinya, ada sedikit permukaan yang tenggelam dan lambat timbul. Edema. Saya cuba mengingat kembali tanda-tanda lain pesakit yang menghidapi kegagalan jantung berfungsi; sejuk hujung tangan dan kaki, kadang-kadang kebiruan sedikit, sukar tidur waktu malam kerana sesak nafas dan batuk. Pakar perubatan membawa keluar x-ray pesakit dari sampulnya. Saya turut melangut kepala mahu melihat sama. Cardiomegaly dan dilated upper lobe vessels. Jelas sekali. Saya melihat lagi. Ada tanda-tanda pulmonary edema, terang pakar perubatan tersebut kepada kami yang melihat. Kerley B lines dan Bat’s wings, beliau menunjuk dengan jari telunjuknya. Tidak kelihatan jelas pada saya. Ah, perlu lebih banyak belajar, saya bisik pada hati.

***************

Saya ke bahagian paling hujung kedai itu. Di bahagian kanan dan kiri kedai besar itu dipenuhi dengan buku-buku ilmiah dan akademik. Buku-buku perubatan mendominasi bahagian kanan manakala bahagian kiri tersusun rak-rak yang memuatkan buku-buku dalam bidang teknologi maklumat, kejuruteraan dan perkomputeran. ‘Sudut buku Bahasa Malaysia’, saya meneruskan langkah. Kecil, tidak besar dan hanya beberapa buah rak memenuhi bahagian belakang kedai ini. Kasihan, bahasa sendiri seperti bahasa kelas kedua di negara ini. Sedang di negara-negara Eropah seperti di Itali misalnya, buku-buku Bahasa Inggeris hanya disediakan sudut yang kecil sahaja; English Book Section. Sebahagian besar kedai bukunya pula dipenuhi dengan buku-buku dalam bahasa kebangsaan mereka. Tetapi di negara tercinta saya ini, hanya 5 peratus sahaja kawasan daripada ruang kedai buku itu yang menempatkan buku-buku bahasa Malaysia, itupun adalah novel-novel karya cinta, rindu, kasih sayang, penantian dan pengorbanan demi cinta. Cinta, cinta, cinta! Tema stereotaip. Fitrah suci itu kalau dicemari dengan nafsu, dendam dan entah apa-apa lagi, meluat saya mahu membacanya. Satu dua muka membelek, saya sudah boleh meneka jalan cerita, klimaks dan akhirnya. Saya mahu mencari sesuatu yang lain, ya sesuatu yang berbeza!

***************

Monorel yang berdimensi 20800 x 3000 x 4300 itu meluncur laju seperti ulat bulu meniti ranting kayu. Cuma bezanya ulat bulu bergerak lambat-lambat tetapi monorel yang mempunyai daya pemecutan maksimum 90 km/j itu melesit laju di atas jajaran landasannya. Sudah berada di dalam perutnya saya rasa lega. Hilang sedikit penat berjalan sebentar tadi. Penghawa dingin yang dipasang lagi menyamankan suasana. Saya memilih tempat duduk paling hujung di ekor keretapi canggih itu. Mahu melihat bandaraya Kuala Lumpur dengan lebih jelas. Saya membasahkan tekak dengan air mineral yang dibawa. Sewaktu keluar dari wad tadi, saya sempat memandang mata pesakit yang menghidapi kegagalan jantung berfungsi itu. Saya tidak berkata apa, cuma berharap dia segera sembuh atau setidak-tidaknya boleh pulang ke rumah. Entah keajaiban apa yang saya minta waktu itu kerana saya tahu peratus untuknya meneruskan hidup dengan sempurna amat tipis sekali. Ubat yang diberi hanyalah sekadar untuk membantu meringankan beban penyakitnya bukan untuk menyembuhkan. Maha Suci Tuhan yang mencipta sekalian makhlukNya, dia yang menurunkan penyakit, dia juga yang memberikan penawarnya. Saya berdoa diam-diam di dalam hati sungguh-sungguh yakin pada ketentuanNya saat monorail yang saya naiki perlahan-lahan berhenti di stesen Imbi dan saya lekas-lekas keluar berjejeran bersama penumpang lain yang turut turun di destinasi yang sama.

***************

Mata saya gesit melilau. Merenung tajam setiap judul yang ada. Pupil mata saya mengecil, lensa menebal. Kombat 1511. Saya sudah baca. Saya lihat lagi, menolak beberapa buah buku ke tepi. Tuhan Manusia. Saya baca sinopsis. Saya letak semula. Jari-jemari saya pantas berlari antara buku ke buku. Pasti ada lagi buku tulisan Faisal Tehrani yang lebih menarik. Saya tidak mahu membawa pulang sesuatu yang hampa. Pernah membaca beberapa cerpen hasil karya beliau, saya tahu apa yang saya mahu. Saya menarik keluar Bila Tuhan Berbicara dari tempatnya, membaca sinopsis di kulit belakang, saya berkira-kira. Ini sahaja? Oh, saya mahu bawa pulang sesuatu. Sesuatu. Saya terpempan membaca judul ‘Enrique’, karya H.M. Tuah Iskandar. Saya pernah dengar tentang buku ini. Hebat! Eh! Saya mencapai buku di sebelah Enrique. Membaca judul. 1515. Memusing belakang, saya membaca sinopsis. Tun Nyemah Mulya. Panglima laksamana Melaka? Saya hanya kenal Hang Tuah sahaja. Ada panglima lainkah? Ilmu sejarah saya yang cetek itu saya panggil panggil kembali. Saya pegang buku itu. Agak lama sambil memandang lukisan seorang perempuan memegang keris di kulit hadapan. Akhirnya saya tekad. Bulatkan hati. Saya mahu mengenalinya. Mengenali Nyemah Mulya. Saya bayar harga buku itu dan melangkah keluar dari Borders sambil berjanji akan datang lagi ke situ, mahu belek-belek lagi buku-buku yang ada. Saya mahu baca yang ini dulu. Mahu ‘baca’ Nyemah Mulya.




1515 oleh Faisal Tehrani



KL Monorel mendekati stesen Imbi


Barukisu berpenglipur lara,
Kuala Lumpur.

Jambatan emas Gunung Ledang dijumpai!

Saya terjumpa ini semasa mengemas barang-barang lama saya. Artifak zaman purba, saya kira. Saya mahu buang, tapi sayang, jadi saya taip semula dan letak di sini. Satu, saya dan kawan-kawan baca semasa Annual Dinner di sekolah dulu, yang satu lagi saya hantar ke Dewan Siswa sebelum berangkat ke Ukraine. Tapi saya rasa tidak pernah tersiar pun.

i) (Sajak ini tiada tajuk kerana saya dan kawan-kawan menciptanya di saat-saat akhir sebelum persembahan).

Di alma mater ini
Segar kita di perbatasan ilmu
Mengembarai usia yang sarat dengan pengetahuan
Sekaligus membawa kesedaran
Bahawa kitalah petualang
Wahana globalisasi bangsa
Kitalah para sarjana
Wisesa maruah bangsa
Nun di ufuk mayapada
bersama-sama kita redah rimba ilmu
Meniti titian kegagalan
Juga menara kejayaan

Terima kasih guru
Kerana kesabaranmu
Menzahirkan hakikat ilmu
Bukan hanya untuk mengenal dunia
Tapi kenal hati, kenal budi, kenal diri, kenal Tuhan Yang Esa

Terima kasih guru
Kerana dedikasimu pada setiap jejelang pendidikan
Aku tahu, bukan emas permata yang kau impikan
Waimma dunia dan isinya
Tapi hanya sekadar secenis kegembiraan
Dari kejayaan anak didikmu
Engkaulah guruku
Para wisata agung
Yang purbawisesa di sukma!

Teman
Alfun syukran kuucapkan
Atas kesetiaanmu menemani
Diriku di sepanjang perjuangan suci ini.

Terima kasih juga
Kerana kehadiranmu menceriakan warna-warni hidupku
Cinta, kasih, benci, kecewa,
Adalah suasana yang satu.

Teman
Harapanku agar
Sama-sama kita julang
Satu impian,
Satu kejayaan,
Satu kecemerlangan!

Chorus*

(Terima kasih,
Aku bicarakan,
Buat teman seperjuangan,
Yang setia berkorban,
Demi sebuah impian,
Kuutuskan lagu terakhir,
Lagu perpisahan,
Sebagai salam terakhir,
Kerana kita mungkin,
Tidak bersua lagi!)

(Lagu dipasang)


ii) Kembara Destinasi Baru

Mari teman
Aku pegang tanganmu
Ke medan yang baru
Melangkah kehidupan
Bersama selaut keyakinan

Mari teman
Aku bantu suluh jalanmu
Pedulikan retorika kelat yang lama
Pada perjalanan yang dulu
Insinuasi rencam yang kalut
Dalam hujahan kekesalan
Ini mungkin retribusi
Azab awali di bumi ini

Mari teman
Aku pimpin kamu
Hatimu kau tabahkan
Jiwamu kau pasrahkan
Akalmu kau luhurkan
Lantaran diri serba kekurangan
Bukan insan sempurna yang punya kekuatan

Mari teman
Ikut aku kawanmu
Tinggalkan kolong jahil yang hina
Selusuri jalan ini kali kedua
Pasti kau temui hikmah sejuta
Pada langkahanmu yang pertama!

Barukisu,
2003/2004

Saturday, June 07, 2008

Pengantin baru praktikal berkhatan!!

Jangan terkejut dengan tajuk entri saya kali ini, walau agak menggemparkan saya rasa rakan-rakan di Ukraine sudah dapat meneka isinya. Masakan tidak, masing-masing dipenuhi jadual cuti yang hampir sama musim panas ini.

Seingat saya, sebulan lepas saya sempat berseloroh dengan seorang teman senior apabila beliau mengeluh sedih tentang program Jelajah Benua 2008 yang telah tamat.

“Alamak, jelajah benua dah habislah, lepas ni dah takde aktiviti best lagi, kena study untuk exam pulak!”
“Huhu, takpe kak, lepas ni ada banyak lagi jelajah”
“Huh, yer ke! Apsal tak tau apa-apa pun ni?”
“Betul…”
“Jelajah apa, Bal?”
“Lepas ni kita ada jelajah diri, persediaan untuk exam… lepas tu jelajah walimatul u’rus pulak, jelajah masjlis pertunangan pun ada kak. Tu tak masuk lagi jelajah khatan tu, hehe…”
“Kau ni la Bal…”

Betul, cuti tiga bulan di Malaysia nanti memang bakal sibuk dan disibukkan. Tak menang tangan dengan praktikal selama 6 minggu dan Program ‘Sure Khatan’ di Setiu, Terengganu, datang pula undangan majlis perkahwinan rakan-rakan seperjuangan di bumi wakafan Simferopol, Ukraine ini. Ada empat semuanya. Berserakan di sekitar Shah Alam, Kelana Jaya, Terengganu dan Seremban. Saya tidak berjanji untuk hadir kesemuanya, walau saya tahu memenuhi jemputan itu adalah wajib namun upaya saya tidak sampai untuk berpijak di negeri-negeri luar kawasan Selangor. InsyaAllah saya doakan mereka agar kekal bahagia hingga ke akhir hayat, Ameen.

Saya pula yang diburu pertanyaan dari sahabat handai, “Kamu bila lagi, Balqis?” saya hanya tersenyum tidak menjawab, bukan malu-malu tetapi saya tidak tahu mahu beri jawapan apa kepada mereka. Wah, wah, mereka ini diri sendiri masih tidak ketahuan lagi, ada hati pula bertanya saya. Apa pun kata saya, mahu belajar dahulu, jodoh semua di tangan Tuhan, nanti ada rezeki tunggu sahaja kad jemputan dari saya, ya!

Jam 5.30 petang nanti saya akan terbang pulang ke Malaysia. Kali ini saya menaiki penerbangan ‘Aero Svit’ dan bakal transit di Dubai. Entah bagaimanalah rupa Dubai yang dikhabarkan mewah serta indah nian itu, nanti bakal saya teroka selama 16 jam saya di situ, InsyaAllah. Apa pun doakan saya selamat sampai di tanah air tercinta, Malaysia. Buat rakan-rakan yang masih meneruskan perjuangan berperang dengan peperiksaan semester akhir ini, semoga berjaya! Tiada apa dapat saya berikan melainkan doa berpanjangan buat kalian, usaha dan tawakkal itu tangga kejayaan kalau keduanya seiring dan sejalan! Wallahua’lam…


Jom jelajah!-Kad jemputan perkahwinan rakan-rakan seperjuangan

Selamat tinggal Ukraine,
Apa khabar Malaysia!

Saya yang masih sempat lagi menulis,
BaruKisu,
Rechnaya Street,
Simferopol,
Ukraine.

Exam, kawan dan hilang


Menanti giliran

Peperiksaan semester akhir bagi grup saya telah tamat. Lega? Itu sudah pasti. Gembira? Adalah sedikit. Bukan kerana tidak berpuas hati dengan markah yang diperoleh malahan saya sudah cukup menadah tangan bersyukur dengan keputusan peperiksaan saya kali ini. Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya berjaya mengekalkan markah antara 4 dan 5 tanpa ada secalit 3 di kotak markah. Alhamdulillah, saya tidak meminta lebih, malahan saya malu untuk meminta kepada Tuhan, sudah berjuta-juta munajat minta doa kejayaan dariNya tapi saya satu apa pun tidak berusaha menjadi hamba yang baik. Astaghfirullahala’zim… Ampunkan segala dosa-dosa kami, Ya Allah…

Entri kali ini, bukan saya mahu bercerita mengenai keputusan peperiksaan saya, tapi sengaja saya mahu berkongsi pengalaman peperiksaan yang agak berbeza kali ini dari tahun-tahun sebelumnya. Saya tidak memaksa kamu untuk membaca tetapi kalau kamu mahu tahu apa bezanya, kamu perlu paksa diri kamu untuk membaca kerana kata kawan saya, entri saya selalunya panjang lebar seperti esei sehingga boleh menghasilkan sebuah buku! Wah, hiperbola sungguh kenyataannya itu. Tanpa panjang bicara mari saya bawa kamu kepada kisah saya itu.

Selalunya dua tahun belakangan saya dan rakan-rakan akan membuat study group memandangkan jumlah subjek yang perlu ditelaah melebihi kemampuan otak kami untuk memprosesnya sendiri. Tetapi kali ini, tiada study group lagi, masing-masing membawa haluan ke hulu atau ke hilir mengikut selera belajar sendiri. Begitu juga saya, tapi kali ini saya tidak belajar di bilik sendiri memandangkan suasana bilik saya yang penuh dengan aura ‘baca-dan-baca terus-terusan tanpa henti’ membuatkan saya ‘melarikan diri’ ke bilik rakan saya yang lain. Hampir seminggu saya tinggal di situ, sekali sekala hanya pulang ke bilik untuk mandi dan sarapan. Mengapa saya cerita ini? Kerana mahu beritahu kamu, bezanya dulu, saya belajar dengan agak serius dan hampir depresi kerana stress tapi kali ini saya perlu menjaga kesihatan jantung saya, maka saya tinggal di bilik mereka yang gila-gila.

Seronok kamu tahu, waktu belajar, kami belajar dengan suasana yang senyap sunyi dan hening tapi bukan ada aura ‘baca-dan-baca terus-terusan tanpa-henti- dan-tidak bercakap’. Sekali-sekala, sunyi kami diselangi soalan dan pertanyaan tentang perkara yang tidak kami fahami dalam subjek yang kami sedang tekuni. Kadang nanti ada pula waktu kami berlawak jenaka tetapi untuk seketika bangat kerana sering diingatkan bahawa masih banyak helaian yang belum kami selak. Waktu petang pula, kami peruntukan untuk memasak, senduk bertukar-tukar, periuk berlaga dan pinggan disusun, kemudian kami makan ramai-ramai berjemaah. Malahan ada kalanya, selepas habis setiap peperiksaan saya akan turun bermain basketball bersama rakan-rakan yang lain pula. Duduk lama-lama di dalam bilik juga tidak elok untuk kesihatan, kamu tahukan, itu? Selepas maghrib, kami sambung kembali belajar sambil menunggu subuh yang selalunya masuk pada jam seawal 2.30 pagi musim panas ini.

Begitu rutin seharian kami sepanjang musim peperiksaan. Alhamdulillah, mode belajar saya kali ini agak santai berbanding sebelumnya kerana saya tidak menumpukan untuk mengejar 5 tetapi saya mahu faham apa yang saya belajar semester ini kerana akhirnya dan untuk kesekian kalinya saya menyedari bahawa saya mahu menjadi doktor menyelamatkan orang bukan mahu mengumpul 5 di dalam buku zachut saya seperti yang sering ditanam dan diberitahu oleh teman-teman senior seawal saya menjejakkan kaki di bumi Ukraine ini. Saya tenang kali ini menerima natijah keputusan peperiksaan saya, kalau 4 saya sudah cukup bersyukur, dan kalau saya mendapat 5, itu rezeki Allah buat saya.

Buat rakan-rakan yang sudi menerima saya tinggal di bilik kamu untuk seminggu itu, buat Kak Bad, terima kasih kerana membenarkan saya tidur di katil kamu, saya kagum dengan cara kamu belajar. Kepada Kak Diana teruskan usaha kamu, ya! Buat Sakiey dan Sol pula, kamu adalah rakan paling best pernah saya jumpa!! Last but not least, buat kak Nor dan Athirah yang datang sekali sekala, kamu penceria yang hebat! Bilik kamu adalah sanatorium yang terbaik! terima kasih tidak terhingga saya ucapkan, saya sayang kamu semua!!Terima kasih juga kerana mengajar saya makan menggunakan ‘chop stick’. Susah sungguh!


Dari kiri : Solehah, Kak Diana, Kak Nor, Sakiey dan Kak Bad

Murleen Nambiar hilang

Hurm, panjang saya bercerita, saya rasa bezanya kamu sudah nampak bukan? Tapi, kisah peperiksaan saya tidak berhenti di sini, bukankah kamu kata entri saya panjang lebar seperti boleh buat buku, oleh itu baca lagi ya!

Beberapa hari selepas saya menduduki peperiksaan ‘Hygiene’ yang mengajar saya tentang betapa pentingnya membina hospital luar dari kawasan laluan angin serta keracunan makanan itu boleh membawa kematian mendadak, kami dikejutkan oleh berita kehilangan seorang pelajar Malaysia yang khabarnya sudah hilang selama dua atau tiga hari. Rakan-rakan rapat beliau tidak tahu menahu apa yang terjadi atau ke mana beliau menghilang, kami sekadar bersimpati dan berharap beliau dapat ditemui secepat mungkin. Walaupun di dalam kami hati berbagai persoalan yang timbul tentang misteri kehilangan pelajar tersebut, kami tetap meneruskan rutin belajar seperti biasa. Sementara kami sibuk menelaah untuk peperiksaan ‘Therapy’ seterusnya, misi pencarian pelajar tersebut diteruskan dan kami berharap mereka membawa pulang berita yang tidak menyedihkan. Kami tidak perlu menunggu lama, pagi 1 Jun, hostel kami bergema dengan panggilan sukarelawan meminta agar sesiapa sahaja sudi turut serta dalam misi pencarian Murleen Nambiar pelajar tahun ketiga di sini. Memandangkan kami baru sahaja selesai menduduki peperiksaan ‘Therapy’ semalam, hati kami tergerak untuk turut serta dalam misi tersebut. Entah apa yang memberitahu kami agar turut serta kami tidak tahu, tapi yang pasti, pelajar tersebut adalah warganegara Malaysia, dan kami juga rakyat Malaysia yang bermastautin dan belajar di sini, untuk kali ini rasanya perbezaan bangsa dan agama bukan menjadi ukuran, siapa lagi yang boleh diharapkan kalau bukan kami pelajar Malaysia yang hanya beberapa kerat sahaja ini. Ya, kami harus pergi, rasa tanggungjawab sebagai sesama insan menyentap naluri kami bertalu-talu dan tepat 12.30 pm kami telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Kumpulan saya yang terdiri dari 6 orang bergerak ke sekitar Silpo, pusat membeli-belah di Bandar Simferopol ini, kemudiannya kami menyusuri sungai sehingga ke ‘Tene U’, mencari-cari di bawah kolong atau di mana-mana sahaja, tetapi kami tidak menjumpai apa-apa pun lagi-lagi pencari amatur seperti kami ini, sebarang kesan apa pun yang boleh dikaitkan dengan misteri kehilangan beliau tidak kami temui. Kami pulang hampa, mereka yang lain juga pulang dengan tangan kosong. Hari-hari berikutnya kami belajar seperti biasa, dan untuk peperiksaan akhir ini iaitu Neurology, saya perlu lebih sedikit usaha memandangkan subjek ini bukan sahaja memerlukan kefahaman tetapi juga perlu berfikir sedalam-dalamnya.

Habis Neurology, saya dan teman bersyukur sungguh-sungguh, pulang nanti mahu cepat-cepat kemas barang, mahu pulang, rasanya ‘Ukraine’ juga tidak sabar mahu melihat kami pulang. Tiada lagi berita tentang Murleen, kami harap beliau dapat ditemui dengan segera dalam apa jua keadaan. Seminggu itu tertlalu lama rasanya beliau menghilang. Pulang segera Murleen, kasihan kawan-kawan yang mencari kamu di sini. Dan kali ini juga, kami tidak menunggu lama, petang 5 Jun, kami dikhabarkan melalui ‘yahoo messanger’; mayat beliau ditemui mati di perairan Evpatoria oleh nelayan-nelayan di situ. Aduh, pedihnya berita itu tambah mengejutkan kami. Apa yang terjadi sebenarnya? Mengapa sampai begitu sekali? Pertanyaan kami terjawab apabila esoknya, 6 Jun jam 4 petang, satu perhimpunan tertutup diadakan antara pihak Universiti dan pelajar menerangkan dengan lebih lanjut tentang misteri kehilangan beliau. Mengapa dan bagaimana riwayat hidup beliau berakhir begitu kami tidak tahu, apa pun seluruh warga CSMU disentap kalut dan kaget dengan kematian beliau. Kami tidak sangka, sungguh tidak sangka. Saya akhirkan entri saya di sini, saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi tentang kehilangan beliau. Kepada keluarga Murleen, saya ucapkan takziah, kamu kehilangan seorang anak yang baik, walaupun saya tidak mengenali pelajar ini tetapi saya rasa, jauh di lubuk hati saya, Murleen pergi dengan membawa seribu satu misteri bersamanya.




Berkumpul di depan 1st Hostel-pembahagian kumpulan



Menyusuri sungai-Cantik juga bandar Simferopol ini, saya baru pertama kali berjalan di sini setelah empat tahun belajar di sini



Berhenti solat zohor di Masjid Simferopol


Biarkan saya menulis panjang,
Barukisu,
Rechnaya Stree 2a,
Simferopol,
Ukraine.

Tuesday, May 20, 2008

So muCh foR PrioRiTieS to B PriOr

Blurry red lights, deafening sounds, white, grey, dark grey, light black, black, dark black...

'I think we have some situations here'
'What is it?'
'It seems like some nerves breakdown, i don't know'
'Let me have a look'
'Here'
'She seems fine'
'No, she's not'
'How are you so sure?'
'I don't know, i found this though'

-An organizer for dummies-

1st rule - Write anything that need to be done for the next two weeks
2nd rule - Count them
3rd rule - Fake a faint

1. Medical Catastrophe assignment - i'm tired of finding eartquake pictures, sir!
2. Neuorology Lectures - reworking? Let's hope for the best, and prepare for the worst!
3. Hari Raya Meeting - paperworks? That's for sure, dear...
4. Exams
- 27th of May, Hygiene
- 31st of May, Therapy
- 4th of June, Neurology
5. Flight tickect - i don't wanna go on board alone!
6. Sure Khatan - eeekkkss, almost forgot about that -> reminder pleaze~
7-40. Lotsa more which is well, private and confidential~

Ha ha, so much for a dramatic entry, just for fun while i can still say ' i'm fine '

Guess, am not alone though, others've been having the same nightmare but just with different backdrops and sound effects, am i not rite?

'La yukallifullahu nafsan illa wus a'ha'
Just be strong, for once (again?), okay!

Ganbare~

BaruKisu writes again,
Rechnaya Street,
Simferopol,
Ukraine.
12.23 am

Friday, May 16, 2008

Selamat Hari Guru, guruku!

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Kalau tidak silap saya, hari ini hari guru bukan? Sudah lima tahun meninggalkan alam persekolahan, tarikh bersejarah 16 Mei pun seperti ingat-ingat lupa. Kalau di sini, di Ukraine, Hari Guru disambut agak awal (saya lupa tarikhnya), apa pun hari bersejarah ini pasti disambut di semua sekolah di seluruh dunia tetapi pada tarikh yang berbeza-beza.

Sebenarnya saya tidak pasti bagaimana saya mengingat tarikh ini, pada hari ini, sedangkan tiada sesiapa pun yang mengingatkan saya atau membuatkan saya teringat pada tarikh ini. Saya juga tidak membuat ‘reminder’ seperti kebiasaannya di mana saya akan tulis nota kecil seminggu atau beberapa hari sebelumnya supaya saya tidak lupa mengucapkan selamat hari guru kepada guru-guru saya. Tahun-tahun sebelumnya, sewaktu saya mula-mula belajar di Ukraine ini, kawan-kawan sering mengingatkan saya pada tarikh bersejarah ini dan kami selalu merancang untuk menghantar kad hari guru ke sekolah lama. Kini, mereka pun sudah lupa mungkin. Sebenar pasti, malam sebelum saya tidur neuron-neuron lama di lobus temporal saya aktif menyambungkan kembali laluan-laluan yang menyimpan memori ritual Sambutan Hari Guru yang diadakan setiap tahun ini. Dan saya, lantas menjadi peka serta-merta, menggarap idea untuk menulis di sini. Saya tidak pernah menulis untuk guru, dan sekali ini, saya mahu menulis untuk mereka, guru-guru saya.

Saya membesar dengan dikelilingi oleh guru-guru. Ayah saya seorang guru, mak cik dan pak cik saya juga merupakan guru-guru yang berdedikasi. Bila mereka berkumpul sekali-sekala mereka akan berkongsi pengalaman mengajar masing-masing dan saya turut bersimpuh mendengar kisah-kisah pahit manis mereka sepanjang menjadi guru. Sambil bercerita, mereka akan menyelitkan sekadar dua nasihat untuk saya dan adik-adik, memberi contoh seorang dua pelajar yang berjaya dan seorang dua pelajar yang nakal dan degil. Saya hidup dan membesar dengan cerita-cerita tentang guru dan dunia perguruan seakan sudah sebati dalam diri dan jiwa saya sehinggakan kadang-kadang saya pernah membayangkan bahawa suatu hari nanti saya akan menjadi seorang guru bersama cermin mata tebal, sebatang kapur di tangan dan pembaris panjang kuning di atas meja. Gambaran guru seperti ini mungkin sudah tiada lagi di abad ini, ah!

Dahulu guru diibaratkan seperti lilin, menerangi orang lain tetapi membakar dirinya sendiri. Saya tidak perlu ambil contoh yang jauh, cukup saya melihat kehidupan ayah saya sebagai seorang guru. Tiap kali pulang ke rumah, wajah ayah sudah cukup memberitahu bahawa hari ini ada pelajar yang tidak siapkan kerja rumah, ada pelajar yang ‘tuang sekolah’ sesuka hati, atau hari ini ada pelajar yang mendapat markah cemerlang. Saya tahu ini kerana apabila ayah marahkan kami kerana tidak mahu belajar ayah akan berleter mengenai fe’el dan hal kerenah pelajar-pelajarnya di sekolah. Semangat perguruan ayah di sekolah akan tempias kepada kami adik beradik di rumah. Mujur ibu saya bukan seorang guru juga. Kini, saya senang mendengar ayah bercerita sambil tersenyum mengenai anak didiknya, yang seorang itu telah menjadi doktor, yang seorang lagi nun di negara orang menuntut ilmu, yang seorang itu pula walaupun tidak berjaya ke mana-mana tetapi apabila bertemu ayah pasti akan mengucap salam dan bertanya khabar itu dan ini.

Saya tidak tahu bagaimana kedaannya dunia perguruan dan persekolahan kini, tapi sejak saya di sekolah menengah lagi, banyak kisah pelajar tidak menghormati guru atau guru mendera pelajar menghiasi tajuk-tajuk utama berita di televisyen dan akhbar. Saya tidak mahu bercerita mengenai kisah-kisah itu kerana saya pasti kamu juga tahu dan saya lagi berasa sakit hati bercerita mengenainya.

Bagi saya, guru itu lilin dulu, kini dan selamanya. Selama mana seorang guru itu prinsipnya mengajar, mendidik dan membentuk generasi demi generasi anak bangsa sehingga kini, selama itu dia adalah seorang guru yang saya akan hormati sampai bila-bila. Saya mengenal huruf-huruf dari seorang guru, mula belajar mengira dari seorang guru, sampai saya tahu menulis seperti ini seorang gurulah yang telah menunjuk ajar saya dahulu. Kalau perlu saya sebutkan beberapa nama guru-guru sekolah rendah saya, antaranya Puan Vimala, Miss Menon, Puan Fatimatuzzahrah, Ustazah Fauziah dan ramai lagi yang saya masih ingat rupanya tetapi lupa namanya. Mereka antara guru yang tidak jemu memberitahu saya supaya terus belajar dan belajar dan saya tidak akan lupa pesanan itu.

Saya rasa saya masih ingat semua nama guru-guru yang mengajar sewaktu saya di sekolah menengah rendah. Masakan saya lupa pada mereka yang sering mengingatkan bahawa saya perlu menjadi seorang doktor kerana pada waktu itu kita kekurangan doktor muslimah untuk menyambut kelahiran anak-anak orang Islam. Saya sekadar mengangguk sahaja kerana saya sendiri tidak pasti aliran mana yang perlu saya pilih waktu itu. Saya juga tidak lupa kepada guru-guru menengah atas saya yang tidak jemu-jemu bersabar dengan saya yang sering sahaja tertidur di dalam kelas. Pernah guru Kimia saya Cikgu Razif, mempercikkan air suling yang sejuk ke muka saya sambil berkata ‘ Kau mahu belajar atau tidak, asyik tertidur sahaja’. Dan malunya saya selepas itu, sampai bila-bila pun saya tidak tidur lagi di dalam kelas kimia. Cikgu Razif terkenal dengan kata-katanya waktu awal-awal kami mula belajar kimia bersamanya, ‘Kalau kau mahu berjaya, kau perlu jadi gila, semua orang yang berjaya, dulu dia belajar dan berusaha gila-gila. Kalau kau tak gila, jangan harap kau boleh berjaya’. Seluruh kelas ketawa mendengar amanat dan pesanannya tetapi Cikgu Razif hanya membalas selamba, ‘Eh, aku serius ni…’

Itu antara memori yang tidak dapat saya lupakan sehingga kini dan saya tidak mungkin akan lupakan jasa-jasa guru yang telah mengajar dan mendidik saya, walau kini saya jarang-jarang melawat sekolah lagi dan jarang-jarang bertemu dengan guru-guru saya. Khabarnya ramai yang telah tiada dan berpindah ke sekolah lain. Walau apa pun istilah guru itu pada hari ini, ertinya guru itu pada saya adalah yang tetap terus mendidik tanpa pernah kenal jemu dan lesu. Pengorbanan guru ini mungkin tidak terasakan oleh kita yang berlainan profesyen, tetapi sekurang-kurangnya dengan menghargai mereka pada hari yang bersejarah ini saya rasa sudah cukup untuk kita mengetahui bahawa pengorbanan mereka bukanlah sekadar sehari dua kerana mereka tidak menghitung dengan wang dan nasib tetapi dengan percaya bahawa mereka memikul amanat paling agung; mendidik anak bangsanya mengenal bangsanya, negaranya dan agamanya!

Saya tidak menulis sajak untuk mereka, betapa pun saya menghargai mereka, saya masih belum mampu mengekspresi penghargaan saya kepada mereka melalui sajak. Suatu hari nanti, mungkin! Jadi saya bacakan sajak yang ‘tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan' ini, karya Allahyarham Usman Awang. Dengarkan, ya!


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

khas buat guru-guru saya di :


SK (1) ASSUNTA, PETALING JAYA
SRA TAMAN DATO’ HARUN, PETALING JAYA
SMA MEDAN HARUN, PETALING JAYA
SMAT TENGKU AMPUAN JEMAAH, SHAH ALAM
SAM BESTARI, SUBANG JAYA
MCIIUM, PETALING JAYA
INTEC, SHAH ALAM
CSMU, SIMFEROPOL, UKRAINE

Untukmu guruku, aku menulis!
BalQis,
Rechnaya Street,
Simferopol,
Ukraine.
5.26 am