Wafeya

Life is a serious matter.

Tuesday, August 24, 2010

As-Sofffff!!!!!

(Panaslah juga - sekejap)

Mak cik, minta maaf ye kalau saya nak cakap sikit. Sikit je. Mak cik, kalau kita solat berjemaah, kita kena rapatkan saff. Jangan biar rongak. Saya boleh faham kalau mak cik kurang selesa dan jarak-jarak sedikit agak-agak nak bagi angin tempias lalu supaya kurang panas dan telekung yang berkibar-kibar lantas bersentuhan dengan telekung orang sebelah itu mak cik anggap sudah cukup syaratnya merapatkan saff. Padahal merapatkan saff itu adalah bersentuhan antara bahu-bahu, mak cik. Ada baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Luruskanlah saf-saf, rapatkanlah bahu-bahu, tutuplah celah-celah (di kanan dan kiri di antara kamu), dan berlemah-lembutlah terhadap saudara kamu, serta jangan biarkan ada celah-celah untuk Syaitan. Sesiapa yang menyambungkan saf, Allah akan menyambungkan hubungan dengannya dan sesiapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutuskan hubungan dengannya. (Hadis Riwayat Abu Daud, Sunan Abi Daud, Kitab as-Solah, 2/309, no. 570. Dinilai Sahih oleh al-Albani, Shahih Sunan Abi Daud, 2/166, no. 666)

Dan lagi mak cik, janganlah sampai berjarak jauhnya sepelaung, mak cik. Kalau nampak enam tujuh orang dah mengosongkan saff, angkatlah sejadah yang mak cik sayang tu bergerak mengisi ruangan kosong tersebut. Walaupun dalam bulan puasa yang mulia ini semua syaitan dan jin-jin jahat kena rantai dan mungkin ya, pada anggapan mak cik tiada mereka untuk mencelah antara saff tetapi sebaiknya rapatkanlah. Adakah gigi yang rongak itu cantik apabila tersenyum mak cik? Sedang gigi yang rongak pun kita berusaha menampal atau mengganti dengan gigi palsu, begitu jugalah halnya dengan saff. Andai rongak tiadalah ia kelihatan indah di mata apatah lagi di hadapan Allah yang kita sembah.


Mak cik tahu tidak, merapatkan saf itu bagus untuk aliran cas-cas antara badan. Apabila kita menyentuh bahu orang di sebelah kita, semua cas-cas negatif akan dinyahcas oleh cas-cas positif antara ahli jemaah. InshaAllah, badan kita akan sihat cergas dan tidak lemah longlai usai menunaikan solat. Sebab itulah sabda baginda SAW bahawa solat itu adalah kerehatan bagi orang mu’min.

Kalaupun mak cik tidak berasa enak berkongsi sejadah atau takut kehilangannya dan geli geleman mahu mendekatkan bahu, mak cik kena juga ingat dengan siapa mak cik akan menghadap, layakkah mak cik, kita sombong dengan Allah yang suka melihat hamba-Nya menghadapnya dalam keadaan penuh tertib, tersusun dan kemas. Mak cik juga yang pernah ingatkan, Allah itu cantik, Allah suka kepada yang cantik. Kan mak cik?

Mak cik, dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari an-Nu’man bin Basyir: beliau berkata, “Dahulu Rasullullah meluruskan saf kami sehingga sampai seperti meluruskan anak panah hingga beliau memandang kami telah faham apa yang beliau perintahkan kepada kami (sehingga saf kami telah rapi), kemudian suatu hari beliau keluar (untuk solat) kemudian beliau berdiri, hingga ketika beliau akan bertakbir, beliau melihat seseorang yang dadanya terkehadapan, maka beliau bersabda:

“Wahai para hamba Allah, hendaklah kalian benar-benar meluruskan saf atau Allah akan memperselisihkan wajah-wajah kalian”. (Diriwayatkan oleh Muslim, no. 436)

Imam al-Qurthubi berkata, “Yang dimaksudkan dengan perselisihan hati pada hadis di atas adalah bahawa ketika seseorang tidak lurus di dalam safnya dengan berdiri ke depan atau ke belakang, menunjukkan kesombongan di dalam hatinya yang tidak mahu diatur. Yang demikian itu, akan merosakkan hati dan memungkinkan menimbulkan perpecahan.” (Rujuk: Fathul Bari 2/443) Pendapat ini juga didukung oleh Imam al-Nawawi, beliau berkata, “Berbeza hati maksudnya, terjadi di antara mereka kebencian dan permusuhan serta pertentangan hati. Perbezaan ketika ber-saf merupakan perbezaan zahir dan perbezaan zahir adalah wujud dari perbezaan batin iaitu hati.”

Mak cik, dahulu ada seorang lelaki mengambil wudhu’ dengan cara yang salah, kebetulan ada pula dua orang budak lelaki yang tidak lain tidak bukan adalah cucunda jujungan besar sendiri. Terasa segan pula di hati mahu menegur tetapi ilmu itu tidaklah ia mengira akan batasan umur melainkan harus dikongsi jualah andainya mengetahui. Maka, kedua mereka pun bersegera berlakon, seorang mengambil wudhu’ dengan cara yang salah dan seorang lagi membetulkan sebaiknya. Maka fahamlah sang pak cik yang mendengar dan melihat secara sembunyi akan perihalnya kedua orang cucunda Rasulullah SAW tadi ingin menegur cara mengambil wudhu’ beliau. Mak cik, tidaklah saya yang kurang asam garamnya ini dan kurang pula serba serbi ilmu sekolah kehidupan ini ingin menunjuk pandai, tetapi hanya ingin menyampaikan agar sama-sama kita menyempurnakan solat berjemaah dengan sebaiknya. Jika saya bergerak merapatkan, maka faham-fahamlah mak cik juga turut bergerak. Tolonglah mak cik jangan berdiam di tempat mak cik sahaja dan membiarkan rongak sehingga habis solat, ya mak cik.

(Mak cik kalau agak-agak macam confuse dengan penjelasan saya yang kurang sempurna ini, bolehlah bertanya dengan yang lebih tahu atau barangkali sambil-sambil cari resepi kuih raya dan rendang tok, bolehlah rajin-rajin cuba tanya Ustaz Google. InshaAllah, ramai yang akan bantu menerangkan dengan lebih jelas secara mendalam khas untuk mak cik. InshaAllah ya mak cik)

Baru bab merapatkan saf. Meluruskan saf pula? Pohon pak cik-pak cik imam tegas sedikit ya minta dirapatkan saff. Apalah dayaku seorang anak muda yang tidak dikenal orang ingin pula menegur tanpa ketahuan.

Semoga solat-solat kita semua diterima ya mak cik. Ampunkan salah silap saya di bulan yang mulia ini.

Assalamualaikum, mak cik.



Lega. Sedikit.

An alarm clock, aren't we?



Abu’d-Darda’ reported that the Messenger of Allah said,

“Shall I inform you of the best of your actions and the purest of your property and the highest of your degrees and what is better for you than spending gold and silver and better for you than encountering the enemy and striking their necks and their striking your necks?”

They said, “Yes, indeed!”

He said, “Remembrance of Allah Almighty.”

Muadh ibn Jabal said, “There is nothing which saves from the punishment of Allah more than remembrance of Allah.”

(Ahmad, Ibn Abi’d-Dunya, at-Tirmidhi and Ibn Majah)



Monday, August 09, 2010

Saat kecintaan itu datang

(dan kecintaan lalu disepak terajang)



Kusambut bulan suci
dengan derai tangis yang mesra
sebab kebahagiaan di ufuk timur
dan keikhlasan di ufuk barat
berhadap-hadapan
mengajarkan senyum cakrawala pada bumi
Tempat di mana orang berpuasa
Dan istighfar mengucur
dari bibirku yang bergetar
saat sejadah terbakar
cinta menguap ke langit
menerobos gelap malam
Bulan mungkin sedang menyandarkan rindunya
di dada yang lain
Adapun rambut yang engkau sebut dosa masa lalu
bergerai kembali ditiup angin
seperti sengaja dibiarkan
agar terhapus jejaknya dari segala nestapa
Ramadhan tiba
seperti kupu-kupu yang cantik
bertamu di perkarangan hatiku
Aku bernyanyi seperti fajar pagi:
Debu-debu yang menempel itu
perlahan dihapus air mata angkasa

WS Rendra, 1999

Kecintaan itu - sungguh memberi ajar,

Sunday, July 11, 2010

Selamat Tinggal Ukraine


Ukraine, selamat tinggal.
Kamu dalam kenangan.
Kisah di Ukraine - tamat.
(12 Oktober 2004-12 Julai 2010)



Anak rantau pulang ke halaman,

Urgent | Pohon cadangan buku

Assalamualaikum dan salam sejahtera teman-teman.



Teman-teman, sekadar mahu minta cadangan buku-buku yang bisa dibaca; tidak kisah buku apa pun, yang kalian pernah baca, yang kalian rasa terbaik untuk dibaca, atau yang kalian pernah mendengar tentangnya. Sudi-sudilah berkongsi sebarang dua, ya.

InshaAllah, nanti pulang mahu mencari buat mengisi masa senggang sementara menanti kerja.

Kerana saya agak ketinggalan belakangan ini.

Ouh, dan terbaik jika dapat sertakan nama penulis serta serba sedikit mengapa kalian mencadangkannya untuk dibaca. Thank you in advance.

Dan untuk makluman, here's my wishlist in Goodreads. I have no idea why I made them my wishlist but I suppose at that moment, I want to read them. But of course. Isn't that what books wishlist is all about?



Hutang budi dibawa mati,

Wednesday, July 07, 2010

Konstantinopel kedua



Dalam salah satu kempen semasa zaman kerajaan Umaiyah, seorang sahabat besar Nabi Muhammad iaitu Abu Ayub Al-Ansari syahid dan dimaqamkan di bawah dinding kubu kota Konstantinopel di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya mengapa beliau ingin dimaqamkan di situ, beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinopel.

Ada pengharapan besar dalam wasiat Abu Ayub Al-Ansari ini, sahabat yang rumahnya dipilih oleh unta Rasulullah dalam peristiwa hijrah ketika baginda tiba di Madinah. Pengharapan besar yang bercambah saat mendengarkan ucapan Rasulullah SAW, “Kota Konstantinople akan dapat dibuka, dan orang yang membukanya, pemimpinnya sebaik-baik pemimpin dan tenteranya sebaik-baik tentera”. Abu Ayub ingin menjadi orang yang disebutkan di dalam hadith ini. Beliau bersama angkatan tentera Islam menuju ke kota Konstantinople sedangkan umur beliau pada ketika itu sudah sangat lanjut.

Menyoroti kisah sahabat nabi ini, ada untaian sesal yang berkabung dalam hati dan jiwa yang masih muda jagung ini. Jiwa yang terkalahkan oleh semangat jihad Abu Ayub Al-Ansari yang telah sangat lanjut usianya tetapi masih mahu ikut berperang. Subhanallah. Jika ada ‘Konstantinopel kedua’ yang harus ditakluk, mungkinkah kita bisa menjadi seperti sebahagian dari para pejuang terdahulu yang mendambakan hanya dua; syahid mahupun menang?

Konstantinopel yang disebut-sebutkan dalam hadith baginda telah pun ditakluk 800 tahun kemudian dan sebaik-baik raja yang menakluk itu adalah Sultan Muhammad Al-Fateh yang tenteranya merupakan sebaik-baik tentera. Begitu benar janji Allah yang disampaikan melalui lisan Rasul-Nya. Allahuakbar.

Konstantinopel - yang kini dikenal sebagai Istanbul. Kerana kisah ini, saya jadi sangat teringin menjejak bumi Turki. Semoga ada rezekinya nanti. InshaAllah.

--

Konstantinopel kedua - saat ini, ada satu negara yang harus dan wajib ditakluk terlebih dahulu. Negara paling sukar dan paling payah ditakluk. Rajanya adalah hati dan tenteranya adalah segala anggota dan pancaindera. Itulah negara diri. ‘Konstantinopel kedua’ bagi saya. Ada sepatah syair Arab yang berbunyi begini, “Al-qolbu wazeerun naaseh” yang bermaksud, hati adalah menteri yang menasihati.

Semua orang pernah mendengar pesanan Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Ketahuilah dalam setiap tubuh (jasad) terdapat seketul daging , jika elok daging itu maka eloklah keseluruhan tubuh badan dan jika rosak daging itu maka rosaklah juga seluruh tubuh badan , maka ketahuilah bahawa itu adalah hati".

Konstantinopel dahulu berjaya ditakluk kerana pemimpin dan rakyatnya telah berjaya menakluk hati masing-masing. Sewaktu diperiksa khemah-khemah tentera di hening malam, semuanya bangun dan menghidupkan malam dengan berzikir dan beribadat kepada-Nya. Tenteranya tiada seorang pun yang pernah meninggalkan solat fardu walau sekali, dan sebahagiannya belum pernah sekali meninggalkan solat sunat rawatib. Lagi-lagilah raja mereka yang merupakan sebaik-baik raja, Al-Fateh sendiri tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh. Subhanallah, begitu hati mereka ditakluk dengan kecintaan kepada sang Khaliq lantas dimanifestasi dalam kehidupan seharian sehingga bisa menakluk Konstantinopel yang menurut Napoleon Bonaparte, “Kalaulah dunia ini sebuah negara, maka Konstantinopel inilah yang paling layak menjadi ibu negara-Nya”.

Lalu, saat kita siap-siap melaungkan mahu membela Islam, menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini, hati kita bagaimanakah? Haih.

Kata Imam Al-Ghazali, “Saya hairan dengan manusia yang sangat mengutamakan kebersihan dan keindahan tubuh, sedangkan hatinya tidak mereka bersihkan daripada kotoran batin dan maksiat, padahal ALLAH hanya memandang hati mereka seperti firman-Nya dalam surah asy-Syams, ayat 1 hingga 10."

Wallahua’lam.

--

Ini, sebuah sajak kiriman adik Haniff Zikri yang berpeluang menjejak bumi Turki. Saya minta dia kirimkan lewat hari graduasi saya tempoh hari, dan juga terjadi kiriman sajak ini kerana seekor Camar. Tak sangka tak nyana, isinya terkias kupasan entri kali ini. Maka, terbaiklah saya kongsikan. Apa pun terima kasih buat adik Haniff kerana sudi berkongsi hasil karya beliau. Antara penulis muda yang amat berbakat dan saya kagumi.

I
Bilah hujan telah reda.
Langit tenang.
Kau melayah turun
.
Tunduk
.
Perlahan.

II
Dan kaumelihat,
dari kubah kecil Aya Sofia ini,
manusia berpusu menyerbu,

ada jiwa yang kering gersang,
ada jiwa resah mencari jawapan,
ada jiwa yakin mengukir senyuman,
ada jiwa,
gagah dalam tabah,
meneroka noktah,
sebuah penantian panjang.

III
Berkali di khabar sang bayu Bosphorus,
kisah iman nan gemilang,
justeru semalam,
buat kau luluh,
memandang masjid biru tersergam,
kan tersingkap halus pancainderamu,
rintih sunyi,
sayu bersahutan.

IV
titis akhir,
dalam sayap kuyup itu,
lantas mengingatkan,
lengah bukan milikmu,
kau harus bebas,
dari penjara nafsu,
mara hingga hujung kembara,
bangkit bersama dari lena ummah,
dan menyuci ludah sejarah,
laksana moyangmu,
akan kauceritakan pada alam,
gah luas layar islam.

V
Kau dan dia
terpisah jasad,
saujana samudera,
tercantum tetap
pada perca rasa.

Haniff Zikri
2010

--

Nota editor I: Entri ini, manifestasi melepas keinginan yang tidak kesampaian untuk memijak Istanbul, Haih. Simpan, simpan dalam planner.

Nota editor II: Konstantinopel kedua itu perlambangan yang tiada rujukan. Saya suka-suka hati letak. Untuk saya, hati saya adalah Konstantinopel kedua. Semoga saya boleh jadikan ia sebaik-baik raja dan diri saya sebaik-baik tentera. Cuba, cuba.

Nota Editor III: Sajak tersebut saya tidak minta kebenaran pun untuk terbitkan. Lagi, suka-suka hati. Dan juga dik Haniff, kerana kau tidak berani menurunkannya dalam blogmu, maka...

Nota Editor IV: Sejak bila ada nota-nota editor ini?


Saat kau merasa yang di tanganmu telah cukup terbaik, Allah lebih mengetahui apakah yang lebih terbaik buat-Mu.

Saturday, June 26, 2010

Pesan

Ini, puisi bernas dari seorang adik jauh yang amat kucintai sempena hari graduasiku. Puisi sarat pesan dan ingatan hingga serasa beratnya tanggungan kini menjadi ringan nian apakala menyelami siratan maksud yang telah sedia tersurat. Terima kasih, sasalim.



Pesan

kanda sang ratu yang tunduk bersama Sulaiman,
adinda yang tak berapa matang datang bertamu,
apa benar dunia maya bakal ditinggalkan setelah meneroka alam baru?
moleknya teruskan wujud di sini,
kerana adinda lihat ramai yang masanya bagai intan berlian masih lagi di sini memberi manfaat.

kanda sang ratu yang terpana dengan keindahan istana Sulaiman,
adinda yang tak berapa lurus ini ingin berkongsi,
pernah adinda baca satu peringatan,
jadikan DR sebagai daieyah Rabbaniyah terlebih dahulu,
sebelum diseru sebagai lambang kebanggaan umat.

kanda sang ratu yang sedar khilaf lantas bersujud kepada Tuhan,
adinda yang tak berapa maju ingin menyatakan,
usah kanda risau akan masa hadapan,
kerana yang mencorakkannya adalah warna hari ini,
maka teruskan melakar warna pelangi di langit tinggi,
Dia sedia menghulur tangan dengan pasti.

kanda sang ratu yang pekerti jiwanya menawan,
adinda yang tak reti berkata-kata ini ingin menyeru,
seluruh alam sujud syukur dengan keteguhanmu,
meskipun bergelar 'segulung ijazah' di dunia,
ingatlah dunia itu ladang tuaiannya akhirat,
maka janganlah singgahsana indah menghalang kanda sujud kepada-Nya.

kanda sang ratu yang dianugerahkan kemuliaan dari-Nya,
adinda yang putus fiusnya ini tidaklah reti bermadah pujangga,
mungkinkah kanda boleh meminta sang pujangga menyusun kata,
adinda menyulam jari yang sepuluh andai ada gores kecil di hati,
ikhlas dari hati, tautan ini lebih mempesona dari segalanya,
maka terima kasih untuk itu tidak pernah mampu dikira.

sasalim
2010.


Duhai, perlukah kiranya kumembalas? Seperti tak mampu rasanya menandingi tulus bicaramu. Pesan yang datang dari hati. InshaAllah, kan sampai dan terus kekal di hati.



Ada garis-garis halus tercantum di kedua hujung matanya,

Thursday, June 17, 2010

Cukup satu waktu untuk satu cinta

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.


Picture credit to .jpg

Alhamdulillah, telah selesai imtihan terakhir di bumi asing, Ukraine ini. Sujud syukur atas segala nikmat-Mu Ya Allah. Atas sebuah perjalanan yang telah Engkau tentukan sejak dari awal sehingga ke hari ini; perjalanan yang ditemani air mata, terkadang gelak tawa, jua keluh kesah, kekecewaan dan kemenangan, perjalanan yang tanpa sedar sedikit-sedikit mendewasakan dan mematangkan seorang insan kecil yang tidak punya apa-apa ini.

Gabungan rasa entah apa hadir menyelubungi. Ada rasa kekosongan yang dingin hening mengisi sudut hati - sunyi - yang terdengar hanya suara alam bertasbih selang-seli sayup-sayup beralun nun di hujung horizon. Alam yang tak pernah luput rasa cintanya kepada Yang Maha Pencipta. Di luar, kasih sayang Tuhan melimpah ruah - titis-titis hujan lebat mencurah - sejuk, menyamankan dan aku, jiwa penuh rasa sepi dan hina-dinanya memeluk erat-erat rahmat Tuhan ini tanpa segan silu lagi. Terima kasih Tuhan, kerana tak pernah membuat aku rasa keseorangan. Biar sedetik pun. Kau sentiasa hadir menemani.



Dan entah bila, tahiyatku bergetar. Perlahan-lahan kotak jiwa dihenyak rasa sebak - terasa hangatnya rindu. Cinta pun hadir semakin membara-bara. Bertuturlah ia menyebut satu nama. Semoga tidak terpadam sehingga akhir hayat. Selamanya cintaku hanya untuk-Mu. Semoga tetaplah aku di jalan-Mu, ya Allah. Cukup satu waktu untuk satu cinta.

Tuhan, kerana Engkau terlalu indah - aku menangis sepuas-puasnya.

*******
"Di sekitar kita ada kawan yang selalu hadir sebagai pahlawan". Edensor.

Dedikasi buat kalian yang bergelar kawan, teman, rafiq dan sahabat di mana jua berada, terima kasih atas sokongan dan doa yang tak pernah putus-putus, dalam nyata mahupun dalam diam sepanjang mengenali diri ini. Untuk kalian teman-temanku, sebahagian kebahagiaan ini ingin kukongsikan - tanpa kalian barangkali kehidupan ini hanyalah jalan tandus tanpa pepohonan rendang yang meredupkan dan tanah gersang tanpa wadi yang menghilangkan dahaga kala kepenatan. Terima kasih kerana sudi hadir menceriakan jalur-jalur hidupku di sepanjang perjalanan ini. Aku pohon, semoga kalian beroleh rahmah dan keberkatan-Nya sepanjang kehidupan kalian. InshaAllah. Kalian, terima kasih, ya! Sungguh!




Garis tangan tergambar tak bisa aku menentang,

Thursday, June 10, 2010

Sambil-sambil cicah biskut dalam teh...

Petang-petang begini dengan cuaca begitu indahnya memang tidak memungkinkan ulangkaji berlaku dengan bersungguh-sungguh. Entah telah musim sayf ataukah masih musim rabi'. Angin tidak bertiup dan mentari memancar galak. Mawar berkembang riang. Warna-warninya mengusik indera yang memerhati. Di sini pepohonan mawar tumbuh bagai lalang. Tidak perlu dijaga, tumbuhnya begitu sahaja. Mawar liar barangkali. Pun begitu, alangkah cantik dan anggunnya mawar liar memenuhi halaman dengan pelbagai warna garang. Merenung sedemikian lama, menyentuhnya belum berani, bukan takut tercucuk duri, tetapi bimbang digelar perosak keindahan alam oleh tuan punya halaman. Lalu, bertuahkah menjadi sang mawar? Entah.

Petang-petang begini mahu tenang-tenang dahulu sebelum menyambung kembali pembacaan. Justeru, suka-suka mahu kongsi di sini, sembang-sembang berisi penuh bijaksana antara Abu Qubaisy dan murid-muridnya,

"JANGANLAH kalian beribadat karena menginginkan masuk surga. Dan jangan pula kalian beribadat karena menghindari neraka," kata Abu Qubaisy membuat beberapa muridnya terhenyak kaget.

Ketika membuka majelis taklimnya sore itu, guru besar yang disegani tersebut bukan menyampaikan kata pembuka, tetapi langsung menyilakan murid-muridnya mengajukan masalah atau topik yang mereka inginkan dibahas di majelis itu. Salah seorang dari mereka kemudian bertanya mengapa beribadat itu sering terasa berat. Untuk itulah guru besar tersebut memberikan jawaban yang membuat sebagian besar muridnya terhenyak kaget.

"Tapi bukankah Allah yang Maha Pemurah itu menyediakan surga untuk orang-orang yang beribadat dengan baik, Tuan?" tanya murid lain dengan kalimat mengandung sanggahan.

"Benar. Tetapi bila Dia yang Mahakuasa itu memasukkan orang-orang yang beribadat ke dalam neraka, ke mana dan kepada siapa orang dapat memprotes?" ujar Abu Qubaisy dengan kalimat yang kembali mengagetkan beberapa muridnya.

"Karena itu lakukanlah ibadat dengan niat memenuhi perintah-Nya saja. Dengan niat mendekatkan diri kepada-Nya. Bukankah sufi besar Al-Adawiyah berdoa agar Allah tidak masukkannya ke dalam surga bila ibadatnya dengan tujuan itu. Kata Al-Adawiyah, dia beribadat kepada Allah karena cinta. Ketahuilah Allah mencintai orang yang mencintai-Nya, dan para pencinta akan memberikan apa pun miliknya untuk yang dicintainya," kata mahaguru yang luas ilmunya itu sambil senyum.

"Lalu apa pula salahnya bila seseorang beribadat dengan maksud agar tidak dimasukkan ke dalam neraka?" tanya murid lain dengan rasa ingin tahu yang besar.

"Orang yang beribadat karena menginginkan surga, pasti takkan beribadat bila tidak ada surga. Demikian pula dengan yang takut kepada neraka, takkan beribadat bila neraka tidak ada. Padahal Allah Swt menyatakan Dia tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk mengabdi kepada-Nya," kata Abu Qubaisy seraya mengakhiri taklim. Murid-murid yang mendengarnya pun mengangguk-angguk paham.

Yuk, kita kejar redha Allah!

******



Kira-kira pitih, kenapa macam tinggal sedikit sahaja ni, rasa macam baru semalam je bawa keluar. Haih, dunia, dunia. USD jatuh, Euro jatuh. Hurm...


Ada kaitan... kot? Entah.




Menghitung hari,

Sunday, June 06, 2010

Sejadah Panjang

Serius. Memang sukar memulakan pembacaan apabila tarikh peperiksaan masih jauh. Dua belas hari lagi. Tiga mata pelajaran sekali serentak dalam sehari. Maka sepatutnya berbaloi sudah masa yang diberi untuk ulangkaji ketiga-tiganya. Tetapi menghadap nota seperti menghadap kertas kosong. Ah, sukarnya menetapkan hati. Sedang deretan nota-nota yang menanti untuk dibelek sangat mencungkil rasa bersalah setiap kali terpandangkan. Rasa bersalah terhadap waktu, rasa bersalah terhadap ilmu, rasa bersalah terhadap kewajaran masa depan dan tentu rasa bersalah paling agung terhadap Tuhan; yang memberi pinjam segala. (Rasa bersalah mungkin tidak layak digunakan bila berhadapan Tuhan. Rasa berdosa. Ya, itu setepatnya. Allah tuhanku, ampunkan aku atas masa-masa yang terbazir begitu sahaja. Amin)

Tolak ketepi sebentar segala nota. Pejam mata dan tarik nafas panjang-panjang. Gaya seperti sudah banyak sangat membaca walhal helaian kertas yang bertanda masih senipis kertas tisu. Hakikat. Telan dalam-dalam hakikat ini. Biar rasa pahitnya berdesing sampai ulu hati. Waktu itu, barangkali baru sedar, betapa kelat pahitnya yang bernama hakikat. Pahit kerana dalam sedar tahu betapa lemahnya iman. Sedang kesusahan yang dihadapi hanyalah pada menghabiskan pembacaan. Alahai, apa sangatlah mahu dibanding dengan kelaparan, kebuluran, kemiskinan, penyakit melarat menunggu mati, dan tanah air dirampas orang? Ya Allah hai, jauh nun ibarat kerak bumi dengan galaksi bima sakti. Hakikat.

Mudahnya bermain kata di sini. Sebenarnya mahu sedapkan hati. Kerana tidak bisa meneruskan membaca, maka barangkali mungkin bisa menulis. Walaupun tiada apa yang hendak dibicarakan, sekurang-kurang biar huruf-huruf ini menyusun dirinya sendiri agar segak berbaris memberi patah-patah kata yang punya makna dan bererti yang kalaupun tidak tersampai di hati, sekurang-kurang ia terhenti di akal untuk difikir, disimpan dan diingat. InshaAllah. Ini, bacaan untuk diri sendiri.

******************
Membaca catatan teman-teman senior tentang kehidupan setelah bergelar housemanship, terasa gelap masa depan. Seakan hilang segala cahaya kebahagiaan. (Wah, wah melampau sungguh hiperbolanya di sini) Perhatian sangat-sangat, kata-kata ini adalah kata-kata orang yang tidak berusaha bersungguh-sungguh jadi rasa sangat takut untuk hadapi hari depan dengan berani.

*Er, tiba-tiba ada orang angkat tangan perlahan-lahan dengan takut-takut*

Tak
apa Dr. Balqis, awak boleh turunkan tangan awak.

Dalam Al-Hadid ayat ke-21, telah cantik Allah berfirman yang bermaksud,

“Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu”.

Ayat ini merupakan sindiran pedas dan peringatan Allah untuk mereka yang menjalani kehidupan untuk hidup. Allah SWT pada ayat ini menyatakan satu kitaran kehidupan yang sangat indah, sebuah hakikat kehidupan, realiti kehidupan, makna kehidupan bagi mereka yang hidupnya sekadar untuk hidup.


Perhatikan bagaimana Allah mulakan dengan perumpamaan dunia sebagai permainan. Cuba kita lihat anak kecil, apa erti kehidupan pada mereka? Bagi mereka, semua yang dilihat adalah permainan. Apa sahaja yang tidak dibuat main, segala pasir, pisau pun dibuat main. Nah, ini maknanya perumpaan Allah, dunia itu hanya sekadar mainan seperti anak kecil menanggapi objek-objek yang berada di sekelilingnya.


Kemudian lanjut usia, meningkat remaja. Apakah makna hidup bagi majoriti remaja hari ini? Bukankah hidup bagi mereka untuk berseronok-seronok sahaja? Perhatikan frasa kedua yang Allah gunakan setelah la’ib, Allah letakkan lahwun iaitu sia-sia. Inilah kitaran kedua hidup manusia, sia-sia dan melalaikan. Hidup merempit, melepak, buang masa dan berfoya-foya.

Kemudian meningkat usia lagi, Allah nyatakan kitaran seterusnya, wa ziinah. Apa makna kehidupan bagi mereka yang telah meningkat dewasa, yang sudah bekerja, menjadi usahawan, doktor, majistret, lawyer, ahli muzik dan sebagainya? Ziinah, iaitu perhiasan. Inilah kitaran ketiga kehidupan manusia iaitu dunia sebagai perhiasan; mula berhajat untuk memiliki kereta mewah, barang kemas, rumah-rumah yang indah, pakaian-pakaian yang cantik. Jika itu yang difikirkan sebelum kita bekerja, maka kita sudah masuk dalam kitaran ini.


Kemudian setelah berkahwin dan berkeluarga, semakin meningkat usia, apa makna kehidupan bagi golongan umur ini? Watafakhuru bainakum- bermegah-megah antara kamu serta, watakathurun fil amwaali wal aulaad - berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak. Hidup hanya sekadar untuk mengumpul harta dan berbangga-bangga dengan pencapaian anak. Inilah kitaran keempat kehidupan manusia, tiada lain hanya berbangga-bangga dengan pencapaian duniawi.


Makanya ini kitaran kehidupan bagi mereka yang sekadar hidup untuk hidup, yang Allah umpamakan sebagai tanaman yang subur pada mulanya, tetapi kemudian hancur kerana semuanya hanya sementara sahaja.


Akhirnya di pengakhiran ayat, Allah menyimpulkan kehidupan dunia yang kitarannya begini, hanyalah sebagai mata'. Apa itu mata'? Imam Malik merantau ke kampung pedalaman untuk mencari makna mata' bagi masyarakat Arab asal. Akhirnya beliau temukan, apabila seorang budak menjerit memberitahu padanya, “hadza mata', hadza mata'”, seraya menunjuk ke arah sisa-sisa buangan sampah sarap yang busuk.

Nah! Inilah hakikat dunia pada pandangan Allah, bagi manusia yang menjalaninya mengikut kitaran seperti di atas. Kesenangan yang menipu.

Maka apa kena mengena dengan masalah Dr. Balqis tadi?

Jika hidup hanya sekadar untuk memenuhi syarat-syarat kehidupan – belajar bersungguh-sungguh, bekerja berhempas pulas demi mencapai expectation tinggi manusia, maka semua perkara menjadi sukar dan payah kerana apabila tidak dapat melepasi semua expectation tersebut, diri menjadi sangat mudah putus asa dan hilang harapan. Mengejar dunia yang rupa-rupanya hanyalah sampah sarap yang busuk.

Lantas Allah memberikan solusinya dalam surah yang sama ayat seterusnya,


“Berlomba-lombalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai karunia yang besar”.


Kita lihat, Allah memotivasikan kita dengan seruan-Nya - berlumba-lumbalah. Allah tidak menyeru kita supaya merangkak atau berjalan, tetapi Allah menyeru kita supaya berlari! Bersegara, berlumba-lumba dalam maraton ini, menuju kepada kehidupan abadi, hidup untuk mati. Inilah kehidupan yang sebenar, kehidupan untuk mati. Hidup untuk syurga. Keluar dari kitaran dunia yang digelari Allah sebagai sampah, tetapi justeru, masuk ke dalam kitaran hidup dunia dengan perlumbaan mendapatkan keampunan dari Allah dan syurga seluas langit dan bumi. Subhanallah. Terbaikkan? Terbaiklah.


Bagaimana?


Dengan mengabdikan diri, segala pekerjaan dan kehidupan mencari redha Allah. InshaAllah, kerja bukan kerana manusia tetapi kerana Allah. Biar kita bekerja dan hidup, menjadi Rahmatan lil A'lamin. Biar pekerjaan kita kelak menjadi sejadah panjang pengabdian kita kepada Allah. Amin, ya Robb.




Faham Dr. Balqis?


Alhamdulillah. Syukran.


Aiwah. Khair. Ha, bolehlah sambung ulangkaji nota, ya? Banyak lagi belum bacakan? Cukup-cukuplah menghadap monitor ini dan terbazir masa begitu sahaja. Buat rosak mata sahaja. Usahakan untuk lebih rajin, konsisten dan istiqamah. InshaAllah. Selamat berjaya dalam peperiksaan. Bittaufeeq wannajah, InshaAllah.

************************


“Shaytan will come at you with that which you love, even if it is the deen” –Abu Hafsa-

Wallahua’lam.



Oh. PR, PR. Upgrade your PR please, doc. You are working with human, not machine.


Catatan kecil editor: Kasihan Balqis, menjadi watak yang sangat mengecewakan dalam entri kali ini. Doakan supaya beliau pulih dari kemalasan yang kronik. Dia ini memang perlu belajar seni bercinta dengan Tuhan. Mudah-mudahan. InshaAllah.



Menghitung sisa-sisa akhir hidup di Ukraine - membaca catatan adik Haniff tentang perantau - terasa sangat sekejap masa berlalu. Allahuakbar.