Wafeya

Life is a serious matter.

Tuesday, March 23, 2010

Laut terluas itu, di mana?

Hari ini rasa nak menulis sangat walaupun tiada isi pokok dan persoalan yang boleh sengaja dibuat untuk dijadikan sebuah entri mantap lagi terkesan. Tahu buku belum buka dan baca lagi tetapi kadang-kadang kena ikut fatwa hati – kalau hati kata tak mahu baca buku sekarang, kenalah ikut. Kan? Er, boleh pakaikah pendapat itu. Terpulang. Tetapi hari ini mahu tulis guna bahasa biasa-biasa, tak mahu guna perbendaharaan kata yang pelik-pelik. Apa pun tetap akan menggunakan bahasa Melayu yang indah ini dengan baik. Sayang. Dengan bahasa sendiri.

Hari ini memang rasa penat sangat-sangat. Entah. Bukan kena pergi keluar cari kayu api atau melombong bijih timah. Pergi sekolah pun naik bas, bukan jalan kaki. Iyalah, siapa yang berjalan kaki ke Hospital Lugovae, sejauh dua kilometer itukan? Tapi penat itu bagus, maknanya kita buat kerja dan tak duduk sahaja. Maknanya kita bergerak dan tidak membuang masa. Tetapi kalau berdiri selama lima jam dalam bilik pembedahan dan sekadar tengok operasi pembuangan rahim antara nampak tidak nampak kerana ruang terhad dan terpaksa bergilir-gilir tukar tempat, agak-agak membuang masa tidak? Entah. Bergantung niat. Bila perut dah bermain-main gendang tali kecapi, oksigen yang dikongsi seramai sebelas orang dalam bilik pembedahan pun tiba-tiba rasa kurang, waktu itu memang menguji betul-betul kesabaran. Berdiri. Bukan duduk. Kepala sudah pusing-pusing. Tak ada apa yang boleh dibuat melainkan ketabahan jua yang sering berbisik, “nak jadi doktor yang bagus tidak?” Baik. Maka terus berdiri. Dengan rasa kagum tidak pasal-pasal kepada pakar yang berusaha sedaya upaya mengeluarkan rahim yang sudah membesar disebabkan ketumbuhan. Lagilah duduk tidak boleh bergerak-gerak, satu posisi sahaja lebih dari enam tujuh jam. Boleh jadi macam dia orang? Heh.

Disebabkan penderaan fizikal tersebut seperti menyerang mental, juga ditambah belum sebutir benda yang dipanggil makanan pun masuk ke perut ala-ala tersiksa seperti tahanan Guantanamo jualah miripnya, maka tidak boleh tidak terpaksa meninggalkan bilik pembedahan tanpa pengetahuan pakar. Namun perjuangan membuang rahim tersebut tetap perlu diteruskan – oleh mereka-mereka yang tinggal. Selamat berjaya daku ucapkan. Pulang ke kelas, solat dan entah bila kepala telah elok didakap erat kedua tangan, terletak kemas di atas meja lambang tidak kecukupan mendapat lena malam semalam. Tidak lama pun anugerah istirehat itu, hanya dalam kiraan sepicing sahaja kerana pejuang-pejuang ketabahan tadi telah juga pulang dari bilik pembedahan dan mengajak lari pulang. Oh, terbaiklah. Bukan lari, memang sudah habis waktu kelas pun. Jadi, apa terjadi dengan pembedahan tadi? Esok akan pergi bertanya. InsyaAllah.

Kebetulan pulang melalui gelanggang bola kerajang. Cuaca pun suam-suam kuku. Memang terbaik untuk melancarkan perjalanan darah dengan beberapa lontaran bola ke dalam keranjang. Oh, bukanlah pemain terhebat pun. Amatur jauh sekali. Tetapi cukup puas kalau dapat merebut bola dan mengkeranjangkan satu gol. Kemudian hirup udara Tuhan puas-puas biar kembang semua alveoli dalam paru-paru yang kalau dibuka boleh mencapai keluasan sebesar gelanggang badminton. Subhanallah. Tidak percaya? Ya, terpulang.

Memang dasar angan-angan selalunya tidak akan sampai menjadi kenyataan. Ya, kalau tidak berusaha merealisasikannya. Pun begitu, semua awan-awan tentang bola keranjang tadi terhapus begitu sahaja setelah sampai ke bilik. Oh, penat lebih menguasai. Terfikir bagaimana penakluk-penakluk agung dunia dan pejuang-pejuang pembebasan boleh menguasai sesebuah negara dan melawan penjajah kalau asyik fikirkan penat dan letih. Heh. Tentu buku sejarah hari ini nipis-nipis sahaja kerana siapa yang mahu tulis tentang orang-orang yang pemalas? Kan, kan, kan?

Hari ini kena memasak. Masak satu lauk sahaja. Memang selalu masak selauk dua sahaja kerana bukan banyak mulut pun mahu beri makan. Mulut saya dan mulut teman sebilik. Oh, tidak boleh terus begini setelah bekeluarga ya, Balqis. Sepanjang-panjang berkecimpung dalam dunia masakan, memang tidak pernah rasa masakan sendiri sedap pun kerana kalau sedap sudah lama dibuat jualan. Heh. Agak-agak cukup rasa serba serbi dan bisa mengenyangkan – bersyukur, Alhamdulillah. Lagi berpuas hati bila melihat teman sebilik berselera makan sampai tambah-tambah. Hah, itulah nikmat memberi orang makan. Bahagia. Teringat pesanan isteri duta sewaktu menziarahi kediaman beliau di Kiev, “ Kalau rasa-rasa masakan tu kurang sedap, mesti masak tak ikhlas dan terpaksa. First rule dalam memasak sebelum potong-potong bahan, kena ikhlas dan yakin." Huh, betul, betul, betul!

Benarlah kata orang, kalau kita benar-benar mahu buat sesuatu, InsyaAllah hasilnya tidak akan menghampakan. Contoh paling mudah, entri ini. Panjang tidak? Panjangkan? Sebab saya sangat-sangat ingin menulis walaupun dalam bacaan tarikh lahir saya (eh, bukan ramalan tukang tilik ya!) tidak punya kebolehan menulis seperti J.K. Rowling yang menjadi jutawan hanya dengan pen dan kertas. Pun begitu, kata orang yang membaca tarikh lahir saya, saya suka berkongsi – hah, tulisan ini; bebelankah atau perkongsian? Sekali lagi, terpulang.

Eh, dah panjangkan? Harus berhentikan? Wajib berhenti. Sebelum itu, rasa-rasa (rasa lagi) ingin bercakap sedikit tentang pengorbanan walaupun raya korban telah lama berlalu. Pengorbanan itu tak ada waktu khasnya, manusia paling mulia adalah yang sanggup mengorbankan diri sendiri demi sahabat-sahabat tercinta walau hajat dan impian sendiri tidak tercapaikan. Ah, kata-kata klise ini. Mana ada pengorbanan yang dibuat dapat merealisasikan impian sendiri – sering, pengorbanan dibuat adalah untuk melihat orang lain gembira. Seperti pengorbanan ibu kepada anaknya. Itu, namanya pengorbanan sejati tiada tolok bandingnya. Tetapi kalau mengorbankan diri sendiri tidak menyelesaikan masalah, malah menambah harukan keadaan, dan tidak sedikit pun membuat orang lain gembira, adakah pengorbanan itu berjaya? Tidak sama sekali. Justeru tidak perlu berkorban. Percaya, Tuhan selalu punya rahsia.

Baiklah. Ceritera ini kalau disambung, sungguh tidak berpenghujung. Saat ini, sepatutnya ada yang perlu lebih diutamakan – belajar. Menulis ini sekadar lari sebentar dari kerunsingan. Semoga ada jalan keluar bagi tiap-tiap yang mencari. Dan teman, mencari keutamaan itu adalah mahkota untuk hidup bahagia.

Sesungguhnya, mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan baik. (Al-Anbiya:90)

Menutup entri ini dengan kata-kata penuh inspirasi yang sempat kukutip dari blog demoiselle (Liyana, apa itu demoiselle?) - benarlah satu kata-kata, laut yang paling luas adalah hati yang tenang. Hati yang tenang adalah apabila menjadikan Allah tempat bergantung harap. Terbaikkan? Terbaiklah!



Belajar, yuk!

Friday, March 19, 2010

Sepele: tentang sarapan dan sejarah



Sering dalam hidup, kita harus membuat keputusan; dari hal-hal sepele seperti membuat sarapan hingga hal-hal sepenting masa depan. Tak selalunya pula sarapan yang tersedia adalah sebulat-bulat salinan fotokopi bayangan imaginasi yang terhimpun enak dari memori indera bau, lihat dan rasa. Pun begitu, kita terpaksa jua santap dan habisi, lambang memikirkan bahawa syarat-syarat sah menjadi sahabat syaitan adalah dengan sewenang-wenangnya membazir. Itu. Natijah dari resepi yang salah. Lalu, bagaimana dengan keputusan yang lebih besar? Te…ntu tidak semudah menyedia sarapan. Kerna, hari pagi dan sarapan tak pernah ada sejarah. Dan sejarah, tak pernah wujud saja-saja; hadirnya sentiasa membuat kita ingat tentang masa lalu sekuat mana pun kita cuba melupakan. Mengelak dalam membuat keputusan, dunia akan mengenalmu sebagai pengecut. Mencuba, dunia akan mengenalmu sebagai pemberani. Ihsanlah dengan setiap pilihan. Kerna dari setiapnya, akan ada sebuah sejarah tercipta. Tak ada yang tahu natijahnya melainkan Dia. Untuk kekal tersimpan di hippokampus, tentu kau mahu sejarah yang manis-manis bukan?

Jadi, apa kaitan sarapan dengan sejarah?

Entah.



Rindu rasa pedas,

Tuesday, February 09, 2010

Alhamdulillah

(seloka - menginjak setahun lagi usia, semoga Allah berkahi)

Alhamdulillah.
Ini tangan.
Ini kaki.
Ini muka; ada mata, ada hidung, ada mulut, ada telinga.

Alhamdulillah.
Dua rongga kembang kempis dilebuh sang hawa.
Dua nadi pun tak jenuh berdenyut mesra.

Alhamdulillah.
Masih punya lengan,
cukup lima jari, cukup hujung indera sentuhan,
dipinta; tak terlanjur salah pegangan.

Alhamdulillah.
Masih punya kaki,
bisa gerak, bisa lompat, bisa jalan terus… berlari,
kejari bas 'tuk ke kuliah tiap pagi,
jua tak lemah lesu waktu bertemu-Nya lima sehari.

Alhamdulillah.
Masih bisa melihat,
indahnya alam ciptaan Illahi.
Walau sering buta mata hati,
merenung dan menaksir hakikat diri.

Alhamdulillah,
masih bisa berkata-kata.
Ya, kadang rampus lagi cempala tak susun kata,
atau gapil lalu muncung tak tentu hala,
tapi harap; terus reti dan mengerti,
mengalun sendu kalam-kalam suci.

Alhamdulillah.
Masih bisa mendengar,
tatkala dibacakan peringatan serta khabar,
walau sering halwanya jauh tersasar.

Alhamdulillah.
Hadiah dari Tuhan.
Cukup; tak pernah Dia minta perkiraan.

Pun begitu,
Sekali sekala Dia terkadang mengambil apa yang pernah diberi,
seraya ingatan bahawa tidak selama nikmat kita kecapi.
Terima kasih Tuhan,
Kerana ‘menghidupkan setelah mematikan’.
*
Senyum simpul,
Wajah basi-basi,
Mata sepet tak buka lagi.
Alhamdulillahi rabbil a’lamin!

Balqis
09022010
Simferopol Darul Rahmah,
Ukraine.


Satu DUA tiga EMPAT,
hanya nombor tanpa firasat.

Semilang dua lapang nang,
terus melangkah susah dan senang.

(^_^)V

InsyaAllah,

Sunday, January 31, 2010

Ketika Salji Bertasbih


Aku suka melihat alam. Seperti burung-burung ini; yang berkumpul bertasbih ketika tebalnya salju, tidak pernah sekali mengingkari sunnatullah. Singgah melewati kedinginan di sini sebelum berhijrah merapati iklim yang suhunya tidak akan membuat badan gigil kesejukan. Ah, salji dan burung - mereka tidak pernah membantah! Melihat mereka buat aku terkagum seketika. Pantas merenungi diri - yang sering jerjal dengan kerenah dan rencam bermain jukstaposisi - duhai, tak punya apa pun! Alam Tuhan ini indah. Sungguh. Tidak mampu terlukis pun dengan pastel-pastel warna air di atas sekeping kanvas putih. Tidak akan persis. Apa lagi di atas cantuman-cantuman statik tanpa rasa dan jiwa dalam 10 Megapixels ini. Ah, Subhanallah!


Gargarin Park, Simferopol,
Ukraine.


Kisah-kisah ketika salji bertasbih,

Thursday, January 07, 2010

Di Perut Nun

Terkesan dengan sajak ini. Lalu saya ambil dan saya kongsi dengan kalian di sini.
(Akhir-akhir ini agak penakut menulis sajak - dicoret dan dipadam)

Di Perut Nun

Pada dinding putih, ada waktu yang tergantung

berlari, tak pernah jeda walau untuk berpesan,

demi aku, manusia dalam kerugian.

Di luar, ada rintik yang menyapa gersang tanah,

aku termangu, Mikail masih di situkah?

Anugerah untukku?

atau aku mesti terus menunggu

setelah doa-doaku tercicir

tiris dari bakul ibadah yang rompong.


Entah berapa lama, kali terakhir kumembilang titis hujan

dan mengutip butir jernih, buat dihimpun menjadi sekolam wudhu.

Pun, sekolam itu, aku masih sangsi, pergikah segala dosa semusim leka

seperti daun gugur meluhurkan sunah Allah?

Seorang umat, yang bersinar dan dikenali, akukah?

Atau gelap ini abadi? Gelisah ini membawa aku ke perut Nun

Dari situ, ada rintih Yunus yang kembali,

Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau,

Sungguh, aku termasuk orang-orang yang zalim.


Gelap ini; Yunus, aku dan sesiapa, tak punya siapa kecuali Tuhan.

Balam-balam malam ini, aku sendirian

kehilangan kasih-Mu. Tuhan, di hadapan pintu-Mu

aku berdiri.


Hafez Iftiqar,
15, Kings Court, Oakleigh East, VIC, Australia.


Dipetik dari blog hafeziftiqar



Di hujung kembara tak ada lelah - adalah kembara yang terbaik,

Sunday, December 27, 2009

Cuti ini - tanpa fragmen; semoga berhasil!

Membuak-buak rasa ingin menulis - apa sahaja - di sini. Selak-selak keliling minda, tak ketemu yang bagusnya untuk dikongsi, yang eloknya untuk dibaca. Cuti musim sejuk baru bermula, harus lekas-lekas bina susun atur terancang supaya tidak cacat waktu-waktu lapang yang bakal berlalu menghiris setajam pedang andai tidak digunakan seenaknya secara berfaedah. Tidak mahu menjadi seperti cuti kuarantin angkara virus influenza H1N1 tiga minggu dahulu - Tuhan, sungguh suatu pembaziran yang tak terampunkan - yang mana tak berhasil langsung menjadikan aku walau suku dari Pramoedya Ananta Toer pun. (Ah, lagi-lagi berangan!)

Ada sedang kusiapkan sekajang teks untuk entri terbaru, tetapi entah apa yang menghalang, sering berakhir dengan menggetap bibir, menggigit jari; langsung ku tekan butang simpan dan kututup dokumen tersebut. Tuhan, apa sahaja yang menjadi penghalang mindaku untuk pantas menulis dan mencernakan fikiran jadi kata-kata yang baik untuk dibaca?

Tak ketemu jawapan. Kerana ini bukan sebuah persoalan. Ini batu beban yang sengaja kugalas tak berpenghujung - malas berfikir dan membuat kajian. Nah, tak usah fikir jauh-jauh mahu menjadi terhebat kalau begini gayanya. Simpan sahaja semua impian dan cita-cita - mari hanya menjadi orang biasa-biasa; duduk menggugu sahaja, menunggu datangnya mati dan sekian, tamatlah riwayat seorang hamba Allah yang tidak pernah mencapai apa-apa yang luar biasa dalam lembaran hidupnya.

Oh, Tuhan! Apa sahaja yang kubebelkan dari tadi, ya? Tidak ada apanyakan? Kata Eleanor Roosevelt; "Great minds discuss ideas. Average minds discuss events. Small minds discuss people." Lalu, apa bicaranya aku tadi?

********************
Tidak mahu menyia-nyiakan waktu kalian bertandang ke sini tanpa ada maknanya. Sedikit erti kukongsikan bersama kalian - sebuah puisi yang kucuplik dari blog Salim A. Fillah - penulis best seller Jalan Cinta Para Pejuang (psst, sesiapa yang punya .pdf nya buku ini, sudilah kiranya berkongsi denganku - dengan janji pulang nanti ke Malaysia akan kubeli sebuah buat koleksi)

asy syafi’i, -dan aku- menangis


satu saat asy syafi’i ditanya
mengapa hukuman bagi pezina sedemikian beratnya
wajah asy syafi’ memerah, pipinya rona delima
“karena”, jawabnya dengan mata menyala
“zina adalah dosa yang bala’ akibatnya mengenai semesta,
keluarganya, tetangganya, keturunannya
hingga tikus di rumahnya dan semut di liangnya”
***
ia ditanya lagi
dan mengapa tentang pelaksanaan hukuman itu,
Allah berkata,
“Dan janganlah rasa hibamu pada mereka
menghalangimu untuk menegakkan agama!”
***
asy syafi’i terdiam
ia menunduk, ia menangis
setelah sesak sesaat, ia berkata
“karena zina seringkali datang dari cinta
dan cinta selalu membuat kita hiba
dan syaithan datang untuk membuat kita lebih mengasihi manusia
daripada mencintaiNya”
***
ia ditanya lagi
dan mengapa, Allah berfirman pula
Dan hendaklah pelaksanaan hukuman mereka
disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.”
bukankah untuk pembunuh, si murtad, pencuri
Allah tak pernah mensyaratkan menjadikannya tontonan?
***
janggut asy syafi’i telah basah
bahunya terguncang-guncang
“agar menjadi pelajaran”
ia terisak
“agar menjadi pelajaran”
ia tersedu
“agar menjadi pelajaran”
ia tergugu
***
lalu ia bangkit dari duduknya
matanya kembali menyala
“karena ketahuilah oleh kalian..
sesungguhnya zina adalah hutang
hutang, sungguh hutang..
dan.. salah seorang dalam nasab pelakunya
pasti harus membayarnya!”
***
kutulis dengan menangis, semoga menjadi pengingat yang terwaris
-salim a. fillah-


Juga ingin berbagi makna,

Thursday, December 24, 2009

Al-Fatihah buatmu Ustaz A'la...

Saya tahu setiap yang hidup pasti dan pasti akan meninggalkan dunia yang fana ini, tetapi...

Seperti apa berita itu bila sampai kepada saya? Kehilangan kata-kata. Rasa tersentap atas ketidakupayaan saya menerima hakikat pemergiannya. Seakan baru semalam rasanya dia mendengar dan membetuli bacaan saya. Dan kemudian dengan tenang sambil tersenyum meminta  saya mengulang baca kerana telah saya lompongkan beberapa ayat dengan tidak sengaja atas kegagalan mengingat dengan sempurna. Tuhan, saya pohon ketenangan atas pemergiannya. Tempatkanlah dia di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Tuhan, dia orang baik-baik - betapa banyak jasa dan ilmu tertebar atas usahanya. Cucurilah rahmat ke atas rohnya, Ya Allah. Allahumma firglahu warhamhu wa afihi wa afwanhu.







Dikemaskini - 26 Disember 2009:

Entri kenangan bersama Ustaz A'la terabadi di sini:
- Doa buatmu sahabat... Sheikh A'lauddin
- Selamat kembali sahabatku... Al-Fatihah
- Doa buatmu Ustaz A'la
- Catatan kecil Muhammad Iqbal Bravo; di ruangan komentar ini.



Maaf, entah kenapa air mata ini tidak termampu ditakung lagi,


Sunday, December 13, 2009

Doa buatmu, Ustaz A'la

Subuh tadi teman sebilik saya mengkhabarkan bekas murabbi kami (ah, selamanya pun akan sentiasa menjadi murabbi kami) dimasukkan ke wad ICU dan telah menjalani empat kali pembedahan. Allahuakbar. Betapa berita itu benar-benar merisaukan dan malah setelah membaca di blog Ustaz Afifi, risau itu bertukar menjadi debar yang menjalar sementelah yang tinggal hanya berharap dan berdoa semoga, ya semoga beliau segera kembali sembuh. InsyaAllah.

Ustaz Alauddin Muhtasib. Lelaki Palestin dengan susuk tubuh yang sederhana kecil itu pertama kali kami kenali sebagai guru yang mengajari bahasa Arab kepada kami. Kelas yang diadakan seminggu sekali khas untuk para muslimat Melayu yang menuntut di CSMU itu kami gunakan sebaiknya untuk mempelajari dan mendalami Bahasa Al-Quran. Alhamdulillah, terlempar jauh di bumi asing pun, Allah masih merezekikan kami bertemu dengan beliau dan mengutip secebis ilmu dari selautan ilmu-Nya. Subhanallah.

Wajahnya sentiasa mengukir senyuman tatkala berselisih di pertengahan jalan. Salam tidak pernah lupa diberi dahulu dan kemudian akan malu-malu berlalu pergi. Beliau yang mesra dengan panggilan ustaz A'la di kalangan pelajar Malaysia akan hadir mengisi kelas agama setiap Jumaat (antara tahun 2005-2007). Masih kami ingat, beliau yang ketika itu juga masih lagi bergelar seorang penuntut seperti kami tidak pernah berkira berbagi masa demi menyampaikan dan berkongsi sebuah dua peringatan setiap akan tibanya hujung minggu. Tentunya sebagai pelajar, beliau juga sibuk berhempas pulas dengan kelas dan kuliah, namun tiada di wajahnya mempamerkan kepayahan dan kesibukan; yang tetap akan hadir adalah kebahagiaan memberi dan senyuman yang sentiasa akan terukir. Dan kami, memahami semuanya itu, akan cuba menghadirkan diri menadah ilmu Tuhan yang disampaikan beliau. Madah Akhlak dan Sirah Nabawi menjadi pilihan.

Kemudian hari-hari berlalu dan beliau terus dengan rutinnya menyampaikan dan memberi samada dalam kelas Bahasa Arab, mahupun dalam kelas agama setiap Jumaat. Di tahun kedua saya dan beberapa orang rakan diperkenalkan dengan Dr. Abdul Wahid dari Jordan. Kata Ustaz A'la, manfaatkan dan kutip sebanyak mana ilmu dari beliau. Kebetulan ketika itu Dr. Wahid berada dalam tahun akhir pengajiannya, dan akan kembali pulang berkhidmat di Jordan, maka kami tidak berkesempatan lama menadah kitab dengan beliau. Setahun itu, kami gunakan sebaik mungkin; Akhlak, Sirah Nabi, Fiqh, Tafsir dan Hadith. Setelah itu, Dr. Khalil Hijazi presiden AHRAR ketika itu hadir menggantikan kerana Dr. Wahid harus menumpukan perhatian untuk peperiksaan akhir tahun enamnya. Tuhan, syukur kami tidak berpenghujung tika itu, Kau berkahi kami dengan kehadiran orang-orang soleh ini. Alhamdulillah.

Barangkali, doa guru-guru sewaktu ketikanya kami akan berangkat ke Ukraine dimakbulkan Tuhan. Bahawa tidak sekali-kali kami meninggalkan ilmu yang mengingatkan kami kepada akhirat. Cari dan teruslah mencari selagi adanya nafas berhembus. Ketika kami di tahun ketiga, penerusan itu kemudian diambil alih oleh Ustaz A'la sendiri. Allahuakbar. Kali ini, bahasa perantaraannya adalah bahasa Arab. Kalau dahulu dengan Dr Wahid, kami bisa berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris ala kadarnya, kemudian bersama Dr. Khalil, biarpun beliau menggunakan Bahasa Arab, namun kami hanya perlu mendengar dan mencatat. Terkadang dibantu terjemahannya oleh kakak-kakak senior. Kali ini, harus kami bertatih memahami apatah lagi perlu menyampaikan tugasan yang diberikan dalam bahasa Arab. Siapa pernah tersangka, kamus Marbawi yang pernah dulu berjasa sewaktu sekolah kembali kami selak-selak dan uliti.  Memahami Bahasa Arab kami tidak sesempurna mana, beliau menggunakan Bahasa Arab yang mudah (fushah barangkali) dan malah tetap tenang dan sabar setiap kalinya minta diulang semula oleh kami. Susah ketika itu, adalah suatu nikmat bagi kami yang amat dahagakan ilmu.

Masih saya ingat, beliau seringkali akan menggelarkan dan memanggil saya Balqis Al-fuqaha' kerana tugas saya menyampaikan bab-bab dari kitab Fiqh Syed Sabiq. Padahal, entah apa-apalah yang saya terangkan kepada sahabat-sahabat saya. (Beliau tidak pernah bertanya kami samada apa yang kami terjemahkan itu betul atau tidak. Yakin sungguh beliau dengan kami) Pernah suatu hari di satu ketika, saya tidak memahami beberapa permasalahan dalam kitab tersebut, maka saya bertanya kepada beliau dengan bahasa Arab yang tunggang-langgang dan tersangkut-sangkut. Sambil berkerut kening, beliau meminta saya mengulang baca. Saya akur, lantas membaca lagi. Kemudian beliau minta ulang sekali lagi. Akhirnya beliau meminta kitab tersebut dari saya dan membaca sendiri. Tersenyum. Hah! Rupanya saya salah meletak baris, maka segala makna menjadi salah. Padanlah beliau menjadi keliru dan kurang faham. Kitab tersebut memang tidak berbaris, maka sememangnya ikut sedap selera mulut sayalah membacanya bagaimanakan? Rupanya selama ini, beliau membiarkan saya berceloteh dengan penuh yakin (dan malah memberikan sepenuh perhatian yang tidak berbelah bagi) Barangkali kerana dilihatnya sahabat-sahabat saya beria-ia mengangguk faham, maka beliau membenarkan segala percakapan saya ketika itu. Ha ha. Baik hati sungguhkan, beliau?

Sehingga awal tahun keempat, kami masih menadah kitab bersama beliau. Kadang-kadang dibacakan semuka dua dari buku-buku Allahyarham Fathi Yakan kepada kami, usai kami membentangkan tugasan masing-masing. Kadang-kadang pula sekadar peringatan sebuah dua ayat dari kitab suci Al-Quran. Pun begitu, setiapnya tetap meninggalkan kesan terdalam pada jiwa-jiwa kami. Subhanallah. Betapa banyak nikmat yang Tuhan beri, nikmat menuntut ilmu agama ini yang paling-paling kami hargai. Bersama beliau tidak lama, halaqah terhenti begitu sahaja, kemudian apabila Palestin diserang hebat tentera jet pejuang Zionis laknatullah, beliau kembali berkhidmat di negara tanah tumpahnya dan kemudian, tahu-tahu sahaja beliau sudah berkahwin dengan penduduk tempatan dan mendirikan rumah tangga. Ah, sungguh pantas masa berlalu, sedang dewasa ini, saya dan rakan-rakan jarang bertemu bersua dengan beliau lantaran masing-masing sibuk dihambat urusan dunia yang seperti tidak akan ada akhirnya. Tambah-tambah beliau sedang menyambung pengajian pengkhususan dalam bidang Cardiology.

Kini, beliau terbaring di wad ICU tidak berdaya. Intestinal obstruction. Begitu yang saya dengar. Dan prognosisnya kurang baik. Allah. Lantas apa yang kami mampu lakukan? Beliau yang telah banyak menabur ilmu dan tidak henti-hentinya mengingatkan kami bahawa di mana sahaja kami berada, Islam harus dipegang dan dibawa - kini terlantar sakit tidak bermaya. Tuhan, sungguh pengaturan dan takdir-Mu mengatasi segala. Sungguh kami hamba-hamba-Mu yang lemah lagi tiada berkuasa. Ringankanlah ya Allah, penderitaannya.
Dan sungguh akan kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah; 155)


Photobucket
Menerima cenderahati di hari sambutan sempena graduasinya.

Photobucket
Dua dari kanan: Dr. A'la Muhtasib tersenyum ceria.


Wednesday, December 09, 2009

Fantasia Itu Bukan Eksistensial Sial II


 Sekadar gambar hiasan; menyesal tidak membawa kamera bersama.
 
Indahnya pagi itu. Lantai bumi terbentang permaidani jingga kekuningan. Yang merah-merah masih berbaki mencari lindung di bawah gahnya pohonan maple. Berasa nikmat, memijak sekalian yang mendiami laluan awam pejalan kaki. Rangup. Damai mengusik jiwa. Terbaiklah. Tetapi... ops! Aku tidak sempat untuk menikmati semuanya itu, kerana – kerana aku sudah terlambat ke kelas, oh! – jarum jam adalah pembunuh senyap kebahagiaanku kala ini. Langkah kupercepat, kiri dan kanan menjadi pemandangan kabur yang lewah. Rugi. Teorinya mudah, kalau kau mahu menikmati alam ciptaan Tuhan dan berzikir memuji keagungan-Nya, justeru jangan lewat ke kelas. Kau tidak akan sempat melihat dan memikirkan hikmah setiap yang diciptakan-Nya. Bukankah merugikan? Mengejar dunia tetapi sebenarnya kau meninggalkannya setiap detik. Meninggalkan bahagian dunia yang mengingatkan kau kepada akhirat. 'Terbaiklah!'


 
Dalam memaknakan sebuah kewujudan,

Thursday, December 03, 2009

Lari






Tahu apa erti sempurna?