Wafeya

Life is a serious matter.

Sunday, December 13, 2009

Doa buatmu, Ustaz A'la

Subuh tadi teman sebilik saya mengkhabarkan bekas murabbi kami (ah, selamanya pun akan sentiasa menjadi murabbi kami) dimasukkan ke wad ICU dan telah menjalani empat kali pembedahan. Allahuakbar. Betapa berita itu benar-benar merisaukan dan malah setelah membaca di blog Ustaz Afifi, risau itu bertukar menjadi debar yang menjalar sementelah yang tinggal hanya berharap dan berdoa semoga, ya semoga beliau segera kembali sembuh. InsyaAllah.

Ustaz Alauddin Muhtasib. Lelaki Palestin dengan susuk tubuh yang sederhana kecil itu pertama kali kami kenali sebagai guru yang mengajari bahasa Arab kepada kami. Kelas yang diadakan seminggu sekali khas untuk para muslimat Melayu yang menuntut di CSMU itu kami gunakan sebaiknya untuk mempelajari dan mendalami Bahasa Al-Quran. Alhamdulillah, terlempar jauh di bumi asing pun, Allah masih merezekikan kami bertemu dengan beliau dan mengutip secebis ilmu dari selautan ilmu-Nya. Subhanallah.

Wajahnya sentiasa mengukir senyuman tatkala berselisih di pertengahan jalan. Salam tidak pernah lupa diberi dahulu dan kemudian akan malu-malu berlalu pergi. Beliau yang mesra dengan panggilan ustaz A'la di kalangan pelajar Malaysia akan hadir mengisi kelas agama setiap Jumaat (antara tahun 2005-2007). Masih kami ingat, beliau yang ketika itu juga masih lagi bergelar seorang penuntut seperti kami tidak pernah berkira berbagi masa demi menyampaikan dan berkongsi sebuah dua peringatan setiap akan tibanya hujung minggu. Tentunya sebagai pelajar, beliau juga sibuk berhempas pulas dengan kelas dan kuliah, namun tiada di wajahnya mempamerkan kepayahan dan kesibukan; yang tetap akan hadir adalah kebahagiaan memberi dan senyuman yang sentiasa akan terukir. Dan kami, memahami semuanya itu, akan cuba menghadirkan diri menadah ilmu Tuhan yang disampaikan beliau. Madah Akhlak dan Sirah Nabawi menjadi pilihan.

Kemudian hari-hari berlalu dan beliau terus dengan rutinnya menyampaikan dan memberi samada dalam kelas Bahasa Arab, mahupun dalam kelas agama setiap Jumaat. Di tahun kedua saya dan beberapa orang rakan diperkenalkan dengan Dr. Abdul Wahid dari Jordan. Kata Ustaz A'la, manfaatkan dan kutip sebanyak mana ilmu dari beliau. Kebetulan ketika itu Dr. Wahid berada dalam tahun akhir pengajiannya, dan akan kembali pulang berkhidmat di Jordan, maka kami tidak berkesempatan lama menadah kitab dengan beliau. Setahun itu, kami gunakan sebaik mungkin; Akhlak, Sirah Nabi, Fiqh, Tafsir dan Hadith. Setelah itu, Dr. Khalil Hijazi presiden AHRAR ketika itu hadir menggantikan kerana Dr. Wahid harus menumpukan perhatian untuk peperiksaan akhir tahun enamnya. Tuhan, syukur kami tidak berpenghujung tika itu, Kau berkahi kami dengan kehadiran orang-orang soleh ini. Alhamdulillah.

Barangkali, doa guru-guru sewaktu ketikanya kami akan berangkat ke Ukraine dimakbulkan Tuhan. Bahawa tidak sekali-kali kami meninggalkan ilmu yang mengingatkan kami kepada akhirat. Cari dan teruslah mencari selagi adanya nafas berhembus. Ketika kami di tahun ketiga, penerusan itu kemudian diambil alih oleh Ustaz A'la sendiri. Allahuakbar. Kali ini, bahasa perantaraannya adalah bahasa Arab. Kalau dahulu dengan Dr Wahid, kami bisa berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris ala kadarnya, kemudian bersama Dr. Khalil, biarpun beliau menggunakan Bahasa Arab, namun kami hanya perlu mendengar dan mencatat. Terkadang dibantu terjemahannya oleh kakak-kakak senior. Kali ini, harus kami bertatih memahami apatah lagi perlu menyampaikan tugasan yang diberikan dalam bahasa Arab. Siapa pernah tersangka, kamus Marbawi yang pernah dulu berjasa sewaktu sekolah kembali kami selak-selak dan uliti.  Memahami Bahasa Arab kami tidak sesempurna mana, beliau menggunakan Bahasa Arab yang mudah (fushah barangkali) dan malah tetap tenang dan sabar setiap kalinya minta diulang semula oleh kami. Susah ketika itu, adalah suatu nikmat bagi kami yang amat dahagakan ilmu.

Masih saya ingat, beliau seringkali akan menggelarkan dan memanggil saya Balqis Al-fuqaha' kerana tugas saya menyampaikan bab-bab dari kitab Fiqh Syed Sabiq. Padahal, entah apa-apalah yang saya terangkan kepada sahabat-sahabat saya. (Beliau tidak pernah bertanya kami samada apa yang kami terjemahkan itu betul atau tidak. Yakin sungguh beliau dengan kami) Pernah suatu hari di satu ketika, saya tidak memahami beberapa permasalahan dalam kitab tersebut, maka saya bertanya kepada beliau dengan bahasa Arab yang tunggang-langgang dan tersangkut-sangkut. Sambil berkerut kening, beliau meminta saya mengulang baca. Saya akur, lantas membaca lagi. Kemudian beliau minta ulang sekali lagi. Akhirnya beliau meminta kitab tersebut dari saya dan membaca sendiri. Tersenyum. Hah! Rupanya saya salah meletak baris, maka segala makna menjadi salah. Padanlah beliau menjadi keliru dan kurang faham. Kitab tersebut memang tidak berbaris, maka sememangnya ikut sedap selera mulut sayalah membacanya bagaimanakan? Rupanya selama ini, beliau membiarkan saya berceloteh dengan penuh yakin (dan malah memberikan sepenuh perhatian yang tidak berbelah bagi) Barangkali kerana dilihatnya sahabat-sahabat saya beria-ia mengangguk faham, maka beliau membenarkan segala percakapan saya ketika itu. Ha ha. Baik hati sungguhkan, beliau?

Sehingga awal tahun keempat, kami masih menadah kitab bersama beliau. Kadang-kadang dibacakan semuka dua dari buku-buku Allahyarham Fathi Yakan kepada kami, usai kami membentangkan tugasan masing-masing. Kadang-kadang pula sekadar peringatan sebuah dua ayat dari kitab suci Al-Quran. Pun begitu, setiapnya tetap meninggalkan kesan terdalam pada jiwa-jiwa kami. Subhanallah. Betapa banyak nikmat yang Tuhan beri, nikmat menuntut ilmu agama ini yang paling-paling kami hargai. Bersama beliau tidak lama, halaqah terhenti begitu sahaja, kemudian apabila Palestin diserang hebat tentera jet pejuang Zionis laknatullah, beliau kembali berkhidmat di negara tanah tumpahnya dan kemudian, tahu-tahu sahaja beliau sudah berkahwin dengan penduduk tempatan dan mendirikan rumah tangga. Ah, sungguh pantas masa berlalu, sedang dewasa ini, saya dan rakan-rakan jarang bertemu bersua dengan beliau lantaran masing-masing sibuk dihambat urusan dunia yang seperti tidak akan ada akhirnya. Tambah-tambah beliau sedang menyambung pengajian pengkhususan dalam bidang Cardiology.

Kini, beliau terbaring di wad ICU tidak berdaya. Intestinal obstruction. Begitu yang saya dengar. Dan prognosisnya kurang baik. Allah. Lantas apa yang kami mampu lakukan? Beliau yang telah banyak menabur ilmu dan tidak henti-hentinya mengingatkan kami bahawa di mana sahaja kami berada, Islam harus dipegang dan dibawa - kini terlantar sakit tidak bermaya. Tuhan, sungguh pengaturan dan takdir-Mu mengatasi segala. Sungguh kami hamba-hamba-Mu yang lemah lagi tiada berkuasa. Ringankanlah ya Allah, penderitaannya.
Dan sungguh akan kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah; 155)


Photobucket
Menerima cenderahati di hari sambutan sempena graduasinya.

Photobucket
Dua dari kanan: Dr. A'la Muhtasib tersenyum ceria.


5 buah bicara:

assalammualaikum balqis

doa saya mengiring doa balqis...
semoga saudara kita diberi kekuatan dan ketabahan.kita doakan yang terbaik utk beliau di dunia dan akhirat .ameen
 
Subhanallah..Semoga Allah mengganjari beliau dgn syahid,beroleh Jannah.Dan,semoga kita juga mampu tsabat spt beliau.Ukhti balqis, teman2 Sambest dan semua pelajar Muslimat lainnya di Ukraine,berdoalah pada Allah..kelak Allah akan mengirim Bayiran wa Nadziran buat kalian..Insyaallah...
 
Anonymous
Assalamualaikum,

Semoga ukhti, kalian sabar.. semoga dia sembuh/mendapat syahid..
 
Doakan yang terbaik ... dan terbaik hanya DIA yang Maha Tahu ...
 
' Khairunnas anfau' linnas'..
Orang berjasa, sentiasa dikenang.

Doakan untuknya yang terbaik.
 

Post a Comment

Assalamualaikum teman-teman, terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak bicara kamu, sekurang-kurang kalian telah hadir menceriakan hari-hari saya di persimpangan ini. Jazakumullah!!