Alhamdulillah, telah selesai imtihan terakhir di bumi asing, Ukraine ini. Sujud syukur atas segala nikmat-Mu Ya Allah. Atas sebuah perjalanan yang telah Engkau tentukan sejak dari awal sehingga ke hari ini; perjalanan yang ditemani air mata, terkadang gelak tawa, jua keluh kesah, kekecewaan dan kemenangan, perjalanan yang tanpa sedar sedikit-sedikit mendewasakan dan mematangkan seorang insan kecil yang tidak punya apa-apa ini.
Gabungan rasa entah apa hadir menyelubungi. Ada rasa kekosongan yang dingin hening mengisi sudut hati - sunyi - yang terdengar hanya suara alam bertasbih selang-seli sayup-sayup beralun nun di hujung horizon. Alam yang tak pernah luput rasa cintanya kepada Yang Maha Pencipta. Di luar, kasih sayang Tuhan melimpah ruah - titis-titis hujan lebat mencurah - sejuk, menyamankan dan aku, jiwa penuh rasa sepi dan hina-dinanya memeluk erat-erat rahmat Tuhan ini tanpa segan silu lagi. Terima kasih Tuhan, kerana tak pernah membuat aku rasa keseorangan. Biar sedetik pun. Kau sentiasa hadir menemani.
Dan entah bila, tahiyatku bergetar. Perlahan-lahan kotak jiwa dihenyak rasa sebak - terasa hangatnya rindu. Cinta pun hadir semakin membara-bara. Bertuturlah ia menyebut satu nama. Semoga tidak terpadam sehingga akhir hayat. Selamanya cintaku hanya untuk-Mu. Semoga tetaplah aku di jalan-Mu, ya Allah. Cukup satu waktu untuk satu cinta.
Tuhan, kerana Engkau terlalu indah - aku menangis sepuas-puasnya.
*******
"Di sekitar kita ada kawan yang selalu hadir sebagai pahlawan". Edensor.
Dedikasi buat kalian yang bergelar kawan, teman, rafiq dan sahabat di mana jua berada, terima kasih atas sokongan dan doa yang tak pernah putus-putus, dalam nyata mahupun dalam diam sepanjang mengenali diri ini. Untuk kalian teman-temanku, sebahagian kebahagiaan ini ingin kukongsikan - tanpa kalian barangkali kehidupan ini hanyalah jalan tandus tanpa pepohonan rendang yang meredupkan dan tanah gersang tanpa wadi yang menghilangkan dahaga kala kepenatan. Terima kasih kerana sudi hadir menceriakan jalur-jalur hidupku di sepanjang perjalanan ini. Aku pohon, semoga kalian beroleh rahmah dan keberkatan-Nya sepanjang kehidupan kalian. InshaAllah. Kalian, terima kasih, ya! Sungguh!
Saya jarang menulis tentang kembara. Semuanya saya simpan sendiri. Bukan apa, bila sudah pulang, rasa penat, kemudian terus lupa mahu tulis dan catat di sini. Dan, rasa tidak seronok lagi kerana bila simpan lama-lama sudah tidak sesegar saat baru pulang tadi. Tetapi, atas permintaan cikgu aklcitizen dan tiba-tiba saya pun rasa seperti hendak berkongsi keindahan alam yang saya lihat; maka, terimalah!
Suatu hari, tiba-tiba rasa mahu keluar dari Simferopol tempat kami belajar. (Negeri-negeri di Crimea ini hampir semuanya pernah terkena sentuhan pemerintahan empayar Uthmaniah, justeru kalau tidak sedikit pasti banyak tinggalan sejarah yang terkait dengannya) Terus, esok pagi bergerak ke stesen bas, naik bas ke Sudak dan tunggu bas bergerak. Perjalanan memakan masa hampir dua jam. Kami bertiga duduk asing-asing, kerana masing-masing mahu menikmati pemandangan dari tingkap bas. Di sebelah saya duduk seorang wanita dalam lingkungan awal 20-an. Kami main tarik-tarik langsir. Saya mahu melihat pemandangan luar, dia mahu menutup pula kerana cahaya matahari terik tumpah terus ke wajahnya. Perlukah saya rasa kasihan? Kerana saya lebih terkena hangat simbahan mentari tersebut. Akhirnya saya beralah, pasang mp3 dan terlena seketika. Bila terjaga, matahari sudah terlindung di balik awan, saya buka semula langsir dan dia tidak membantah. Ladang gandum yang keperang-perangan terbentang luas. Saya jadi teringat pada sawah padi di kampung – hijau dan nyaman.
Bas tiba di Perhentian Sudak. Angin sejuk menerpa kuat. Lupa bawa pakaian tebal, harap-harap mentari terik di perbukitan nanti. Seorang pak cik pertengahan umur datang memberi perkhidmatan teksi untuk ke Noviy Sviet – 7km dari Sudak - destinasi utama kami. Seorang bayar 20 Grivnia, bermakna 60 Grivnia semuanya untuk tiga orang. Mahal. Terima kasih sahajalah. Tetapi pak cik terus mendesak. Kami meminta kurangkan harga. Dia tidak mahu. Sekian. Rela menunggu bas dalam kesejukan seketika. Bas tiba 30 minit kemudian, dengan tambang hanya 2.50 Grivnia kami dibawa ke Novi Sviet melalui pekan kecil, kemudian masuk kawasan perbukitan. Jalan di sini sempit, tinggi, curam dan berbengkang-bengkok. Seperti menuju Cameron Highland, cuma bezanya pemandangan sekitar tidak diliputi hutan hujan tropika menghijau dan bunyi cengkerik yang bersahutan, tetapi dari atas tebing tinggi ini boleh terus nampak Laut Hitam terbentang luas berkilau-kilau dipanah mentari seperti himpunan mutiara dalam tadahan dua tapak tangan. Wah, hiperbolanya. Oh, oh, destinasi tujuan hampir tiba!
Kami pernah ke sini, tiga tahun dahulu bersama teman-teman yang dahulu belum bersuami dan berkeluarga. Alahai, kenangan. Indah andai masa dapat diputar kembali. Kenapalah tiada orang yang berjaya cipta mesin masa? Baiklah, soalan mengarut. Kehidupan adalah suatu kitaran terus-menerus, “Dia yang menjadikan malam dan siang silih berganti, bagi orang-orang yang ingin mengambil pelajaran atau ingin bersyukur". (3:190)
Kembali seketika ke tiga tahun yang lampau, kami berlapan ketika itu bersama-sama mendaki bukit, menuruni lurah sejauh hampir 3 km sehingga tiba di atas sebuah tanjung yang menganjur ke Laut Hitam. Berhenti rehat, makan perbekalan yang dibawa; nasi putih dan serunding penghabisan stok. Kemudian, sudah tidak tahu hendak ke mana, mengambil keputusan berpatah balik ke tempat asal di mana kami bermula. Penat, tahu! Sayangnya bila dapat tahu, laluan keluar hanya beberapa meter lagi di hadapan dan terlepas pula melalui taman dengan tanaman-tanaman pohon yang aneh. InsyaAllah, ekspedisi kali ini akan kami cari jalan keluar tersebut dan habisi eksplorasi bersama teman-teman tiga tahun dahulu! Wah, hari ini penuh semangat, sepuluh tahun nanti bila terbaca kembali, pasti akan tertawa. Seluruhnya, biarlah gambar yang berbicara;
Kami tidak naik bas ini...
Dari atas laluan tebing: bukit itu bakal kami daki.
Tapak permulaan pendakian.
Peta laluan pendakian.
Sebahagian dari Laut Hitam: pemandangan terindah, subhanallah.
Laluan pendakian yang telah dipermudahkan.
Rasa mahu terjun!
Kadang-kadang ombak berdesir menghempas batuan.
Laluan turun masuk ke dalam gua.
Terus melangkah...
Turun bukit...
Naik bukit...
Pelikkan pokok ini. Rasanya kerana sering ditiup angin sebelah arah sahaja.
Dua sahabat se-ekspedisi; merakam setiap sudut bumi Tuhan dengan lensa kamera.
Tanjung tersebut!
Di atas tanjung: Hai...lah Camar, turun kau ke sini!
Di sini, tiga tahun dahulu; nasi putih dan serunding, ahaks!
Yah, telah kutemui jalan pulang!
Taman dengan pohon aneh; khabarnya ada rusa tetapi tidak kelihatan pun.
Subhanaka Rabbi...
Entah apa namanya pohon ini tetapi rupa seperti pokok dalam kartun Pocahontas
Bagaimana ia bisa tumbuh begitu rupa?
Sakura berkembang mekar...
Inilah jalan keluar tersebut, ahaks!
Wah, wah, wah! Entri ini panjang dengan gambar sahaja. Ya, ampuuunnn!! Apa pun, syukur kepada Tuhan atas nikmat rezeki, kelapangan dan kesihatan. InsyaAllah, andai bisa berkunjung ke sini lagi, tidak akan kulepas peluang tersebut; akan duduk lama-lama, puas-puas tadabbur alam Tuhan. Ekspedisi kali ini agak terkejar-terkejar kerana mahu pulang cepat, takut tertinggal bas yang sudah ditempah tiketnya. Teman, sungguh kenangan itu indah.
Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah). (Ibrahim: 34)
Hari ini rasa nak menulis sangat walaupun tiada isi pokok dan persoalan yang boleh sengaja dibuat untuk dijadikan sebuah entri mantap lagi terkesan. Tahu buku belum buka dan baca lagi tetapi kadang-kadang kena ikut fatwa hati – kalau hati kata tak mahu baca buku sekarang, kenalah ikut. Kan? Er, boleh pakaikah pendapat itu. Terpulang. Tetapi hari ini mahu tulis guna bahasa biasa-biasa, tak mahu guna perbendaharaan kata yang pelik-pelik. Apa pun tetap akan menggunakan bahasa Melayu yang indah ini dengan baik. Sayang. Dengan bahasa sendiri.
Hari ini memang rasa penat sangat-sangat. Entah. Bukan kena pergi keluar cari kayu api atau melombong bijih timah. Pergi sekolah pun naik bas, bukan jalan kaki. Iyalah, siapa yang berjalan kaki ke Hospital Lugovae, sejauh dua kilometer itukan? Tapi penat itu bagus, maknanya kita buat kerja dan tak duduk sahaja. Maknanya kita bergerak dan tidak membuang masa. Tetapi kalau berdiri selama lima jam dalam bilik pembedahan dan sekadar tengok operasi pembuangan rahim antara nampak tidak nampak kerana ruang terhad dan terpaksa bergilir-gilir tukar tempat, agak-agak membuang masa tidak? Entah. Bergantung niat. Bila perut dah bermain-main gendang tali kecapi, oksigen yang dikongsi seramai sebelas orang dalam bilik pembedahan pun tiba-tiba rasa kurang, waktu itu memang menguji betul-betul kesabaran. Berdiri. Bukan duduk. Kepala sudah pusing-pusing. Tak ada apa yang boleh dibuat melainkan ketabahan jua yang sering berbisik, “nak jadi doktor yang bagus tidak?” Baik. Maka terus berdiri. Dengan rasa kagum tidak pasal-pasal kepada pakar yang berusaha sedaya upaya mengeluarkan rahim yang sudah membesar disebabkan ketumbuhan. Lagilah duduk tidak boleh bergerak-gerak, satu posisi sahaja lebih dari enam tujuh jam. Boleh jadi macam dia orang? Heh.
Disebabkan penderaan fizikal tersebut seperti menyerang mental, juga ditambah belum sebutir benda yang dipanggil makanan pun masuk ke perut ala-ala tersiksa seperti tahanan Guantanamo jualah miripnya, maka tidak boleh tidak terpaksa meninggalkan bilik pembedahan tanpa pengetahuan pakar. Namun perjuangan membuang rahim tersebut tetap perlu diteruskan – oleh mereka-mereka yang tinggal. Selamat berjaya daku ucapkan. Pulang ke kelas, solat dan entah bila kepala telah elok didakap erat kedua tangan, terletak kemas di atas meja lambang tidak kecukupan mendapat lena malam semalam. Tidak lama pun anugerah istirehat itu, hanya dalam kiraan sepicing sahaja kerana pejuang-pejuang ketabahan tadi telah juga pulang dari bilik pembedahan dan mengajak lari pulang. Oh, terbaiklah. Bukan lari, memang sudah habis waktu kelas pun. Jadi, apa terjadi dengan pembedahan tadi? Esok akan pergi bertanya. InsyaAllah.
Kebetulan pulang melalui gelanggang bola kerajang. Cuaca pun suam-suam kuku. Memang terbaik untuk melancarkan perjalanan darah dengan beberapa lontaran bola ke dalam keranjang. Oh, bukanlah pemain terhebat pun. Amatur jauh sekali. Tetapi cukup puas kalau dapat merebut bola dan mengkeranjangkan satu gol. Kemudian hirup udara Tuhan puas-puas biar kembang semua alveoli dalam paru-paru yang kalau dibuka boleh mencapai keluasan sebesar gelanggang badminton. Subhanallah. Tidak percaya? Ya, terpulang.
Memang dasar angan-angan selalunya tidak akan sampai menjadi kenyataan. Ya, kalau tidak berusaha merealisasikannya. Pun begitu, semua awan-awan tentang bola keranjang tadi terhapus begitu sahaja setelah sampai ke bilik. Oh, penat lebih menguasai. Terfikir bagaimana penakluk-penakluk agung dunia dan pejuang-pejuang pembebasan boleh menguasai sesebuah negara dan melawan penjajah kalau asyik fikirkan penat dan letih. Heh. Tentu buku sejarah hari ini nipis-nipis sahaja kerana siapa yang mahu tulis tentang orang-orang yang pemalas? Kan, kan, kan?
Hari ini kena memasak. Masak satu lauk sahaja. Memang selalu masak selauk dua sahaja kerana bukan banyak mulut pun mahu beri makan. Mulut saya dan mulut teman sebilik. Oh, tidak boleh terus begini setelah bekeluarga ya, Balqis. Sepanjang-panjang berkecimpung dalam dunia masakan, memang tidak pernah rasa masakan sendiri sedap pun kerana kalau sedap sudah lama dibuat jualan. Heh. Agak-agak cukup rasa serba serbi dan bisa mengenyangkan – bersyukur, Alhamdulillah. Lagi berpuas hati bila melihat teman sebilik berselera makan sampai tambah-tambah. Hah, itulah nikmat memberi orang makan. Bahagia. Teringat pesanan isteri duta sewaktu menziarahi kediaman beliau di Kiev, “ Kalau rasa-rasa masakan tu kurang sedap, mesti masak tak ikhlas dan terpaksa. First rule dalam memasak sebelum potong-potong bahan, kena ikhlas dan yakin." Huh, betul, betul, betul!
Benarlah kata orang, kalau kita benar-benar mahu buat sesuatu, InsyaAllah hasilnya tidak akan menghampakan. Contoh paling mudah, entri ini. Panjang tidak? Panjangkan? Sebab saya sangat-sangat ingin menulis walaupun dalam bacaan tarikh lahir saya (eh, bukan ramalan tukang tilik ya!) tidak punya kebolehan menulis seperti J.K. Rowling yang menjadi jutawan hanya dengan pen dan kertas. Pun begitu, kata orang yang membaca tarikh lahir saya, saya suka berkongsi – hah, tulisan ini; bebelankah atau perkongsian? Sekali lagi, terpulang.
Eh, dah panjangkan? Harus berhentikan? Wajib berhenti. Sebelum itu, rasa-rasa (rasa lagi) ingin bercakap sedikit tentang pengorbanan walaupun raya korban telah lama berlalu. Pengorbanan itu tak ada waktu khasnya, manusia paling mulia adalah yang sanggup mengorbankan diri sendiri demi sahabat-sahabat tercinta walau hajat dan impian sendiri tidak tercapaikan. Ah, kata-kata klise ini. Mana ada pengorbanan yang dibuat dapat merealisasikan impian sendiri – sering, pengorbanan dibuat adalah untuk melihat orang lain gembira. Seperti pengorbanan ibu kepada anaknya. Itu, namanya pengorbanan sejati tiada tolok bandingnya. Tetapi kalau mengorbankan diri sendiri tidak menyelesaikan masalah, malah menambah harukan keadaan, dan tidak sedikit pun membuat orang lain gembira, adakah pengorbanan itu berjaya? Tidak sama sekali. Justeru tidak perlu berkorban. Percaya, Tuhan selalu punya rahsia.
Baiklah. Ceritera ini kalau disambung, sungguh tidak berpenghujung. Saat ini, sepatutnya ada yang perlu lebih diutamakan – belajar. Menulis ini sekadar lari sebentar dari kerunsingan. Semoga ada jalan keluar bagi tiap-tiap yang mencari. Dan teman, mencari keutamaan itu adalah mahkota untuk hidup bahagia.
Sesungguhnya, mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan baik. (Al-Anbiya:90)
Menutup entri ini dengan kata-kata penuh inspirasi yang sempat kukutip dari blog demoiselle (Liyana, apa itu demoiselle?) - benarlah satu kata-kata, laut yang paling luas adalah hati yang tenang. Hati yang tenang adalah apabila menjadikan Allah tempat bergantung harap. Terbaikkan? Terbaiklah!
Saya tahu setiap yang hidup pasti dan pasti akan meninggalkan dunia yang fana ini, tetapi...
Seperti apa berita itu bila sampai kepada saya? Kehilangan kata-kata. Rasa tersentap atas ketidakupayaan saya menerima hakikat pemergiannya. Seakan baru semalam rasanya dia mendengar dan membetuli bacaan saya. Dan kemudian dengan tenang sambil tersenyum meminta saya mengulang baca kerana telah saya lompongkan beberapa ayat dengan tidak sengaja atas kegagalan mengingat dengan sempurna. Tuhan, saya pohon ketenangan atas pemergiannya. Tempatkanlah dia di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Tuhan, dia orang baik-baik - betapa banyak jasa dan ilmu tertebar atas usahanya. Cucurilah rahmat ke atas rohnya, Ya Allah. Allahumma firglahu warhamhu wa afihi wa afwanhu.
Subuh tadi teman sebilik saya mengkhabarkan bekas murabbi kami (ah, selamanya pun akan sentiasa menjadi murabbi kami) dimasukkan ke wad ICU dan telah menjalani empat kali pembedahan. Allahuakbar. Betapa berita itu benar-benar merisaukan dan malah setelah membaca di blog Ustaz Afifi, risau itu bertukar menjadi debar yang menjalar sementelah yang tinggal hanya berharap dan berdoa semoga, ya semoga beliau segera kembali sembuh. InsyaAllah.
Ustaz Alauddin Muhtasib. Lelaki Palestin dengan susuk tubuh yang sederhana kecil itu pertama kali kami kenali sebagai guru yang mengajari bahasa Arab kepada kami. Kelas yang diadakan seminggu sekali khas untuk para muslimat Melayu yang menuntut di CSMU itu kami gunakan sebaiknya untuk mempelajari dan mendalami Bahasa Al-Quran. Alhamdulillah, terlempar jauh di bumi asing pun, Allah masih merezekikan kami bertemu dengan beliau dan mengutip secebis ilmu dari selautan ilmu-Nya. Subhanallah.
Wajahnya sentiasa mengukir senyuman tatkala berselisih di pertengahan jalan. Salam tidak pernah lupa diberi dahulu dan kemudian akan malu-malu berlalu pergi. Beliau yang mesra dengan panggilan ustaz A'la di kalangan pelajar Malaysia akan hadir mengisi kelas agama setiap Jumaat (antara tahun 2005-2007). Masih kami ingat, beliau yang ketika itu juga masih lagi bergelar seorang penuntut seperti kami tidak pernah berkira berbagi masa demi menyampaikan dan berkongsi sebuah dua peringatan setiap akan tibanya hujung minggu. Tentunya sebagai pelajar, beliau juga sibuk berhempas pulas dengan kelas dan kuliah, namun tiada di wajahnya mempamerkan kepayahan dan kesibukan; yang tetap akan hadir adalah kebahagiaan memberi dan senyuman yang sentiasa akan terukir. Dan kami, memahami semuanya itu, akan cuba menghadirkan diri menadah ilmu Tuhan yang disampaikan beliau. Madah Akhlak dan Sirah Nabawi menjadi pilihan.
Kemudian hari-hari berlalu dan beliau terus dengan rutinnya menyampaikan dan memberi samada dalam kelas Bahasa Arab, mahupun dalam kelas agama setiap Jumaat. Di tahun kedua saya dan beberapa orang rakan diperkenalkan dengan Dr. Abdul Wahid dari Jordan. Kata Ustaz A'la, manfaatkan dan kutip sebanyak mana ilmu dari beliau. Kebetulan ketika itu Dr. Wahid berada dalam tahun akhir pengajiannya, dan akan kembali pulang berkhidmat di Jordan, maka kami tidak berkesempatan lama menadah kitab dengan beliau. Setahun itu, kami gunakan sebaik mungkin; Akhlak, Sirah Nabi, Fiqh, Tafsir dan Hadith. Setelah itu, Dr. Khalil Hijazi presiden AHRAR ketika itu hadir menggantikan kerana Dr. Wahid harus menumpukan perhatian untuk peperiksaan akhir tahun enamnya. Tuhan, syukur kami tidak berpenghujung tika itu, Kau berkahi kami dengan kehadiran orang-orang soleh ini. Alhamdulillah.
Barangkali, doa guru-guru sewaktu ketikanya kami akan berangkat ke Ukraine dimakbulkan Tuhan. Bahawa tidak sekali-kali kami meninggalkan ilmu yang mengingatkan kami kepada akhirat. Cari dan teruslah mencari selagi adanya nafas berhembus. Ketika kami di tahun ketiga, penerusan itu kemudian diambil alih oleh Ustaz A'la sendiri. Allahuakbar. Kali ini, bahasa perantaraannya adalah bahasa Arab. Kalau dahulu dengan Dr Wahid, kami bisa berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris ala kadarnya, kemudian bersama Dr. Khalil, biarpun beliau menggunakan Bahasa Arab, namun kami hanya perlu mendengar dan mencatat. Terkadang dibantu terjemahannya oleh kakak-kakak senior. Kali ini, harus kami bertatih memahami apatah lagi perlu menyampaikan tugasan yang diberikan dalam bahasa Arab. Siapa pernah tersangka, kamus Marbawi yang pernah dulu berjasa sewaktu sekolah kembali kami selak-selak dan uliti. Memahami Bahasa Arab kami tidak sesempurna mana, beliau menggunakan Bahasa Arab yang mudah (fushah barangkali) dan malah tetap tenang dan sabar setiap kalinya minta diulang semula oleh kami. Susah ketika itu, adalah suatu nikmat bagi kami yang amat dahagakan ilmu.
Masih saya ingat, beliau seringkali akan menggelarkan dan memanggil saya Balqis Al-fuqaha' kerana tugas saya menyampaikan bab-bab dari kitab Fiqh Syed Sabiq. Padahal, entah apa-apalah yang saya terangkan kepada sahabat-sahabat saya. (Beliau tidak pernah bertanya kami samada apa yang kami terjemahkan itu betul atau tidak. Yakin sungguh beliau dengan kami) Pernah suatu hari di satu ketika, saya tidak memahami beberapa permasalahan dalam kitab tersebut, maka saya bertanya kepada beliau dengan bahasa Arab yang tunggang-langgang dan tersangkut-sangkut. Sambil berkerut kening, beliau meminta saya mengulang baca. Saya akur, lantas membaca lagi. Kemudian beliau minta ulang sekali lagi. Akhirnya beliau meminta kitab tersebut dari saya dan membaca sendiri. Tersenyum. Hah! Rupanya saya salah meletak baris, maka segala makna menjadi salah. Padanlah beliau menjadi keliru dan kurang faham. Kitab tersebut memang tidak berbaris, maka sememangnya ikut sedap selera mulut sayalah membacanya bagaimanakan? Rupanya selama ini, beliau membiarkan saya berceloteh dengan penuh yakin (dan malah memberikan sepenuh perhatian yang tidak berbelah bagi) Barangkali kerana dilihatnya sahabat-sahabat saya beria-ia mengangguk faham, maka beliau membenarkan segala percakapan saya ketika itu. Ha ha. Baik hati sungguhkan, beliau?
Sehingga awal tahun keempat, kami masih menadah kitab bersama beliau. Kadang-kadang dibacakan semuka dua dari buku-buku Allahyarham Fathi Yakan kepada kami, usai kami membentangkan tugasan masing-masing. Kadang-kadang pula sekadar peringatan sebuah dua ayat dari kitab suci Al-Quran. Pun begitu, setiapnya tetap meninggalkan kesan terdalam pada jiwa-jiwa kami. Subhanallah. Betapa banyak nikmat yang Tuhan beri, nikmat menuntut ilmu agama ini yang paling-paling kami hargai. Bersama beliau tidak lama, halaqah terhenti begitu sahaja, kemudian apabila Palestin diserang hebat tentera jet pejuang Zionis laknatullah, beliau kembali berkhidmat di negara tanah tumpahnya dan kemudian, tahu-tahu sahaja beliau sudah berkahwin dengan penduduk tempatan dan mendirikan rumah tangga. Ah, sungguh pantas masa berlalu, sedang dewasa ini, saya dan rakan-rakan jarang bertemu bersua dengan beliau lantaran masing-masing sibuk dihambat urusan dunia yang seperti tidak akan ada akhirnya. Tambah-tambah beliau sedang menyambung pengajian pengkhususan dalam bidang Cardiology.
Kini, beliau terbaring di wad ICU tidak berdaya. Intestinal obstruction. Begitu yang saya dengar. Dan prognosisnya kurang baik. Allah. Lantas apa yang kami mampu lakukan? Beliau yang telah banyak menabur ilmu dan tidak henti-hentinya mengingatkan kami bahawa di mana sahaja kami berada, Islam harus dipegang dan dibawa - kini terlantar sakit tidak bermaya. Tuhan, sungguh pengaturan dan takdir-Mu mengatasi segala. Sungguh kami hamba-hamba-Mu yang lemah lagi tiada berkuasa. Ringankanlah ya Allah, penderitaannya.
Dan sungguh akan kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah; 155)
Menerima cenderahati di hari sambutan sempena graduasinya.
Dua dari kanan: Dr. A'la Muhtasib tersenyum ceria.
Bila mula mengemas, maka bermacam-macamlah entiti-entiti asing yang ditemui. Seakan-akan tidak pernah wujud, tetapi rupanya pernah menjadi hak milik kerajaan saya lama dulu. Hak milik yang dipinggirkan. Itulah nota-nota keramat sewaktu di awal-awal tahun pengajian dahulu. Bukan main lagi menimbun tingginya. Andai dijual, boleh jugalah buat beli keropok lekor dan air tebu beberapa bungkus.
Tetapi, mahu jual? Ah, sayang pula. Bukan iseng-iseng menyiapkan segala nota-nota ini semua. Kerja keras jugalah kalau tidak sampai bertimbun-timbun sekarang ini. Habis, mahu dibuang? Oh tidak, tidak. Ilmukan itu. Yang ditulis di atas kertas itu, ilmukan? Lalu bagaimana? Angkat semua dan bawa pulang ke Malaysia? Heh, yang sudah ada ini pun rasanya hampir-hampir mahu buat bagasi pecah di pertengahan jalan nanti. (Sebahagiannya telah pun diturunkan kepada junior-junior, tetapi masih ada sebahagian lagi yang setia mengumpul habuk dan debu)
Nota-nota itu amat berjasa kalian tahu? Temani saya kala diagah cikgu secara mengejut di dalam kelas. Dan tentunya amat-amat membantu kala peperiksaan menjelang tiba. Sekarang kalian tahu di mana ia berada? Aman dan sejahtera mendiami tempat gelap dan kusam di bawah katil saya. Ilmu-ilmu itu semua - di bawah katil saya. Sebab itu saya sayang mahu buang. Kiranya ibarat mencampakkan segala-gala keluar dari zona pengetahuan saya dan serasanya menjadi seperti orang bodoh yang tidak tahu apa-apa. Hilang tempat merujuk dan menyemak (walaupun tidak pernah diselak-selak lagi selepas tamat peperiksaan pada tahun tersebut) Nampak sangatlah ilmu itu bukan di dalam dada apatah lagi tersemat kemas di kepala. Aisee...
Teringat kisah Imam Al-Ghazali dan sang perompak saat kafilahnya diserang di tengah perjalanan pulang ke kampung halaman. Apabila tiba giliran Imam Ghazali, lalu ia berkata, "Kamu boleh ambil apa sahaja yg kamu mahu, tetapi jangan ambil beg ini." Para perompak mengesyaki sesuatu yang berharga di dalamnya lalu merampas beg tersebut dan menyelongkarnya. Apa yang mereka dapati hanyalah helaian kertas yang tidak berharga dan merasakan diri mereka telah ditipu. "Apakah ini dikatakan barang berharga bagimu, apa yang akan kamu lakukan dengan kertas buruk ini?" Soal ketua perompak. "Ini adalah hasil aku belajar bertahun-tahun selama ini, semua catitan ini aku ambil dari guruku. Jika kamu rampas nota-nota ini, maka hilanglah ilmu yang aku pelajari selama ini." Jawab Imam Ghazali. "Jika begitu kamu adalah orang yang paling bodoh, catitan yang kamu tulis itu bukanlah ilmu jika kamu tidak memahami, mengingati serta menghafalnya. Bayangkan sekiranya aku merampas nota-nota ini, bagaimana keadaanmu? Ini bererti ilmumu dapat dicuri." Balas ketua perompak. Imam Ghazali terpegun mendengarkan hujah yang tepat dari seorang ketua perompak. Mulai dari saat inilah Imam Ghazali menghafal kembali segala ilmu-ilmunya dan dimasukkan ke dalam ingatannya. Selepas ini tiada siapa lagi yang boleh mencuri ilmunya.
Lalu saya cuba membayangkan andai suatu hari bilik saya dimasuki pencuri dan pencuri itu menyangkakan beg-beg plastik yang penuh di bawah katil adalah harta saya paling berharga. Atau pencuri-pencuri itu memang hanya mahukan nota-nota sahaja (uiks, ada ka?) Betapa banyaknya ilmu saya yang hilang!!
Fuh! Hasilan bertahun-tahun itu lenyap begitu sahaja. Di manakah relevannya kewujudan nota-nota itu sebelum ini andai akhir hayatnya hanya akan dibakul sampahkan?
Barangkali ini bukan masalah besar bagi kalian.
Lalu, harus diapa-apakan nota-nota di bawah katil itu?
Dengarlah kata-kata ketua perompak itu. Dengar dan fahamilah.
Pi kemaih baghanglah chek oi, hang tak mau balik, ka?
Hari graduasi teman-teman senior
Dataran Lenin
26 Jun 2009
Barisan graduan berdiri menyanyikan Student Anthem: Pertama kali saya dengar
Suasana ketika majlis bergambar: Graduan bersama para keluarga
Separuh daripada para graduan bergambar di Dataran Lenin: Ramai sungguh!
Sebahagian teman-teman senior yang bakal pergi meninggalkan kami; tahniah, kak!
Gementar melihat satu demi satu graduan mengambil ijazah di pentas. Entah bagaimana agaknya perasaan mereka yang bakal pulang dan membawa gelaran doktor. Tebak hati sendiri, memang tidak bersedia. Sungguh! Ia satu tugas dan amanah yang berat amat. Terpikul atau tidak, jalan ini telah dipilih. Moga-moga terus-terusan dikuatkan Tuhan hingga ke akhir, InsyaAllah!
"Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." maksud surah al-Baqarah: ayat 286.
Disclaimer: Credit to Siti Nur Atiqah Ahmad Maliki for the superb shoot!
Berusaha! Pasti boleh! Gambatte! Update status Facebook seperti mahu pergi berperang. Sibuk minta satu dunia tolong mendoakan. Blog juga tidak kurang mendapat tempias. Ya, semangat itu perlu, kata-kata dorongan itu tambah menguatkan keyakinan bahawa tidak mustahil untuk berjaya. Tidak mustahil - kalau berusaha dan bertawakal. =)
Semasa
Tongkang pecah
Buku-buku adalah teman paling setia. Pen dan highlighter berganti-ganti. Nota-nota bertaburan, entah terkoyak dari bukukah atau tercicir dari kelipan fail-fail. Meja belajar tidak lagi kelihatan bentuk asalnya. Bilik tercantik? Jemputlah datang waktu peperiksaan. Confirm kena reject dek bakal ibu mertua!
Diet paling berkesan
Memasak tidak menentu waktu. Apatah lagi mahu makan! Ada mee segera itu pun sudah cukup besar rahmat. Loss of weight barangkali boleh jadi antara manifestasi klinikal selepas habis peperiksaan. Heh! Syahid atau mujahid
Ini bukan lagi suatu persoalan. Kedua-duanya adalah satu keperluan. Tidak cukup tidur, kepala tambah berat. Jantung mengepam dengan sangat laju. Demi Tuhan, waktu itu aku memilih syahid dari mujahid. Terlena tika pedang (baca: pena) di tangan membuat garisan yang hampir menyerupai garisnya prima meridian yang merentasi Greenwich di London atas kertas nota. Sungguh! Waktu terjaga, bagaikan kembali ke medan juang. (Sempat pula update status di Facebook: Kawan-kawan, tolong doakan saya exam esok!)
Tokong hidup
Sebulan muka tidak pernah dilihat di mana-mana kecuali di bilik peperiksaan dan sekali-sekala di kedai makan. Bilik adalah gua pertapaan paling agung. Yang di meja dan kerusi, statiknya tidak bergerak-gerak kecuali kepala kadang-kadang terangguk-angguk dan mata terpejam rapat; menghafal! Yang bersila di katil pula bagaikan sedang meditasi merenung jauh masa hadapan, barangkali sedang mengingat dos-dos ubat sebelum kemudiannya mata terpejam rapat dan... terlelap.
Wasatiah (kurang belanja) dan zuhud
Huh! Alhamdulillah.
Selepas
Tiada kata terucap. Diam membisu sambil berjalan dengan langkah paling ringan pernah dirasakan selama menumpang hidup di bumi Tuhan yang sementara ini. Entahkan ulasan (baca: bebelan) apa dibuat oleh rakan-rakan tentang pengalaman-pengalaman berperang mulut (baca: ujian lisan) dengan guru, menjadi antara dengar dan tidak. Sekali-sekala cuma mencelah. Cuping telinga hanya menangkap bunyi hembusan bayu dan kicauan beburung. Damai. Bahagia.
Alhamdulillah. Selesai ujian dunia.
Ujian kecil dan tidak setara pun dengan ujian maha besar yang Esa.
Ujian hidup dan kehidupan.
Natijah dan balasannya yang disimpan di sana. Akhirat, negara yang kekal abadi.
Moga-moga dimudahkan jalan sebagaimana dimudahkan peperiksaanku di dunia.
Ameen ya Rabbal A'lameen.
“Apakah kalian mengira bahwa kalian akan masuk ke dalam syurga, padahal belum datang kepada kalian (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kalian? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam goncangan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang bersamanya : Bilakah datang pertolongan Allah? Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah amatlah dekat.” (QS. Al Baqarah : 214)
Tertarik melihat keronsang kecil yang dipakai pada tudung saya, mak cik perpustakaan minta saya belikan satu dua untuknya. Warna merah hati, pesannya lagi. Di Ukraine tiada yang kecil-kecil begini. Besar-besar dan mahal-mahal pula. Saya tersenyum dan mengangguk setuju. Saya pun sudah lama tidak singgah Mydin Wholesale Emporium.
DUA
Saya lihat jam. Masa bergerak sangat lambat. Adakah kerana saya selalu melihat jam atau muka surat yang sedang saya baca ini masih yang sama seperti 30 minit yang lalu?
TIGA
Melihatkan rakan saya Sarah sedang sedap menikmati waffle buah-buahan, saya lantas bergegas keluar pergi mendapatkan satu. Di depan kedai, saya menanti kakak waffle siapkan untuk saya. Lama juga - 15 minit dan cuaca sangat panas. Saya ingat mahu cadangkan kepada kakak waffle supaya pasang awning di hadapan kedai, biar teduh sedikit dan orang yang menanti tidak terseksa. Kalau kakak waffle pernah main Diner Dash tentu dia faham perasaan pelanggan. Tetapi tidak apalah, inikan kedai kakak, bukan kedai saya.
Sementara menanti, saya melihat sekeliling. Ada tukang kedai sedang pasang papan tanda kedai yang baru. Banyak orang berjual beli dan lalu-lalang seperti tidak akan ada lagi hari esok untuk mereka. Di hadapan saya, seorang nenek tua sedang duduk menjual rokok dan kuaci. Sedikit sahaja barang jualannya tertebar atas satu meja kecil. Duduk di bawah panas terik bahang mentari. Kasihan. Kemudian datang seorang lelaki meminta rokok sebatang dua sambil marah-marah memaksa minta cepat. Selepas dapat terus berlalu pergi. Entah bayar, entah tidak. Nenek ambil sehelai dua wang kertas dan kira-kira dengan wajah sugul dan sayu sambil mulutnya terkumat kamit antara dengar dan tidak. Barangkali mencatur nasib pada nilaian wang saku atau sedang mengadu pada Tuhan akan payahnya kehidupan.
Tiba-tiba nenek memandang saya dan tersenyum. Aduh! Luluh lantak hati saya. Wajahnya tidak ubah seperti arwah opah. Andai tiada yang melihat, mahu sahaja tumpah air mata ini. Kasihan. Sungguh kasihan. Hati saya tidak mampu menerima adanya orang tua susah melarat begini. Mujur nenek ini masih tabah mencari rezeki halal berbumbungkan langit Tuhan yang kian terik panasnya itu. Ada yang lebih susah, hanya menadah tangan atau cawan plastik minta dipenuhkan (saya tidak mahu fikir tentang konspirasi pengemis atau apa – yang penting mereka memang susah dan sudah tua pula!)
Umur-umur tua begitu, tempatnya di rumah. Dimanjakan anak dan cucu. Bukan mengendong guni, menyeret plastik sampah, menarik troli berat atau menyelongkar tong sampah mencari sisa-sisa makanan buat mengalas perut untuk satu hari. Manalah perginya anak-anak mereka yang suatu waktu dahulu pernah dijaga dan ditatang bagai minyak yang penuh? Dari tahun pertama saya melihat kesusahan dan kesengsaraan ini dan saya tidak mampu buat apa-apa. Hanya menangis dalam hati. Di mana silapnya? Sistem kapitalis yang diamalkankah atau sikap manusia yang tiada beragama di sini? Saya tidak tahu.
Kakak waffle menghulurkan waffle buah-buahan bersama baki wang sambil tersenyum lantaran betapa murahnya rezeki Tuhan kurniakan kepadanya hari itu. Rezeki saya juga. Rezeki nenek tua itu juga. Saya berlalu pergi dan berdoa dalam hati moga-moga Tuhan senangkan hati nenek hari ini. Biarlah dengan hanya sesuap roti pun.
EMPAT
Waffle buah-buahan itu memang sedap! Sedikit mahal tetapi berbaloi – ada pisang, strawberry, kiwi dan nanas. Sedaplah!
Ia bukanlah usrah terakhir di abad ini. Bukan. Usrah tidak akan pernah berhenti. Ia adalah usrah terkahir kami berenam yang sedikit masa lagi akan tinggal bertiga. Betapa-tapalah pilunya mengenangkan kehilangan mereka. Ya, Kak Nurul Maya, Kak Solhaa dan Kak Yanti akan tamat pengajian mereka Julai nanti. Tamat dan pulang pergi meninggalkan kami adik-adik usrah yang pasti akan merindukan celoteh, buah fikiran, serta nasihat-nasihat mereka yang baik dan bernas. Oh, kami tidak akan lupakan semua itu.
Demi sebuah keakraban yang terjalin lewat berusrah selama dua tahun, kami meraikan mereka bertiga makan di Divan, restoran Tartar di sini. Maka riuhlah kami bertukar cerita, mendengar celoteh mereka buat kali terkahirnya. Tuhan Maha Penyayang – menemukan kami semua dalam lingkungan ukhwah yang tidak bertepi nikmat bersahabat dan berkasih sayang – moga-moga Dia tetap memelihara ikatan ini sampai bila-bila, biar sampai mati pun!
Yang diraikan: Kak Solhaa, kak Yanti dan Kak Maya
Tavuk Kebab: Nasi putih, ayam panggang, bawang putih, sos dan lavash
Et Kzarmasi: Juadah tengah hari saya; nasi putih, ayam dan salad
Pemanis mulut: Baklava dan teh sedang dituang Kak Shibrah ke dalam mangkuk
Kad tahniah: Congratulations!!
Kad: Penuh kata-kata tahniah dari kami
Makan: Kak Shibrah dan Kak Nabihah
Kami yang tinggal – Kak Nabihah yang penyabar, Kak Shibrah yang comel, dan saya yang paling nakal dan degil – pasti akan merindukan mereka bertiga! Pasti!
Demi Tuhan, doa-doa dari kami akan tetap sentiasa mengiringi kepulangan mereka dengan kejayaan yang tidak putus-putusnya. Moga menjadi doktor-doktor yang baik-baik, yang solehah, yang berjasa untuk agama, bangsa dan negara, ya akak-akak!
Oh, paling penting – jangan lupakan kami di sini, ya!
Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.