Assalamualaikum....
Saya rasa kamu mesti sedang berfikir tentang siapakah Betsy yang bijak itu? Betsy adalah seekor anjing jenis 'border collie' yang terkenal kerana tahu, kenal dan ingat hampir 300 prosa kata serta memahami setiap arahan tuannya. Kamu hanya perlu menunjukkan gambar kepadanya dan dia akan pergi berlari mencari barang seperti dalam gambar yang kamu tunjukkan kepadanya. Amat terkejut sekali, dalam masa kurang dari beberapa minit, barang itu berada di mulutnya. Selain itu dia mampu mengingat perkataan baru yang kamu ajarkan kepadanya dalam beberapa minit sahaja. Dia akan ingat sampai bila-bila! Hebatkan? Hebat lagi Penciptanya, Subhanallah. Saya terbaca ini dalam majalah National Geographic keluaran March 2008 yang mengangkat tema ' Inside Animal Minds' sebagai fokus utama bulan itu. Betsy tiada kaitan dengan artikel (kalau ini boleh dipanggil sebagai artikel) saya kali ini. Tapi kerana Betsy, seekor anjing itu boleh belajar dengan cepat, saya yang bergelar khlalifah di muka bumi Allah ini rasa agak tercabar dan tergugat. Apa tidaknya, sehari-harian membuat persediaan menghafal kandungan ubat pun masih kelupaan bila disoal guru ketika peperiksaan. Aduhai....
Dan kamu tahu bukan yang saya lebih bijak dari Betsy yang bijak itu…
Alhamdulillah, akhirnya jari jemari saya menari juga di papan kekunci ini. Sekadar berlegar-legar di blog orang membuatkan saya tertanya, kenapa saya tidak menulis lagi atau mungkin sekurang-kurangnya 'copy and paste'? Saya malas. Ya, saya memang rasa malas untuk menulis walaupun saya ingin sangat menulis. Saya salahkan diri saya walaupun yang sebenarnya saya perlu pergi ke cyber cafe untuk membaca email dan berita terkini tentang apa-apa sahaja kejadian yang berlaku di seluruh dunia kerana komputer riba saya tiada talian internet. Oh, jangan kesiankan saya kerana memang salah saya tidak memerah otak untuk menulis walaupun idea datang berlonggok-longgok bagaikan jualan murah di musim-musim cuti sekolah. Sesekali saya menyesal juga kerana tidak masukkan talian internet ke dalam komputer riba saya awal semester dulu. Salah sayakan, kerana sewaktu idea datang menjengah pun, saya tidak conteng, coret atau tulis dalam kertas dan buku yang ada, hanya tersenyum dan berjanji bahawa esok saya akan menulis tentang ilham saya yang datang mencurah-curah itu. Dan segala isi, cerita, sajak atau puisi yang saya fikirkan semalam hilang begitu sahaja keesokkan harinya. Sayang! Sayang betul!
Kamu tahu tak, betapa saya memang suka menulis apa sahaja bentuk karya kecuali pantun dua kerat, empat kerat, enam kerat dan lapan kerat, seloka serta gurindam? Ini bukan tentang saya atau tulisan saya yang memang tidak pernah siap dan lengkap itu, tetapi ini tentang sikap, 'attitude' yang ada dalam diri saya. Saya benci sikap malas ini dan bermalas-malasan menyebabkan saya tiada motivasi, langsung melakukan aktiviti yang lagi membuang masa saya yang amat, amat berharga itu.
Saya cemburu apabila sekali-sekala membuka kotak masuk akaun e-mail (meminjam kata-kata dari saudari Rebecca Ilham, antara penulis di GKLN yang amat saya segani) saya yang telah mencapai angka ratus-ratusan itu (saya sangat jarang membuka akaun email saya, membacanya apatah lagi) dan dipenuhi oleh puisi-puisi dari rakan-rakan GKLN yang mana saya kira sangat berbakat dan dinamik itu. Sungguh, saya sangat teruja membaca hasil karya mereka yang hebat, dan saya fikir saya mampu lakukan seperti mereka, menulis, menghantar dan tersiar di mana-mana karya cetak yang ada. Tapi saya selalu hangat-hangat tahi ayam sahaja, sudah siap hanya beberapa perenggan dan kemudian saya akan tinggalkan sahaja tanpa langsung menyentuh, menyemak atau meng'edit' kembali. Saya malas. Dan kerana sikap malas saya itu, saya tidak ke mana-mana.
Saya tidak mahu bercakap tentang menulis lagi. Selagi saya tidak menghasilkan karya yang baik, atau sekurang-kurangnya boleh diterima, saya tidak akan bercakap mengenainya lagi. Saya perlu banyak membaca dan menganalisa hasil karya orang lain. Saya kurang prosa kata serta maklumat yang baik. Selama setahun komputer riba saya tidak direntasi jalur internet, selama itu saya menjadi orang yang tidak tahu dan tidak ambil tahu tentang persekitaran dunia luar. Dan saya tidak mahu menjadi orang yang 'tahu tapi tidak tahu'. Sungguh, saya tidak berjanji tetapi saya berazam, saya cuba! Setidak-tidaknya saya boleh menulis dan Betsy tidak!
Sekali ini, saya puas kerana dapat menulis!
BalQis,
Rechnaya Street,
Simferopol,
Ukraine.