Wafeya

Life is a serious matter.

Sunday, May 22, 2011

Jonah

(Dalam ruang lingkup seorang houseman junior)

Memang mengerikan. Dari mana asalnya perkataan 'jonah' ini? Pertama kali mendengar, sungguh ia bunyi yang tidak menyelerakan di ruang halwa telinga sesiapa pun. Siapakah jonah? Atau setepatnya apakah itu jonah? Apa pun ia, jonah bagai sumpahan tujuh keturunan ke atas diri mana-mana pengamal perubatan yang sedang membuat tugas atas panggilan. Perkataan ini sungguh puaka, jangan disebut-sebut ketika kau sedang oncall. Bala! Bala!

Bayangkan dirimu menjadi pembawa sial. Begitulah lebih kurangnya menjadi jonah. Cuma, kesialan itu dipandang dalam keadaan yang lebih terhormat. Lebih profesional. Namun, tetap juga sial. Heh.

Jonah merupakan istilah dalam komuniti masyarakat perubatan di Malaysia yang sering ditujukan kepada orang yang mengundang banyak pesakit atau banyak penyakit ketika dia sedang menjalankan tugas atas panggilannya. Sungguh sial bukan maksudnya? Sungguh mengerikan.

Biar kuringkaskan sahaja jonah ini kepadamu; kiranya sewaktu kau oncall, tiba-tiba;

1) Banyak kemalangan jalan raya terjadi
2) Pesakit darah tinggi, semakin tinggi darahnya
3) Pesakit kencing manis, semakin tinggi kadar gulanya
4) Pesakit jantung, semakin gagal jantungnya berfungsi dengan baik
5) Banyak kejadian rompakan, serangan gangster, samseng, pukul-pukul orang
6) Banyak kecederaan domestik; terjatuh kerana lantai licin, pitam dsb
7) Banyak kecederaan industri; tercantas tangan ketika sedang berkebun, terpotong jari ketika sedang kendali mesin, dihempap mesin pengangkut barang dari belakang...
8) Kanak-kanak pula memilih untuk terjatuh ketika bermain di waktu kau oncall
9) Banyaknya referrals yang bukan-bukan dari hospital-hospital lain, atas alasan yang kadang-kadang kau rasa hospital itu tidak sepatutnya dibangunkan langsung (seperti tiada fungsi)
10) Lebih ringkasnya lagi - pesakit apa pun; tiba-tiba penyakitnya menjadi teruk dan harus dibawa ke hospital berjumpa doktor (dan kaulah doktor yang sedang oncall ketika itu)

Cukup sepuluh. Tidak mahu menambah kengerian itu menjadi berganda. Itu barulah sebahagian dari sumpahan 'jonah'. Sumpahan jonah boleh juga datang dalam bentuk yang lain seperti; datang dari wad di bawah tanggungjawabmu -

Kisahnya, saat itu tiba-tiba pesakit di katil 15 tidak cukup nafasnya, kandungan oksigen turun secara mendadak kerana paru-parunya memilih untuk tidak berfungsi dengan baik ketika kau oncall. Di saat yang sama juga, jururawat memaklumkan tekanan darah pesakit di katil no 6 turun mengejut (mengejut dan mendadak adalah dua kawan baikmu ketika oncall) walau setelah 5 bacaan diambil (yang kau suruh jururawat itu ulangi sementara kau menganalisa keadaan pesakit di katil 15 tadi).

Pesakit di katil no 6? Bukankah dia sudah boleh pulang? Kau tidak sempat memikirkan semua itu kerana ketika itu, bacaan oksigen pesakit katil 15 turun lagi, kali ini tidak naik-naik walau telah kau naikkan skala ukuran tiub topeng oksigennya kepada tingkat tertinggi. Membaca keadaan, kau tahu pesakit ini tidak akan lama. Baru hendak mengangkat telefon untuk memakumkannya kepada bossmu (ia harus dilakukan dalam keadaan tercepat dan terpantas seperti ada bom masa yang akan meletup kalau kau lambat sedetik) jururawat yang tadi dengan baik hatinya memberitahu, (IV) intravenous line untuk katil 6 baru sahaja dicabut petang tadi kerana, dia kan boleh pulang? Bagaimana sekarang mahu memberi intravenous fluid untuk menstabilkan tekanan darahnya, sementara kau berjuang melawan takdir (memang selalunya kau akan merasa seperti melawan takdir) untuk memastikan pesakit katil 15 dapat kembali bernafas seperti normal? Klimaks kepada kisah ini, jururawat yang bekerja shif malam itu tidak tahu langsung memasang IV line kerana dia merupakan jururawat baru yang tidak pernah mendapat latihan seperti jururawat lama-lama dahulu. Memangnya begitu malang, bukan? Tersenyumlah dikau dalam kelat. Esok pula ada passover (membentangkan kes-kes yang masuk wad malam ini kepada pakar-pakar agar morning ward round tidak perlu lama) - public execution zaman milenia, kata kawanku!

Tuhan!! Hanya dua. Hanya dua pesakit cukup untuk menguji. Kau pejam mata, seakan-akan berdoa meminta dikuatkan (sebenarnya sedang melawan kantuk yang mengetuk-ngetuk belakang kepalamu - berat). Tidak. Jonah mematahkan langsung lagu 'Patah Hati' nyanyian Saujana - bukankah Tuhan, jadikan malam, untuk beradu menanti siangggg....

Bagaimanakah boleh jonah? Tiada siapa yang tahu bagaimana jonah ini boleh mendatangi seseorang. Beberapa teori telah dibuat berdasarkan pengalaman masing-masing, pun begitu ia hanyalah kepercayaan, sekadar menyedapkan rasa hati saat diri digelar si 'jonah'. Mengikut kepercayaan-kepercayaan sedia ada (sejak aku mula mengenali perkataan ngeri ini); jonah boleh sahaja disebabkan oleh:

1) Warna baju yang dipakai orang yang sedang oncall (sangat bodoh, bukan?)
2) Jika pertama kali oncall (paling kasihan kerana kau kurang ilmu, kurang pengalaman)
3) Kau oncall bersama orang yang memang tertulis di lembaran takdir hidupnya dia adalah jonah
4) Oncall di hari-hari cuti, hari-hari perayaan dan hari rusuhan
5) Memang dirimu sendiri jonah, tidak tersangkalkan lagi. Heh. Heh.

Semakin banyak persoalan tentang jonah, semakin aneh memikirkannya. Maaf kata, ada kalanya jonah terkait juga dengan akhlak, dengan iman, dengan islam yang kau bawa pada diri. Sedikit sukar untuk merefleksi penyataan ini; cuma bayangkan seperti makanan yang dibiar lama, tidak disimpan sebaiknya, kulapuk dan kulat lebih mudah dan cepat mendiam pada makanan tersebut, bukan? Begitulah. Ia lebih kepada perhitungan antara kau dengan Tuhan. Ada sesuatu yang mahu diajar-Nya kepadamu. Sendiri muhasabahlah ketika itu; lebih tepat, renungkan ketika telah habis oncallmu yang jonah itu.

Betapa pun mengerikan jonah ini, ia tetap ada sisi baik yang jika dipandang-pandang, amatlah mulia dan wibawa rasanya menjadi jonah. Ia membuat kau sibuk; sekaligus membuat kau menjadi pantas dan cekap mengendalikan kes-kes yang tidak putus-putusnya datang. Ini semua pengalaman-pengalaman berguna yang akan memudahkan dirimu di hari kemudian nanti.

Percayalah, jangan pernah memandang jonah sebagai suatu kesusahan. Pandangilah ia sebagai medan untuk kau mempersiapkan segala persenjataanmu menghadapi medan yang lebih besar nanti.

Ya, aku selalu jonah. Terima kasih Tuhan. (Tetapi, tetap juga masih mentah)

Dan kau, kau pun belajar satu perkataan baru hari ini, bukan? Seperti aku yang terpinga-pinga mendengarnya di hari pertama aku bertugas atas panggilan, kau pun pasti terpinga-pinga biarpun setelah habis membaca entri ini sambil mengutuki penulis blog ini barangkali sedang sangap. Maaf, entri ini sepatutnya menjadi pelajaran yang berguna dan ada bau-bau melankolik sedikit (lama tidak menulis sepatutnya bermula dengan nada melankolik, bukan begitu?) tetapi ia menjadi entri yang agak provokatif. Ini semua gara-gara Andrea Hirata dan buku terbarunya - Padang Bulan/Cinta Dalam Gelas - kau harus baca, tahu.


Hidup ini, usah banyak tingkah,



*giler rindu dengan lagu-lagu yang main sendiri dekat blog ni macam berhantu. Rindu!!*