Hari ini rasa nak menulis sangat walaupun tiada isi pokok dan persoalan yang boleh sengaja dibuat untuk dijadikan sebuah entri mantap lagi terkesan. Tahu buku belum buka dan baca lagi tetapi kadang-kadang kena ikut fatwa hati – kalau hati kata tak mahu baca buku sekarang, kenalah ikut. Kan? Er, boleh pakaikah pendapat itu. Terpulang. Tetapi hari ini mahu tulis guna bahasa biasa-biasa, tak mahu guna perbendaharaan kata yang pelik-pelik. Apa pun tetap akan menggunakan bahasa Melayu yang indah ini dengan baik. Sayang. Dengan bahasa sendiri.
Hari ini memang rasa penat sangat-sangat. Entah. Bukan kena pergi keluar cari kayu api atau melombong bijih timah. Pergi sekolah pun naik bas, bukan jalan kaki. Iyalah, siapa yang berjalan kaki ke Hospital Lugovae, sejauh dua kilometer itukan? Tapi penat itu bagus, maknanya kita buat kerja dan tak duduk sahaja. Maknanya kita bergerak dan tidak membuang masa. Tetapi kalau berdiri selama lima jam dalam bilik pembedahan dan sekadar tengok operasi pembuangan rahim antara nampak tidak nampak kerana ruang terhad dan terpaksa bergilir-gilir tukar tempat, agak-agak membuang masa tidak? Entah. Bergantung niat. Bila perut dah bermain-main gendang tali kecapi, oksigen yang dikongsi seramai sebelas orang dalam bilik pembedahan pun tiba-tiba rasa kurang, waktu itu memang menguji betul-betul kesabaran. Berdiri. Bukan duduk. Kepala sudah pusing-pusing. Tak ada apa yang boleh dibuat melainkan ketabahan jua yang sering berbisik, “nak jadi doktor yang bagus tidak?” Baik. Maka terus berdiri. Dengan rasa kagum tidak pasal-pasal kepada pakar yang berusaha sedaya upaya mengeluarkan rahim yang sudah membesar disebabkan ketumbuhan. Lagilah duduk tidak boleh bergerak-gerak, satu posisi sahaja lebih dari enam tujuh jam. Boleh jadi macam dia orang? Heh.
Disebabkan penderaan fizikal tersebut seperti menyerang mental, juga ditambah belum sebutir benda yang dipanggil makanan pun masuk ke perut ala-ala tersiksa seperti tahanan Guantanamo jualah miripnya, maka tidak boleh tidak terpaksa meninggalkan bilik pembedahan tanpa pengetahuan pakar. Namun perjuangan membuang rahim tersebut tetap perlu diteruskan – oleh mereka-mereka yang tinggal. Selamat berjaya daku ucapkan. Pulang ke kelas, solat dan entah bila kepala telah elok didakap erat kedua tangan, terletak kemas di atas meja lambang tidak kecukupan mendapat lena malam semalam. Tidak lama pun anugerah istirehat itu, hanya dalam kiraan sepicing sahaja kerana pejuang-pejuang ketabahan tadi telah juga pulang dari bilik pembedahan dan mengajak lari pulang. Oh, terbaiklah. Bukan lari, memang sudah habis waktu kelas pun. Jadi, apa terjadi dengan pembedahan tadi? Esok akan pergi bertanya. InsyaAllah.
Kebetulan pulang melalui gelanggang bola kerajang. Cuaca pun suam-suam kuku. Memang terbaik untuk melancarkan perjalanan darah dengan beberapa lontaran bola ke dalam keranjang. Oh, bukanlah pemain terhebat pun. Amatur jauh sekali. Tetapi cukup puas kalau dapat merebut bola dan mengkeranjangkan satu gol. Kemudian hirup udara Tuhan puas-puas biar kembang semua alveoli dalam paru-paru yang kalau dibuka boleh mencapai keluasan sebesar gelanggang badminton. Subhanallah. Tidak percaya? Ya, terpulang.
Memang dasar angan-angan selalunya tidak akan sampai menjadi kenyataan. Ya, kalau tidak berusaha merealisasikannya. Pun begitu, semua awan-awan tentang bola keranjang tadi terhapus begitu sahaja setelah sampai ke bilik. Oh, penat lebih menguasai. Terfikir bagaimana penakluk-penakluk agung dunia dan pejuang-pejuang pembebasan boleh menguasai sesebuah negara dan melawan penjajah kalau asyik fikirkan penat dan letih. Heh. Tentu buku sejarah hari ini nipis-nipis sahaja kerana siapa yang mahu tulis tentang orang-orang yang pemalas? Kan, kan, kan?
Hari ini kena memasak. Masak satu lauk sahaja. Memang selalu masak selauk dua sahaja kerana bukan banyak mulut pun mahu beri makan. Mulut saya dan mulut teman sebilik. Oh, tidak boleh terus begini setelah bekeluarga ya, Balqis. Sepanjang-panjang berkecimpung dalam dunia masakan, memang tidak pernah rasa masakan sendiri sedap pun kerana kalau sedap sudah lama dibuat jualan. Heh. Agak-agak cukup rasa serba serbi dan bisa mengenyangkan – bersyukur, Alhamdulillah. Lagi berpuas hati bila melihat teman sebilik berselera makan sampai tambah-tambah. Hah, itulah nikmat memberi orang makan. Bahagia. Teringat pesanan isteri duta sewaktu menziarahi kediaman beliau di Kiev, “ Kalau rasa-rasa masakan tu kurang sedap, mesti masak tak ikhlas dan terpaksa. First rule dalam memasak sebelum potong-potong bahan, kena ikhlas dan yakin." Huh, betul, betul, betul!
Benarlah kata orang, kalau kita benar-benar mahu buat sesuatu, InsyaAllah hasilnya tidak akan menghampakan. Contoh paling mudah, entri ini. Panjang tidak? Panjangkan? Sebab saya sangat-sangat ingin menulis walaupun dalam bacaan tarikh lahir saya (eh, bukan ramalan tukang tilik ya!) tidak punya kebolehan menulis seperti J.K. Rowling yang menjadi jutawan hanya dengan pen dan kertas. Pun begitu, kata orang yang membaca tarikh lahir saya, saya suka berkongsi – hah, tulisan ini; bebelankah atau perkongsian? Sekali lagi, terpulang.
Eh, dah panjangkan? Harus berhentikan? Wajib berhenti. Sebelum itu, rasa-rasa (rasa lagi) ingin bercakap sedikit tentang pengorbanan walaupun raya korban telah lama berlalu. Pengorbanan itu tak ada waktu khasnya, manusia paling mulia adalah yang sanggup mengorbankan diri sendiri demi sahabat-sahabat tercinta walau hajat dan impian sendiri tidak tercapaikan. Ah, kata-kata klise ini. Mana ada pengorbanan yang dibuat dapat merealisasikan impian sendiri – sering, pengorbanan dibuat adalah untuk melihat orang lain gembira. Seperti pengorbanan ibu kepada anaknya. Itu, namanya pengorbanan sejati tiada tolok bandingnya. Tetapi kalau mengorbankan diri sendiri tidak menyelesaikan masalah, malah menambah harukan keadaan, dan tidak sedikit pun membuat orang lain gembira, adakah pengorbanan itu berjaya? Tidak sama sekali. Justeru tidak perlu berkorban. Percaya, Tuhan selalu punya rahsia.
Baiklah. Ceritera ini kalau disambung, sungguh tidak berpenghujung. Saat ini, sepatutnya ada yang perlu lebih diutamakan – belajar. Menulis ini sekadar lari sebentar dari kerunsingan. Semoga ada jalan keluar bagi tiap-tiap yang mencari. Dan teman, mencari keutamaan itu adalah mahkota untuk hidup bahagia.
Sesungguhnya, mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan baik. (Al-Anbiya:90)
Menutup entri ini dengan kata-kata penuh inspirasi yang sempat kukutip dari blog demoiselle (Liyana, apa itu demoiselle?) - benarlah satu kata-kata, laut yang paling luas adalah hati yang tenang. Hati yang tenang adalah apabila menjadikan Allah tempat bergantung harap. Terbaikkan? Terbaiklah!
Belajar, yuk!
Anak Pertama
1 week ago