(Panaslah juga - sekejap)
Mak cik, minta maaf ye kalau saya nak cakap sikit. Sikit je. Mak cik, kalau kita solat berjemaah, kita kena rapatkan saff. Jangan biar rongak. Saya boleh faham kalau mak cik kurang selesa dan jarak-jarak sedikit agak-agak nak bagi angin tempias lalu supaya kurang panas dan telekung yang berkibar-kibar lantas bersentuhan dengan telekung orang sebelah itu mak cik anggap sudah cukup syaratnya merapatkan saff. Padahal merapatkan saff itu adalah bersentuhan antara bahu-bahu, mak cik. Ada baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Luruskanlah saf-saf, rapatkanlah bahu-bahu, tutuplah celah-celah (di kanan dan kiri di antara kamu), dan berlemah-lembutlah terhadap saudara kamu, serta jangan biarkan ada celah-celah untuk Syaitan. Sesiapa yang menyambungkan saf, Allah akan menyambungkan hubungan dengannya dan sesiapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutuskan hubungan dengannya. (Hadis Riwayat Abu Daud, Sunan Abi Daud, Kitab as-Solah, 2/309, no. 570. Dinilai Sahih oleh al-Albani, Shahih Sunan Abi Daud, 2/166, no. 666)
Dan lagi mak cik, janganlah sampai berjarak jauhnya sepelaung, mak cik. Kalau nampak enam tujuh orang dah mengosongkan saff, angkatlah sejadah yang mak cik sayang tu bergerak mengisi ruangan kosong tersebut. Walaupun dalam bulan puasa yang mulia ini semua syaitan dan jin-jin jahat kena rantai dan mungkin ya, pada anggapan mak cik tiada mereka untuk mencelah antara saff tetapi sebaiknya rapatkanlah. Adakah gigi yang rongak itu cantik apabila tersenyum mak cik? Sedang gigi yang rongak pun kita berusaha menampal atau mengganti dengan gigi palsu, begitu jugalah halnya dengan saff. Andai rongak tiadalah ia kelihatan indah di mata apatah lagi di hadapan Allah yang kita sembah.
Mak cik tahu tidak, merapatkan saf itu bagus untuk aliran cas-cas antara badan. Apabila kita menyentuh bahu orang di sebelah kita, semua cas-cas negatif akan dinyahcas oleh cas-cas positif antara ahli jemaah. InshaAllah, badan kita akan sihat cergas dan tidak lemah longlai usai menunaikan solat. Sebab itulah sabda baginda SAW bahawa solat itu adalah kerehatan bagi orang mu’min.
Kalaupun mak cik tidak berasa enak berkongsi sejadah atau takut kehilangannya dan geli geleman mahu mendekatkan bahu, mak cik kena juga ingat dengan siapa mak cik akan menghadap, layakkah mak cik, kita sombong dengan Allah yang suka melihat hamba-Nya menghadapnya dalam keadaan penuh tertib, tersusun dan kemas. Mak cik juga yang pernah ingatkan, Allah itu cantik, Allah suka kepada yang cantik. Kan mak cik?
Mak cik, dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari an-Nu’man bin Basyir: beliau berkata, “Dahulu Rasullullah meluruskan saf kami sehingga sampai seperti meluruskan anak panah hingga beliau memandang kami telah faham apa yang beliau perintahkan kepada kami (sehingga saf kami telah rapi), kemudian suatu hari beliau keluar (untuk solat) kemudian beliau berdiri, hingga ketika beliau akan bertakbir, beliau melihat seseorang yang dadanya terkehadapan, maka beliau bersabda:
“Wahai para hamba Allah, hendaklah kalian benar-benar meluruskan saf atau Allah akan memperselisihkan wajah-wajah kalian”. (Diriwayatkan oleh Muslim, no. 436)
Imam al-Qurthubi berkata, “Yang dimaksudkan dengan perselisihan hati pada hadis di atas adalah bahawa ketika seseorang tidak lurus di dalam safnya dengan berdiri ke depan atau ke belakang, menunjukkan kesombongan di dalam hatinya yang tidak mahu diatur. Yang demikian itu, akan merosakkan hati dan memungkinkan menimbulkan perpecahan.” (Rujuk: Fathul Bari 2/443) Pendapat ini juga didukung oleh Imam al-Nawawi, beliau berkata, “Berbeza hati maksudnya, terjadi di antara mereka kebencian dan permusuhan serta pertentangan hati. Perbezaan ketika ber-saf merupakan perbezaan zahir dan perbezaan zahir adalah wujud dari perbezaan batin iaitu hati.”
(Mak cik kalau agak-agak macam confuse dengan penjelasan saya yang kurang sempurna ini, bolehlah bertanya dengan yang lebih tahu atau barangkali sambil-sambil cari resepi kuih raya dan rendang tok, bolehlah rajin-rajin cuba tanya Ustaz Google. InshaAllah, ramai yang akan bantu menerangkan dengan lebih jelas secara mendalam khas untuk mak cik. InshaAllah ya mak cik)
Baru bab merapatkan saf. Meluruskan saf pula? Pohon pak cik-pak cik imam tegas sedikit ya minta dirapatkan saff. Apalah dayaku seorang anak muda yang tidak dikenal orang ingin pula menegur tanpa ketahuan.
Semoga solat-solat kita semua diterima ya mak cik. Ampunkan salah silap saya di bulan yang mulia ini.
Assalamualaikum, mak cik.
Lega. Sedikit.
Baru bab merapatkan saf. Meluruskan saf pula? Pohon pak cik-pak cik imam tegas sedikit ya minta dirapatkan saff. Apalah dayaku seorang anak muda yang tidak dikenal orang ingin pula menegur tanpa ketahuan.
Semoga solat-solat kita semua diterima ya mak cik. Ampunkan salah silap saya di bulan yang mulia ini.
Assalamualaikum, mak cik.
Lega. Sedikit.