Menanti giliran
Peperiksaan semester akhir bagi grup saya telah tamat. Lega? Itu sudah pasti. Gembira? Adalah sedikit. Bukan kerana tidak berpuas hati dengan markah yang diperoleh malahan saya sudah cukup menadah tangan bersyukur dengan keputusan peperiksaan saya kali ini. Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya berjaya mengekalkan markah antara 4 dan 5 tanpa ada secalit 3 di kotak markah. Alhamdulillah, saya tidak meminta lebih, malahan saya malu untuk meminta kepada Tuhan, sudah berjuta-juta munajat minta doa kejayaan dariNya tapi saya satu apa pun tidak berusaha menjadi hamba yang baik. Astaghfirullahala’zim… Ampunkan segala dosa-dosa kami, Ya Allah…
Entri kali ini, bukan saya mahu bercerita mengenai keputusan peperiksaan saya, tapi sengaja saya mahu berkongsi pengalaman peperiksaan yang agak berbeza kali ini dari tahun-tahun sebelumnya. Saya tidak memaksa kamu untuk membaca tetapi kalau kamu mahu tahu apa bezanya, kamu perlu paksa diri kamu untuk membaca kerana kata kawan saya, entri saya selalunya panjang lebar seperti esei sehingga boleh menghasilkan sebuah buku! Wah, hiperbola sungguh kenyataannya itu. Tanpa panjang bicara mari saya bawa kamu kepada kisah saya itu.
Buat rakan-rakan yang sudi menerima saya tinggal di bilik kamu untuk seminggu itu, buat Kak Bad, terima kasih kerana membenarkan saya tidur di katil kamu, saya kagum dengan cara kamu belajar. Kepada Kak Diana teruskan usaha kamu, ya! Buat Sakiey dan Sol pula, kamu adalah rakan paling best pernah saya jumpa!! Last but not least, buat kak Nor dan Athirah yang datang sekali sekala, kamu penceria yang hebat! Bilik kamu adalah sanatorium yang terbaik! terima kasih tidak terhingga saya ucapkan, saya sayang kamu semua!!Terima kasih juga kerana mengajar saya makan menggunakan ‘chop stick’. Susah sungguh!
Murleen Nambiar hilang
Hurm, panjang saya bercerita, saya rasa bezanya kamu sudah nampak bukan? Tapi, kisah peperiksaan saya tidak berhenti di sini, bukankah kamu kata entri saya panjang lebar seperti boleh buat buku, oleh itu baca lagi ya!
Beberapa hari selepas saya menduduki peperiksaan ‘Hygiene’ yang mengajar saya tentang betapa pentingnya membina hospital luar dari kawasan laluan angin serta keracunan makanan itu boleh membawa kematian mendadak, kami dikejutkan oleh berita kehilangan seorang pelajar Malaysia yang khabarnya sudah hilang selama dua atau tiga hari. Rakan-rakan rapat beliau tidak tahu menahu apa yang terjadi atau ke mana beliau menghilang, kami sekadar bersimpati dan berharap beliau dapat ditemui secepat mungkin. Walaupun di dalam kami hati berbagai persoalan yang timbul tentang misteri kehilangan pelajar tersebut, kami tetap meneruskan rutin belajar seperti biasa. Sementara kami sibuk menelaah untuk peperiksaan ‘Therapy’ seterusnya, misi pencarian pelajar tersebut diteruskan dan kami berharap mereka membawa pulang berita yang tidak menyedihkan. Kami tidak perlu menunggu lama, pagi 1 Jun, hostel kami bergema dengan panggilan sukarelawan meminta agar sesiapa sahaja sudi turut serta dalam misi pencarian Murleen Nambiar pelajar tahun ketiga di sini. Memandangkan kami baru sahaja selesai menduduki peperiksaan ‘Therapy’ semalam, hati kami tergerak untuk turut serta dalam misi tersebut. Entah apa yang memberitahu kami agar turut serta kami tidak tahu, tapi yang pasti, pelajar tersebut adalah warganegara Malaysia, dan kami juga rakyat Malaysia yang bermastautin dan belajar di sini, untuk kali ini rasanya perbezaan bangsa dan agama bukan menjadi ukuran, siapa lagi yang boleh diharapkan kalau bukan kami pelajar Malaysia yang hanya beberapa kerat sahaja ini. Ya, kami harus pergi, rasa tanggungjawab sebagai sesama insan menyentap naluri kami bertalu-talu dan tepat 12.30 pm kami telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan.
Kumpulan saya yang terdiri dari 6 orang bergerak ke sekitar Silpo, pusat membeli-belah di Bandar Simferopol ini, kemudiannya kami menyusuri sungai sehingga ke ‘Tene U’, mencari-cari di bawah kolong atau di mana-mana sahaja, tetapi kami tidak menjumpai apa-apa pun lagi-lagi pencari amatur seperti kami ini, sebarang kesan apa pun yang boleh dikaitkan dengan misteri kehilangan beliau tidak kami temui. Kami pulang hampa, mereka yang lain juga pulang dengan tangan kosong. Hari-hari berikutnya kami belajar seperti biasa, dan untuk peperiksaan akhir ini iaitu Neurology, saya perlu lebih sedikit usaha memandangkan subjek ini bukan sahaja memerlukan kefahaman tetapi juga perlu berfikir sedalam-dalamnya.
Habis Neurology, saya dan teman bersyukur sungguh-sungguh, pulang nanti mahu cepat-cepat kemas barang, mahu pulang, rasanya ‘Ukraine’ juga tidak sabar mahu melihat kami pulang. Tiada lagi berita tentang Murleen, kami harap beliau dapat ditemui dengan segera dalam apa jua keadaan. Seminggu itu tertlalu lama rasanya beliau menghilang. Pulang segera Murleen, kasihan kawan-kawan yang mencari kamu di sini. Dan kali ini juga, kami tidak menunggu lama, petang 5 Jun, kami dikhabarkan melalui ‘yahoo messanger’; mayat beliau ditemui mati di perairan Evpatoria oleh nelayan-nelayan di situ. Aduh, pedihnya berita itu tambah mengejutkan kami. Apa yang terjadi sebenarnya? Mengapa sampai begitu sekali? Pertanyaan kami terjawab apabila esoknya, 6 Jun jam 4 petang, satu perhimpunan tertutup diadakan antara pihak Universiti dan pelajar menerangkan dengan lebih lanjut tentang misteri kehilangan beliau. Mengapa dan bagaimana riwayat hidup beliau berakhir begitu kami tidak tahu, apa pun seluruh warga CSMU disentap kalut dan kaget dengan kematian beliau. Kami tidak sangka, sungguh tidak sangka. Saya akhirkan entri saya di sini, saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi tentang kehilangan beliau. Kepada keluarga Murleen, saya ucapkan takziah, kamu kehilangan seorang anak yang baik, walaupun saya tidak mengenali pelajar ini tetapi saya rasa, jauh di lubuk hati saya, Murleen pergi dengan membawa seribu satu misteri bersamanya.
Barukisu,
Rechnaya Stree 2a,
Simferopol,
Ukraine.
0 buah bicara:
Post a Comment
Assalamualaikum teman-teman, terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak bicara kamu, sekurang-kurang kalian telah hadir menceriakan hari-hari saya di persimpangan ini. Jazakumullah!!