Wafeya

Life is a serious matter.

Monday, July 14, 2008

Bertemu 1515

Saya menarik nafas dalam-dalam. Lama saya berdiri di situ. Mata memfokus tajam. Saya amati setiap judul buku yang dipamerkan. Pelik. Buku yang saya cari tidak kelihatan. Saya amati lagi kalau-kalau tersalah pandang. Saya berpindah ke rak berhampiran. Susunan buku di sini agak terbiar sedikit tetapi masih kelihatan kemas.

************

Penat rasanya mengikut ‘ward round’ setiap pagi. Lenguh kaki terasa menjalar ke seluruh badan. Bagaimanalah doktor-doktor pakar tersebut dapat bertahan berjam-jam memeriksa hampir 40 pesakit setiap hari, saya yang masih muda ini pun sudah cepat terasa letihnya. Ah, alah bisa tegal biasa, saya menyedapkan hati. Saya mahu lekas-lekas selesai ‘ward round’ ini, mahu cepat-cepat cari kerusi untuk duduk. Mahu lunjurkan kaki, hilangkan lenguh. Sambil berharap begitu, saya masih sempat mengkagumi kesabaran doktor-doktor pakar tersebut meneruskan pemeriksaan satu demi satu pesakit-pesakit yang berada di situ. Kalau penyakitnya kronik, tambah pula diagnosis masih carik-carik bulu ayam, lagi lamalah mereka berdiri mengelilingi katil pesakit tersebut. Dan saya antara faham dan tidak hanya memandang simpati wajah pesakit yang terbaring lesu dengan mata separuh terbuka itu.

*************

Saya melangkah perlahan. Dalam hati berjanji sekurang-kurangnya mahu bawa pulang satu buku. Dalam kepala pula ligat kira-mengira baki wang saku yang masih ada. Cukup. Saya melangkah lagi. Berhenti menghadap rak buku yang dipamerkan paling hadapan sekali. The Chronicles of Narnia: Prince Caspian, saya membaca judul yang tertera. Menarik. Tapi saya sudah dewasa. Zaman membaca buku-buku seperti itu sepatutnya sudah berlalu walau keinginan masih ada. Kalau ada rezeki lebih mahu juga rasanya saya membeli buku The Chronicles of Narnia yang memuatkan kesemua cerita di dalam siri itu sekaligus buat memuaskan hati saya. Kalau tidak saya yang membaca pun pasti adik-adik saya yang mengulitinya. Saya jalan lagi, mampir ke ruang tengah yang memuatkan buku-buku novel bahasa Inggeris remaja, thriller dan seram. Nama-nama penulis seperti Dan Brown dan Stephen King melayari kotak fikiran saya. Saya menimbang-nimbang mahu membawa pulang salah satu antaranya. Ah, sukar sekali membuat pilihan!

*************

End stage heart failure. Saya mencuri pandang kertas yang berada di atas meja mudah alih. Kemudian mata saya memandang pesakit yang menyandar pada bantal-bantal yang disusun di belakangnya. Cardiac asthma, saya meneka dalam diam. Pegawai perubatan siswazah sibuk menerangkan kes pesakit tersebut kepada pakar perubatan yang saya lihat sudah mula memeriksa pesakit tersebut dengan stethoscope yang tergantung di lehernya. Mantap! Getus saya dalam hati. Saya kemudian melihat-lihat keadaan pesakit tersebut dari mata kasar. Perutnya agak besar sedikit, kelihatan penat dan tidak bermaya. Saya lihat pakar perubatan memeriksa kakinya, ada sedikit permukaan yang tenggelam dan lambat timbul. Edema. Saya cuba mengingat kembali tanda-tanda lain pesakit yang menghidapi kegagalan jantung berfungsi; sejuk hujung tangan dan kaki, kadang-kadang kebiruan sedikit, sukar tidur waktu malam kerana sesak nafas dan batuk. Pakar perubatan membawa keluar x-ray pesakit dari sampulnya. Saya turut melangut kepala mahu melihat sama. Cardiomegaly dan dilated upper lobe vessels. Jelas sekali. Saya melihat lagi. Ada tanda-tanda pulmonary edema, terang pakar perubatan tersebut kepada kami yang melihat. Kerley B lines dan Bat’s wings, beliau menunjuk dengan jari telunjuknya. Tidak kelihatan jelas pada saya. Ah, perlu lebih banyak belajar, saya bisik pada hati.

***************

Saya ke bahagian paling hujung kedai itu. Di bahagian kanan dan kiri kedai besar itu dipenuhi dengan buku-buku ilmiah dan akademik. Buku-buku perubatan mendominasi bahagian kanan manakala bahagian kiri tersusun rak-rak yang memuatkan buku-buku dalam bidang teknologi maklumat, kejuruteraan dan perkomputeran. ‘Sudut buku Bahasa Malaysia’, saya meneruskan langkah. Kecil, tidak besar dan hanya beberapa buah rak memenuhi bahagian belakang kedai ini. Kasihan, bahasa sendiri seperti bahasa kelas kedua di negara ini. Sedang di negara-negara Eropah seperti di Itali misalnya, buku-buku Bahasa Inggeris hanya disediakan sudut yang kecil sahaja; English Book Section. Sebahagian besar kedai bukunya pula dipenuhi dengan buku-buku dalam bahasa kebangsaan mereka. Tetapi di negara tercinta saya ini, hanya 5 peratus sahaja kawasan daripada ruang kedai buku itu yang menempatkan buku-buku bahasa Malaysia, itupun adalah novel-novel karya cinta, rindu, kasih sayang, penantian dan pengorbanan demi cinta. Cinta, cinta, cinta! Tema stereotaip. Fitrah suci itu kalau dicemari dengan nafsu, dendam dan entah apa-apa lagi, meluat saya mahu membacanya. Satu dua muka membelek, saya sudah boleh meneka jalan cerita, klimaks dan akhirnya. Saya mahu mencari sesuatu yang lain, ya sesuatu yang berbeza!

***************

Monorel yang berdimensi 20800 x 3000 x 4300 itu meluncur laju seperti ulat bulu meniti ranting kayu. Cuma bezanya ulat bulu bergerak lambat-lambat tetapi monorel yang mempunyai daya pemecutan maksimum 90 km/j itu melesit laju di atas jajaran landasannya. Sudah berada di dalam perutnya saya rasa lega. Hilang sedikit penat berjalan sebentar tadi. Penghawa dingin yang dipasang lagi menyamankan suasana. Saya memilih tempat duduk paling hujung di ekor keretapi canggih itu. Mahu melihat bandaraya Kuala Lumpur dengan lebih jelas. Saya membasahkan tekak dengan air mineral yang dibawa. Sewaktu keluar dari wad tadi, saya sempat memandang mata pesakit yang menghidapi kegagalan jantung berfungsi itu. Saya tidak berkata apa, cuma berharap dia segera sembuh atau setidak-tidaknya boleh pulang ke rumah. Entah keajaiban apa yang saya minta waktu itu kerana saya tahu peratus untuknya meneruskan hidup dengan sempurna amat tipis sekali. Ubat yang diberi hanyalah sekadar untuk membantu meringankan beban penyakitnya bukan untuk menyembuhkan. Maha Suci Tuhan yang mencipta sekalian makhlukNya, dia yang menurunkan penyakit, dia juga yang memberikan penawarnya. Saya berdoa diam-diam di dalam hati sungguh-sungguh yakin pada ketentuanNya saat monorail yang saya naiki perlahan-lahan berhenti di stesen Imbi dan saya lekas-lekas keluar berjejeran bersama penumpang lain yang turut turun di destinasi yang sama.

***************

Mata saya gesit melilau. Merenung tajam setiap judul yang ada. Pupil mata saya mengecil, lensa menebal. Kombat 1511. Saya sudah baca. Saya lihat lagi, menolak beberapa buah buku ke tepi. Tuhan Manusia. Saya baca sinopsis. Saya letak semula. Jari-jemari saya pantas berlari antara buku ke buku. Pasti ada lagi buku tulisan Faisal Tehrani yang lebih menarik. Saya tidak mahu membawa pulang sesuatu yang hampa. Pernah membaca beberapa cerpen hasil karya beliau, saya tahu apa yang saya mahu. Saya menarik keluar Bila Tuhan Berbicara dari tempatnya, membaca sinopsis di kulit belakang, saya berkira-kira. Ini sahaja? Oh, saya mahu bawa pulang sesuatu. Sesuatu. Saya terpempan membaca judul ‘Enrique’, karya H.M. Tuah Iskandar. Saya pernah dengar tentang buku ini. Hebat! Eh! Saya mencapai buku di sebelah Enrique. Membaca judul. 1515. Memusing belakang, saya membaca sinopsis. Tun Nyemah Mulya. Panglima laksamana Melaka? Saya hanya kenal Hang Tuah sahaja. Ada panglima lainkah? Ilmu sejarah saya yang cetek itu saya panggil panggil kembali. Saya pegang buku itu. Agak lama sambil memandang lukisan seorang perempuan memegang keris di kulit hadapan. Akhirnya saya tekad. Bulatkan hati. Saya mahu mengenalinya. Mengenali Nyemah Mulya. Saya bayar harga buku itu dan melangkah keluar dari Borders sambil berjanji akan datang lagi ke situ, mahu belek-belek lagi buku-buku yang ada. Saya mahu baca yang ini dulu. Mahu ‘baca’ Nyemah Mulya.




1515 oleh Faisal Tehrani



KL Monorel mendekati stesen Imbi


Barukisu berpenglipur lara,
Kuala Lumpur.

2 buah bicara:

salam..peminat novel faisal tehrani?erm...untk `bila tuhan berbicara` dan `tuhan manusia`..suatu cerita yg amat berat untk difikirkan dan bisa membuat minda berfikir....dan untk penambahan.. novel2 ramlee awang murshid...jugak tidak kurang hebatnye seperti faisal tehrani.
 
salam alif @ mrtoyol,
yep, saya suka baca novel2 FT...
nanti saya nak beli juga buku 'bila tuhan berbicara' dan 'tuhan manusia' insyaAllah...

ada juga baca novel2 ramlee awang Mursheed dulu, tapi skrg dah tak baca lagi...

terima kasih untuk cadangan... =)
 

Post a Comment

Assalamualaikum teman-teman, terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak bicara kamu, sekurang-kurang kalian telah hadir menceriakan hari-hari saya di persimpangan ini. Jazakumullah!!