Saya terjumpa ini semasa mengemas barang-barang lama saya. Artifak zaman purba, saya kira. Saya mahu buang, tapi sayang, jadi saya taip semula dan letak di sini. Satu, saya dan kawan-kawan baca semasa Annual Dinner di sekolah dulu, yang satu lagi saya hantar ke Dewan Siswa sebelum berangkat ke Ukraine. Tapi saya rasa tidak pernah tersiar pun.
Segar kita di perbatasan ilmu
Mengembarai usia yang sarat dengan pengetahuan
Sekaligus membawa kesedaran
Bahawa kitalah petualang
Wahana globalisasi bangsa
Kitalah para sarjana
Wisesa maruah bangsa
Nun di ufuk mayapada
bersama-sama kita redah rimba ilmu
Meniti titian kegagalan
Juga menara kejayaan
Kerana kesabaranmu
Menzahirkan hakikat ilmu
Bukan hanya untuk mengenal dunia
Tapi kenal hati, kenal budi, kenal diri, kenal Tuhan Yang Esa
Kerana dedikasimu pada setiap jejelang pendidikan
Aku tahu, bukan emas permata yang kau impikan
Waimma dunia dan isinya
Tapi hanya sekadar secenis kegembiraan
Dari kejayaan anak didikmu
Engkaulah guruku
Para wisata agung
Yang purbawisesa di sukma!
Alfun syukran kuucapkan
Atas kesetiaanmu menemani
Diriku di sepanjang perjuangan suci ini.
Terima kasih juga
Kerana kehadiranmu menceriakan warna-warni hidupku
Cinta, kasih, benci, kecewa,
Adalah suasana yang satu.
Harapanku agar
Sama-sama kita julang
Satu impian,
Satu kejayaan,
Satu kecemerlangan!
Aku bicarakan,
Buat teman seperjuangan,
Yang setia berkorban,
Demi sebuah impian,
Kuutuskan lagu terakhir,
Lagu perpisahan,
Sebagai salam terakhir,
Kerana kita mungkin,
Tidak bersua lagi!)
Mari teman
Aku pegang tanganmu
Ke medan yang baru
Melangkah kehidupan
Bersama selaut keyakinan
Aku bantu suluh jalanmu
Pedulikan retorika kelat yang lama
Pada perjalanan yang dulu
Insinuasi rencam yang kalut
Dalam hujahan kekesalan
Ini mungkin retribusi
Azab awali di bumi ini
Aku pimpin kamu
Hatimu kau tabahkan
Jiwamu kau pasrahkan
Akalmu kau luhurkan
Lantaran diri serba kekurangan
Bukan insan sempurna yang punya kekuatan
Ikut aku kawanmu
Tinggalkan kolong jahil yang hina
Selusuri jalan ini kali kedua
Pasti kau temui hikmah sejuta
Pada langkahanmu yang pertama!
2003/2004
1 buah bicara:
Post a Comment
Assalamualaikum teman-teman, terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak bicara kamu, sekurang-kurang kalian telah hadir menceriakan hari-hari saya di persimpangan ini. Jazakumullah!!