Hari itu, hujan turun beginilah. Lebat mencurah-curah. Bersama hawa yang gah mengarah aliran hujan ke sanalah, ke sinilah. Pun begitu, masih cantik sangat panorama yang terbentang depan retina mata. Subhanallah. Sejuk. Nyaman. Sebak. Ada kenangan yang bertimpa-timpa datang ketika hujan turun begini.
Menahan rasa, segera mencari kelibat Awi yang kelihatannya baru keluar dari bilik air dengan bahagian depan baju yang hampir lencun. Awi berlari terkedek; kepala, muka, tangan dan kakinya basah. Apa sahajalah si Awi ni... Haih.
"Awi, jangan lari, nanti jatuh. Awi nak ke mana tu?"
Awi masuk ke bilik papanya. Menuruti Awi dari belakang, melihat dia cekatan mengambil sejadah dan kopiah papanya.
"Awi, kan tadi dah solat Zohor dengan papa".
Awi membentangkan sejadah, senget. Melihat ke kiri dan ke kanan, kemudian meletakkan kopiah di kepala. Juga sedikit senget dan hampir menutupi separuh mata. Awi duduk. Bersimpuh sebetulnya.
"Awi buat apa tu?"
Awi diam. Seperti merenung sesuatu.
Tiba-tiba. "Amin..."
"Awi?"
"Awi doakan opah tadi, dengan Tok Ayah. Papa cakap, kalau hujan turun, kalau kita doa, InshaAllah doa kita makbul."
Tiba-tiba rasa sebu datang memenuhi dada. Sesak. Empang rasa yang ditahan tadi pecah juga akhirnya melimpahkan jurai manik-manik halus. Ayah dan ibu baru seminggu pergi menghadap Illahi.
Anak ini. Muawiyah. Yang dipinjam namanya dari seorang sahabat Nabi yang mulia.
Ya Allah, semoga dia jadi permata soleh dan menjadi insan hebat, sehebat namanya.
Hujan masih turun. Lebat mencurah-mencurah. Guruh tidak berdentum. Petir tidak sabung menyabung.
1 buah bicara:
silahkan daftar dan dapatkan keuntungan yang besar dengan bermain di IONQQ.GAMES
Post a Comment
Assalamualaikum teman-teman, terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak bicara kamu, sekurang-kurang kalian telah hadir menceriakan hari-hari saya di persimpangan ini. Jazakumullah!!