"Masih di luar, Waf?"
Bisu.
"Masih marah?"
"Tak."
"Pengorbanan tu macam hujan, kan?"
"Hujan itu rahmat. Pengorbanan itu kesakitan."
Dadanya bagai ditikam-tikam. Perempuan ini masih membara dendam.
"Kau menyesal? Atau sekadar melepaskan kesedihan yang kesekian kalinya tidak berpenghujung?"
Dia mendengus. Jemari halusnya cekatan membetulkan sisi tudung. Bayu menghembus lembut, seolah bagai bersahabat, sedang hujan hebat menyimbah; membadai-badai.
"Pengorbanan tu macam hujan. Sewaktu ia turun; dingin, basah, suram dan menyusahkan. Tapi di hujung-hujungnya mendamaikan, mententeramkan jiwa, membawa ketenangan semesta alam."
Bayu tiba-tiba menerpa, membawa tempias hujan bersama. Tangan cekatan menarik kejap sweater yang membaluti badan sambil melaju rapat ke dalam. Ah, sejuk.
Waf masih berdiri menghadap depan beranda, membiarkan sisi tudung dikibas sang angin. Tidak sukar menerka lakunya. Dia cuba bertahan.
"Apa sebenarnya?"
Dia tiba-tiba bersuara, membiarkan lakunya mati diperhatikan.
"Pengorbanan tu awalnya memang menyakitkan. Kau melepaskan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu. Atau seseorang..."
Dia menjeling, tajam.
"Kau melepaskan sesuatu yang cukup terbaik, demi untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik di masa akan datang."
"Apa, selepas aku mati?"
"Waf!"
"Maaf."
Masih berbudi walau bicara bagai menghempas naluri.
"Seperti hujan Waf, turun membasahi bumi, keindahan sebenarnya hanya setelah ia berhenti. Setelah hujan tiada, manusia baru menikmati nukilan alam, merasai sebenar nikmat Tuhan."
"Kau samakan aku atau pengorbanan, dengan hujan?"
Ketawa pecah.
"Kau pun tidak kurangnya seperti hujan sekarang."
Sekilat itu juga pahanya dicubit jemari runcing milik Waf, merambat rasa sejuk yang hadir menggetarkan. Sekali dipulas, benar memulas.
"Sakitnya cik Waf kita ni cubit."
"Entahlah Zuq."
Aku diam, membiarkan rasa perit dicubit berlalu perlahan.
"Aku marahkan Tuhan."
"Waf, jangan!"
Dia berpaling, tangan mengusap-usap perlahan perut yang semakin membesar, terasa panas di mata, bertakung seketika, sebelum tertumpah deras seperti hujan. Ah, akhir-akhir ini mudah benar dia menangis.
"Zuq!"
Waf!
Dia mendekat dan membenamkan seluruh kesakitannya di bahuku. Dia bukan hujan. Wafeya bukan hujan. Wafeya hanyalah seorang perempuan. Dengan sebuah kesetiaan.
Wafeya adalah sebuah kesetiaan.