Wafeya

Mata ke bumi, hati ke langit

Wednesday, October 09, 2013

Perempuan, hujan dan kesetiaan cont.


Waf berhenti menaip. Tangannya diregangkan ke hadapan, kemudian ke belakang. Lenguh. Kemudian menguap.

"Amboi, luasnya gua. Dah tak reti nak tutup?"

Waf menoleh sekilas. Zuq memerhati sambil tersengih. Sekeping biskut keju Julies di sebelah tangan dan mug berisi air entah apa di tangan satu lagi.

"Untuk Waf?" dia bertanya manja.

"Eh, perasannya mak buyung ni!"

Waf mencebik, merajuk.

"Tak mahu beri, kita pun tak inginlah!"
Zuq ketawa. 

"Waf rasa Waf comel bila merajuk?"

"Soalan apa tu?"

"Soalan matematik tambahan, Waf",
ketawa Zuq semakin menjadi-jadi.

"Abang rasa abang handsome bila buat lawak?"

Zuq termati ketawanya. Tersedak sebetulnya. Kopi dan biskut di tekak terasa peritnya berebut laluan masuk ke esofagus. 

"Amboi, dah pandai menjawab balik sekarang ye?"

Wafeya terasa telinganya ditarik kemudian kegelian di seluruh pinggang dan perut. Perang geletek telah diisytiharkan.

"Mana aci!" Sambil ketawa menahan . 

"Tulis apa?" Zuq tiba-tiba berhenti geletek dan menfokus pada skrin monitor.

"Cerita".

Mengangguk. 

"Tentang kita?"

Wafeya membalas juga dengan anggukan.

"Untuk siapa?"

Wafeya mengusap perut. 20 minggu 6 hari dengan anggaran berat 360 gram, panjang hanya kira-kira 26.7cm tetapi tendangan dan gerakan dirasakan padu dan… membahagiakan.

"Nanti bila Waf dah tiada, mahu dia kenal siapa ibunya dan siapa ayahnya".

"Waf…"

Zuq mati kata-kata. Wafeya dan fikirannya. Terlalu menikam dan merusuh jiwa. Sejak disahkan mengalami uri bawah tahap keempat, Waf menjadi semakin sensitif dan pesimis. 

Waf tidak sedar dia membunuh jiwa Zuq perlahan-lahan. 

Waf…tolonglah.

0 buah bicara:

Post a Comment

Assalamualaikum teman-teman, terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak bicara kamu, sekurang-kurang kalian telah hadir menceriakan hari-hari saya di persimpangan ini. Jazakumullah!!