Wafeya

Life is a serious matter.

Sunday, August 31, 2008

Salam Ramadhan Al-Mubarak



Salam Ramadhan Al-Mubarak buat semua~

"Awalnya rahmat,
pertengahannya maghfirah,
Penghujungnya pembebasan dari api neraka"

(Al-Hadis)


Ampun maaf dipinta untuk segalanya~


Ramadhan pertama
ke Dubai aku berkelana~
Kuala Lumpur

Wednesday, August 27, 2008

Ukraine! Alahai Ukraine...

i

Ukraine! Lima hari lagi akan berangkat pulang. Apa satu pun belum dikemasi lagi. Satu dua minggu belakangan ini bayang negara bekas Soviet itu kerap kali menerjah kotak fikir. Bukan kerana harus menempuh fasa-fasa baru pengajian, malah itulah yang ditunggu-tunggu kerana berbulan-bulan tanpa kuliah dan kelas, terasa berkarat segala ilmu perubatan yang seciput ini. Namun segala rasa yang bercampur baur inilah yang sering datang mengganggu; tanggungjawab, pelajaran, persahabatan, mehnah kehidupan seharian, aktiviti sosial, yang mana segalanya harus diimbangi dengan baik dan matang.

Terkadang terasa kehidupan di Ukraine seperti sebuah medan persaingan, seperti ada suatu perlumbaan demi merebut entah apa. Sesiapa yang lambat, akan tertinggal atau ditinggalkan. Secara positifnya, ia adalah suatu persaingan yang sihat; memupuk sifat mengambil berat antara kawan, membantu antara satu sama lain dan belajar berbaik sangka. Negatifnya, ada waktu akan rasa tersisih atau disisihkan, adakala pula akan rasa kalah, rasa gagal dan rasa yang yang entah apa-apa datang menjengah dan mengacau perasaan bilau sehingga boleh mengakibatkan depresi sementara mencari jalan keluar dari segala permasalahan.

Pasti dan pasti rasa-rasa yang tidak elok itu datang daripada bisikan syaitan laknatullah, musuh ummah sepanjang zaman. Itulah, diri seringkali terlupa bahawa kehidupan adalah suatu ibadah dan ibadah memerlukan mujahadah sedangkan mujahadah itu tidak pernah sunyi daripada ujian. Firman Allah, “(Allahlah) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Mulk:2). Dalam perlumbaan itu, pasti dan pasti akan pernah jatuh tersungkur, rebah terduduk dek ujian yang diberi. Kesabaran dan keyakinan kepadaNya jualah yang memberi kekuatan meneruskan larian menuju capaian matlamat. Seringkali pula diri mengeluh, mengadu, merintih menangisi segala keperitan kepadaNya kerana sudah tak termampu, tak terdaya lagi mengharungi tribulasi ujian yang menduga. Imam Bukhari rhm ketika bermunajat dengan Allah, pernah berbisik-bisik mengatakan: “Bukan aku tidak tahan dengan ujian-Mu ya Allah, cuma hendak mengadu pada-Mu, tempat aku kembali nanti, memohon ketenangan, keampunan dan mutmainnah.”


Barukisu:
Sekian, tazkirah untuk diri sebagai penguat semangat sebelum mula mengemas beg. Alahai…


ii

Ukraine! Antara wakil-wakil negara Islam yang dipanggil satu demi satu ke pentas utama, Ukraine adalah negara yang tidak tersangkakan oleh saya untuk menghantar wakil ke Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-50 yang diadakan di Pulau Wan Man, Terengganu baru-baru ini. Tiba-tiba rasa bangga menguasai diri yang hina ini sebentar. Ukraine? Ya, saya memang tidak percaya. Adakah saya tersalah dengar? Tidak mungkin. Bahkan sekeluarga saya yang menonton turut mengesahkan. Benarlah itu peserta dari Ukraine yang sedang berjalan ke pentas utama untuk menerima sijil penyertaan serta cenderahati daripada YTM Tuanku Mizan Zainal Abidin. Dari rias wajahnya yang tersenyum malu-malu, pemuda yang saya kira berusia dalam awal 20-an itu bukanlah personaliti yang penting atau terkenal pada malam itu. Malah beliau merupakan peserta terakhir yang dipanggil untuk menerima cenderahati. Sayang sekali saya terlepas dengar persembahan tilawahnya. Melihatkan peserta itu berjalan lekas-lekas ke pentas utama, pasti kamu menekanya sebagai penganut agama Kristian jika kamu bertemunya di luar tanpa kopiah dan jubah putih labuh yang dipakainya pada malam itu.

Bagi saya, penyertaan negara seperti Ukraine adalah sesuatu yang agak luar biasa. Manakan tidak, majoriti penduduknya merupakan penganut Kristian Katolik yang tegar. Penduduk beragama Islam yang kebanyakannya merupakan orang-orang Tatar dari Uzbekistan hanya mendominasi sebahagian kecil negara itu terutamanya di Pulau Crimea tempat saya belajar. Benar, Ukraine dahulu merupakan salah sebuah jajahan takluk Empayar turki Uthmaniah dan pernah terkenal kerana gahnya Islam, kerana hebatnya ulama’ di situ dan mungkin atas sumbangan yang dimainkan bangsa Tartar yang telah diberi mandat oleh kerajaan Turki Uthmaniah untuk memerintah. Namun selepas Russia mengalahkan kerajaan Turki Uthmaniah pada tahun 1777, sehingga hari ini Islam di bumi Ukraine adalah sesuatu yang asing, sesuatu yang terlalu amat minoriti dan penganutnya acapkali dipinggirkan dalam apa jua bidang dan lapangan. Mahu mencari Islam di Ukraine seperti mencari Islam di Italy, ada tetapi sedikit, ada tetapi sukar, ada tetapi seperti tiada.

Ukraine dalam peta dunia memang besar, tetapi kalau ditanya kepada sebahagian rakyat Malaysia, hampir semua menggeleng kepala tidak tahu di mana letaknya negara itu. Sedangkan Ukraine itu menjadi terlalu amat signifikan kepada saya hanya selepas saya dihantar belajar ke negara itu. Jika tidak, saya sendiri pun tidak tahu menahu tentang wujudnya sebuah negara bernama Ukraine. Seperti pernah ku dengar, tapi di mana ya? Di Russiakah? Siberia? Di mana ya? Adakah wujud sebuah negara bernama Ukraine? Tetapi pada malam itu, sebuah negara bernama Ukraine yang agama rasminya adalah Kristian Katolik telah menghantar wakilnya ke Malaysia untuk menyertai tilawah peringkat antarabangsa itu. Bagaimana ia terjadi, saya masih terrtanya-tanya. Adakah ini kali pertama atau saya yang tidak tahu bahawa Ukraine itu telah bertahun-tahun menghantar wakil? (betapa dungunya saya!) Suatu gabungan rasa yang entah apa tetapi hanya terlahir oleh sebuah senyuman. Ukraine tempat saya belajar itu? Ah!

Barukisu :

· Tahniah buat peserta wanita negara, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman yang menduduki tempat kedua. Tahun hadapan boleh cuba lagi, ya! Hebatnya wanita Asia Tenggara, membolot lima tempat teratas; Thailand, Malaysia, Brunei, Filipina dan Indonesia. Untungnya berdamping dengan Al-Quran!

· Tercengang-cengang mendengar persembahan bacaan Johan Qari Tilawah Al-Quran, Mu’min Mubarok dari Indonesia. Terasa-rasa betapa indah dan hebatnya kalam Allah. Terasa-rasa mahu belajar membaca quran secara tarannum, qiraat tujuh imam, dan hikayatnya sekali. Ah, jahilnya!

· Lucu mendengar persembahan nasyid bertajuk ‘Qulna Ahlan’ (Selamat Datang) dari peserta tilawah yang diketuai oleh peserta dari Lubnan itu. Sedap memang sedap, malahan kerana lenggok Arab yang kaya dengan kemahiran maqam seperti maqam bayati dan maqam rast, nasyid itu menjadi menarik dan bersemangat. Tetapi apabila mereka mula bernasyid dalam bahasa Melayu yang antara jelas dan tidak perkataannya, rasa lucu tidak tertahan-tahankan lagi. Apa pun, terima kasih kepada mereka yang sungguh-sungguh bersemangat membuat persembahan pada malam penutup itu. Teringat pula pada Zaman Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu menjadi bahasa perantara di pelabuhan Selat Melaka. Bilakah akan kembali kegemilangan itu?


iii

Ukraine! Semalam sewaktu pulang dari mengambil surat tamat praktikal, saya ternampak Vice Rector (Naib Cancelor) CSMU, universiti tempat saya menuntut, Asst. Professor Sakhaltuyev Andrey Dimitrevich bersama presiden MSC, saudara Durairaj di perkarangan Hospital Serdang. Mahu sahaja saya berhentikan kereta dan melihat lebih lama atau sekurang-kurangnya turun dan bertanya khabar, tetapi tempat letak kereta di tepi jalan agak penuh dan saya pula perlu segera pulang.

Terkejut pun ada, sedikit bangga juga ada. Saya hampir-hampir sedikit brek mengejut. Mujur kereta yang dipandu tidak terlalu laju. Entah apalah yang dilakukan beliau bersama kamera video tangan di hadapan hospital itu. Tiada pula sesiapa yang berhormat mengiringi beliau, maka sudah pastilah ia suatu lawatan tidak rasmi. Apa pun, semoga ada kebaikan dari lawatan beliau. Sekurang-kurangnya ada juga inisiatif datang ke Malaysia melihat-lihat hospital di sini. Pasti beliau dibawa melawat hospital-hospital utama di Malaysia sambil jalan-jalan bercuti makan angin. Beliau antara pentadbir CSMU yang saya hormati kerana sifat rendah dirinya. Saya tumpang gembira kerana beliau sudi datang melawat negara ini. Semoga di masa-masa akan datang, doktor-doktor di sana pula datang melihat-lihat teknologi perubatan di negara ini. Barulah ada ‘give and take!’



Hujan sudah berhenti
Tapi burung belum berkicau lagi
Ke manakah?

Sure Khatan 2008 : Melebar Ukhuwah, Mengenal Diri

Terengganu. Empat hari saya di sana sempena program Sure Khatan 2008 di Kg. Pak Ba, Setiu. Pengalaman mengkhatankan murid-murid sekolah dari dua buah kampung adalah antara kenangan yang manis dan teristimewa buat saya. Dua malam tidur di rumah keluarga angkat serta mendapat ramai kenalan baru juga meninggalkan memori-memeori indah yang pasti sukar luput dari ingatan.

Kemudian percutian di Pulau Perhentian lagi-lagi mengingatkan saya betapa Allah Maha Agung dan Indah. Pertama kali melakukan aktiviti snorkeling’ dan melihat dasarnya laut di Pulau Perhentian itu, diri rasa betapa kerdil dan kecil di muka bumi Allah ini. Subhanallah, pemandangan yang tidak terucapkan oleh kata-kata. Kalau kamu melihat ke dasarnya laut seperti kamu masuk ke sebuah dunia lain. Batu karang indah tersusun tak terusik. Ikan-ikan kecil berenang riang sambil main sembunyi-sembunyi di sebalik batuan. Cantik! Tak terungkapkan; pantai dan pasirnya, laut dan hidupannya, gunung-ganang nan tertancap gagah bersama pohonan hijau nan melambai. Alangkah! Ma Ajmala!

Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allahlah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh mahfuzh). (Surah Huud:6)

So, let the pictures tell d story...



Ceramah motivasi buat adik-adik UPSR


Bergerak menuju lokasi berkhatan


Rombongan pulut kuning...


Sek Keb Pak Ba-lokasi berkhatan


Masuk, masuk... jangan takut...


Mandi adat atau bersiram


Bersama keluarga angkat- Kak Ti sedang membungkus nasi lemak pelanggan

Indahnya Pulau Perhentian!












Penyu Terengganu - Sayang saya tidak berkesempatan melihatnya



Menulis saat hujan lebat membasah di luar
Angin pula kencang-kencang bertiupan
Mahu beritahu apakah?
Kuala Lumpur.

Monday, August 04, 2008

Selamat Pengantin Baru

Lama tidak menjengah blog. Sudah bersawang berjuntai-juntai tidak dibersihkan. Praktikal sudah selesai, cuti pun tinggal sebulan sahaja lagi. Aduhai, sayang pula rasanya mahu meninggalkan Malaysia tercinta! Walau hanya tinggal dua tahun lagi pengajian di bumi bekas Soviet itu, terasa seperti sangat lama lagi perlu menghirup udara sejuk beku di musim kedinginan, perlu bersabar melalui jalan-jalan kesesakan yang kadang kala becak kebasahan dek salji yang kecairan, rutin kehidupan yang rencam dan kalut serta episod-episod baru dalam kisah-kisah yang bakal tercipta semester depan. Bukan membenci negara itu, (waimma kadang kala selalu dibisik keresahan dan kegelisahan mendepani setiap getir ujian dan dugaan di bumi Ukraine ini) tetapi almaklumlah dalam diari kehidupan seorang penuntut, ujian dan dugaan itu adalah segala yang bernama pengalaman buat mematangkan diri menghadapi hari-hari kedewasaan nanti. Panjang pula bicara, tiada sudahnya sekadar mengeluh berbasa-basi di sini kalau tidak disertai cita-cita dan keazaman yang tinggi.

Without ambition one starts nothing.
Without work one finishes nothing.
The prize will not be sent to you.
You have to win it.
So, lets strive and kid for the best!

Di kesempatan ini juga saya mahu mengucapkan tahniah buat sahabat-sahabat yang telah selamat membina masjid pada minggu lepas. Apa-apa pun semoga kehidupan kalian dirahmati Allah sehingga ke akhir hayat.


2 Ogos 2008 - Sakeenah dan Mashkur di hari bahagia mereka.



Raja sehari - Warna ungu menjadi tema di hari perkahwinan



Seronok bertemu kawan-kawan dari sekolah lama



3 ogos 2008 - Kak Mahsoonah Qudsy dan Thawfeekul Ameen

Sebelum akhirnya, sebuah nasyid dari kumpulan Hijjaz - Selamat Pengantin Baru khas buat sahabat-sahabat yang baru mendirikan rumah tangga. Selamat tabah dan sabar hadapi liku-liku kehidupan baru!

Selamat Pengantin Baru - Hijjaz

Bila dua hati dah terjalin
Selamatlah pengantin kami doakan
Moga redha allah bersinar selalu
Tanda bermula bahtera hidup

Dalam melayari bahtera rumahtangga
Ada masa tenang dan masa gelisah
Jangan nafsu diikut melulu
Sabar dan kemaafan itu perlu

Beginilah resam manusia
Tak lari dari ketentuan ilahi
Suami ketua isteri pembantu
Menongkah hidup saling berpadu
Susah dan senang hadapi bersama
Moga kekal keanak cucu
Moga kekal hingga ke syurga

selamat pengantin baru - hijjaz

p/s : Dengar khabar dalam diam-diam sudah dua pasangan mengikat tali pertunangan pada bulan lepas, Kak Mas dan Akasyah, serta khabarnya Kak Nana dan Iqbal. Dan InsyaAllah satu lagi pasangan bakal bertunang pada 17 Ogos ini, juga salah seorang sahabat saya, Sarah Shazwani dan Ismail Hamzah. Tahniah buat kalian semua. Wah, semakin berseri-seri bumi CSMU nanti dengan kehadiran pasangan-pasangan barakatillah ini.




Menulis untuk pengantin baru!
Tatkala burung riang berkicau,
mentari pula dibayangi awan.
Kuala Lumpur.