i
Ukraine! Lima hari lagi akan berangkat pulang. Apa satu pun belum dikemasi lagi. Satu dua minggu belakangan ini bayang negara bekas Soviet itu kerap kali menerjah kotak fikir. Bukan kerana harus menempuh fasa-fasa baru pengajian, malah itulah yang ditunggu-tunggu kerana berbulan-bulan tanpa kuliah dan kelas, terasa berkarat segala ilmu perubatan yang seciput ini. Namun segala rasa yang bercampur baur inilah yang sering datang mengganggu; tanggungjawab, pelajaran, persahabatan, mehnah kehidupan seharian, aktiviti sosial, yang mana segalanya harus diimbangi dengan baik dan matang.
Pasti dan pasti rasa-rasa yang tidak elok itu datang daripada bisikan syaitan laknatullah, musuh ummah sepanjang zaman. Itulah, diri seringkali terlupa bahawa kehidupan adalah suatu ibadah dan ibadah memerlukan mujahadah sedangkan mujahadah itu tidak pernah sunyi daripada ujian. Firman Allah, “(Allahlah) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Mulk:2). Dalam perlumbaan itu, pasti dan pasti akan pernah jatuh tersungkur, rebah terduduk dek ujian yang diberi. Kesabaran dan keyakinan kepadaNya jualah yang memberi kekuatan meneruskan larian menuju capaian matlamat. Seringkali pula diri mengeluh, mengadu, merintih menangisi segala keperitan kepadaNya kerana sudah tak termampu, tak terdaya lagi mengharungi tribulasi ujian yang menduga. Imam Bukhari rhm ketika bermunajat dengan Allah, pernah berbisik-bisik mengatakan: “Bukan aku tidak tahan dengan ujian-Mu ya Allah, cuma hendak mengadu pada-Mu, tempat aku kembali nanti, memohon ketenangan, keampunan dan mutmainnah.”
Sekian, tazkirah untuk diri sebagai penguat semangat sebelum mula mengemas beg. Alahai…
ii
Ukraine! Antara wakil-wakil negara Islam yang dipanggil satu demi satu ke pentas utama, Ukraine adalah negara yang tidak tersangkakan oleh saya untuk menghantar wakil ke Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-50 yang diadakan di Pulau Wan Man, Terengganu baru-baru ini. Tiba-tiba rasa bangga menguasai diri yang hina ini sebentar. Ukraine? Ya, saya memang tidak percaya. Adakah saya tersalah dengar? Tidak mungkin. Bahkan sekeluarga saya yang menonton turut mengesahkan. Benarlah itu peserta dari Ukraine yang sedang berjalan ke pentas utama untuk menerima sijil penyertaan serta cenderahati daripada YTM Tuanku Mizan Zainal Abidin. Dari rias wajahnya yang tersenyum malu-malu, pemuda yang saya kira berusia dalam awal 20-an itu bukanlah personaliti yang penting atau terkenal pada malam itu. Malah beliau merupakan peserta terakhir yang dipanggil untuk menerima cenderahati. Sayang sekali saya terlepas dengar persembahan tilawahnya. Melihatkan peserta itu berjalan lekas-lekas ke pentas utama, pasti kamu menekanya sebagai penganut agama Kristian jika kamu bertemunya di luar tanpa kopiah dan jubah putih labuh yang dipakainya pada malam itu.
Bagi saya, penyertaan negara seperti Ukraine adalah sesuatu yang agak luar biasa. Manakan tidak, majoriti penduduknya merupakan penganut Kristian Katolik yang tegar. Penduduk beragama Islam yang kebanyakannya merupakan orang-orang Tatar dari Uzbekistan hanya mendominasi sebahagian kecil negara itu terutamanya di Pulau Crimea tempat saya belajar. Benar, Ukraine dahulu merupakan salah sebuah jajahan takluk Empayar turki Uthmaniah dan pernah terkenal kerana gahnya Islam, kerana hebatnya ulama’ di situ dan mungkin atas sumbangan yang dimainkan bangsa Tartar yang telah diberi mandat oleh kerajaan Turki Uthmaniah untuk memerintah. Namun selepas Russia mengalahkan kerajaan Turki Uthmaniah pada tahun 1777, sehingga hari ini Islam di bumi Ukraine adalah sesuatu yang asing, sesuatu yang terlalu amat minoriti dan penganutnya acapkali dipinggirkan dalam apa jua bidang dan lapangan. Mahu mencari Islam di Ukraine seperti mencari Islam di Italy, ada tetapi sedikit, ada tetapi sukar, ada tetapi seperti tiada.
Ukraine dalam peta dunia memang besar, tetapi kalau ditanya kepada sebahagian rakyat Malaysia, hampir semua menggeleng kepala tidak tahu di mana letaknya negara itu. Sedangkan Ukraine itu menjadi terlalu amat signifikan kepada saya hanya selepas saya dihantar belajar ke negara itu. Jika tidak, saya sendiri pun tidak tahu menahu tentang wujudnya sebuah negara bernama Ukraine. Seperti pernah ku dengar, tapi di mana ya? Di Russiakah? Siberia? Di mana ya? Adakah wujud sebuah negara bernama Ukraine? Tetapi pada malam itu, sebuah negara bernama Ukraine yang agama rasminya adalah Kristian Katolik telah menghantar wakilnya ke Malaysia untuk menyertai tilawah peringkat antarabangsa itu. Bagaimana ia terjadi, saya masih terrtanya-tanya. Adakah ini kali pertama atau saya yang tidak tahu bahawa Ukraine itu telah bertahun-tahun menghantar wakil? (betapa dungunya saya!) Suatu gabungan rasa yang entah apa tetapi hanya terlahir oleh sebuah senyuman. Ukraine tempat saya belajar itu? Ah!
Barukisu :
· Tercengang-cengang mendengar persembahan bacaan Johan Qari Tilawah Al-Quran, Mu’min Mubarok dari Indonesia. Terasa-rasa betapa indah dan hebatnya kalam Allah. Terasa-rasa mahu belajar membaca quran secara tarannum, qiraat tujuh imam, dan hikayatnya sekali. Ah, jahilnya!
· Lucu mendengar persembahan nasyid bertajuk ‘Qulna Ahlan’ (Selamat Datang) dari peserta tilawah yang diketuai oleh peserta dari Lubnan itu. Sedap memang sedap, malahan kerana lenggok Arab yang kaya dengan kemahiran maqam seperti maqam bayati dan maqam rast, nasyid itu menjadi menarik dan bersemangat. Tetapi apabila mereka mula bernasyid dalam bahasa Melayu yang antara jelas dan tidak perkataannya, rasa lucu tidak tertahan-tahankan lagi. Apa pun, terima kasih kepada mereka yang sungguh-sungguh bersemangat membuat persembahan pada malam penutup itu. Teringat pula pada Zaman Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu menjadi bahasa perantara di pelabuhan Selat Melaka. Bilakah akan kembali kegemilangan itu?
iii
Ukraine! Semalam sewaktu pulang dari mengambil surat tamat praktikal, saya ternampak Vice Rector (Naib Cancelor) CSMU, universiti tempat saya menuntut, Asst. Professor Sakhaltuyev Andrey Dimitrevich bersama presiden MSC, saudara Durairaj di perkarangan Hospital Serdang. Mahu sahaja saya berhentikan kereta dan melihat lebih lama atau sekurang-kurangnya turun dan bertanya khabar, tetapi tempat letak kereta di tepi jalan agak penuh dan saya pula perlu segera pulang.
Terkejut pun ada, sedikit bangga juga ada. Saya hampir-hampir sedikit brek mengejut. Mujur kereta yang dipandu tidak terlalu laju. Entah apalah yang dilakukan beliau bersama kamera video tangan di hadapan hospital itu. Tiada pula sesiapa yang berhormat mengiringi beliau, maka sudah pastilah ia suatu lawatan tidak rasmi. Apa pun, semoga ada kebaikan dari lawatan beliau. Sekurang-kurangnya ada juga inisiatif datang ke Malaysia melihat-lihat hospital di sini. Pasti beliau dibawa melawat hospital-hospital utama di Malaysia sambil jalan-jalan bercuti makan angin. Beliau antara pentadbir CSMU yang saya hormati kerana sifat rendah dirinya. Saya tumpang gembira kerana beliau sudi datang melawat negara ini. Semoga di masa-masa akan datang, doktor-doktor di sana pula datang melihat-lihat teknologi perubatan di negara ini. Barulah ada ‘give and take!’
Hujan sudah berhenti
Tapi burung belum berkicau lagi
Ke manakah?
6 buah bicara:
Kak su lemah pasal geografi... teraba-raba minda ni mencari dimanakah lokasi negara ni. Biasa dgr namanya tapi tak tahu kat mana. Teruk kan? huhu...
Semoga terus bersemangat utk berjuang menuntut ilmu disana. Jadikan ilmu yg dicari bukan hanya utk bekal di dunia, tapi juga utk bekal di akhirat nanti....
Hujan sudah berhenti
Burung belum berkicau lagi
Kemanakah?
Burung masih disarang le sayang, hari belum siang... :)
InsyaAllah, will do y best! Will try my best!!! All d best for me!!! InsyaAllah!!!!!!
Burung terus tertidur di sarang, sedap sgt agaknya...hujan2 gini kan sejuk je....
http://nuraqil.iluvislam.com/
salam perkenalan...
dari bumi sakura?
hait!
ganbare!
Moga2 Ramadhan kali ni lebih bermakna.
Salam ukhuwah.
Hurm, begitulah, tapiseronok juga kadang2 puasa di perantauan... suatu pengalaman yang menarik!!
InsyaAllah, salam ukhuwah kembali...
Post a Comment
Assalamualaikum teman-teman, terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak bicara kamu, sekurang-kurang kalian telah hadir menceriakan hari-hari saya di persimpangan ini. Jazakumullah!!