Wafeya

Mata ke bumi, hati ke langit

Sunday, October 27, 2013

Perempuan, hujan dan kesetiaan cont.


"Waf, bangun."

Sepi.

"Bangunlah Waf…".

Zuq mencuba sekali lagi setelah dilihatnya Wafeya sedikit pun tidak berganjak dari tidur yang lena. Memang Wafeya agak liat sedikit bangun paginya tetapi tidaklah begini lama.

"Waf, bangunlah…!" Sedikit keras, Zuq menggoyang-goyangkan bahu Wafeya.

Hanya terdengar rengekan halus, bertukar menjadi dengusan nafas yang lemah.

"Kenapa ni, mengada sangat ni?"

"Mmamm", Wafeya berbunyi.

"Apa?" Zuq mendekatkan telinganya, terasa hawa panas berbahang semakin dia mendekati Wafeya, tangannya pantad menyentuh dahi, leher dan badan isteri kesayangan.

"Demam…", perlahan Wafeya mengulang. 

"Ya Allah… sayang abang, macam mana boleh demam, semalam sihat je bergelak ketawa bagai".

"Semalam hari semalam…" Wafeya sempat menjawab.

Zuq tersengih perlahan, selimut Wafeya ditarik, dan dirangkul Wafeya kemas dalam pelukan, diusap kepala dan dibaca selawat serta sedikit doa syifa’. 

Kemudian perlahan diurut bahu Wafeya dan digenggam kemas. Wafeya dipimpin ke bilik air.

"Sayang ambil wudhu’ dulu, takpelah hari ni tak payah…"

"Tak payah solat?"

"Eh, apa pula! Suka hati dia je… tak payah ikut jemaah kalau tak larat, abang solat dulu, nanti sayang ikut kalau mampu, okay?"

Wafeya mengangguk lemah kemudian menutup pintu bilik air. Lemah badan sangat mencengkam, ditambah sekalian sendi yang seperti tidak mahu berfungsi dengan baik. Dia redha. Mujur hari ini cuti hujung minggu. 

Barangkali disimbah hujan semalam dan dia degil, tidak mahu berpayung; beralasan yang bukan-bukan - kerana malas mahu membawa payung yang basah selepas hujan.

Padan muka! Sendiri punya salah!

Selesai memberi salam, dan menciumi tangan Zuq, Wafeya segera membuka telekung dan ditinggal terus di dalam sejadah, perlahan dia terus ke katil dan menyambung baringan. Dia tidak mampu menahan kesakitan, segala otot-otot dan urat dirasakan pedih dan berbisa.

Zuq tidak menghalang. Faham benar dia. Langkahnya perlahan menuju almari kecil di sisi katil, kitab ‘Tarbiyatul Aulad fil Islam’ karya Almarhum Ust Nasih Ulwan kemas dipegang. 

"Hari ini kita baca kitab atas katil ye sayang".

Wafeya mengangguk lemah.

Selepas membaca ummul kitab dan doa pembuka, Zuq mencari-cari bab terakhir sekali yang dibincangkan mereka, sesekali mengerling senyap ke arah Wafeya yang telah pun memejamkan mata.

Haih… teruk benar demam dia ni nampaknya.

"Waf…"

Wafeya membuka mata perlahan, memandang Zuq dengan sedikit senyuman dari tenaga yang berbaki.
"Hari ini kita usrah atas katil je ye, abang baca dan Waf dengar."

"Giliran Waf kan hari ni…" Wafeya menyampuk lemah.

"Cik puan larat ke… Nak buka mata pun macam nak angkat guni beras…"

"Adui!" Satu cubitan hinggap di paha Zuq.

Sambil mengusap perlahan pehanya yang berbisa, Zuq menyambung.

"Okay, hari ni kita baca bab… ‘Membenci anak perempuan adalah perbuatan yang terkutuk’. Kalau Waf ingat lagi, kita sekarang di bawah tajuk besar - Perasaan psikologis terhadap anak."

"Baby girls are cute, why must people hate them?"

Soalan tersebut dibiarkan mati, terus Zuq membaca perenggan demi perenggan dengan penuh penghayatan. 

"Imam Muslim meriwayatkan bahwa Anas bin Malik r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang memelihara dua anak wanita hingga keduanya dewasa, maka ia akan datang pada hari kiamat dan jarak aku dan dirinya seperti ini - beliau mengenggamkan jari jemarinya-

"Kesimpulannya, anak adalah rezeki Allah, apa yang direzekikan Allah semuanya tentulah yang baik-baik, yang buruk dan tidak sempurna itu ada tetapi pastilah sebagai ujian, yang sempurna dan indah pun adalah ujian, dan amanah. Kita hanyalah pemegang amanah dan hamba yang diuji. Setiap amanah dan ujian yang dilalui dengan baik, inshaAllah tidak sia-sia."

Zuq menamatkan kata.

"Indahnya orang beriman, mendapat nikmat bersyukur, ditimpa musibah, dia bersabar…" 

Wafeya tiba-tiba menyampuk dalam lena dan lemah.

Zuq tersenyum sambil mengusap rambut Wafeya kemas. Tidak tahu samada penyataan tersebut berkaitan dengan usrahnya tadi ataupun sekadar kata-kata Wafeya yang diserang demam panas.

"Ingatkan sudah terbang singgah ke mana-mana. Terima kasih kerana masih mendengar. Makan ubat ye lepas ni.

Wafeya tarik senyuman senget sebelah, menggeleng dan perlahan menutup mata. Lemah benar rasanya.

Zuq mengeluh, menarik selimut menutupi tubuh isterinya yang menggigil kesejukan. Dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu betapa risaunya dia. Kalau sekadar Wafeya yang demam, tidaklah dia berhati galau sangat, tetapi ah, Wafeya membawa satu nyawa lagi dalam kandungannya - anak mereka dengan uri bawah yang mudah berdarah walau ada sedikit komplikasi.

Ya Allah, ringankanlah. Zuq berdoa sungguh-sungguh.

"Waf rehatlah ye, nanti abang buatkan sarapan."

Zuq mencium dahi isteri kesayangan. Sayu.

"I love you Waf, whatever it is. Sleep well, sayang."

1 buah bicara:

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)
 

Post a Comment

Assalamualaikum teman-teman, terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak bicara kamu, sekurang-kurang kalian telah hadir menceriakan hari-hari saya di persimpangan ini. Jazakumullah!!