Wafeya

Life is a serious matter.

Sunday, February 08, 2009

Beberapa perkara...

(Amaran awal: Entri ini paaaannnjanng sangat!)

SATU : Kecil Hati
Lapangan Terbang Girona, Sepanyol

Bersabar. Itulah rasanya perkataan paling sesuai mengisi hati waktu itu. Saat ditolak sedikit demi sedikit ke belakang, masih juga cuba bersabar. Susuk tubuh Asiaku yang kecil tidak akan memungkinkan aku bergerak naik tangga memasuki kabin dengan mudah seterusnya memilih tempat duduk yang disukai. Ini penerbangan murah, maka tempat duduk tidak ditetapkan angkanya. Free sitting. Pulang ke Ukraine, sudah boleh dijangka situasi ini akan dihadapi (sepanjang kembara ke negara-negara Eropah lain tidak pula berlaku perkara ini, penumpang semua beratur dengan tertib). Ukraine yang baru 18 tahun merdeka ini, masih jelas belum dapat menerima orang asing dengan baik lagi. Aku yang kecil ini pula terpaksa beralah memberi laluan kepada mereka yang badannya dua kali ganda besar dariku. Wahai hati, tabahlah!

Betapa pun aku berasa kecil hati dengan Ukraine dan orang-orangnya, tidak dinafikan negara ini banyak berjasa padaku. Ya, aku belajar menjadi dewasa di sini. Nanti, sebelum pulang setelah tamat tahun akhirku di sini, akan kusalam berjabat tangan dengan mereka (wanita sahajalah), mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana sepanjang-panjang aku di Ukraine, susah dan payah yang dilalui, pahit dan manis yang ditempuhi, merekalah antara karakter-karakter antagonis yang sedikit sebanyak mendewasakan seorang aku. Nantilah! Ucapan terima kasih itu akan kuhambur jua, belum tahu dalam pilu atau gembira. Yang pasti, perjuanganku masih bersisa satu tahun setengah lagi di Ukraine. Ada lagi kisah-kisah yang bakal tercipta dalam episod-episod kehidupan yang akan datang. Tersenyum, dan mata pun mulai terkatup rapat saat kapal terbang Wizz Air yang dikelolakan oleh syarikat penerbangan dari Hungary itu mula berlepas naik ke angkasa meninggalkan Lapangan Terbang Katowice, Poland menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kiev, Ukraine. Cuti sudah habis, dunia khayalan harus ditinggalkan, dunia nyata menanti di hadapan. Ah, kembara ini berakhir di sini, tetapi kembara hidupku masih jauh penuh berliku. Panjang jalannya tidak kutahu, tetapi destinasi akhir sudah dipasti. Persoalannya, bersedia atau tidak? Yang aku tahu, aku telah pun terlena keletihan.

DUA: Oncology

Oncology. Cycle pertama untuk semester baru ini. Subjek difzacut dan gurunya pula Dr. Rahul. Itu seingatnya khabar yang saya terima usai menjejak kaki ke hostel pulang dari kembara. Lelah dari berjalan jauh belum lagi hilang, perlu pula menghadapi pelajaran berat ini. Bukan mengeluh, sekadar mencuit sedikit simpati untuk diri. Simpati yang nyata ditata hati sendiri. Ah, hati biar kering, bak kata Iliana. Lantas kekuatan dan mood belajar diredah dan dicari kembali. Semangat perlu dibina, jangan mudah mengalah!

TIGA: Kelupaan


 
Ini nama saya yang ditulis Dr. Rahul. Saya tidak pernah lupa menulis nama pada buku. Kerana kelupaan dan kerana terlalu memikirkan perkara-perkara yang saya angkat menjadi penting seperti membuat nota, mengulangkaji dll, nama sendiri terlupa untuk ditulis. Kebiasaannya Dr. Rahul akan menyemak nota-nota yang dibuat oleh pelajar sambil bertanya soalan-soalan maut berkaitan topik yang bakal dibincang pada hari tersebut. Melihatkan buku tanpa nama itu, dia lantas bertanya, dan saya pula pantas memperakui hak milik.

“Lain kali, tulis namanya di sini”.

“Maaf, cikgu. Saya terlupa”.

Dan tanpa bicara lagi, nama saya ditulisnya pada kulit buku tersebut. Oh, saya bukan berasa lagi terhormat (seperti kata kawan-kawan), malahan rasa malu dan terhinanya, apabila nama sendiri ditulis oleh guru di buku sendiri. Nampak teruk benar bukan? Ini bukanlah hari pertama kalau mahu beralasan menggunakan buku baru sekalipun dan saya bukanlah kanak-kanak tadika yang baru hendak mengenal ABC 123. Perkara itu nampak kecil, malah remeh mungkin tetapi itu antara ciri-ciri penting kalau mahu menjadi seorang doktor yang baik. NAMA SENDIRI JANGAN LUPA TULIS. Ah, itulah jadinya kalau yang kecil sudah dianggap tidak penting. I really need to sort out my priorities!

EMPAT: Poster peringatan


Tidak tahu siapa yang meletakkan peringatan ini di lobi hadapan 5th hostel tempat saya menetap. Tahu-tahu sahaja, sewaktu melangkah keluar meninggalkan hostel untuk kembara selama seminggu lebih, poster bertulisan tangan ini sudah tertampal molek di papan kenyataan. Dan bila kembali, ia masih lagi cantik tidak terusik sehingga kini. Entah yang lalu lalang peduli atau tidak, saya tidak pasti. Tetapi yang saya tahu, ini tentang Palestin. Hadith ini menjentik hati saya yang mengaku sayangkan saudara seIslam di Gaza sana. Saya tabik hormat pada yang menulis dan menampal. Moga Allah memberi ganjaran besar buat kalian. Ini juga namanya perjuangan walau sekecil tulisan tangan di atas kad manila putih.

LIMA: Beli barang boikot

 

Tangan acapkali mencapai Johnson’s and Johnson’s, Nestle Cornflakes, Danone dan ah, beribu lagi barangan yang didanai Israel. Kali ini, harus tegas! Baru hendak biasakan diri barangkali, setiap kali harus memeriksa troli kalau-kalau terambil jenama-jenama yang perlu diboikot. Kalau ada, perlu diletakkan balik ditempatnya dan diganti dengan jenama lain. Ya, bukan senang. Naluri dan nafsu telah terbiasa dengan jenama-jenama itu. Hati perlu dididik, jiwa perlu dibentur. Walau tidak ke Gaza membantu, (sebenarnya tidak buat apa-apa langsung pun) ini sekurang-kurangnya, saya harap dapat membantu. Moga-moga.

Muat turun indeks jenama yang perlu diboikot dalam format PDF
Kak Chik juga ada berkongsi kod-kod rahsia yang penting. Tengok di sini.

ENAM: Politikus menikus

Tidak mahu cerita panjang. Saya bukan pakar penganalis politik. Bermain politik adalah sesuatu yang saya akan cuba jauhkan nanti. Namun separuh darah dalam diri saya mengalir darah dari negeri itu. Terasa sedikit. Terkesan memanjang. Rasa ingin diluahkan juga walau secubit. Melompat-lompat begitu seperti perangainya orang tidak berprinsip. Orang tidak berprinsip bagaimana mahu memimpin rakyat jelata? (Saya tidak kisah parti mana pun kamu tetapi jangan jadi pemimpin kalau tidak tetap hati, ya). Pegang Islam elok-elok dalam memimpin pasti takkan terjadi perkara-perkara begini. Setuju tidak? Ah, saya hari ini melihat politik di Malaysia seperti keanak-anakan. Apa pun jangan lupa, marga rakyat sekalian adalah pemerhati politik paling baik. Tamat.
"Tiap-tiap seorang dari kamu adalah pemimpin. Justeru itu kamu adalah bertanggungjawab terhadap mereka yang di bawah kepimpinan kamu. Ketua Negara adalah bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Ketua keluarga adalah pemimpin kepada ahli keluarganya dan akan ditanya tentang kepimpinannya..."
p/s: Saya tertarik dengan pendapat penulis blog ini tentang isu ini.
     Ibnurashidi juga membahaskan isu ini dengan bernas sekali. Jom baca!

TUJUH: Istanna Suwayya! Fi eh Kaman?


Jangan tidak tahu, saya sebenarnya baru sahaja habis membaca AAC. O-ops, saya dengar tahu, bahawa kamu sedang ketawakan saya. Ketawalah. Dahulu, sewaktu kawan saya mengunjuk dua buah buku untuk dibaca, saya pilih Tautan Hati (yang tidak habis pun saya baca malah sudah dipulangkan semula) kerana saya fikir AAC berkisar tentang cinta sahaja (itulah, terlalu pesimis!). Selepas menonton filemnya juga, saya masih belum mahu membaca AAC (bodoh sombongkan?) Akhirnya selepas membaca kritikan Ayu Utami di dalam Berita Harian tentang novel AAC, kemudian diikuti pula oleh diskusi di grupyahoo GKLN, saya rasa jadi sangat jauh terkebelakang (padan muka!). Lantas, usai peperiksaan tamat, saya cuba meminjam novel ini dari kawan saya dengan susah payah (kerana telah bertukar-tukar tangan). Akhirnya, novel ini saya bawa semasa kembara dan saya baca ketika menanti waktu berlepas dan juga sewaktu di dalam kapal terbang. Habis kembara, habis buku ini saya baca. Lain benar dari filemnya! Itu yang tersembul di benak saya. Membaca AAC, saya akui, langgam bahasanya indah makar, sampai dan terkesan. Cabang ilmu yang dikongsi penulis, Saudara Habiburrahman El-Shirazy begitu meluas. Watak-watak yang dimainkan begitu cantik tersusun berhubung antara satu sama lain lantas plot dianyam dengan sangat baik. Ini novel dakwah dan ya, bernafsu kebenaran. Tetapi bukankah baik kalau bernafsukan kebenaran? Melainkan kalau kita tidak mencari kebenaran, maka kita tidak merasa bahawa bernafsukan kebenaran itu sesuatu yang baik, kan Ayu Utami? Yang pasti, membaca novel ini, saya tidak membaca Ayat-ayat Cinta, tetapi saya membaca seorang Fahri, seorang Aisha, seorang Maria dan seorang Nurul. Oh, dan tidak lupa juga keluarga Kristian Koptik Tuan Boutros itu. Selepas ini, saya harus ada semangat belajar seperti Fahri dan buat peta 10 tahun ke hadapan. Bukan main-main. Saya beriltizam, bukan berazam. Mudah-mudahan. Jangan gelakkan saya!

LAPAN: Digital Fortress - Suatu kejutan


Apa yang istimewanya buku ini? Ya, saya suka baca buku-buku tulisan Dan Brown. 'Tukang pecah minda'. Itu panggilan saya kepada Pak Cik Dan Brown ini. Saya walhal baru sahaja membaca dua dari empat novel terlaris beliau, Deception Point dan inilah, Digital Fortress. Jadi, apa istimewanya buku ini kepada saya? Novel ini saya jumpa dijual dengan harga murah penghabisan stok sewaktu kembara ke London tempoh hari. Saya sangat-sangat ingin membelinya, tetapi wang yang saya ada ketika itu, cukup-cukup untuk membeli barang pesanan ayah. Bukukah atau ayah? Akhirnya, dalam dilema, saya tinggalkan buku dan saya beli barang pesanan ayah. Sedikit terkilan tapi saya pasti bisa terubat nanti kalau melihat senyuman ayah terlukis tatkala menerima barang yang dipesannya. Itu lebih indah, saya kira. Tetapi tahu bagaimana saya mendapat buku ini? Rupanya, kawan saya Farhana membelikan (ya, saya ada memesan, kalau terjumpa nanti, harap dapat tolong belikan, ongkosnya nanti saya bayar kemudian), ketika kembaranya ke London yang berkebetulan selepas saya. Oh, oh, oh, tidak saya sangka, sewaktu saya datang mengambil buku ini, dia telah pun siap meletakkannya dalam beg kertas kecil yang comel dan dengan selamba berkata, “ Bal, ini sebenarnya nak bagi hadiah untuk hari jadi nanti”. Saya terkejut sambil malu-malu berkata, “Eh, tapi hari jadi saya lambat lagilah…”. “Alah, siapa yang suruh datang ambil awal”, balasnya kembali. Ah, kejutan begini, bisa buat hati saya jadi tambah terharu. Lama mengenali Farhana, dia memang seorang kawan yang baik. Farhana, saya sayang kamu!!
Dalam satu hadits mursal, Imam Malik di dalam Al-Muwatha' mengeluarkan hadis dari Atha' ibn Abdillah al-Khurasani bahawa Rasul saw. pernah bersabda:
Saling berjabat tanganlah kalian, niscaya akan hilang rasa dengki; dan saling memberi hadiahlah kalian, nescaya kalian akan saling mencintai dan akan lenyap rasa permusuhan (HR Malik).

SEMBILAN: The Arrivals
These series explores the revelations in world religions regarding the arrivals of the Antichrist Dajjal, Imam Al-Mahdi, and The Second Coming of The prophet Isa a.s. A work inspired by Hashems Films and of course the words of the Noble Quran, The Holy Bible, and The Torah, The Arrivals is a joint production by truthseekers Noreagaaa , Achernahr and The Wakeup Project.

Saya belum habis tonton lagi siri ini. Saya syorkan kepada kamu untuk rajin-rajinkan diri menonton di sini. Banyak maklumat yang saya perolehi, Alhamdulillah. Kita jahil tentang ini, atau sebenarnya kita tahu tetapi terlupa, atau kita sengaja buat-buat lupa kerana malas untuk ambil tahu. Apa-apa sahajalah.

Kalau rajin, boleh muat turun gabungan video-video yang sudah disatukan menjadi filem/dokumentari (barangkali) di sini. Saya sudah beberapa minggu muat turun tetapi belum habis-habis lagi kerana tiada orang yang seeding. Nanti kalau kamu muat turun, tolong seed sama, ya. Terima kasih.

The Arrivals - Trailer



The Arrivals Part One - Proof from the Holy Quran




SEPULUH: Syakir awi – Syakiruuun - Syukran a’la ziaratikum!

Sudah yang kesepuluhkah? Pertamanya maafkan saya kerana merepek dan merapu tidak tentu pasal dalam entri ini. Itulah jadinya kalau sudah lama tidak mengemas kini blog, segala di atas konon-kononnya adalah apa yang saya kumpul-kumpulkan untuk dikongsi bersama kalian, juga sebagai penyataan maaf saya kepada kalian kerana sudah lama tidak mengemas kini Barukisu. Nampak gayanya perlu membuat entri berjadual seperti Iliana selepas ini. Hehe. Ya, yang di atas hanyalah beberapa perkara yang tidak penting dan hal kecil yang remeh-temeh juga tidak perlu untuk dipedulikan. Tetapi bagi saya, adalah mutiara-mutiara pengalaman berharga yang saya kutip di sepanjang perjalanan dalam hidup saya. Kalau kamu membaca sampai habis, terima kasih saya ucapkan. Mohon maafnya atas segala kekurangan dalam entri ini dan juga jika tidak membawa sebarang manfaat kepada kamu. Juga terima kasih kerana masih sudi membaca di Barukisu. Sebenar pasti, saya bertuah kerana diizinkan Allah bertemu kalian semua yang sering datang berkunjung ke sini. Saya amat hargai. Barukisu bukan Barukisu pun tanpa kalian semua. Jazakumullahukhairan kathiran!!


Nota kaki:

Oncology - Cabang ilmu perubatan yang mengkaji segalanya tentang barah.
Cycle - Kitaran kelas sepanjang semester. Kelas Oncology selama seminggu, kemudian kelas Hospital 
             Therapy dua minggu, selepasnya Epidemiology selama tiga minggu. Begitu...
Dr. Rahul - Guru yang agak strict, sebab itu sedikit terasa kesusahannya belajar subjek ini. Apa pun itu 
                    tidak boleh dijadikan suatu alasan, bukan?
Subjek difzacut - Pelajaran di mana markah akhir kelas akan dimasukkan di dalam buku laporan pelajar
                             selepas menduduki ujian lisan. (Kira bukan peperiksaan besarlah, tetapi markahnya                             dikira, begitu...)
Istanna Suwayya! - Tunggu sebentar! (Petikan dari AAC)
Fi eh kaman? - Ada apa lagi? (Petikan dari AAC)
Syukran a’la ziaratikum! - Terima kasih atas ziarah kalian!
Syakir awi/Syakiruuun -  Bahasa A'rab a'miah(pasar) - guna untuk mengucapkan terima kasih. Oh,  
                                        saya kurang pasti sebenarnya).

Saturday, February 07, 2009

Sejujur permintaanmu; setulus doa dariku

 

Dari jauh sudah kelihatan dia tersenyum, tenang berjalan pulang dari sesi radioterapi yang harus dijalaninya sebagai rawatan prapembedahan. Saya dan Sakiah menegur mesra, bertanya-tanya khabar berbasa-basi kemudian meminta izin bertanya dua tiga soalan. Hari-hari sebelumnya beberapa data telah diambil, tetapi masa tidak mengizinkan, lantaran itu maklumat yang dikumpul tidak kecukupan untuk membuat laporan kes pesakit. Sesi soal jawab berjalan lancar, walau terdapat keciciran kronologi cerita yang disampaikan akibat sukar untuk memahami bahasa Russianya, namun cukup untuk dimuatkan dalam laporan. Orangnya penyabar. Bekas guru. Manakan tidak dilayannya kerenah kami yang suka mengulang-ulang soalan demi memahamkan isi ceritanya. Katanya, dia hanya sebatang kara. Dua anak lelakinya menetap di Russia bersama keluarga masing-masing dan dia telah lama kematian suaminya. Lantas saya bertanya, “Nenek tinggal seorang?” Dia mengangguk dan ah, tersenyum lagi. Pemurah sungguh dengan senyuman!

Terkadang bual bicara berganti gelak ketawa. Walau tidak berapa mengejar jalan ceritanya, tetapi kerana melihatkan dia tertawa lucu, kami akan turut sama berasa gembira. Bukan berpura-pura tetapi dia seorang nenek berumur 76 tahun. Hatinya perlu dijaga. Lantaran itu, kalau dia bersedih, kami seakan cuba merasa kepedihannya, kalau dia serius, kami akan berkerut kening cuba memberi perhatian dan kala dia tersenyum menampakkan baris-baris giginya yang masih tersusun elok, kami akan tersenyum sama. Namun, seperti biasa, waktu seringkali mencemburui, kami harus pulang ke kelas segera. Dan apabila saya khabarkan kepadanya, dia sekadar tersenyum, mengangguk tanda memahami. Tetapi hari itu, entah apa yang menggerakkan hatinya, tiba-tiba sahaja dia memegang dan mengenggam erat kedua-dua tangan saya sebelum sempat saya berdiri bangun.

“Tolong doakan saya”, katanya dalam bahasa Russia. Saya masih juga belum faham.

“Tolong doakan saya”, ulangnya lagi sambil memandang tepat ke mata saya. Saya memandang Sakiah, meminta kepastian. Sakiah mengangguk, “Ya, dia minta kita untuk mendoakannya”.

Saya memandang semula wajah nenek tersebut lantas mengangguk sungguh-sungguh.

“Ya? Nama saya Maria (bukan nama sebenar). Sebut nama saya dalam doa kamu, ya? Doakan saya, ya? Hari Rabu ini, keputusan untuk pembedahan akan keluar. Tolong doakan saya, ya?" Genggamannya bertambah erat.

Saya lekas-lekas mengangguk, tidak mahu lama-lama berdiri di situ. Tidak mahu memberi harapan. Pilu. Kalau mengikut rasa kemanusiaan ini, saya akan berdoa pada Tuhan, minta diringankan azab sakit yang ditanggungnya. Ah, manakan boleh! Saya lekas-lekas ucapkan terima kasih dan nanti kalau diberi peluang lagi, saya akan datang berjumpa nenek, kata saya. Saya tidak tahu apa yang bermain di hati saya saat saya meninggalkan wad bernombor 18 itu. Yang dideritai nenek ini adalah yang bernama barah! Masakan bisa sembuh benar! Nanti nenek, ya. Saya pasti akan doakan nenek. Semoga nanti nenek diberi hidayah oleh Allah sebelum hembusan nafas nenek yang terakhir. Itu, saya pasti akan doakan untuk nenek. InsyaAllah.


Terkadang,
tidak kita sedar,
perjalanan hidup kita,
singkat amat,
singkat, amat!

Tuesday, January 13, 2009

Sajak: We are - the tested one!

01.  Berjalan, Melihat dan Mentafsir (13-25 Januari 2009)
      (Bismillahi tawakkaltu a'lallah)

 
Dan apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka, sedangkan orang-orang itu adalah lebih besar kekuatannya dari mereka? Dan tiada sesuatupun yang dapat melemahkan Allah baik di langit maupun di bumi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa. (Surah Faathir:44)


02. For You - Ghazzah (and for Islam!) 
      (the tested people)


I wish,
I could be there;
Standing beside you,
throwing rocks  and shoes,
(or whatever my hand could grasp)
right on their hated faces.

I wish,
I could be there,
running with you;
brave, dauntless,
not looking back -
chasing them American bulldozers.
(if only I could kick their ass!)

I wish,
I could be there,
screaming out loud;
'Allahuakbar!'
facing them like,
I have a thousand more -
lives to spare.

I wish,
I could be there,
saving lives,
giving hopes,
and make less,
the heaps of -
the mounted dead bodies.

No, I won't cry,
but I would stay strong,
and be with you;
stand beside you,
run alongside you,
helping you!

Still,
a wish is nothing but -
a wish!
hence;  my du'a, my heart, my mind
will always be,
with you Ghazzah;
just for you!
( Allahumman suril Islama wal mujahideena fi ghazzah!)

Barukisu,
13 Januari 2008,
Simferopol,
Ukraine.




Dr.Jemilah (MERCY) trying to cross Rafah border to Palestine. May we all take courage from her.

*Gambar 01 - Kembara 2008 (Venice, Italy)

Sunday, January 11, 2009

Tag: Sepuluh Tentang dan Gambar di Google

Assalamualaikum wbt,
Segala puji-pujian ke atas Tuhan Pencipta Alam - Allah SWT, selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta seluruh ahli bait baginda, salam sejahtera ke atas seluruh umat Islam - yang tidur, masih lena, telah jaga, baru sedar atau sedang terpisat-pisat, mamai mencari duduk letak diri kala ini - doaku buat diri dan semua, semoga tetap terus thabat pada jalanNya, tetap - terus - thabat! Buat Gaza - bertahanlah!

Dua tag yang tertangguh - alhamdulillah selesai ditunaikan. (^-^)

Dozo!

TAG 01. Sepuluh tentang... (dari Kak Nurul Maya aka Damai)

1. Sesiapa yang kena tag, tulis 10 perkara berkenaan orang yang men'tag' dia.

 Taman Rama-Rama Pulau Pinang: Tengok apa tu, Kak Maya?

  1. Nama diberi Nurul Maya Binti Sharip
  2. Antara seniorku yang sungguh baik hati dan amat mengambil berat
  3. Kali pertama kenal rapat adalah pada tahun 2006 sewaktu Kak Maya menyertai usrah kami
  4. Seorang yang sensitif tetapi tidak lama rajuknya
  5. Suka bantu menyelesaikan masalah teman-teman seperjuangan apatah lagi kami adik-adik junior yang nakal ini!
  6. Kelihatan seperti manja dan lemah lembut, rupanya dalam kelembutan tersimpan sebuah ketegasan.
  7. Sering memberi nasihat-nasihat yang berguna dan berkongsi ilmu yang bermanfaat apabila ada sahaja peluang.
  8. Katanya mahu menjadi doktor pakar kanak-kanak terbaik, kan Kak Maya?
  9. Saya sebetulnya terkejut apabila mengetahui yang Kak Maya rupanya sudah mempunyai blog. Hehe...
  10. Apa-apa hal pun, Kak Maya memang best lah!
2. Orang yang kena tag kena tulis tentang dirinya.
 (Apa mahu goreng, ya? Hurm...)


 Yenikale Fortress: Saya sewaktu di pertanjungan Kerch, Ukraine. Seberang daratan sana adalah tanah besar Russia.
  1. Menya zavut Balqis binti Yahaya
  2. Anak sulung dari empat beradik. (Jadi, selalu kena tunjuk contoh yang baik-baik pada adik-adikku, oh!)
  3. Kalau tidak menjadi seorang doktor; mungkin seorang pustakawati di perpustakaan negara atau di perpustakaan-perpustakaan lain terkenal di dunia, membuka toko buku terkenal seperti Borders, MPH, Kinokuniya atau seperti kedai buku MARI BACA Kak Chik (tentunya kedai buku saya diberi nama Barukisu ltd.), pereka hiasan dalaman (suka menyusun atur barang dan perhiasan dalam rumah), pernah berangan-angan mahu menyertai pasukan CSI!
  4. Suka makan: Laksa, Nasi Ayam, Masak Paprik, Kangkung Ikan Masin, Ulam dan Sambal Belacan, dan apa sahaja yang saya selalu masak itulah yang saya suka makan. Mudahkan? (^_^)
  5. Sangat suka mengembara. Andai punya rezeki lebih, mahu jelajah serata alam menjejak kesan-kesan tinggalan manusia terdahulu, melihat hebat dan indahnya alam ciptaan Tuhan, oh!
  6. Suka juga bidang fotografi! (Ramai yang tidak tahu ini, oh!) dan hadiah hari jadi paling bermakna adalah buku! Oh, suka juga barang-barang yang funky.
  7. Mudah berasa kasihan kepada nenek-nenek yang sudah tua tetapi masih menjadi pengemis meminta sedekah, bekerja berat-berat mencari rezeki, kadang menjual barang-barang yang tidak/jarang akan dibeli. Oh, masih ada yang susah dan lebih susah dari kita! Melihat mereka sering buat saya terkenang arwah opah. Perginya tidak sempat saya bersua. Sedih, wo...
  8. Jika saya diam, boleh jadi saya; marah, sedih, geram, tidak suka, tidak setuju, sedang memikirkan masalah berat yang tidak mahu dikongsi, ada perkara yang merunsingkan fikiran, termenung kosong, sedang berfikir atau mungkin juga saya sekadar menyampah. Jadi, kadang-kadang orang selalu keliru apabila saya tiba-tiba sahaja menjadi pendiam. 
  9. Sebenarnya saya akui, saya tidak reti memulakan perkenalan seterusnya menjalin persahabatan, oh! Ada waktu, saya memang amat pemalu yang tidak kena pada tempatnya. (Tetapi ada waktu pula saya menjadi pemberani kala orang lain mahu berpaling ke belakang)
  10. Saya sangat sayang kedua ibu dan ayah (Oh, siapa yang tidak?). Merekalah teman baik di kala susah di kala senang, pendengar paling setia dan paling sabar, kaunselor saat saya kebuntuan, memberi nasihat dan teguran saat saya kesasaran, tidak akan meninggalkan saya saat saya berasa kehilangan. Ya Allah, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku sewaktu kecil!
Sebenar pasti, saya bukanlah insan sempurna (Oh, siapa pun tidak sempurna, bukan?). Saya tidak akan dapat menjadi seperti yang orang lain mahukan, saya adalah diri saya, terimalah saya seadanya, ya! Yoroshiku onegai shimas!

Alert: Menyambung ikatan persahabatan ini kepada:  Sarah Shazwani, Faiz Kamal, Sofie Nur dan Madziani!


TAG 02. Googling Google Images (dari Kak Chik)

"The rules are simple. Use Google Image to search the answers to the questions below. Then you must choose a picture in the first page of the results, and post it as your answer. After that tagged 5 people."

 1. Next year (2010), I'm
 2. I really want to go to...

  1. Hajj
  2. Gaza
  3. Places in this book
 3. My Favourite Places

  1. My cozy home
  2. Borders Bookshop
  3. My workplace (o'coz this isn't mine, lol)
 4. My Favourite Things 

  1. Collections of books
  2. Acer Aspire 4310 from mom and dad
  3. Old Sony Ericsson W580i (d pic shows d new one)
 5. My Favourite Drinks

  1. Milo
  2. Ice 'Limau' Tea
  3. Nestea (Ice Tea)
  4. Persian Earl grey Tea
  5. Citrus Green Tea
 6. My favourite Foods

  1. Laksa
  2. Ayam Masak Paprik
  3. Nasi Ayam
  4. Kangkung Ikan Masin
  5. Nasi Kandar
  6. Ulam with Sambal Belacan


 7. My Favourite Colours

  1. Green
  2. Light Purple
  3. Black and White
 8. I live in...
Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur

 9. I was born in

Penang General Hospital


 10. A nickname I had




 11. My College Major


 12. My Bad Habit

  1. Daydreaming
  2. Procrastinating

 13.  My Hobby

  1. Reading
  2. Blogging
  3. Travelling

 14. I wish...
  1. I could travel all around the world
  2. I could help the people in Gaza

Oh, mencabar sungguh tag yang satu ini. Apa pun terima kasih kepada Kak Chik kerana kini saya seperti baru mengenali diri sendiri setelah membuat tag ini, eheh...

Alert: Lantaran itu, saya serahkan cabaran ini kepada - Kak Nurul Maya (Damai), Kak Fakhzan, Iliana 
           dan Syahidah!

*Dozo! (Japanese) - Silakan!
*Menya zavut (Russian) - Nama saya
*Yoroshiku Onegai Shimas (Japanese) - Selalu guna waktu berkenalan (lebih kurang la)

Saturday, January 10, 2009

It's all because of...

(Amaran: Ini adalah entri kebudak-budakan. Tiada manfaat yang akan diperoleh setelah habis membaca entri ini. Segala kerugian masa adalah di bawah tanggungan anda sendiri)

01. Habis Sudah...

YATTA!!
Yatta! Yatta! Yatta!
Gembira bukan kepalang kerana sudah selesai berjuang - untuk seketika ini. (Kerana perjuangan semestinya takkan pernah selesai selagi hayat dikandung badan, betulkan?)

Omedetou Gozaimasu, Barukisu-chan!
(Mengucapkan tahniah kepada diri sendiri. Sungguh memalukan!)

Saat itu, akal pantas mewajarkan tindakan.

"Balqis, bukankah Alhamdulillah itu sebaik-baik ucapan saat ini?"

Ya. Dan hati mengutuki diri kerana kelupaan pada yang sentiasa memberi rezeki - Dia!

Syukur, Alhamdulillah.
"Jika kamu bersyukur pasti Kutambah nikmatKu kepadamu; sebaliknya jika kamu mengingkari nikmat itu, tentu siksaanKu lebih dahsyat. (Ibrahim: 7)

02. Adaptasi
(Mengada-ngada betul!)

Apa perasaan itu, ya? Setelah habis peperiksaan. Apa perasaan itu, ya? Lega, lepas, ringan? Sesuatu yang tidak terungkapkan - nikmat yang seketika itu. Ya, Tuhan! Segala puji bagi-Mu!

Lantas, sehabis melimpahkan ilmu seciput yang dikumpul-kumpul sebelum peperiksaan di hadapan sang guru dan kemudian pulang ke bilik, diri menjadi keliru sebentar. Periksa sudah habis, apa mahu buat, ya? Tika menyibukkan diri dengan buku-buku teks selama hampir seminggu dahulu, mencanak aktiviti-aktiviti serta perkara-perkara yang mahu dilakukan di dalam kotak fikir, tetapi sekarang? Oh, rasanya seperti mahu tidur tetapi mata tidak pula mahu terlelap. Seperti kekagetan juga ada. Untuk seketika, masih belum dapat menyesuaikan diri dengan suasana lapang dan bebas selepas berhempas pulas bergelumang membaca dan membaca dan membaca buku-buku yang penuh dengan teks sahaja.

Jadi, untuk adaptasi peralihan dari mode peperiksaan kepada mode lapang/bebas, saya - masih membaca, oh!


Habis buku-buku yang ada di bilik rakan saya pinjam dan baca. Tidak berat. Dan untuk pertama kali, saya membaca manga? Komik dan drama Jepun - rupanya tiada perbezaan. Huhu...

03. Demonstrasi Aman Palestin

Simferopol, tempat saya belajar - ada buat demonstrasi aman untuk Palestin pagi tadi dan saya - tidak mahu ketinggalan! Asal tujuan sebenar mahu membeli barang-barang untuk kembara tetapi setelah diberitahu malam sebelumnya tentang perhimpunan aman ini, diri jadi teruja mahu ikut serta. Sebenarnya, terkejut amat kerana tempat kecil seperti Simferopol ini, tidak saya jangka akan mengadakan perhimpunan seperti ini. Tetapi jelas bukan, di mana-mana sahaja pasti ada yang akan membantah, tidak menyokong, mengutuk, malah membenci amat-amat tindakan Israel laknatullah itu. Saya juga mahu menjadi sebahagian daripada mereka, walaupun hanya untuk seketika.

Oh, saya tiada di dalam video ini. Tetapi Kak Nurul Maya (Damai) ada kelihatan. Hehe

04. Tag

Selama saya meninggalkan blog ini, saya sudah di'tag' sebanyak dua kali. Satu dari Kak Nurul Maya (DAMAI) dan satu lagi dari Kak Chik. Tag yang menjadi semakin sangat peribadi. Oh, saya tahu bagaimana mahu membuat ia nampak tidak terlalu peribadi. Perlukah saya menulis tentang ini di sini? (Kesian kepada kamu yang membaca - "Balqis telah membuang masa saya!" - Oh, maafkan saya)

Nanti, sebelum saya pergi, akan saya selesaikan kedua-dua hutang tag tersebut, InsyaAllah!

05. Arigatou Gozaimasu!

Ini adalah sedikit selitan untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada ahli-ahli bilik 930 - Kak Bad, Kak Diana, Sakiah dan Solehah. Oh, tidak lupa juga kepada Kak Nor! Terima kasih kerana bermurah hati menumpangkan saya selama seminggu ini di bilik kamu dan menerima saya seadanya! Seronok belajar di bilik kamu! Terima kasih banyak-banyak!! Saya tidak tahu bagaimana mahu membalas budi baik kalian - nama kalian semua akan sepanjangnya berada dalam kalimah doa saya, selama saya masih disambung nafas oleh Tuhan, InsyaAllah! Ya Allah, berkati dan rahmatilah mereka yang menghormati dan memuliakan tetamu dhaif seperti saya!

06. Apa lagi yang tinggal?

Maaf, saya tidak punya entri yang bermanfaat untuk dikongsi kali ini. Sampai di sini sahaja. Terima kasih untuk segala doa dan kata-kata semangat dari kamu semua untuk saya. Benar, ia menjadi suatu dorongan yang hebat untuk saya membaca buku. (Hehe. Susah mahu memula dan membuka buku teks untuk membaca). Juga kepada sesiapa yang rajin singgah, membaca atau menegur di sini, terima kasih, ya! Sebenarnya, kadang-kadang saya buka juga untuk lihat dan baca blog ini saat kebuntuan memahami dan menghafal nota-nota! Jazakumullahu khairan kathiran... (^-^)

Yeah, it's all because of YOU!!!

-Entri Tamat Di Sini-

*Yatta - Yeay(?)
*Omedeitou Gozaimasu - Tahniah(?)
(?) - Er, saya tidak pasti sebenarnya, hehe.


Seketika ini, membaca entri-entri
yang telah saya ketinggalan
di blog-blog kalian...
Yosh!

Thursday, January 01, 2009

Semangat Sebuah Andalusia


Ketika Aisyah berkata kepada anaknya, Abu Abdullah daripada puak Bani Al-Ahmar, raja terakhir kerajaan Islam Granada pada tanggal 21 Muharram 897H, "Menangislah anakku seperti kaum wanita menangis, ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti seorang lelaki", maka saat itu berakhirlah era pemerintahan kerajaan Islam yang berkuasa selama 800 tahun di bumi Eropah kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella. Islam jatuh dengan amat hina sekali. Hampir seluruh penduduk Muslim dibunuh tanpa belas setelah diberi jaminan palsu akan keselamatan mereka oleh pemerintah Kristian. Waktu itu, kata-kata keramat Tariq bin Ziyad, “Wahai manusia, ke mana kau akan lari? Laut di belakangmu dan musuh di hadapanmu. Maka, tidak ada jalan lain untuk selamat kecuali berjuang berhabis-habisan," sewaktu menakluk Andalusia, pun tidak mampu memberi semangat kepada kaum muslimin yang sudah berpecah belah tika itu. 800 tahun bukanlah masa yang singkat, selepas umat Islam membangkitkan Sepanyol dan menjadikannya bangsa yang bertamadun berbanding bangsa Eropah, akhirnya Islam seolah-olah tidak pernah wujud di negara itu. Lalu, dari sejarah ini, kita tidak belajar sesuatukah?

Musuh Islam tidak akan pernah mengalah untuk menghancurkan Islam, dari setiap sudut apa pun. Maka, apakah kita sekadar terlongo melihat dan menanti? Ayuh, kalau boleh kita kembalikan kegemilangan Islam seperti suatu ketika dahulu, mengapa tidak bermula dari sekarang? Perjuangan menegakkan Islam tidak semestinya dengan mengangkat pedang, bukan? Ilmu juga adalah senjata. Lantaran itu - Selamat menghadapi peperiksaan buat semua. Tiada apa dapat saya berikan melainkan doa berpanjangan, usaha dan tawakkal itu tangga kejayaan kalau keduanya seiring dan sejalan! Andalusia, nantikan ketibaanku!

Oh, ya!

Dan Selamat Tahun Baru 2009 buat semua!

8 Januari 2009 - Obstetric and Gyneacology
(Doakan saya mudah menjawab nanti, ya!)