Sunday, October 12, 2008
Kisah I : Sibuuuukkknya!!! dan Kisah II : Sibuklah sangat ....
Sibuk?
Saya memang sibuk ...
Laporan kes pesakit belum siap lagi,
Nota kelas belum siap lagi,
Hometask belum tengok lagi (Hometask untuk kelas esok pun saya tidak tahu-isk),
Meeting postmortem Raya (minit mesyuarat dan laporan sudah pasti)
Lain-lain (Hal peribadi, tak payah tahulah)
Tapi sibukkah saya kalau ...
Sempat lagi menonton 'Kekasihku Seru' dan 'Pepaya'?
Sempat lagi buka kotak masuk akaun dan baca puisi-puisi ahli GKLN?
Boleh makan nasi lemak sambil tengok 'Pepaya'?
Boleh baca novel 'Hijab Sang pecinta'?
Boleh update, upgrade, upload, up____ blog ini?
Boleh post entri ini?
Memang banyak benda yang saya nak buat ...
Telefon rumah tanya khabar,
Memasak
Mendownload
Membaca buku 'From Beirut to Jerusalem'
Belajar Bahasa Jepun
Mengemaskini nota-nota kuliah
Tulis puisi/cerpen
Hantar puisi/cerpen ke GKLN mailgroup (sampai bila-bila pun berangan sahajalah =[ )
Banyaklah lagi ...
Tapi saya tidak dapat buat sebab ...
Sudah 7 jam saya menghadap skrin komputer riba ni,
Apalagi?
Tak sedar-sedar diri lagi ke?
Friday, October 10, 2008
Wednesday, October 01, 2008
Saya sayang kamu
dari ayah dan ibu yang bersatu,
membesar dalam erat kasih dan sayang,
Ukhuwah kita kekal menyatu...
Walau ada sepalit badai melanda,
tidak keruan sebentar.
Aku dan engkau tahu,
kita sedang diuji...
Terasa berat melewati dugaan...
Sekali-sekala Tuhan terkadang mengambil apa yang pernah diberi
Seraya ingatan bahawa tidak selama nikmat kita kecapi
Suatu hari dugaan pasti bertandang lagi,
Mengetuk leka dinihari...
Kita jauh,
tapi tak sepalit ingatan dan kenangan dibiar terpadam,
Ampunkan salah dan silap duhai kakakku sayang.
Akan kutunggu raya bersamamu,
Kerana ku kepingin mengecap nikmat zaman anak-anak,
Walau usia tak sebanding keinginan.
Salam Aidilfitri.
Sajak kecil, dan tiada erti pun buat kamu yang membaca, tapi maknanya cukup besar buat saya. Sampai sekarang saya tidak tahu apa yang saya perlu tulis sebagai balasan. Saya sayang kamu, adikku. Cukup kalau kamu tahu tentang itu. Saya sayang kamu.
saat mentari perlahan-lahan berlari
dan kegelapan malu-malu menampakkan diri
sedang daun maple hampir-hampir sahaja menjejak bumi
Rechnaya Street,
Ukraine.
Tuesday, September 30, 2008
Salam Lebaran
Assalamualaikum wbt buat semua,
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI,
MAAF ZAHIR DAN BATIN
tulus ikhlas dari hati.
Serangkap pantun dari saya,
Tangan kuhulur tak kesampaian,
senyum kuukir tak kelihatan,
pantun kutulis tanda ingatan,
ikhlas dariku di perantauan.
Salam Aildilfitri kuucapkan.

Siapakah yang tiba saat
Ramadhan berlalu pergi?
oh, tetamu tak diundang!
pergi kamu!!!
Simferopol,
Ukraine
Sunday, September 07, 2008
Bertemu cinta di Dubai
Tetapi kali ini, transit seketika sebelum bertolak ke Kiev itu bertukar menjadi suatu percutian singkat yang tidak dirancang. Kami berempat, saya, Aisyah, Sakiah dan Atiqah memang pun selalu begitu. Selepas melalui pemeriksaan pasport dan mengambil bagasi, kami ditahan oleh pekerja-pekerja kastam di balai ketibaan. Kenapa pula agaknya? Dalam hati berdoa supaya tiada apa yang buruk berlaku. Kami dipanggil oleh beberapa orang wanita Arab dalam abaya hitam yang labuh. Sambil tersenyum mereka menghulurkan beberapa kotak bungkusan. Di dalamnya ada sekotak kecil kurma dan air mineral. ‘Untuk berbuka nanti’, kata mereka ramah. Alangkah, inikan hari pertama berpuasa! ‘Terima kasih’, balas kami tersenyum malu-malu.
Kemudian kami segera bergerak ke lobi untuk mencari tempat penginapan bagi melepaskan lelah pada malamnya. Entah mengapa mudah benar kami mendapat hotel yang berpatutan untuk dua malam termasuk pengangkutan pergi dan balik. Lega. Kemudian, entah dari mana azan berkumandang. Sudah maghribkah? Sudah boleh berbuka? Kerana tidak ketahuan waktu berbuka yang sebenar, kami bertanya kepada beberapa orang warga tempatan yang menjadi pengurup wang di situ. ‘Sudah boleh berbuka’ , kata mereka. Bismillah… Allahumma laka sumtu … (Ramadhan pertama, kami berbuka di Dubai!)
Dan esoknya, kembara kami bermula. Sebuah peta, buku panduan pelancong, sedikit wang dan keberanian, kami melangkah keluar menahan panasnya Dubai yang ketika itu mencecah 38º Celcius. Apa sahaja yang kami fikirkan ketika itu? Sudahlah berpuasa, berpanas pula. Tetapi Dubai tetap terus menggamit memanggil. Dubai, kami datang!
Hotel Golden Sands
Tidak jauh. Hanya 15 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai menyeberangi ‘The Creek’ melalui Jambatan Al-Maktoum. (Highly recommended!)
Kami ke situ untuk menukar wang. Disangka sebuah bandar, rupanya sebuah kompleks membeli belah yang indah nian seni binanya. Ketika kami sampai, kedai-kedai belum lagi dibuka. Ayat Al-Quran beralun berkumandang memenuhi ruang legar seluruh pusat beli-belah terkemuka itu. Suatu kelainan. Tetapi sebuah kelainan yang tenang dan mendamaikan. Sementara menanti, kami bergambar sambil menikmati reka bentuk seni bina bangunan ini yang menggabungkan konsep teknologi canggih, kontemporari moden dan 'Arabian style'.


Bandar mini Dubai: membangun dan indah bukan?
‘Dubai Grand Mosque’. Kerana itu kami mahu ke sana. Pada mulanya pemandu teksi tersebut tidak mahu membawa kami ke sana kerana tiada apa yang menarik untuk dilihat katanya. Ia hanyalah sebuah masjid di tengah-tengah bandar berdekatan dengan Pantai Jumeirah yang hanya memperuntukkan hari Isnin kepada kaum wanita untuk berjalan-jalan di pantai tersebut. Setelah memberitahu bahawa kami ingin sekali menunaikan solat zuhur di situ, pemandu teksi tersebut akhirnya beralah dan bersetuju membawa kami berempat dengan tambang sebanyak Dh20. Kami sebenarnya tidak berupaya menunggu bas yang tidak ketahuan waktu tibanya di tengah panas terik cuaca Dubai ketika itu. Setelah sampai, kami menghulurkan wang kertas Dh 20 kepada pemandu tersebut tetapi kemudian beliau menahan kami dari pergi dan memulangkan baki wang sebanyak Dh 10. ‘Kamu Muslim. Saya juga seorang Muslim dari Pakistan. Kamu berpuasa, saya juga berpuasa. Ini bulan Ramadhan’, katanya sambil tersenyum. Kami membalas senyuman beliau dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Naik teksi dengan harga tambang bas. Alangkah, siapa sangka!


Muzium Dubai
Seusai solat Zuhur, kembara kami teruskan. Menunggu bas ke Bur Dubai di dalam tempat tunggu bas yang berhawa dingin 18º celcius antara pengalaman menarik yang tidak dapat kami lupakan. Hebat, Dubai ini, kan? Sampai di Bur Dubai, terus kaki melangkah mencari hala menuju Muzium Dubai. Dalam tidak ketahuan itu, kami rajinkan diri bertanya seorang warga tempatan yang lalu lalang di situ. Mungkin kerana sukar untuk berkomunikasi dengan baik, beliau lantas menyuruh kami mengikutnya. Bukan dekat! Tetapi lelaki ini tidak berhenti pun sehinggalah kami sampai di hadapan pintu muzium. Beliau kemudian duduk di bahagian hadapan muzium, melepaskan lelah. Kasihan. Rasa bersalah juga ada. Setelah membayar sebanyak Dh 3 seorang, kami mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana sudi menunjukkan jalan. Beliau sekadar mengangguk tersenyum. Kemudian Muzium Dubai itu kami terokai puas-puas.
Kerja kayu dan tangan mereka
Entah mahu namakan apa dalam bahasa Melayu. Rekahan. Begitulah. Tetapi hampir membentuk sungai. ‘The Creek’ memisahkan Bur Dubai dan Dubai Deira. Mahu seberang perlu naik ‘abrar’. Dh 1 setiap seorang. Kami tidak melepaskan peluang untuk mencuba. Perjalanan menyeberangi rekahan besar itu hanya mengambil masa 10 minit. Juga satu pengalaman yang menarik. Manakan tidak, ‘abrar’ itu hanya ada tempat duduk tanpa pengadang, kalau kamu berdiri, boleh sahaja terjatuh ke laut dalam.
Bur Dubai Souq
Kami membeli sedikit barang di sini. Cenderahati untuk dibawa pulang. Di sini kamu boleh tawar menawar sehinggah serendah-rendahnya harga. Tetapi jangan membuang masa kalau kamu tidak mahu membeli apa-apa. Pekedai di situ semuanya warga Bangladesh. Kamu tahu-tahu sahajalah bagaimana mereka memujuk kamu membeli dengan tawaran harga yang menarik tidak ubah seperti pusat beli-belah bebas cukai di Nilai 3, Negeri Sembilan itu. Lucu juga apabila seorang pekedai di situ menunjukkan gambar Mawi yang pernah datang melawat souq ini. Sambil geleng-geleng kepala dan tersenyum lucu, kami berlalu pergi. Mahu pulang, sudah tidak berdaya lagi.
Malam di Dubai
Hawanya tetap panas. Malahan kadang-kadang lebih-lebih lagi. Kami keluar untuk berbuka puasa. Cantik juga Dubai pada waktu malamnya. Kami tidak berlama-lama. Esok jam 4 pagi perlu segera ke lapangan terbang. Dunia khayalan perlu kami tinggalkan. Dunia nyata di hadapan menanti. Ukraine akan bertemu kami 12 jam lagi. Selamat tinggal Dubai! Walaupun tidak semua tempat di Dubai sempat kami jelajahi, namun sehari bersama Dubai meninggalkan kenangan terindah buat kami. Ada rezeki nanti mahu juga cuba-cuba bekerja di Dubai kerana khabarnya peluang pekerjaan terbuka luas di sini lebih-lebih lagi dalam bidang kedoktoran.
Bersabar : Gambar tak boleh upload pula. Sekadar membaca begitu seronokkah? Nanti lain kali akan cuba lagi.

Baru hendak mula membaca
Merangkak memahami kalam Allah
Sempatkah?
Rechnaya Street 2a,
Simferopol,
Ukraine.
Sunday, August 31, 2008
Salam Ramadhan Al-Mubarak
pertengahannya maghfirah,
Penghujungnya pembebasan dari api neraka"
Ramadhan pertama
ke Dubai aku berkelana~
Kuala Lumpur
Wednesday, August 27, 2008
Ukraine! Alahai Ukraine...
i
Ukraine! Lima hari lagi akan berangkat pulang. Apa satu pun belum dikemasi lagi. Satu dua minggu belakangan ini bayang negara bekas Soviet itu kerap kali menerjah kotak fikir. Bukan kerana harus menempuh fasa-fasa baru pengajian, malah itulah yang ditunggu-tunggu kerana berbulan-bulan tanpa kuliah dan kelas, terasa berkarat segala ilmu perubatan yang seciput ini. Namun segala rasa yang bercampur baur inilah yang sering datang mengganggu; tanggungjawab, pelajaran, persahabatan, mehnah kehidupan seharian, aktiviti sosial, yang mana segalanya harus diimbangi dengan baik dan matang.
Pasti dan pasti rasa-rasa yang tidak elok itu datang daripada bisikan syaitan laknatullah, musuh ummah sepanjang zaman. Itulah, diri seringkali terlupa bahawa kehidupan adalah suatu ibadah dan ibadah memerlukan mujahadah sedangkan mujahadah itu tidak pernah sunyi daripada ujian. Firman Allah, “(Allahlah) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Mulk:2). Dalam perlumbaan itu, pasti dan pasti akan pernah jatuh tersungkur, rebah terduduk dek ujian yang diberi. Kesabaran dan keyakinan kepadaNya jualah yang memberi kekuatan meneruskan larian menuju capaian matlamat. Seringkali pula diri mengeluh, mengadu, merintih menangisi segala keperitan kepadaNya kerana sudah tak termampu, tak terdaya lagi mengharungi tribulasi ujian yang menduga. Imam Bukhari rhm ketika bermunajat dengan Allah, pernah berbisik-bisik mengatakan: “Bukan aku tidak tahan dengan ujian-Mu ya Allah, cuma hendak mengadu pada-Mu, tempat aku kembali nanti, memohon ketenangan, keampunan dan mutmainnah.”
Sekian, tazkirah untuk diri sebagai penguat semangat sebelum mula mengemas beg. Alahai…
ii
Ukraine! Antara wakil-wakil negara Islam yang dipanggil satu demi satu ke pentas utama, Ukraine adalah negara yang tidak tersangkakan oleh saya untuk menghantar wakil ke Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-50 yang diadakan di Pulau Wan Man, Terengganu baru-baru ini. Tiba-tiba rasa bangga menguasai diri yang hina ini sebentar. Ukraine? Ya, saya memang tidak percaya. Adakah saya tersalah dengar? Tidak mungkin. Bahkan sekeluarga saya yang menonton turut mengesahkan. Benarlah itu peserta dari Ukraine yang sedang berjalan ke pentas utama untuk menerima sijil penyertaan serta cenderahati daripada YTM Tuanku Mizan Zainal Abidin. Dari rias wajahnya yang tersenyum malu-malu, pemuda yang saya kira berusia dalam awal 20-an itu bukanlah personaliti yang penting atau terkenal pada malam itu. Malah beliau merupakan peserta terakhir yang dipanggil untuk menerima cenderahati. Sayang sekali saya terlepas dengar persembahan tilawahnya. Melihatkan peserta itu berjalan lekas-lekas ke pentas utama, pasti kamu menekanya sebagai penganut agama Kristian jika kamu bertemunya di luar tanpa kopiah dan jubah putih labuh yang dipakainya pada malam itu.
Bagi saya, penyertaan negara seperti Ukraine adalah sesuatu yang agak luar biasa. Manakan tidak, majoriti penduduknya merupakan penganut Kristian Katolik yang tegar. Penduduk beragama Islam yang kebanyakannya merupakan orang-orang Tatar dari Uzbekistan hanya mendominasi sebahagian kecil negara itu terutamanya di Pulau Crimea tempat saya belajar. Benar, Ukraine dahulu merupakan salah sebuah jajahan takluk Empayar turki Uthmaniah dan pernah terkenal kerana gahnya Islam, kerana hebatnya ulama’ di situ dan mungkin atas sumbangan yang dimainkan bangsa Tartar yang telah diberi mandat oleh kerajaan Turki Uthmaniah untuk memerintah. Namun selepas Russia mengalahkan kerajaan Turki Uthmaniah pada tahun 1777, sehingga hari ini Islam di bumi Ukraine adalah sesuatu yang asing, sesuatu yang terlalu amat minoriti dan penganutnya acapkali dipinggirkan dalam apa jua bidang dan lapangan. Mahu mencari Islam di Ukraine seperti mencari Islam di Italy, ada tetapi sedikit, ada tetapi sukar, ada tetapi seperti tiada.
Ukraine dalam peta dunia memang besar, tetapi kalau ditanya kepada sebahagian rakyat Malaysia, hampir semua menggeleng kepala tidak tahu di mana letaknya negara itu. Sedangkan Ukraine itu menjadi terlalu amat signifikan kepada saya hanya selepas saya dihantar belajar ke negara itu. Jika tidak, saya sendiri pun tidak tahu menahu tentang wujudnya sebuah negara bernama Ukraine. Seperti pernah ku dengar, tapi di mana ya? Di Russiakah? Siberia? Di mana ya? Adakah wujud sebuah negara bernama Ukraine? Tetapi pada malam itu, sebuah negara bernama Ukraine yang agama rasminya adalah Kristian Katolik telah menghantar wakilnya ke Malaysia untuk menyertai tilawah peringkat antarabangsa itu. Bagaimana ia terjadi, saya masih terrtanya-tanya. Adakah ini kali pertama atau saya yang tidak tahu bahawa Ukraine itu telah bertahun-tahun menghantar wakil? (betapa dungunya saya!) Suatu gabungan rasa yang entah apa tetapi hanya terlahir oleh sebuah senyuman. Ukraine tempat saya belajar itu? Ah!
Barukisu :
· Tercengang-cengang mendengar persembahan bacaan Johan Qari Tilawah Al-Quran, Mu’min Mubarok dari Indonesia. Terasa-rasa betapa indah dan hebatnya kalam Allah. Terasa-rasa mahu belajar membaca quran secara tarannum, qiraat tujuh imam, dan hikayatnya sekali. Ah, jahilnya!
· Lucu mendengar persembahan nasyid bertajuk ‘Qulna Ahlan’ (Selamat Datang) dari peserta tilawah yang diketuai oleh peserta dari Lubnan itu. Sedap memang sedap, malahan kerana lenggok Arab yang kaya dengan kemahiran maqam seperti maqam bayati dan maqam rast, nasyid itu menjadi menarik dan bersemangat. Tetapi apabila mereka mula bernasyid dalam bahasa Melayu yang antara jelas dan tidak perkataannya, rasa lucu tidak tertahan-tahankan lagi. Apa pun, terima kasih kepada mereka yang sungguh-sungguh bersemangat membuat persembahan pada malam penutup itu. Teringat pula pada Zaman Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu menjadi bahasa perantara di pelabuhan Selat Melaka. Bilakah akan kembali kegemilangan itu?
iii
Ukraine! Semalam sewaktu pulang dari mengambil surat tamat praktikal, saya ternampak Vice Rector (Naib Cancelor) CSMU, universiti tempat saya menuntut, Asst. Professor Sakhaltuyev Andrey Dimitrevich bersama presiden MSC, saudara Durairaj di perkarangan Hospital Serdang. Mahu sahaja saya berhentikan kereta dan melihat lebih lama atau sekurang-kurangnya turun dan bertanya khabar, tetapi tempat letak kereta di tepi jalan agak penuh dan saya pula perlu segera pulang.
Terkejut pun ada, sedikit bangga juga ada. Saya hampir-hampir sedikit brek mengejut. Mujur kereta yang dipandu tidak terlalu laju. Entah apalah yang dilakukan beliau bersama kamera video tangan di hadapan hospital itu. Tiada pula sesiapa yang berhormat mengiringi beliau, maka sudah pastilah ia suatu lawatan tidak rasmi. Apa pun, semoga ada kebaikan dari lawatan beliau. Sekurang-kurangnya ada juga inisiatif datang ke Malaysia melihat-lihat hospital di sini. Pasti beliau dibawa melawat hospital-hospital utama di Malaysia sambil jalan-jalan bercuti makan angin. Beliau antara pentadbir CSMU yang saya hormati kerana sifat rendah dirinya. Saya tumpang gembira kerana beliau sudi datang melawat negara ini. Semoga di masa-masa akan datang, doktor-doktor di sana pula datang melihat-lihat teknologi perubatan di negara ini. Barulah ada ‘give and take!’

Hujan sudah berhenti
Tapi burung belum berkicau lagi
Ke manakah?
Sure Khatan 2008 : Melebar Ukhuwah, Mengenal Diri

Menulis saat hujan lebat membasah di luar
Angin pula kencang-kencang bertiupan
Mahu beritahu apakah?
Kuala Lumpur.
Monday, August 04, 2008
Selamat Pengantin Baru
Without ambition one starts nothing.
Di kesempatan ini juga saya mahu mengucapkan tahniah buat sahabat-sahabat yang telah selamat membina masjid pada minggu lepas. Apa-apa pun semoga kehidupan kalian dirahmati Allah sehingga ke akhir hayat.
Bila dua hati dah terjalin
Selamatlah pengantin kami doakan
Moga redha allah bersinar selalu
Tanda bermula bahtera hidup
Dalam melayari bahtera rumahtangga
Ada masa tenang dan masa gelisah
Jangan nafsu diikut melulu
Sabar dan kemaafan itu perlu
Beginilah resam manusia
Tak lari dari ketentuan ilahi
Suami ketua isteri pembantu
Menongkah hidup saling berpadu
Susah dan senang hadapi bersama
Moga kekal keanak cucu
Moga kekal hingga ke syurga

Menulis untuk pengantin baru!
Tatkala burung riang berkicau,
mentari pula dibayangi awan.
Kuala Lumpur.











