Terjemahan: Bukan Quran, tapi Qurban!
"Salam.bal,bz x?nk minta tlg.bule x tlg translatekn article fr English to malay?utk qurban..reply ASAP pls.tq!"
Begitu bunyi sms yang dihantar kepada saya. Dalam keadaan antara sedar dan tidak, saya menganggap sahabat saya ini meminta saya menterjemahkan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu. Pelik juga. Dia tidak ada terjemahan Al-Quran dalam Bahasa Melayukah, sehingga meminta pertolongan saya? Paling tidak pun saya boleh berikan terjemahan Al-Quran digital ini kepadanya. Saya sendiri pun banyak kerja bertangguh yang mahu dilakukan. Tetapi memikirkan gaya bahasa sms tadi seperti amat sangat terdesak, saya merasakan bahawa rakan saya ini benar-benar memerlukan pertolongan saya. Lantas saya membuat panggilan telefon bertanya lebih lanjut. Dua muka surat sahaja, katanya. Tidak banyak, fikir saya. Bolehlah. Lagipun hanya ‘copy /paste’ sahaja daripada terjemahan digital yang sedia ada. Sepuluh minit sahaja sudah boleh siap. Apa salahnya membantu.
Sebentar sahaja fail tersebut sudah berada di dalam komputer riba saya. CRIMEAN TARTARS. Agak terkejut melihat tajuk fail tersebut, saya terus membuka dan membaca. Eh, ini bukan terjemahan Al-Quran, ini betul-betul kerja penterjemahan!! Ini bukan cobaan, ini betul-betul!! Membaca semula sms yang diberikan, saya
Maka malam itu saya bersekang mata menyiapkan tugasan tidak rasmi yang diberikan kerana datelinenya sebelum pukul 8.00 pagi keesokan hari. Sebelum bermula dan ketika menterjemah, berkali-kali saya mengingatkan hati supaya sentiasa ikhlas dan bersabar. Untuk menterjemah, bukanlah suatu kerja yang mudah rupanya. Ada perkataan Inggeris yang tiada dalam Melayu, maka ayat tersebut perlu diubahsuai supaya mencapai maksud asal teks yang diberikan. Kadang-kadang hampir satu perenggan itu perlu diubah semuanya kerana sukar mencari ayat yang sama maksudnya. Kalau begini bagaimanalah agaknya mahu menterjemah buku-buku perubatan yang berbahasa Inggeris, tebal dan penuh dengan istilah-istilah perubatan itu. Berangan sahajalah nampaknya. Teks yang mahu diterjemahkan berkisar tentang sejarah pahit maung yang dihadapi Kaum Tartar di Crimea, Ukraine. Pada mulanya ia membosankan tetapi kemudian setelah membaca sehingga habis, saya dapati kisah ini amat menarik. Tidak. Ia bukan sekadar menarik. Ini adalah maklumat yang amat saya perlukan.
Islam di Ukraine: Sejarah yang dilupakan
Sewaktu mula-mula mendapat tawaran belajar ke Ukraine dahulu, saya tidak ambil peduli pun tentang duduk letak negara ini di dalam peta dunia.
Itu adalah sebuah kisah lama. Alhamdulillah, kini sudah masuk tahun kelima saya berjuang menghadapi liku-liku kehidupan seorang pelajar di rantauan. Dua tahun sahaja lagi, saya bakal berjuang pula dengan pahit manis dan getir dalam alam pekerjaan.
Walaupun telah agak lama mendiami bumi bekas Soviet ini, namun masih ada satu persoalan yang tidak dapat saya jawab dengan tepat apabila ditanya oleh keluarga, guru-guru serta rakan-rakan tatkala pulang sahaja bercuti ke Malaysia. Tentang Islam di Ukraine. Ya, sejarah pernah mencatat bahawa Ukraine pernah berada di dalam lingkungan tamadun kegemilangan Islam suatu ketika dahulu. Malah kata-kata guru di sekolah lama sewaktu saya mengkhabarkan tentang keberangkatan saya ke Ukraine masih segar dalam kotak ingatan sehingga ke hari ini.
‘Wah, kamu belajar di sebuah bekas negara Islam. Banyak ulama’ terkenal berasal dari situ.’
Saya tidak tahu dari manakah guru saya mendapat fakta tersebut, namun ia sedikit sebanyak membakar perasaan ingin tahu saya. Akan tetapi, saat mula berpijak di bumi Ukraine empat tahun yang lalu, tidak kelihatan sedikit bekas pun yang agama Islam pernah bertapak di sini. Majoriti penduduknya beragama Kristian Ortodoks dan sedikit yang menjadi penganut agama Kristian Katolik. Saya tidak nampak di mana Islamnya sehinggalah saya dan rakan-rakan diperkenalkan dengan AHRAR, sebuah organisasi pelajar–pelajar Muslim di Simferopol Ukraine. Ya, waktu itu saya menganggap organisasi ini adalah sebuah organisasi pelajar sahaja. Rupanya, ia merupakan antara cawangan Ar-Raid yang bertapak di Simferopol, tempat saya menuntut sekarang. Dan bermulalah perkenalan saya dengan dunia Islam di bumi wakafan Ukraine ini. Ya, Islam ada di Ukraine dan mereka ini tinggal di ceruk-ceruk kampung dan pedalaman jauh dari hiruk pikuk kesibukan di bandar, cuma saya tidak tahu jumlah sebenar mereka dan bagaimanakah sejarah kewujudan mereka di sini.
Seandainya saya masih belum kurang pasti, saya menganggap mereka adalah penduduk asal Semenanjung Crimea ini yang telah dihalau keluar oleh Stalin pada tahun 1944 ke negara-negara berdekatan. Dan tanah tumpah mereka ini diambil alih pula oleh tentera Russia sebagai tapak pengkalan armada laut Russia. Lebih malang lagi, setelah perang dunia kedua tamat, mereka tidak dibenarkan pulang ke negara asal mereka. Beberapa tahun kemudian, barulah mereka diizinkan pulang, itupun langsung tidak mendapat perhatian pemerintah Ukraine ketika itu. Mereka dianggap pelarian pula dan kebanyakan daripada mereka hidup dalam kesusahan dan kemelaratan setelah pulang ke tanah asal. Sehingga kini, diskriminasi itu masih berlaku, cuma tidak lagi sebeban dahulu. Ketika saya mula-mula sampai di Ukraine dahulu, tidak kelihatan seorang pun wanita Islam yang berani berhijab, tetapi setelah dua tiga tahun kemudian, barulah kelihatan wanita Muslim Ukraine yang berhijab berjalan-jalan di bandar-bandar serta di dalam kawasan universiti dan turut sama menjadi pelajar di sini.
Ya, tidak keterlaluan rasanya saya katakan, mungkin setelah kedatangan kami pelajar-pelajar Islam dari Malaysia serta dari negara-negara Islam lainnya sedikit sebanyak mengubah persepsi masyarakat tempatan tentang Islam. Bagi saya, nasib mereka kini sudah sedikit berubah dan semakin mendapat tempat di dalam strata komuniti bumiputera Ukraine malahan di peringkat antarabangsa sekalipun. Saya tidak lagi berasa menyesal menjadi penterjemah ‘batu loncatan’ untuk teks ini. Malah saya berterima kasih amat kepada sahabat saya kerana memberi peluang ini kepada saya. Dua perkara berharga yang saya dapat ini tidak akan saya sia-siakan; pengetahuan baru tentang saudara seIslam di Ukraine yang dapat dikongsi bersama serta pengalaman menjadi penterjemah amatur. Kerja menterjemah bukanlah suatu pekerjaan yang mudah, ya!
Tentang Qurban
Jika kamu mahu membaca lebih lanjut lagi tentang kisah saudara seIslam kamu di Ukraine, boleh klik teks asal di dalam bahasa Inggeris di sini. Dan terjemahannya di sini.
Kamu juga boleh memberi sumbangan kepada mereka untuk qurban sempena Hari Raya Qurban yang bakal menjelang nanti di sini.
Selamat membaca! Maaf kerana entri ini terlalu panjang seperti drama Korea 20 Episod (setiap episod = 1 jam 30 minit). Saya sedang belajar menulis pendek. Yosh! Fighto-oh!
Disclaimer: All courtesy for this entry goes to Qurban Bayram
Rembang petang menghampiri,
mergastua terbang pulang,
cicip menanti,
dari nganga mulut sang anak,
bingit kelaparan
Oh, sudah senja!
bingit kelaparan
Oh, sudah senja!
11 buah bicara:
walaupun susah, tapi seronok menterjemah ni tau!
Bolehlah dianggap sperti pergi 'jungle trekking', adventure!!
yeah I know the feelings, sekejap menyesal, sekejap ok, sekejap nak marah, sekejap ok, sekejap rasa terpaksa, sekejap ok. Sungguh jahat bisikan Syaitan kan?
Alhamdulillah...a very good piece of writing. And I really wonder, your BM is still good even after you have been away for 5 years! MasyaAllah...
Saya tak perasan pun kak!!
Anyway, that's good of you coming back here and correcting the phrase~
Alhamdulillah, I will try to preserve this mother tongue of mine in any way I could because I love Bahasa Melayu sooooo much!!!!
Err.. lupa dah nak komen apa. Tadi ingat nak komen pasal terjemahan bacaan kedoktoran, tapi sampai terakhir nak komen pasal sirah kedatangan Islam. Akhirnya, lupa nak komen apa. Hihi Terukkan aku?(sila pangkahkan macam artikel atas ;p)
Aku cadang kau letak saja link tafsir Quran berbahasa Melayu itu di sini. Siapa tahu kita semua dapat berkongsi?
Bukankah tajuk entri ini telah saya tebarkan tiga perkara; Qurban, Tartar dan Terjemahan?
Iya, salah saya juga barangkali, asalnya mahu bercerita tentang pengalaman menjadi penterjemah, kemudian gian lagi, bercerita pula tentang apa yang diterjemah dan kemudian sedikit tentang Qurban...
Maaf ya, tapi tidak lari topik kan?
Link itu ya? InsyaAllah~ =)
Kira tak lari topiklah, tapi kena bezakan dengan nombor mungkin lagi mudah? Ichi, Ni, San.
p/s: Kasihan ya Crimea, dijajah Russia, sampai dihalau. Grr.. geramnya. Tapi, itu dulu.
Terima kasih kerana memberitahu, saya kira itu juga betul. Bezakan dengan nombor atau tajuk baru bukan? Lebih mesra pembaca~ Arigatou~
p/s: Iya, kasihan juga. Tetapi sudah tercatat dalam sejarah. Ini semua komunis punya kerja~
(Sebetulnya saya lucu membaca komen kamu)
al-Quran digital tu pun bagus. mudah dibawa dan pantas (sangat praktikal). menterjemah dan membantu rakan, berganda balasannya nanti (insyaallah)
Iya, kerana risikonya tinggi itulah saya berasa seperti amat menyesal menerima tugasan ini pada mulanya, huhu...
Saya maksudkan Al-Quran digital yang di dalam komputer riba saya, =) tapi Al-Quran digital itu juga amat berguna!
Mudah-mudahan, InsyaAllah~
Ibnurashidi
Alamak, saya kira entri ini terlalu panjang dan pening kepala (bukan?). Maaf kerana tidak dapat menyampaikan dengan baik. Saya tidak menterjemah dari bahasa Arab ke bahasa Melayu tetapi dari bahasa Inggeris kepada bahasa melayu. Hehe...
Nampaknya saya masih lemah dalam menggarap jalan penulisan dengan baik. InsyaAllah akan saya perbaiki nanti! hai, saya tidak mengikut pun apa yang saya tulis di sini.
Apa pun, saya telah mengubah sedikit entri di atas supaya lebih senang difahami, harap dapat membantu!
Minna san, hontoni moshiaken arimasen deshita!
(Kalian, maafkan saya!)
Post a Comment
Assalamualaikum teman-teman, terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak bicara kamu, sekurang-kurang kalian telah hadir menceriakan hari-hari saya di persimpangan ini. Jazakumullah!!