Wafeya

Mata ke bumi, hati ke langit

Thursday, November 27, 2008

Anekdot Rehat



Ichi: Tolong senyap, boleh tak?
(Benar rupanya asas ajaran setiap agama itu, cuma akidahnya, tauhidnya lari entah ke mana)

Di luar, cuaca seperti segan-segan mahu sejuk. Lebih baik duduk sahaja di dalam kelas waktu-waktu rehat begini. Cikgu juga tidak mahu keluar, leka menyambung tugasan entah apa di komputer ribanya. Kesempatan begini baik digunakan untuk menunaikan fardhu Asar yang baru sahaja menjengah waktu. Setelah meminta kebenaran, tiga daripada rakan saya bersegera mengirai sejadah dan dibentang menghala kiblat berdasarkan arah duduk bangunan tempat kami belajar. Tidak berjemaah, kerana tiada lelaki untuk mengimami, suara perempuan itu pula aurat bagi dua lelaki bukan muslim di dalam kelas kami. Sementara menanti giliran, saya menyambung bacaan, gusar berpangkah debar kalau-kalau ditanya sang guru nanti. Sebelum sempat saya menyelak helaian teks, saya dicuit rakan sebelah berbangsa India, "Kenapa dia sembahyang pakai kasut? Boleh ker?". Saya melempar pandangan ke arah Sakiah yang baru sahaja mengangkat takbir pertamanya. Pantas memandang semula rakan yang bertanya tadi saya memberitahu, "Oh, boleh...Tak ada salahnya pakai kasut waktu sembahyang, ia satu kemudahan, tapi ada sya..."

"Please be quite, your friends are praying!", tiba-tiba sang guru yang sedang leka menghadap komputer ribanya bersuara perlahan, tetapi tegas nadanya. Saya dan rakan di sebelah tertunduk diam, memandang buku di ribaan (bilik profesor ini tiada meja!). Meja sang guru hanya beberapa inci dari tempat duduk saya, lantaran itu sekadar bisik-bisikan juga pasti mudah ditangkap gegendang telinga. Ah, malunya, ditegur oleh seorang penganut Kristian Ortodoks begitu! Sebetulnya memang perlu berdiam tatkala ada yang berdekatan sedang khusyuk bertemu Tuhan, sementelahan bilik yang sekecil itu, pasti amat mengganggu! Saya tidak pasti guru menegur kerana apa; kerana kami mengocak konsentrasinya atau benar-benar guru meminta kami diam bagi menghormati rakan yang sedang bersolat. Saya sekadar bersangka baik dengan pilihan kedua. Kamu?



Ni: Bukan kami tidak mahu makan... tapi...

"Mahu ke mana?" tegur Ketua Jabatan Medical Catastrophe tatkala melihat saya dan Sakiah (Sakiah lagi!) berjalan deras-deras melintasinya yang muncul secara tiba-tiba di tepi birai pintu.

"Makan, cikgu!" saat terucap sahaja kalimah nikmat itu, hadir Lavash smiasam berawan-awanan di ruangan minda, lantas pantas kelenjar liur merembes saliva menambah giur pada kering tekak dan kosong perut tika itu.

"Mahu makan apa?" tanya beliau sambil jalan beriringan dengan kami.

"Lavash smiasam".

"Oh, tak mahu cuba daging babi khinzir? Sedap tau. Cubalah sekali".

"Eh, kami tak boleh makan, cikgu", balas kami hampir serentak.

"Kenapa? Saya memang dengar yang kamu tak boleh makan daging babi khinzir. Tapi, kenapa?"

Aduhai, mahu jawab apa? Kalau dihuraikan bahawa itu adalah perintah dari firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat ketiga, bolehkah dihadamnya? Tentu persoalan, 'Tapi, kenapa?' akan berulang kembali. Kemudian,

"Sebab...erm, alah, cikgu pun tahukan, yang dalam daging babi khinzir tu, ada banyak 'Taenia Solium'?" Sakiah bersuara tiba-tiba. Ah, kalau bab-bab tercabar dicabar begini, ligat sahaja dia membalas. Saya mengangguk setuju. Angguk betul-betul.

Pecah gelak tawa beliau sambil turut mengiyakan dengan anggukan juga. Memandang kami sebelum berlalu pergi, beliau sempat berkata,

"Jawapan yang bijak. Saya setuju, tapi kalau sekali sahaja, takkan ada apa-apakan?"

Ah, tetapi kalau ditakdirkan yang sekali itu bisa mendatangkan mudarat, siapa yang tahu, kan cikgu? Tentunya sekadar terdetik dalam hati tanpa mampu bersuara lagi kerana beliau telah pun hilang lesap dari pandangan kami.

Nota kaki :

1. Medical Catastrophe - Cabang ilmu perubatan kecemasan ketika berlaku malapetaka besar seperti 
                                        banjir, letusan gunung berapi, gempa bumi, ribut taufan dll.
2. Lavash smiasam - Bayangkan isi burger keju dibalut dengan roti pita (?). Tambah sos dan mayonnese
3. Taenia Solium - Cacing pita dari babi, diketahui sejak Hippocrates, atau mungkin sejak zaman Nabi
                              Musa walaupun pada waktu itu belum dapat dibezakan antara cacing pita daging
                              lembu dengan cacing pita daging babi khinzir. Lebih lanjut...
4. Ichi - Satu
5. Ni   - Dua


Bonus :


Software Al-Quran untuk dimuat turun:


1) Al-Quran Terjemahan Melayu lengkap.
2)Plug Ins Al-Quran in Microsoft Words.


(Wah, ada bonus-bonus pula! Bagi yang sudah ada, tidak mengapa. Kalau tiada, muat turun, ya! Berguna amat!)


Tonton video 'Ada apa dengan khinzir' ini :






Eurotrip: Siapa mahu ikut?

Monday, November 24, 2008

Terjemahan, Tartar dan Qurban!

Terjemahan: Bukan Quran, tapi Qurban! 

"Salam.bal,bz x?nk minta tlg.bule x tlg translatekn article fr English to malay?utk qurban..reply ASAP pls.tq!"

Begitu bunyi sms yang dihantar kepada saya. Dalam keadaan antara sedar dan tidak, saya menganggap sahabat saya ini meminta saya menterjemahkan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu. Pelik juga. Dia tidak ada terjemahan Al-Quran dalam Bahasa Melayukah, sehingga meminta pertolongan saya? Paling tidak pun saya boleh berikan terjemahan Al-Quran digital ini kepadanya. Saya sendiri pun banyak kerja bertangguh yang mahu dilakukan. Tetapi memikirkan gaya bahasa sms tadi seperti amat sangat terdesak, saya merasakan bahawa rakan saya ini benar-benar memerlukan pertolongan saya. Lantas saya membuat panggilan telefon bertanya lebih lanjut. Dua muka surat sahaja, katanya. Tidak banyak, fikir saya. Bolehlah. Lagipun hanya ‘copy /paste’ sahaja daripada terjemahan digital yang sedia ada. Sepuluh minit sahaja sudah boleh siap. Apa salahnya membantu.

Sebentar sahaja fail tersebut sudah berada di dalam komputer riba saya. CRIMEAN TARTARS. Agak terkejut melihat tajuk fail tersebut, saya terus membuka dan membaca. Eh, ini bukan terjemahan Al-Quran, ini betul-betul kerja penterjemahan!! Ini bukan cobaan, ini betul-betul!! Membaca semula sms yang diberikan, saya terpapan terpempan. Untuk QURBAN lah, bukan QURAN! Empat muka surat penuh pula itu! Saya pula bukanlah seorang professional dalam bidang ini. Oh, saya sudah rasa menyesal amat sekarang. Benar-benar menyesal. Tetapi sudah terlanjur mengikat janji menyiapkan secepat mungkin. Apa boleh dileraikan janji yang telah diikat itu? Tidak sampai hati pula. Ini namanya, tiada beban batu pula yang sengaja digalas.

Maka malam itu saya bersekang mata menyiapkan tugasan tidak rasmi yang diberikan kerana datelinenya sebelum pukul 8.00 pagi keesokan hari. Sebelum bermula dan ketika menterjemah, berkali-kali saya mengingatkan hati supaya sentiasa ikhlas dan bersabar. Untuk menterjemah, bukanlah suatu kerja yang mudah rupanya. Ada perkataan Inggeris yang tiada dalam Melayu, maka ayat tersebut perlu diubahsuai supaya mencapai maksud asal teks yang diberikan. Kadang-kadang hampir satu perenggan itu perlu diubah semuanya kerana sukar mencari ayat yang sama maksudnya. Kalau begini bagaimanalah agaknya mahu menterjemah buku-buku perubatan yang berbahasa Inggeris, tebal dan penuh dengan istilah-istilah perubatan itu. Berangan sahajalah nampaknya. Teks yang mahu diterjemahkan berkisar tentang sejarah pahit maung yang dihadapi Kaum Tartar di Crimea, Ukraine. Pada mulanya ia membosankan tetapi kemudian setelah membaca sehingga habis, saya dapati kisah ini amat menarik. Tidak. Ia bukan sekadar menarik. Ini adalah maklumat yang amat saya perlukan.

Islam di Ukraine: Sejarah yang dilupakan

Sewaktu mula-mula mendapat tawaran belajar ke Ukraine dahulu, saya tidak ambil peduli pun tentang duduk letak negara ini di dalam peta dunia. Terukkan? Mungkin kerana debaran memasuki dunia baru lebih menguasai segenap lapangan fikiran. Lantas, yang tercapai dek minda hanyalah persediaan menghadapi hari-hari mendatang tanpa kedua ibu dan ayah di sisi dan bagaimana mahu mula berdiri di atas kaki tangan sendiri.

Itu adalah sebuah kisah lama. Alhamdulillah, kini sudah masuk tahun kelima saya berjuang menghadapi liku-liku kehidupan seorang pelajar di rantauan. Dua tahun sahaja lagi, saya bakal berjuang pula dengan pahit manis dan getir dalam alam pekerjaan. Ganbarimas!

Walaupun telah agak lama mendiami bumi bekas Soviet ini, namun masih ada satu persoalan yang tidak dapat saya jawab dengan tepat apabila ditanya oleh keluarga, guru-guru serta rakan-rakan tatkala pulang sahaja bercuti ke Malaysia. Tentang Islam di Ukraine. Ya, sejarah pernah mencatat bahawa Ukraine pernah berada di dalam lingkungan tamadun kegemilangan Islam suatu ketika dahulu. Malah kata-kata guru di sekolah lama sewaktu saya mengkhabarkan tentang keberangkatan saya ke Ukraine masih segar dalam kotak ingatan sehingga ke hari ini.

Wah, kamu belajar di sebuah bekas negara Islam. Banyak ulama’ terkenal berasal dari situ.

Saya tidak tahu dari manakah guru saya mendapat fakta tersebut, namun ia sedikit sebanyak membakar perasaan ingin tahu saya. Akan tetapi, saat mula berpijak di bumi Ukraine empat tahun yang lalu, tidak kelihatan sedikit bekas pun yang agama Islam pernah bertapak di sini. Majoriti penduduknya beragama Kristian Ortodoks dan sedikit yang menjadi penganut agama Kristian Katolik. Saya tidak nampak di mana Islamnya sehinggalah saya dan rakan-rakan diperkenalkan dengan AHRAR, sebuah organisasi pelajar–pelajar Muslim di Simferopol Ukraine. Ya, waktu itu saya menganggap organisasi ini adalah sebuah organisasi pelajar sahaja. Rupanya, ia merupakan antara cawangan Ar-Raid yang bertapak di Simferopol, tempat saya menuntut sekarang. Dan bermulalah perkenalan saya dengan dunia Islam di bumi wakafan Ukraine ini. Ya, Islam ada di Ukraine dan mereka ini tinggal di ceruk-ceruk kampung dan pedalaman jauh dari hiruk pikuk kesibukan di bandar, cuma saya tidak tahu jumlah sebenar mereka dan bagaimanakah sejarah kewujudan mereka di sini.

Seandainya saya masih belum kurang pasti, saya menganggap mereka adalah penduduk asal Semenanjung Crimea ini yang telah dihalau keluar oleh Stalin pada tahun 1944 ke negara-negara berdekatan. Dan tanah tumpah mereka ini diambil alih pula oleh tentera Russia sebagai tapak pengkalan armada laut Russia. Lebih malang lagi, setelah perang dunia kedua tamat, mereka tidak dibenarkan pulang ke negara asal mereka. Beberapa tahun kemudian, barulah mereka diizinkan pulang, itupun langsung tidak mendapat perhatian pemerintah Ukraine ketika itu. Mereka dianggap pelarian pula dan kebanyakan daripada mereka hidup dalam kesusahan dan kemelaratan setelah pulang ke tanah asal. Sehingga kini, diskriminasi itu masih berlaku, cuma tidak lagi sebeban dahulu. Ketika saya mula-mula sampai di Ukraine dahulu, tidak kelihatan seorang pun wanita Islam yang berani berhijab, tetapi setelah dua tiga tahun kemudian, barulah kelihatan wanita Muslim Ukraine yang berhijab berjalan-jalan di bandar-bandar serta di dalam kawasan universiti dan turut sama menjadi pelajar di sini.

Ya, tidak keterlaluan rasanya saya katakan, mungkin setelah kedatangan kami pelajar-pelajar Islam dari Malaysia serta dari negara-negara Islam lainnya sedikit sebanyak mengubah persepsi masyarakat tempatan tentang Islam. Bagi saya, nasib mereka kini sudah sedikit berubah dan semakin mendapat tempat di dalam strata komuniti bumiputera Ukraine malahan di peringkat antarabangsa sekalipun. Saya tidak lagi berasa menyesal menjadi penterjemah ‘batu loncatan’ untuk teks ini. Malah saya berterima kasih amat kepada sahabat saya kerana memberi peluang ini kepada saya. Dua perkara berharga yang saya dapat ini tidak akan saya sia-siakan; pengetahuan baru tentang saudara seIslam di Ukraine yang dapat dikongsi bersama serta pengalaman menjadi penterjemah amatur. Kerja menterjemah bukanlah suatu pekerjaan yang mudah, ya!

Tentang Qurban

Jika kamu mahu membaca lebih lanjut lagi tentang kisah saudara seIslam kamu di Ukraine, boleh klik teks asal di dalam bahasa Inggeris di sini. Dan terjemahannya di sini.

Kamu juga boleh memberi sumbangan kepada mereka untuk qurban sempena Hari Raya Qurban yang bakal menjelang nanti di sini.

Selamat membaca! Maaf kerana entri ini terlalu panjang seperti drama Korea 20 Episod (setiap episod = 1 jam 30 minit). Saya sedang belajar menulis pendek. Yosh! Fighto-oh!

Disclaimer: All courtesy for this entry goes to Qurban Bayram



Rembang petang menghampiri,
mergastua terbang pulang,
cicip menanti,
dari nganga mulut sang anak,
bingit kelaparan
Oh, sudah senja!

Wednesday, November 19, 2008

Desktop Display Tag?

Baru sahaja buat entri di bawah, sudah kena tag dengan Faiz Kamal.
Maka, ini entri baru khas untuk menyahut seruan tag tersebut.

The rules are:

1. Take a screenshot of your desktop without moving/closing any of the windows
2. Tag 5 people!

So, here's my desktop display :



Saya suka warna hijau
Suka gambar pemandangan yang tenang dan mendamaikan
Suka menukar susunan folder supaya tidak jemu mata memandang

Saya jarang 'tag' orang, jadi tidak tahu siapa mahu di'tag'.

1) Sarah
2) Sofie Nur
3) Kak Nurul Maya
4) Kak Solhaa
5) Atiq?

p/s : Kepada nama-nama di atas anda berhak untuk tidak melayan tag ini kalau anda tidak mahu. =)
        Tiada paksaan.

Disclaimer : Wallpaper tersebut adalah hak milik Xtremegraphix.


Jom baca entri di bawah! Eheh... =p

Hebat sangatkah blog kamu?

Sewaktu saya masih hingusan dalam dunia blogging dahulu, perkara pertama yang diharap dan dinantikan selepas saya menerbitkann entri adalah komentar daripada pembaca. Anda pun sama bukan? Tidak kiralah atas asbab apa kita mula menulis blog; minat IT, blogging, menulis, berkarya; berkongsi pengalaman, perjalanan dan kehidupan di rantau orang; berkongsi ilmu dan pendapat semasa; mahu berniaga dan meluaskan empayar perniagaan; berdakwah atau berpolitik, atau boleh jadi sekadar ikut-ikutan mengikut rakan-rakan dan tidak mahu ketinggalan dengan arus perdana masa kini. Apa sahaja pun, pada akhirnya kita mesti mahu lihat respon dan reaksi daripada pembaca bukan? Itupun kalau ada pembaca. (Tetapi ada juga orang yang terus menulis walaupun tiada orang langsung yang memberi komentar kepada tulisannya – the respect goes to you!)

Jadi, what does it takes to become a good blogger and a famous one?



Sebelum itu, mari kita lihat apa itu sebenarnya blog.

"Blog adalah kependekan dari Weblog, istilah yang pertama kali digunakan oleh Jorn Barger padabulan Desember 1997. Jorn Barger menggunakan istilah Weblog untuk menyebut kelompok laman web peribadi yang selalu dikemas kini secara berterusan dan berisi pautan-pautan ke website lain yang mereka anggap menarik disertai dengan komentar-komentar mereka sendiri.”

 
Baca selebihnya di sini.


Banyak perkara yang mempengaruhi sesebuah blog itu menjadi blog yang menarik, mendapat rating tertinggi serta sering dikunjungi. Apa dia? 

1) Personaliti atau peribadi tuan empunya blog
    Selalunya blog yang sering dikunjungi ramai adalah personaliti yang dikenali khalayak umum,  
    seorang tokoh atau sekurang-kurangnya punya karisma yang disegani ramai. Kalau tidak begitu pun,  
    penulis blog tersebut terkenal dengan akhlak yang baik (orang pun suka), mempunyai hubungan yang  
    baik dengan kenalan bloggers samada di dalam atau di luar alam maya, dan paling penting seorang  
    yang peramah (sering berkunjung balas ke blog-blog pautan dan menyapa tuan empunya blog samada   
    di ruangan komentar atau di ruangan kotak bual). Bagus begini. Tidak seperti saya, pemalu dan  
    sering menjadi pembaca senyap sahaja.
   
2) Tulisan-tulisan yang menarik
    Tidak semua orang ada bakat ini. Kadang-kadang idea datang mencurah-curah ibarat air hujan, dan
    tulisan pun menjadi seperti sungai yang mengalir deras selepas hujan turun. Ditambah pula dengan
    ayat yang berbunga-bunga berperibahasa serta gaya penceritaan yang realistik . Tulisan yang berbaur  
    politik, isu semasa, serta beremosi juga pasti mendapat perhatian yang sewajarnya. Tetapi
    tidak semestinya perlu ada bakat untuk menjadikan tulisan itu menarik. Sekadar menceritakan  
    pengalaman-pengalaman yang berharga atau punya isi yang konsisten dan mantap sudah boleh
    memikat perhatian pembaca. Kadang-kadang tulisan yang caca marba bercempera (bahasa rojak
    seharian dan tulisan sms) pun boleh jadi menarik andai isi dan penyampaiannya sampai kepada  
    pembaca. Tak begitu?

3) Paparan blog 
    Blog yang ringkas, kemas dan sederhana tetapi nampak high-tech. Faktor ini sebenarnya tidak begitu  
    penting jika sudah punya dua faktor di atas. Tetapi ada juga sedikit mempengaruhi pembaca  
    terutamanya dari segi latar belakang blog (terlalu bercorak sehingga tulisan tidak boleh dibaca),  
    tulisan yang terlalu kecil dan banyak potong di sini sana, terlalu berwarna warni (menunjukkan  
    penulis blog seorang yang ceria), widgets yang terlalu banyak dan merimaskan pembaca (suhu  
    kawasan setempat, jam ding dong, iklan, banner yang berterabur etc), pautan yang terlalu banyak sehingga  
    memenuhi seluruh  sidebar dari atas ke bawah, dan silalah tambah sendiri apa lagi yang merimaskan anda. 


4) Blog ‘mesra pembaca’
    Maksudnya di sini, pembaca mudah untuk menulis komentar, membaca entri-entri penulis, mencari  
    entri-entri lama, dan pautan-pautan yang menarik serta membantu pembaca. Faktor ini banyak  
    berkait rapat dengan faktor no. 3 di atas.

5) Faktor yang tidak kelihatan - Niat
    Wal usul balik asal. 'Innamal a'malu bin niyyah', bukan? Walau apa pun tujuan menulis blog, niat perlu lillahi  
    ta'la. InsyaAllah, tulis benda yang elok-elok sahaja dan dapat kongsi perkara baik-baik (orang pun suka).

Ada banyak lagi faktor-faktor sampingan yang mungkin saya tidak terfikirkan. Ini sahaja setakat ini. Mungkin 
kamu ada idea yang lebih menarik? Boleh kongsi di sini. 
 
(Idea ini tercetus sewaktu saya sedang mengemaskini blog ini dan mahu mencari template yang sesuai bagi menggantikan template yang lama. Sukar juga, tetapi setelah lama meredah belukar maya ini, saya menemui template ini. Green Light namanya. Ya, saya suka warna hijau. Ada juga jumpa template berwarna hijau yang lain seperti Japanese Fleur tetapi tidak menambat citarasa saya kerana latarnya berwarna putih. Saya sukakan latar berwarna hitam kerana warna hitam punya kesan khas ‘deep effect’ dalam menyampaikan perasaan dalam penulisan (ini sekadar pendapat ya, bukan fakta). Walaupun latar template ini juga berwarna putih, secara keseluruhannya saya boleh menerima susun atur template ini. (Oh, kalaulah saya boleh menukar latar ini kepada warna hitam). 

Disclaimer : Entri ini tidak ada kena mengena dengan mana-mana blog. Sekadar pendapat umum yang ingin  
                  dikongsi di sini walaupun tajuk entri ini berbaur kontroversi. Gempak je lebih. Sudah pasti anda 
                  yang punya hak sepenuhnya ke atas blog anda.

p/s : Siapa tahu bagaimana mahu memendekkan entri di paparan utama blog seperti klik di ‘read more’  
        atau ‘baca seterusnya’? Atau blogspot sememangnya tidak boleh begitu? Entri saya yang seringkali sangat 
        panjang, pasti merimaskan anda, bukan?



Sebelum melangkah keluar,
Bisikkan dahulu kalimah ini,
'Bismillah'
Semoga dengan namaNya,
tidak lupa asal dan usul,
sebelum melangkah keluar.

Friday, November 14, 2008

Ketulusan Hati : Allah to Islam no tameni


Saya bukan peminat Anuar Zain, tetapi lagu nyanyian beliau ini amat terkesan di hati. Saya tukar sedikit liriknya, jadi LEBIH terkesan di hati.


Cintaku tak berdusta
Tak mengenal ingkar
Tak kenal nestapa
Cintaku hanya indah
Hanya bahagia untuk selamanya

Apa yg kurasakan ini
Persembahan dari diriku
Kau dengarkan munajatku

*
Mencintai-Mu tak mengenal waktu
Tak mengenal puitis
Hanya tulusnya hati
Mencintai-Mu tak mengenal ragu
Keyakinan hatiku hanya untuk-Mu
Selalu

Cintaku tak berdusta
Tak mengenal ingkar
Tak kenal nestapa
Tak ada seribu janji
Hanya bahagia untuk selamanya

Apa yg kurasakan ini
Persembahan dari diriku
Kau dengarkan munajatku

(Repeat *)

Apa yang kurasakan ini
Persembahan dari diriku
Kau dengarkan doaku
Oooo

(Repeat *)

  • Ketulusan Hati - Anuar Zain




  • Kan?


    Allahuakbar.


    “Katakanlah (hai Muhammad), ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
    (Q. S. Ali Imran: 31)

    Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahwa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahwa Allah amat berat siksaan-Nya (nescaya mereka menyesal).


    (Q. S. Al Baqarah: 165)
    Tidak mengenal cintaNya
    sebenarnya tidak mengenal diri~

    Monday, November 03, 2008

    Bergetar rasa mencari keberkatan waktu

    Kilat sabung menyabung. Petir dan guruh saling berlumba. Bayu pula tidak mahu mengalah. Garang menerjah, malah sibuk hembus menghembus, menerbangkan apa sahaja yang tidak berpaut, tidak berakar di muka bumi Tuhan ini. Wah, seakan ada pesta bunuh membunuh syaitan laknatulah berlangsung di sini. Berlari deras-deras, terbongkok-bongkok melompat segala lecak dan becak yang bertakungan dalam sesingkat waktu sahaja, aku lekas-lekas mencari tempat berteduh.

    “Rasulullah SAW bersabda, “Empat perkara yang akan ditanya oleh ALLAH SWT
    pada hari kiamat adalah: Umur, masa remaja (muda), harta dan ilmu.”

    Hujan yang turun mengaum kelaparan. Lebat. Deras. Membasahkan setiap yang bermukim tanpa naungan dan teduhan. Menggeletar, aku kesejukan. Angin yang bertiup keras mencakar-cakar batang pohon Maple di sisiku tanpa belas kasihan langsung menggoncangkan ranting-ranting yang mudah sahaja meluruhkan daun-daun maple yang berbucu-bucu berbentuk seperti bintang separuh itu.


    “Pernah pada suatu ketika, saat Saidina Umar R.A. baru hendak melelapkan mata, tiba-tiba muncul seorang utusan mengetuk pintu rumah baginda. Lantas beliau bangkit dari pembaringan dan segera bertemu dengan utusan tersebut seraya berkata : “Bagaimanakah aku boleh tidur, sedangkan ada hak yang perlu aku tunaikan? Dan bagaimana aku boleh tidur di waktu malam sedangkan aku perlu menunaikan hak Allah?”

    Boom!!!
    Panahan kilat dan petir dari langit hampir-hampir mengenai tempat aku berpijak. Tidak berganjak, aku sekadar membatu melihat kesan panahan tersebut. Ya Tuhan, kelajuan degupan jantungku melangkaui had normal. Setiap debaran menambahkan kecelaruan, menjanjikan ketidaktenangan. Syaitan manakah yang menumpang teduh bersamaku ini? Mengawal perasaan sambil beristighfar, aku melihat ke atas. Gelap. Telefon bimbit yang kubawa tidak dapat selamanya bertahan memberikan cahaya. Bakal padam bila-bila masa sahaja.


    “Dua nikmat yang manusia sering lupa adalah nikmat SIHAT dan MASA LAPANG. Ramai yang berkorban harta benda, wang ringgit demi menjaga kesihatan, menunjukkan betapa sihat itu amat penting bagi manusia”
    Mengapa aku berlari pulang pada waktu-waktu begini? Sudah tahu hujan bakal turun, mengapa tidak aku sediakan payung? Malah seorang diri pula? Hujan ini. Bila mahu surut agaknya? Seperti tidak akan reda. Dan guruh yang berdentuman ini, semacam tertawa ria melihat aku mengerekot menahan kesejukan di sisi batang pohon maple yang sedang mula menguning daun-daunnya ini.


    “Mengapa seringkali kita merasa tidak cukup waktu? Sedangkan pasti dan pasti setiap kita diberi masa yang secukupnya, malah sama rata bagi setiap manusia. Acapkali pula kita mengeluh kerana kekurangan masa. Kenapa? Mengapa terjadi perkara seperti ini?"
    “Kerana tiada BERKAT di dalam waktumu.”

    Prak!!
    Allahuakbar! Terasa luruh jantungku jatuh berdebuk seperti nangka busuk. Entah kayu apa, ranting mana atau batang reputkah yang mendarat cemas di hadapanku? Cis, iblis laknatullah mana pula yang bergayutan bersembunyi di atas ini. Sengaja menegakkan roma-romaku naik terpacak dalam hawa sejuk-sejuk begini. Tidak boleh. Aku tidak boleh lama di sini. Aku harus pulang, harus segera berlari pulang. Biar lencun kebasahan seketika dari lama di sini bermain perasaan menahan seram dan melawan kedinginan. Aku memandang ke hadapan. Melihat-lihat susuk jalan yang harus aku lalui. Aduhai. Kegelapan menguasai pekat malam. Cahaya bulan pula sama-samar menerangi. Bagaimana mahu pulang? Aku tidak nampak jalan. Oh Tuhan, bantu aku.


    “Mencari keberkatan waktu itu ada tujuh cara iaitu dengan:


    1) Meninggalkan maksiat
    2) Meningkatkan ketaatan
    3) Menjaga solat di awal waktu
    “Rasulullah SAW bersabda : Orang yang paling bagus adalah yang apabila habis waktu solat, dia menantikan waktu solat yang seterusnya”
    4) Membaca Al-Quran
    5) Tidak tidur selepas solat subuh
    6) Memperbanyakkan menuntut ilmu
    7) Menjaga makanan yang dimakan

    Tiba-tiba terasa hangat menjalar ke seluruh tubuhku. Panas. Pohon Maple di sebelahku terang benderang jingga kekuningan pucuknya dijilat api yang marak entah dari mana. Titis hujan terakhir meluncur turun dari hujung-hujung daun Maple terus mengenai batang hidungku. Sambil mengesat dengan hujung lengan baju yang basah kesat, aku melihat-lihat sekeliling. Serasanya aku tidak sedar bila dan bagaimana petir menyambar pohon tempat aku mencari teduh ini. Dalam samar kecerahan itu, aku dapat melihat tiang kayu yang menampung wayar-wayar elektrik di tepi jalan berhampiran jatuh seakan tersungkur menimpa bahagian barat pohon itu. Tumbang ditimpa angin mungkin. Hujan pula entah bila sudah berhenti.



    ****************

    “Ouch!”

    Pedih hujung jari kelingkingku terkena bilah-bilah pemanas elektrik yang dipasang di bahagian belakang masjid ini. Tak ku perasan, pemanas ini sudah sampai suhu yang sangat tinggi dan aku masih lagi duduk berhampirannya.

    “Apsal kau ni?”

    “Tak ada apa.” Aku menyedekahkan sebuah senyuman yang mampu ku ukir saat itu. Kelat. Pandangan kembali ku hala ke hadapan. Tazkirah dari Brother Arnus, pelajar tahun 6 dari Jordan itu ku dengar antara faham dan tidak.


    “Orang yang bijak adalah orang yang selalu muhasabah dan melakukan perkara yang berguna untuk hari akhirat. Manakala orang kafir yang tidak mahu berusaha mencari kebenaran adalah seperti haiwan ternakan. Hidupnya hanya untuk makan dan minum sehari-harian tanpa perlu memikirkan tujuan sebenar kehidupan di dunia.”
    ****************

    Lambat. Aku terlambat. Tentu sudah banyak yang terlepas. Aduhai, kenapa tidak bersiap sedari awal tadi. Malu pula mahu masuk jika sudah lambat begini.

    “Kreeekkkk,” berbunyi pula pintu yang satu ini.

    Sudah masuk. Mencari tempat duduk. Ah, belakang ini kosong, tapi pandangan jelas ke hadapan. Cantik.

    “Tajuk apa ya, hari ni?”

    “Entah. Tak pastilah. Masa. Pasal masa. Kenapa selalu tak cukup masa.”

    Kaboom!! Terasa bagai dipanah petir mendengar perkataan masa. Terasa suatu perlian yang amat sangat pedih. Bisa sungguh rasanya. Topik ini tepat mengenai batang hidungku sendiri. Tepat! Ibarat meludah ke langit jatuh semula ke muka (kalau tak elaklah).



    ************

    “Jadi, bagaimana mahu mengurus waktu?”

    “Pertama, mesti ada jadual waktu-tulis lepas ni mahu buat apa, dan apa. Kemudian mesti kena ada matlamat, seterusnya perlu ada kawan yang baik-yang selalu mendorong untuk berbuat kebaikan dan tidak mengajak untuk berbuat perkara yang tidak berfaedah, yang membuang masa kita, dan akhir sekali, perlu ada cita-cita. InsyaAllah kita akan dapat kejayaan, akan buat lebih kebaikan dan dapat jadi orang yang lebih beruntung.”

    “Kemudian,” tambahnya lagi.

    “Masa lapang itu sebenarnya adalah masa yang tidak kita gunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah.”

    Brother Arnus merupakan pelajar terbaik dalam tahunnya. Maka tidak hairanlah tazkirah-tazkirah beliau berisi sedikit nasihat dan motivasi untuk belajar dengan lebih baik. Beliau menyampaikan dalam bahasa Arab yang jelas dengan suaranya yang lantang. Kemudian diterjemahkan oleh Saudara Ali dengan bahasa Melayu yang mudah difahami. Sayang saya turun lambat hari ini. Entah apa sahaja yang sudah saya tinggalkan. Kerana tidak mengurus waktu dengan baik dan sering merungut tidak kecukupan waktu, saya kerugian masa-masa yang amat berharga. Dan rupanya, saya punya banyak masa lapang yang tidak saya gunakan dengan baik. Padan muka saya!

    (Teringat Imam Nawawi rahimahullahu ta’la yang umurnya tidak panjang, kalau tidak silap saya tidak sampai 45 tahun pun, tetapi telah berjaya menghasilkan banyak buku, malahan ‘Hadith 40’ karangan beliau itu menjadi rujukan umat Islam sehingga ke hari ini. Mampukah kita menjadi seperti beliau? Tepuk dada tanyalah diri sendiri).

    p/s : Tazkirah Brother Arnus setiap Jumaat di Masjid Hostel 5. Saya tidak pasti tentang
    waktunya kerana selalu sahaja berubah-ubah mengikut perubahan waktu solat. Nanti akan
    diberitahu dari semasa ke semasa. Datang ya, tidak rugi!


    Updated (24 November 2008): Terima kasih yang tidak terhingga buat A'qilah yang telah menerbitkan  
                                                      entri ini di edu.iluvislam.com. Jasamu dikenang!

    Bila hati mengadap Tuhan,
    Baru kusedar ada kelemahan,

    Terasa kerdil berbanding Yang Esa,

    Terharu terfikir betapa agungnya,

    Tuhan...

    I wanna Panda!! Skadoosh!!

    *This is an unofficial (childish) post from me, u can move on without reading this post if u think this is crap*

    Have u guys watch Kung Fu Panda? (I know, I'm late!!) It's seriously crazy and funny. It's full of real Kung Fu elements; the background music, the wisdoms, the technics, the Kung Fu of course, PLUS the big fat panda. OMG I just couldn't stop laughing all the way through the movie.

    The script; oh, I just couldn't get enough!!

    (the story started with this)
    Po: Legend tells of a legendary warrior whose Kung Fu skills were the stuff of legend.

    (Po father, a goose, said, hoping that Po will inherit their restaurant)
    Mr. Ping: We are noodle folk. Broth runs through our veins.

    (Po, making excuse not to show his Kung Fu because he really didn't know Kung Fu)
    Po: I just ate, so I'm still digesting, so my Kung Fu may not be as good as later on.

    (Master Shifu began to teach Po how to Kung Fu)
    Shifu: When you focus on Kung Fu, when you concentrate, you stink.
    [Po frowns]
    Shifu: But perhaps that is my fault. I cannot train you the way I have trained the Five. I now see that the way to get through to you is with this.
    [pulls out a bowl of dumplings]
    Po: Oh great, 'cause I am hungry!
    Shifu: [laughs] Good. When you have been trained, you may eat. Let's begin.

    Wisdoms :

    Oogway: My friend, the panda will never fulfill his destiny, nor you yours until you let go of the illusion of control.
    Shifu: Illusion?
    Oogway: Yes.
    [points at peach tree]
    Oogway: Look at this tree, Shifu: I cannot make it blossom when it suits me nor make it bear fruit before its time.
    Shifu: But there are things we *can* control: I can control when the fruit will fall, I can control where to plant the seed: that is no illusion, Master!
    Oogway: Ah, yes. But no matter what you do, that seed will grow to be a peach tree. You may wish for an apple or an orange, but you will get a peach.
    Shifu: But a peach cannot defeat Tai Lung!
    Oogway: Maybe it can, if you are willing to guide, to nurture it, to believe in it.
    Shifu: But how? How? I need your help, master.
    Oogway: No, you just need to believe. Promise me, Shifu, promise me you will believe.

    Oogway: Yesterday is history, tomorrow is a mystery, but today is a gift. That is why it is called the present.

    and more here



    If u have some free time, some really really free time with seriously nothing else to do or u just want a go with this saying, 'laughter is the best medicine', then watch this panda becomes the Dragon Warrior!!

    Have fun! (and have a nice day)



    Sejak akhir-akhir ini,
    Lebih suka membaca di blog orang,
    Dari menulis di blog sendiri =)
    Malaskah?