Wafeya

Life is a serious matter.

Monday, June 29, 2009

Nota: Di manakah relevannya?

Bila mula mengemas, maka bermacam-macamlah entiti-entiti asing yang ditemui. Seakan-akan tidak pernah wujud, tetapi rupanya pernah menjadi hak milik kerajaan saya lama dulu. Hak milik yang dipinggirkan. Itulah nota-nota keramat sewaktu di awal-awal tahun pengajian dahulu. Bukan main lagi menimbun tingginya. Andai dijual, boleh jugalah buat beli keropok lekor dan air tebu beberapa bungkus.

Tetapi, mahu jual? Ah, sayang pula. Bukan iseng-iseng menyiapkan segala nota-nota ini semua. Kerja keras jugalah kalau tidak sampai bertimbun-timbun sekarang ini. Habis, mahu dibuang? Oh tidak, tidak. Ilmukan itu. Yang ditulis di atas kertas itu, ilmukan? Lalu bagaimana? Angkat semua dan bawa pulang ke Malaysia? Heh, yang sudah ada ini pun rasanya hampir-hampir mahu buat bagasi pecah di pertengahan jalan nanti. (Sebahagiannya telah pun diturunkan kepada junior-junior, tetapi masih ada sebahagian lagi yang setia mengumpul habuk dan debu)

Nota-nota itu amat berjasa kalian tahu? Temani saya kala diagah cikgu secara mengejut di dalam kelas. Dan tentunya amat-amat membantu kala peperiksaan menjelang tiba. Sekarang kalian tahu di mana ia berada? Aman dan sejahtera mendiami tempat gelap dan kusam di bawah katil saya. Ilmu-ilmu itu semua - di bawah katil saya. Sebab itu saya sayang mahu buang. Kiranya ibarat mencampakkan segala-gala keluar dari zona pengetahuan saya dan serasanya menjadi seperti orang bodoh yang tidak tahu apa-apa. Hilang tempat merujuk dan menyemak (walaupun tidak pernah diselak-selak lagi selepas tamat peperiksaan pada tahun tersebut) Nampak sangatlah ilmu itu bukan di dalam dada apatah lagi tersemat kemas di kepala. Aisee...

Teringat kisah Imam Al-Ghazali dan sang perompak saat kafilahnya diserang di tengah perjalanan pulang ke kampung halaman. Apabila tiba giliran Imam Ghazali, lalu ia berkata, "Kamu boleh ambil apa sahaja yg kamu mahu, tetapi jangan ambil beg ini." Para perompak mengesyaki sesuatu yang berharga di dalamnya lalu merampas beg tersebut dan menyelongkarnya. Apa yang mereka dapati hanyalah helaian kertas yang tidak berharga dan merasakan diri mereka telah ditipu. "Apakah ini dikatakan barang berharga bagimu, apa yang akan kamu lakukan dengan kertas buruk ini?" Soal ketua perompak. "Ini adalah hasil aku belajar bertahun-tahun selama ini, semua catitan ini aku ambil dari guruku. Jika kamu rampas nota-nota ini, maka hilanglah ilmu yang aku pelajari selama ini." Jawab Imam Ghazali. "Jika begitu kamu adalah orang yang paling bodoh, catitan yang kamu tulis itu bukanlah ilmu jika kamu tidak memahami, mengingati serta menghafalnya. Bayangkan sekiranya aku merampas nota-nota ini, bagaimana keadaanmu? Ini bererti ilmumu dapat dicuri." Balas ketua perompak. Imam Ghazali terpegun mendengarkan hujah yang tepat dari seorang ketua perompak. Mulai dari saat inilah Imam Ghazali menghafal kembali segala ilmu-ilmunya dan dimasukkan ke dalam ingatannya. Selepas ini tiada siapa lagi yang boleh mencuri ilmunya.

Lalu saya cuba membayangkan andai suatu hari bilik saya dimasuki pencuri dan pencuri itu menyangkakan beg-beg plastik yang penuh di bawah katil adalah harta saya paling berharga. Atau pencuri-pencuri itu memang hanya mahukan nota-nota sahaja (uiks, ada ka?) Betapa banyaknya ilmu saya yang hilang!!

Fuh! Hasilan bertahun-tahun itu lenyap begitu sahaja. Di manakah relevannya kewujudan nota-nota itu sebelum ini andai akhir hayatnya hanya akan dibakul sampahkan?

Barangkali ini bukan masalah besar bagi kalian.

Lalu, harus diapa-apakan nota-nota di bawah  katil itu?

Dengarlah kata-kata ketua perompak itu. Dengar dan fahamilah.





Pi kemaih baghanglah chek oi, hang tak mau balik, ka?

Sunday, June 28, 2009

Tahniah!

(Entri bergambar sahaja)

Hari graduasi teman-teman senior
Dataran Lenin
26 Jun 2009

Barisan graduan berdiri menyanyikan Student Anthem: Pertama kali saya dengar

Suasana ketika majlis bergambar: Graduan bersama para keluarga 

Separuh daripada para graduan bergambar di Dataran Lenin: Ramai sungguh!

Sebahagian teman-teman senior yang bakal pergi meninggalkan kami; tahniah, kak!

Gementar melihat satu demi satu graduan mengambil ijazah di pentas. Entah bagaimana agaknya perasaan mereka yang bakal pulang dan membawa gelaran doktor. Tebak hati sendiri, memang tidak bersedia. Sungguh! Ia satu tugas dan amanah yang berat amat. Terpikul atau tidak, jalan ini telah dipilih. Moga-moga terus-terusan dikuatkan Tuhan hingga ke akhir, InsyaAllah!

"Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." maksud surah al-Baqarah: ayat 286.

Disclaimer: Credit to Siti Nur Atiqah Ahmad Maliki for the superb shoot!


Yosh!

Exam's Post Mortem

(Uiks, exam pun ada post mortem Balqis, ek?)

Sebelum

Berusaha! Pasti boleh! Gambatte! Update status Facebook seperti mahu pergi berperang. Sibuk minta satu dunia tolong mendoakan. Blog juga tidak kurang mendapat tempias. Ya, semangat itu perlu, kata-kata dorongan itu tambah menguatkan keyakinan bahawa tidak mustahil untuk berjaya. Tidak mustahil - kalau berusaha dan bertawakal. =)


Semasa

Tongkang pecah

Buku-buku adalah teman paling setia. Pen dan highlighter berganti-ganti. Nota-nota bertaburan, entah terkoyak dari bukukah atau tercicir dari kelipan fail-fail. Meja belajar tidak lagi kelihatan bentuk asalnya. Bilik tercantik? Jemputlah datang waktu peperiksaan. Confirm kena reject dek bakal ibu mertua!

Diet paling berkesan

Memasak tidak menentu waktu. Apatah lagi mahu makan! Ada mee segera itu pun sudah cukup besar rahmat.  Loss of weight barangkali boleh jadi antara manifestasi klinikal selepas habis peperiksaan. Heh!

Syahid atau mujahid

Ini bukan lagi suatu persoalan. Kedua-duanya adalah satu keperluan. Tidak cukup tidur, kepala tambah berat. Jantung mengepam dengan sangat laju. Demi Tuhan, waktu itu aku memilih syahid dari mujahid. Terlena tika pedang (baca: pena) di tangan membuat garisan yang hampir menyerupai garisnya prima meridian yang merentasi Greenwich di London atas kertas nota. Sungguh! Waktu terjaga, bagaikan kembali ke medan juang. (Sempat pula update status di Facebook: Kawan-kawan, tolong doakan saya exam esok!)


Tokong hidup

Sebulan muka tidak pernah dilihat di mana-mana kecuali di bilik peperiksaan dan sekali-sekala di kedai makan. Bilik adalah gua pertapaan paling agung. Yang di meja dan kerusi, statiknya tidak bergerak-gerak kecuali kepala kadang-kadang terangguk-angguk dan mata terpejam rapat; menghafal! Yang bersila di katil pula bagaikan sedang meditasi merenung jauh masa hadapan, barangkali sedang mengingat dos-dos ubat sebelum kemudiannya mata terpejam rapat dan... terlelap.

Wasatiah (kurang belanja) dan zuhud

Huh! Alhamdulillah.


Selepas

Tiada kata terucap. Diam membisu sambil berjalan dengan langkah paling ringan pernah dirasakan selama menumpang hidup di bumi Tuhan yang sementara ini. Entahkan ulasan (baca: bebelan) apa dibuat oleh rakan-rakan tentang pengalaman-pengalaman berperang mulut (baca: ujian lisan) dengan guru, menjadi antara dengar dan tidak. Sekali-sekala cuma mencelah. Cuping telinga hanya menangkap bunyi hembusan bayu dan kicauan beburung. Damai. Bahagia.

Alhamdulillah. Selesai ujian dunia.

Ujian kecil dan tidak setara pun dengan ujian maha besar yang Esa.

Ujian hidup dan kehidupan.

Natijah dan balasannya yang disimpan di sana. Akhirat, negara yang kekal abadi.

Moga-moga dimudahkan jalan sebagaimana dimudahkan peperiksaanku di dunia.

Ameen ya Rabbal A'lameen.

“Apakah kalian mengira bahwa kalian akan masuk ke dalam syurga, padahal belum datang kepada kalian (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kalian? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam goncangan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang bersamanya : Bilakah datang pertolongan Allah? Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah amatlah dekat.” (QS. Al Baqarah : 214)


So much things to do yet so little time left,

Thursday, June 25, 2009

Life is Short

(Terasa mati itu sangat dekat)



“Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan keampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (al-Hadiid: 20)
“Di jadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (surga). Katakanlah, ‘Inginkah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?' Untuk orang-orang yang bertaqwa (kepada Allah), pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya. Dan (mereka dikurniai) isteri-isteri yang disucikan serta keredhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.” (Ali Imran: 14-15)
“Allah bertanya, ‘Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?' Mereka menjawab, ‘Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang menghitung.' Allah berfirman, ‘Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar saja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui.' Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” ( al-Mu'minuun: 112-115)
“Sesungguhnya, orang-orang yang tidak mengharapkan (tidak percaya akan) pertemuan dengan Kami, dan merasa puas dengan kehidupan dunia serta merasa tenteram dengan kehidupan itu dan orang-orang yang melalaikan ayat-ayat Kami, mereka itu tempatnya ialah neraka, disebabkan apa yang selalu mereka kerjakan.” (Yunus: 7-8)
“Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggal(nya).” (an-Naazi'aat: 37-39)


Syntax error,

Monday, June 22, 2009

Serbuk Darah

Pemikiran manusiawi memang hebat. Akal pemberian Tuhan diguna sehabis baik. Tidak cukup dengan penciptaan yang telah sempurna ada, direka lagi sesuatu yang lebih baik, hebat dan semakin mudah penggunaanya. Kagum. Saya kagum walau belum benar teruji.

Israel develops freeze-dried blood powder
JERUSALEM, June 20 (UPI) -- The Israeli army is working with a local company to turn soldiers' blood into a freeze dried powder.

Blood samples are taken from new recruits and processed. In the battlefield, the powder can be mixed with water to treat wounded soldiers, The Jerusalem Post reported Friday.

Subhanallah. Memandang dari satu sisi, betapa hebatnya makhluk ciptaan Tuhan bernama manusia ini.

...the powder can be mixed with water to treat wounded soldiers

Mudah. Seperti hendak memakai bedak sejuk.

Brig.Gen. Dr. Nachman Ash head of the medical corps told reporters if the idea proves itself it could also be adapted to civilian life. He said the company leading the research is Core Dynamics, a biotechnological company active in research and development of thawing and freeze-drying technologies in blood transfusions

Usaha tangga kejayaan. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Ash revealed a few other lifesaving devices currently being developed for the army, including a portable device with ceramic pipes that can produce oxygen in the field for wounded soldiers and a battery-operated device that could be used to ventilate wounded soldiers on the battlefield. Ash told reporters the army plans to convert the working models into commercial devices.

Mengapalah mereka bersusah payah mereka cipta segala keperluan-keperluan itu sedangkan siapalah yang sering benar menyerang dan menceroboh rumah dan kediaman orang?


Mereka bersedia tidak kira waktu, bertindak tidak kira situasi, dalam senyap melemahkan minda dan ruh Islam kita, terang-terang pula sedang melengkapkan artileri terhebat menangkis sebarang serangan atau hendak menyerang(?) Ah, tidak mahu berkisah panjang. Barangkali kita harus berhenti menongkat dagu bermain catur sambil gelak ketawa berpenglipur lara entah apa-apa dan segera-segera mencarinya yang seperti Salman Al-Farisi atau Muhammad Al-Fatih. Segera!

Daripada An-Nu’man bin Basyir, beliau berkata, suatu hari kami duduk-duduk di masjid Rasulullah S.A.W. Basyir (bin Saad) adalah seorang yang tidak banyak bercakap. Lalu datang Abu Tsa’labah dan beliau berkata, wahai Basyir bin Saad, apakah kamu menghafal Hadith Rasulullah S.A.W tentang kepimpinan (al-Umara’)? Lalu Hudzaifah berkata, aku menghafal khutbah Baginda S.A.W.
Lantas Abu Tsa’labah Al-Khashniyy duduk dan Huzaifah berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Kenabian akan berada bersamamu selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian akan tiba pula zaman Khilafah di atas Manhaj Kenabian selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian datang pula zaman raja yang menggigit (Malikun ‘Aadhun) selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.
Selepas itu muncul pula zaman raja yang diktator (Malikun Jabriyyah) selama mana ia dikehendaki oleh Allah, kemudian Dia mengangkatnya ketika mana Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian akan hadir pula zaman Khilafah di atas manhaj Kenabian…”


Finally, do the math yourself...

Sunday, June 21, 2009

Tidak Terbanding

(Mengenang ayah - bapa, guru, teman bicara, pendengar yang baik)


Tidak Terbanding

Memperihal ayahku;

kasar tangannya adalah,
(yang kuciumi sebelumnya kuberangkat pergi)
corak teristimewa membentuk,
acuan kedewasaanku;

jelingan tajamnya adalah,
kata sabda terluah,
'kau sebenarnya telah membuat salah!'

suara lantangnya adalah,
bisikan halus menerjah - bahawa
aku sudah tersilap langkah;

gurau tawanya adalah,
tiupan serunai paling indah,
muzik penghilang habuk-habuk duka,
jua rindu lara di jiwa,

dan tika dia memandangku,
dengan kedua mata sayu,
itulah kiranya,
nasihat paling berguna,
untuk seribu tahun lamanya lagi.

Lantas,
mana terbandingnya;
kasar tangan ayah,
jelingan tajam ayah,
suara lantang ayah,
gurau tawa ayah,
dan pandangan mata ayah,

dengan;
hormatku seumur hidupnya,
sedang cinta kasihnya sepanjang hayatku?

Tidak terbanding!
Selamat hari bapa, ayahku!

21062009
9.45 am
Simferopol
Ukraine.


"Someday I may find my Prince Charming, but my AYAH will always be my KING!"

Thursday, June 18, 2009

Inilah dunia!

(Ini entri lama dari blog Friendster saya yang lama. Musim-musim peperiksaan ini, entri tiru dan tampal sahajalah nampaknya. Membaca kembali, mengingatkan saya zaman menulis 'bahasa SMS'. Straight to the point bak kata orang utara. Entri kali ini, saya biarkan dalam bentuk tulisan asalnya. The Original flavour!)

Haza ad-dunia! - Inilah dunia!


6 Mei 2006

Just nak berkongsi sedikit tamsilan daripada ad-dars semalam. Bayangkan ada dua imtihan, d first one, kita disuruh masuk dalam bilik, yang penuh dengan emas, and then, kita disuruh pula mengaut sebanyak mana emas yang boleh kita ambil (wow!!) but with one condition, kita hanya diberi masa 5 minit sahaja. The second one, dalam situasi yang sama, ambillah sebanyak mana emas yang kita mampu, sehingga wisel ditiupkan, kita kena stop. Lalu, penceramah bertanya kepada para hadirin, yang mana yang susah? Imtihan pertama atau kedua?

Sudah pastilah kami menjawab yang kedua, becuz we don’t know when is the exact time we have to stop, mesti berdebar2kan?? Adrenalin rush!! Mungkin 3 jam (hehe, sempat balik bawa lori), atau mungkin hanya 1 jam, atau hanya 30 minit, atau juga 5 minit, dan tak mustahil hanya 5 saat, bukan?? Haza ad-dunia!! Kata saudara penceramah, membuka mata sekalian hadirin pada malam itu.

Macam tulah dunia, kawan2. Kita tak tahu, bila akhirnya, dan dalam masa yang diberi, yang kita tak tahu penghujungnya bila, kita disuruh pula banyak2 buat amalan untuk bekalan di hari yang kemudian. Bayangkan if kita tak sempat ambil emas banyak2, rugikan??!! Baru satu pundi kecil kita isi dengan emas, tiba2 wisel dah berbunyi, aduhai, ruginya….pasti menyesal. Begitulah ibaratnya kita di dunia ni kawan2, tak tahu bila kita akan pergi tak kembali, bila2 sahaja, bila2 sahaja, kawan2. Alangkah ruginya, andai masa kita di dunia ni, tak digunakan sebaik2 mungkin, Ya Allah, rugikan??!! Rasanya banyak benda baik yang kita belum buat lagi, banyak pula dosa yang kita dah kumpulkan, bagaimana kawan2? Sedang dalam imtihan yang pertama tadi, kita dah tahu bila waktu tamatnya, so kita boleh budgetlah banyak mana emas yang kita boleh try kautkan? Tapi, dunia bukan begitu……

Wallahua’alam. (tafakkur, tafakkur…)

Penceramah: Dr. Basil dari Jordan


Tamsilan mudah dan ringkaskan? Tetapi kadang-kadang buat kita termenung jauh dan berfikir panjang.


Rindunya zaman itu,

Saturday, June 13, 2009

Kaca Cermin Bingkai...

(Entri pecah tekanan)


Kalau kita sakit ke mana kita datang?

Doktor...

Kalau kita lapar apa yang kita cari?

Makanan...

Allah Kareem...

Hidup kita kalau punya masalah, punya hajat,

terus kita enggak datang kepada Allah dengan sungguh-sungguh,

berarti kita tidak mengenal Allah sebaik kita mengenal doktor ketika kita sakit,

kita tidak mengenal Allah sebaik kita mengenal bengkel

untuk motor, mobil kita yang rusak...

Dari ibnu A'bbas dia bercerita, aku pernah satu onta dengan beliau, dengan Rasulullah, lalu Rasulullah bertanya kepada aku? Ya ghulam, aku akan mengajarkan kepada engkau beberapa kalimah. Apa kata Rasulullah? "Yahfazillaha yahfazka", jagalah Allah supaya Allah menjaga kita, "faiza saalta faz alillah", kalau kemudiannya kita mahu minta, mintalah pada Allah, "faizastaa'nta fastai'n billah", kalau kita mahu pertolongan, mohonlah pertolongan hanya dari Allah.

Dan rasanya, tiada satu pun manusia di muka bumi ini yang tidak ada masalah. Kalaupun dia tidak ada masalah pasti dia punya keinginan.

Episod pertama dari Filem Kun Fayakun: Ulang tonton demi mengutip secebis hikmah buat penguat semangat.

Kalau Allah sudah berkata 'kun fayakun'. Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya segala kekuasaaan berada dan kepadaNyalah semua urusan dikembalikan. (Yassin: 82-83)

"Sungguh menakjubkan keadaan orang-orang yang beriman, di mana semua keadaan itu baik baginya. Nikmat disyukuri, ujian disabari."



KACA CERMIN BINGKAI...

KACANYA KACA...


Yang lelah dan capek,

Sunday, June 07, 2009

A Post-it

Picture Captions


Obviously, a post-it for me.


^_^


Mengada-ngada,

Saturday, June 06, 2009

Bicara syaitan

Sudah kata mahu periksa tetapi tangan gatal juga mahu menulis. Degil, sungguh! Bukan apa, sekadar mahu berkongsi beberapa episod dari siri video syaitan ini. Mungkin ada antara kamu yang pernah menontonnya jadi ini sekadar tayangan ulangan sebagai peringatan berpanjangan buat kita semua. Saya suka kepada pendekatan video ini yang kontemporari serta straight to the point. Ada banyak lagi siri, tetapi saya ambil dua tiga yang paling dekat dan paling terkena pada kita semua. Video-video ini di dalam Bahasa Arab tetapi ada terjemahannya dalam Bahasa Inggeris. Tonton dan fikir-fikirkan, ya!

1. Chatting!

Tidak boleh berhenti chatting? Pernah terfikir mengapa?



2. Ya, kawan-kawan. Tidur lebih baik daripada bangun dan solat subuh.



3. Ini pula pengakuan ikhlas hati ke hati dari musuh kita, syaitan!


Siri-siri selebihnya boleh ditonton di sini andai kamu berminat untuk mengikuti. Tidak lama, setiap satu hanya dalam lingkungan 1-3 minit. Selamat menonton!

Surely the devil is your enemy so take him for an enemy. He only invites his hizb [followers] that they may become the dwellers of the blazing Fire. (Faatir, 35:6)



Aduhailah, hati!

Tuesday, June 02, 2009

Yakinlah

Sungguh sudah menjadi bagai resam, bagai adat; setiap kali peperiksaan menjelang, diri bukan main khusyuk rapat mengakrabi Yang Maha Esa. Saat itu segala dosa minta diampuni, hati yang zulmat minta diterangi, jiwa yang kelam minta disuluhi. Cahaya ilmu itukan sepatutnya menerangi sepanjang-panjang perjalanan hidup manusia, bukanlah hanya ketika tiba musim periksa. Namun apakan daya, yang bernama manusia itu sifatnya lemah - terkadang lupa terkadang ingat. Iman jua - terkadang bertambah terkadang berkurang. Moga ada hikmah berselit rahmat mengiringi tika diri sujud rebah tanda kalah pada kudrat dan iradatNya. Ampunkan segala dosa-dosa kami wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.


Tiba-tiba terkenang sajak dalam novel Julia karya Abu Hassan Morad yang saya salin dan simpan sehingga sekarang.

Yakinlah kepada Tuhan
Tidak semua yang kita rancang
menjadi kenyataan
kerana itulah fitrahnya
atau tiba-tiba sahaja halangan
mendatang
kita harus percaya
ini tidak bermakna berakhir
segala-galanya
dan akhirnya kita akan muncul di tangga
teratas
Jadi biar apa pun yang kita lakukan
jangan mengalah
kita mesti teruskan usaha
biar bagaimanapun hidup kita beredar
kerana apa yang menanti kita di hadapan sana
tiada siapa yang tahu
kita harus percaya
bahawa yang baik itu pasti akan menang
dan tidak lama lagi
ada sebab untuk kita bergembira
jadi, biar apa pun yang kita lakukan
jangan mengalah!

Novel Julia merupakan novel pertama yang mengenalkan saya kepada karya-karya berbentuk Islami. Kemudian Cinta Madinah karya beliau juga turut menarik hati saya. Kedua-duanya sudah diterbitkan menjadi drama; sebuah kejayaan besar buat penggiat seni Islam. Masih teringat saat saya menyiapkan Kerja Kursus Sejarah PMR - Abu Hassan Morad menjadi tokoh pilihan untuk bahagian Tokoh Tempatan ketika itu. Lucu apabila mengenangkan yang saya tidak pernah berjumpa untuk mewawancara beliau secara langsung, semuanya melalui ibu yang banyak membantu sebagai orang tengah. Sewaktu di Tingkatan Dua juga kerja kursus Sejarah saya berkaitan seorang penulis; Robayah Mahmood namanya, penulis novel Nostalgia. Ini juga saya tidak berkesempatan bertemu. Ayah pula yang menjadi orang tengahnya. Terima kasih ayah dan ibu. Entah di manalah kerja-kerja kursus itu sekarang berada. Haih...

Untuk akhirnya, buat yang akan menghadapi peperiksaan, selamat berjuang, ya! Shiken ganbatte kudasai, saigou made akiramenaide ganbarimashou!

Mungkin akan semakin jarang berziarah ke blog kalian, doakan saya dan kawan-kawan mudah dan najah dalam imtihan ya!



Sekeping jadikan sebata,
sehelai jadikan selembar,
seruas jadikan sebidang,
segenggam jadikan sehasta!

Award dan Muhasabah Cinta

1. Terima award dari adik Syahidah,

 
Bertuah Award 2009 - Ya mudah-mudahan bertuah diriku dan semua pada tahun ini.

Terima kasih Syahidah!  

Seterusnya diberikan kepada nama-nama berikut! Simpan dan letak dalam blog anda.
Kali ini mahu beri kepada semua kakak-kakak yang banyak memberi inspirasi kepada saya melalui penulisan blog mereka. Jazakumullahu khairan.
  1. Kak Tirana
  2. Kak Chik
  3. Kak Azma
  4. Kak Su
  5. Kak Maya (DAMAI)
  6. Kak Fakhzan
  7. Ustazahlina
Semoga thabat dalam menulis dan menyampaikan yang baik-baik, InsyaAllah.


2. Sekadar selingan, memandangkan telah mengambil masa berharga kamu semua membaca entri saya ini, rasa bersalah pula andai dibiar kosong tidak berisi. Ini ada lagu Muhasabah Cinta diperkenalkan oleh kawan saya Sarah lebih beberapa bulan yang lalu. Tetapi saya ini orangnya lambat terkesan, baru sekarang berasa lagu ini ada isi dan penyampaiannya selain ya, sedap didengar.

Justeru, mempersembahkan Muhasabah Cinta oleh EdCoustic.


Maafkan atas segala masa kamu semua yang terbuang membaca entri saya kali ini.



Masih hina dina,