Pagi itu saya ke kelas seperti biasa, tetapi sedikit lewat memandangkan kelas pada hari itu hanya terletak di belakang hostel. Kelas, atau setepatnya rumah mayat. Ya, saya akan memulakan
cycle Forensic Medicine. Apa yang mahu dibayangkan? Oh, saya tidak tahu.
Setiap kali sebelum ke kelas, bersedia atau tidak dengan topik yang akan dibincangkan pada hari itu, saya tetap meletakkan
mode bersedia
sebagai penyedap hati. Bermula dengan yang positif, kononnya! Tetapi habislah kalau tiba-tiba disoal guru, ilmu pula bagai di hujung kail, ditarik-tarik tak dapat, ditunggu-tunggu tak tiba. Kadang-kadang kalau bernasib baik, kerana nama saya letaknya yang pertama dalam senarai nama pelajar, maka yang disoal adalah satu dua muka yang pertama yang mana, sempat saya selak-selak sedikit malam sebelumnya atau tadi sebelum guru masuk ke kelas. Itupun usaha jugakan?
Tidak apa, pembelajaran menjadi lebih berkesan kalau kita sering membuat salah dan dibetuli guru. Betulkan? Ia lebih tepat menusuk masuk terperangkap dalam neuron-neuron yang baru terbentuk demi menyimpan seciput memori kecil itu. Harap-harapnya bertahan sampai ke tua! Tetapi jangan selalu sangat membuat salah, nanti guru pun tak pandang, kita pun terkapai-kapai dalam kesesatan yang nyata. Dunia hari ini, manusia sering berlumba-lumba, ke hadapan dan terus berlari ke hadapan. Sedangkan masa yang ada tidak banyak, aduhai!
Tambah-tambah pula
cycle Forensic ini kerap kali dibesar-besarkan cerita, merupakan
cycle yang paling digeruni sekali dalam sejarah pembelajaran perubatan selepas subjek
Anatomy dahulu di sini. Yang digeruni malahan bukanlah mayat yang harus didepani dalam proses memahami prosedur autopsi itu, tetapi adalah buku teks setebal 463 muka surat yang perlu direbus, diperah dan kemudian diminum airnya. Ertinya, setiap hari dalam seminggu lebih ini harus baca (dibaca: baca, fahamkan dan ingat dalam satu malam) sejumlah 70-90 muka surat paling banyak kerana soalan guru tidak terjangkakan dari muka surat manakah munculnya ia. Adillah juga kiranya soalan cepu emas ini datang bertandang; buku
Forensic kamu baca, Al-Quran kamu baca tidak? Aduhailah jiwa-jiwa yang lemah!
Cuaca cerah elok pagi itu, tetapi sejuk tetap sejuk. Semakin bersinar matahari, semakin kuat bayu bertiup. Seakan-akan ada pertandingan bersaing kekuatan. (Oh, kamu ingat kisah pendek itu?) Saya masuk ke dalam kelas yang sudah dipenuhi oleh pelajar dari kelas lain, kali ini kami bergabung lagi dan kelas sempit itu berusaha memuatkan kami semua yang berjumlah 15 orang. Ya, kalau mahu belajar, jangan banyak rungutan nanti nikmat menuntut ilmu itu terhapus sama sekali.
“Hari ini kita akan tengok mayat!”, sahut rakanku, ceria.
Bukankah terlalu ironi penyataan tersebut dengan keghairahan yang jelas terpamer?
“Baguslah, sebab aku tak habis baca lagi”, sahut seorang rakan yang lain pula.
Ini lagi terlalu kontradiksinya. Melihat mayat lebih bagus dari membaca buku?
Walhal di dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu betapa bertahan-tahannya keberanian kami dengan doa dan zikir yang tidak henti-henti. Waktu inilah firman Tuhan dalam surah Ar-Ra’du ayat 28 benar-benar menguasai jiwa. Duhailah hati-hati yang lemah! Dan kami bergerak perlahan-lahan menuju bilik autopsi yang terletak nun di hujung sekali sambil tangan cekatan mengikat kemas topeng penutup hidung ke muka.
Apa itu mati?
Kalau imaginasi waktu kecil saya tidak salah, mati itu bererti dibungkus dengan kain putih, diangkat oleh ramai orang dan dikambus di dalam lubang yang gelap. Kemudian ditinggalkan orang sendirian, tidak lagi dijenguk untuk beberapa lama. Apabila mula bersekolah, saya belajar bahawa setelah mayat ditinggalkan orang tujuh langkah, akan datang dua malaikat maut yang namanya Munkar dan Nakir (dari namanya juga sudah gerun, bukan?) menyoal si mati dengan soalan-soalan yang sudah saya hafal jawapannya setepat mungkin waktu itu kerana kata guru, kalau tidak dapat menjawab dengan baik, akan dipukul sang malaikat dengan kuat sehingga terbenam sedalam tujuh petala bumi.
Dan setelah sedikit dewasa, saya mengerti bahawa mati itu bukan sekadar ‘pergi tidak kembali’ tetapi adalah satu perjalanan lain di daerah asing yang kita tidak diberi melainkan sedikit ilmu mengenainya. Bezanya perjalanan itu harus ditempuh sendirian tanpa keluarga dan teman, kecuali beruntunglah mereka-mereka yang siap membawa bekal amalan bersama-sama.
Lamunan terhenti saat bau hanyir menyengit mencucuk deria bau saya. Ya ampun, busuk bau bangkai manusia ini rupanya. Saya menekap tangan ke hidung yang sudah pun kejap dipakaikan mask. Tanpa disangka-sangka, rakan di sebelah menghulurkan Vicks.
“Tak tahan bau, ya?”, soalnya.
Padanlah nampak tenang sahaja dari tadi, sudah ada persiapan rapi rupanya. Saya yang terkesip-kesip menahan bau menyambut tanpa memberikan jawapan. Secalit Vicks saya sapu pada hidung kemudian menarik nafas kelegaan. Saya pulangkan kembali dengan ucapan terima kasih dan rakan saya sekadar tersenyum sinis. Cis!
Rasa sejuk mencengkam naik; membuang segala rasa yang aneh-aneh itu, saya melihat sekeliling. Mata merakam setiap inci ruang yang menempatkan dua almari besi berisi perkakasan bedah, satu almari berkaca, sebuah meja beserta kerusi, sinki dan sebuah alat penimbang di suatu sudut di sebelahnya. Bilik ini bertutup rapi, tingkap yang terkunci rapat dan hanya satu pintu untuk masuk dan keluar. Di setiap penjuru tingkap terletak gambar kecil Jesus yang dianggap Tuhan oleh orang Kristian. Hati menggerutu bingung, sudah berdepan dengan mayat-mayat ini, apakah bisa lagi berada dalam kegelapan yang zulmat? Benarlah, cahaya hidayah itu memang milik Tuhan dan Dia memberi kepada sesiapa yang dikehendakinya. Tatkala itu jua pandangan tertumpah pada objek yang berada di tengah-tengah ruang autopsi itu - yang saya nampak pertama kali masuk tadi tetapi buat-buat tidak nampak - mayat yang akan kami bedah!
Bersambunglah pula…
(Kalau saya rajin, entri ini akan ada penyambungnya. Kalau tidak, kamu buatlah cerita sendiri. Eheh!)
Maksudnya: “Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)” (Surah az-Zumar, ayat 42).
Bisa benar, bisa tidak,