SATU
Tertarik melihat keronsang kecil yang dipakai pada tudung saya, mak cik perpustakaan minta saya belikan satu dua untuknya. Warna merah hati, pesannya lagi. Di Ukraine tiada yang kecil-kecil begini. Besar-besar dan mahal-mahal pula. Saya tersenyum dan mengangguk setuju. Saya pun sudah lama tidak singgah Mydin Wholesale Emporium.
DUA
Saya lihat jam. Masa bergerak sangat lambat. Adakah kerana saya selalu melihat jam atau muka surat yang sedang saya baca ini masih yang sama seperti 30 minit yang lalu?
TIGA
Melihatkan rakan saya Sarah sedang sedap menikmati waffle buah-buahan, saya lantas bergegas keluar pergi mendapatkan satu. Di depan kedai, saya menanti kakak waffle siapkan untuk saya. Lama juga - 15 minit dan cuaca sangat panas. Saya ingat mahu cadangkan kepada kakak waffle supaya pasang awning di hadapan kedai, biar teduh sedikit dan orang yang menanti tidak terseksa. Kalau kakak waffle pernah main Diner Dash tentu dia faham perasaan pelanggan. Tetapi tidak apalah, inikan kedai kakak, bukan kedai saya.
Sementara menanti, saya melihat sekeliling. Ada tukang kedai sedang pasang papan tanda kedai yang baru. Banyak orang berjual beli dan lalu-lalang seperti tidak akan ada lagi hari esok untuk mereka. Di hadapan saya, seorang nenek tua sedang duduk menjual rokok dan kuaci. Sedikit sahaja barang jualannya tertebar atas satu meja kecil. Duduk di bawah panas terik bahang mentari. Kasihan. Kemudian datang seorang lelaki meminta rokok sebatang dua sambil marah-marah memaksa minta cepat. Selepas dapat terus berlalu pergi. Entah bayar, entah tidak. Nenek ambil sehelai dua wang kertas dan kira-kira dengan wajah sugul dan sayu sambil mulutnya terkumat kamit antara dengar dan tidak. Barangkali mencatur nasib pada nilaian wang saku atau sedang mengadu pada Tuhan akan payahnya kehidupan.
Tiba-tiba nenek memandang saya dan tersenyum. Aduh! Luluh lantak hati saya. Wajahnya tidak ubah seperti arwah opah. Andai tiada yang melihat, mahu sahaja tumpah air mata ini. Kasihan. Sungguh kasihan. Hati saya tidak mampu menerima adanya orang tua susah melarat begini. Mujur nenek ini masih tabah mencari rezeki halal berbumbungkan langit Tuhan yang kian terik panasnya itu. Ada yang lebih susah, hanya menadah tangan atau cawan plastik minta dipenuhkan (saya tidak mahu fikir tentang konspirasi pengemis atau apa – yang penting mereka memang susah dan sudah tua pula!)
Umur-umur tua begitu, tempatnya di rumah. Dimanjakan anak dan cucu. Bukan mengendong guni, menyeret plastik sampah, menarik troli berat atau menyelongkar tong sampah mencari sisa-sisa makanan buat mengalas perut untuk satu hari. Manalah perginya anak-anak mereka yang suatu waktu dahulu pernah dijaga dan ditatang bagai minyak yang penuh? Dari tahun pertama saya melihat kesusahan dan kesengsaraan ini dan saya tidak mampu buat apa-apa. Hanya menangis dalam hati. Di mana silapnya? Sistem kapitalis yang diamalkankah atau sikap manusia yang tiada beragama di sini? Saya tidak tahu.
Kakak waffle menghulurkan waffle buah-buahan bersama baki wang sambil tersenyum lantaran betapa murahnya rezeki Tuhan kurniakan kepadanya hari itu. Rezeki saya juga. Rezeki nenek tua itu juga. Saya berlalu pergi dan berdoa dalam hati moga-moga Tuhan senangkan hati nenek hari ini. Biarlah dengan hanya sesuap roti pun.
EMPAT
Waffle buah-buahan itu memang sedap! Sedikit mahal tetapi berbaloi – ada pisang, strawberry, kiwi dan nanas. Sedaplah!
Nak exam dah weih!
