Kau adalah antara keturunan ketua semut yang dibanggakan. Bukankah moyang kau pernah menceritakan sejak turun temurun kisah yang tercatat dalam Surah An-Naml tentang dia dan Nabi Allah Sulaiman? Maha Suci Allah yang mengurniakan kelebihan kepada baginda yang dapat memahami sekalian pertuturan haiwan hatta sekecil serangga seperti kau, seekor semut. Ya, dan setelah berpindah randah sehinggalah ke sempadan Gaza ini pun, kau masih ingat kisah itu. Sayangnya, hari ini bukan lagi tapak kaki kuda atau bala tentera Nabi Sulaiman a.s. yang kau takut akan menginjak anak-anak buahmu, tetapi dari sepelaung sudah kau dengar dentam dentum Air Force F-16 buatan Amerika itu mengenai tanah tempat kau berpijak. Ngeri. Memang ngeri. Waktu itu, berkebetulan, kau baru sahaja mengarahkan anak-anak buahmu mencari sisa-sisa roti atau mungkin sebutir gandum di lapangan dapur sebuah rumah buruk yang hanya tinggal retak menanti belah itu. Susah betul mencari makanan. (Jangankan sebutir gandum, hampasnya pun sukar untuk dijejak. Manusia tempat kau tinggal ini bukanlah bangsanya yang suka membazir. Sejak sekatan 19 bulan lalu ke atas tanah tempat koloni kau membiak, kau juga turut sama merasa tempias derita lapar dan dahaga). Ketika itulah gegaran maha hebat menggoncang segala yang maujud di atas tanah bersepai berderai diledak entah apa yang jatuh dari langit dalam sesaat cuma. Jeritan dan laungan kau memanggil anak-anak buahmu, berselang seli pula dengan esak tangis anak manusia, memekik memanggil si ibu yang baru tadi usai menyuapkan cebisan roti kering ke mulut sang anak. Kau tidak peduli itu. Kau terus memanggil dan memanggil walau kau tahu nyawamu kini sudah di hujung tangan Izrael. Lalu, bila kau mati dihempap batu konkrit yang pecah atau dipijak manusia yang hilang arah nanti, kemudian berselisih dengan Abdul Aziz Rantisi, (ataupun kalau kau ternampak kelibat Syeikh Ahmad Yassin), sampaikan salamku kepada mereka. Khabarkan bahawa HAMAS yang diasaskan mereka kini sedang hebat diranduk jet pejuang udara tentera Israel. Katakan juga, bumi Palestin masih belum aman kerana umat Islam masih belum berani menentang sang zionis yang lapar darah itu. Maaf kerana tidak dapat membantu kau, seekor semut mengumpulkan anak-anak buahmu, apatah lagi melakukan solat jenazah untuk kematianmu yang tidak sedikit pun dipedulikan dunia. Apa pun, jangan lupa ya, sang semut! Pesananku itu!
(Sehingga entri ini ditulis, lebih 374 yang syahid dan 1400 lagi cedera parah. Sudahlah merampas tanah rakyat Palestin yang telah disekat-sekat sehingga sekecil itu, sampai pula hati meratah zalim penghuni-penghuni di tanah yang sekerat itu. Jelas, seperti kata kawan saya, sejak trauma Holocaust dulu, Israel dan sekutu-sekutunya punya masalah mental yang kronik)
